Skip to main content

Respon Kepada Pengunjung: Isu Rahsia Parti

Ada yang tidak akan bersetuju dengan apa yang saya tulis dan lakukan walau apa sekalipun penjelasan yang saya cuba beri. Oleh itu, saya tidak akan cuba berusaha untuk meyakinkan mereka ini. Apabila hati telah dikuasai perasaan, samada kebencian atau kecintaan, ia mampu menumpulkan akal, sehingga kebenaran sesuatu hujjah atau kepalsuannya, yang dapat difaham dan diiktiraf semua, tetap tidak dapat diakui diri sendiri. Saya doakan supaya perasaan tidak menguasai hati ahli jamaah dan sebaliknya semua hujjah yang dikemukakan dinilai atas kebenarannya dan bukan berdasarkan siapa yang menyatakannya.

Saya juga mendoakan semoga PAS tidak akan mendapat pemimpin yang menganggap ‘karipap’ sebagai rahsia jemaah; atau pemimpin yang menganggap cara bagaimana pengajaran yang terkandung dalam Islam dihayati pada zaman sekarang tidak perlu ditonjolkan, memadai dengan sekadar menceritakan Seerah; atau pemimpin yang angkuh, yang menganggap orang lain tidak ditamrin, sambil tidak menyatakan apa yang dianggapnya tidak kena.

Sesuatu yang dianggap rahsia adalah rahsia walaupun ianya tidak dikaitkan kepada perbincangan dalam mesyuarat. Oleh itu yang tidak rahsia tetap tidak rahsia, walaupun dikaitkan dengan perbincangan dalam mesyuarat. Sebagai contoh, ayat yang berbunyi, “kami makan karipap” dan “kami makan karipap dalam mesyuarat”. Dua-dua ayat tersebut tidak mengandungi ‘rahsia’ walaupun ayat kedua dikaitkan dengan mesyuarat. Begitu juga ayat “Dr. Hatta lebih cergas” dan “dalam mesyuarat saya nyatakan Dr. Hatta lebih cergas”. Kedua-dua ayat tidak mengandungi rahsia, lebih-lebih lagi apabila pengumuman keputusan melantik Dr. Hatta dan sebab-sebabnya telah dilakukan pimpinan. Sebaliknya, ayat yang sedemikian hanya menjelaskan pandangan saya, bukan rahsia parti.

Dalam pada itu, sesuatu yang rahsia tidak perlu dikaitkan dengan perbincangan mesyuarat untuk menjadikannya rahsia parti. Sebagai CONTOH “kita utamakan kemenangan Shah Alam berbanding Kota Raja” dan “dalam mesyuarat diputuskan kita utamakan kemenangan Shah Alam berbanding Kota Raja”. Kedua-dua ayat mendedahkan rahsia strategi parti walaupun ayat pertama tidak disebut “dalam mesyuarat”.

Amat penting untuk ahli jemaah memahami apa yang rahsia dan apa yang tidak. Salah faham dalam soal ini telah menghasilkan kezaliman di dalam sejarah ummat Islam. Sebagai contoh, yang melibatkan jurubina Taj Mahal apabila dianggap rekabentuk dan cara pembinaan Taj Mahal sebagai satu rahsia besar! Maka demi menjaga ‘rahsia’ itu, jurubina tersebut perlu dibunuh. Dan yang akan dibunuh dan yang akan membunuh terpaksa wala’ kepada keputusan Sultan. Inilah di antara salah faham yang menyebabkan ummat Islam akhirnya tumpas di tangan musuh.

Kedua, persoalan menceritakan corak kepimpinan yang sediada. Ianya penting supaya rakyat memahami PAS mengikut cara kepimpinan Rasulullah (SAW). Jikakalau sekadar ingin bercerita cara Baginda memimpin, itu boleh diminta ustadz dari UMNO untuk menceritakannya. Tetapi yang lebih penting ialah untuk digambarkan bagaimana cara itu dilaksanakan oleh pimpinan PAS, supaya rakyat dan ahli faham, ianya bukan demi ilmu semata-mata, tetapi ianya untuk dihayati. Pada masa yang sama, ianya bertujuan menyanggah salah faham yang wujud di kalangan sebahagian ahli bahawa cara kepimpinan dalam PAS adalah lebih mirip cara diktator.

Yang terakhir, yang ingin saya tegur ialah golongan yang angkuh. Keangkuhan menghancurkan amalan dan yang angkuh akan dicampakkan ke dalam neraka. Perasaan riya’ adalah syirik kecil dan perlu dijauhi. Kalau ada yang tidak kena dan tidak dipersetujui, sebut sahaja secara jelas perkara tersebut tanpa perasaan berlagak sebagai ilmuan besar dengan menyebut perlu mengikuti tamrin dan sebagainya. Silap-silap yang disuruh ke tamrin telah bertamrin sejak yang menyuruh masih belum dilahirkan! Nyatakan sahaja hujjah dan alasan mengapa tidak bersetuju dan sekiranya ianya benar maka akan diterima dan sekiranya ianya tidak benar, maka akan dijelaskan mengapa.

Itu sebenarnya cara untuk mengembang ilmu, bukan dengan cara menyuruh baca ini dan baca itu, atau menyuruh ke tamrin dan sebagainya. Sikap holier than thou atau ‘aku lebih alim dari kamu’ yang seperti ini tiada tempat dalam jemaah Islam yang ahlinya menghormati pandangan semua dan berhujjah dengan cara saling hormat menghormati di antara satu sama lain. Inilah di antara pengajaran yang ingin saya sampaikan melalui apa yang saya kisahkan di dalam mesyuarat AJK PAS Pusat. Alim ulama’ besar, duduk berbincang dengan orang seperti saya, mendengar hujjah dan menimbangnya atas kekuatan hujjah tanpa sama sekali menunjukkan sikap angkuh. Menjelaskan pandangan mereka yang sebaliknya atau menerima pandangan yang berbeza dan mengenepikan pandangan diri mereka sendiri. Tidak walaupun sekali mengeluarkan kata-kata, “kamu perlu ditamrinkan” kepada sesiapa. Mungkin yang mendesak seseorang itu ditamrinkan perlu ditamrinkan terlebih dahulu.

Akhir sekali, dalam isu cantas mencantas. Itu tidak ada kena mengena dengan PAS. Ianya respon saya kepada kenyataan Satim Diman. Mungkin yang membuat komen ini perlu membaca kembali artikel keseluruhannya dan bukan sekadar tajuknya.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

tuanmustakim said…
memang dah jelas tajuk dan cerita YB. tapi biasalah, manusia kalau DIA RASA DIA CUKUP ALIM DAN ILMU, akn angkuh dengan pegangannya. teruskan usaha YB. takbir!
Anonymous said…
A'kum YB, saya rasa kalau diaorg ni baca cerita umno kura-kura dan perahu yg YB tulih haritu, sure dia mengamuk sebab tak jumpa cerita pasal kura-kura dan perahu kan? Kesian mungkin kerana tak pegi kelas masa cikgu BM ajar yg tersirat dan yg tersurat...

http://www.khalidsamad.com/2010/09/umno-kura-kura-dan-perahu.html
Anonymous said…
sudah2 laaa khalid
Anonymous said…
anon 4.07..

ayat tu jaa hang mampu kata... baik takyah buat komentar ..

quote from khalid Samad statement:

"Apabila hati telah dikuasai perasaan, samada kebencian atau kecintaan, ia mampu menumpulkan akal, sehingga kebenaran sesuatu hujjah atau kepalsuannya, yang dapat difaham dan diiktiraf semua, tetap tidak dapat diakui diri sendiri"

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.