Skip to main content

Flotilla 2, Lifeline for Gaza (LL4G) dan Penglibatan Saya

Saya dihubungi oleh beberapa sahabat dari NGO Islam pada sekitar bulan Mei dan ditanya samada saya berminat untuk menyertai misi Life Line for Gaza ke-2. Saya diberitahu ianya akan seperti misi yang pertama dan kapal Mavi Marmara akan turut digunakan sepertimana sebelum ini. Ahli Parlimen dan NGO ‘Islamist’ dari seluruh dunia akan turut menyertainya. Tarikh yang dianggarkan adalah pada bulan Jun. Saya turut dimaklumkan bahawa penyertaan Ahli Parlimen PAS amat dialu-alukan.

Program ini, seperti yang dahulu, dianjurkan LL4G, satu pakatan atau gabungan (coalition) NGO Islam yang telah lama istiqamah dengan perjuangan membela nasib dan hak rakyat Palestine seperti Haluan Palestine, Muslim Care, Yayasan Amal dan Aqsa Syarif. Pada masa yang sama, saya turut dimaklumkan bahawa NGO Turkey, IHH, akan memainkan peranan utama, sepertimana dahulu.

Berdasarkan maklumat ini, maka saya telah menyatakan persetujuan saya untuk bersama. Penderitaan rakyat Palestine diketahui umum. Oleh itu tidak perlu saya ceritakan di sini. Mereka mengharapkan dunia, khususnya dunia Islam dan pencinta keadilan untuk membela nasib mereka. Kita tidak boleh membenarkan dunia lupa kezaliman yang sedang dialami rakyat Palestine. Misi yang seperti ini mampu menjadikan kezaliman Zionis berita muka depan akhbar seluruh dunia. Dengan itu, penyelesaian yang adil bagi rakyat Palestine akan diusahakan, termasuk membatalkan sekatan ke atas Gaza.

Tergambar dalam pemikiran saya suasana yang diceritakan kumpulan sahabat yang telah bersama dengan misi LL4G pertama. Saya dimaklumkan bahawa siang dan malam semasa mereka berada di atas kapal Mavi Marmara telah dipenuhi dengan program-program tazkirah, dzikir serta solat sunnat, termasuk Tahajjud. Suasana sebegitu memberikan mereka kekuatan untuk menghadapi cabaran yang bakal dihadapi mereka dengan penuh keyakinan akan pertolongan Allah. Sehingga, apabila berlaku apa yang telah berlaku, mereka langsung tidak gentar, walaupun berhadapan dengan tentera Israel yang bengis dan lengkap bersenjata. Ini adalah berkat dari keikhlasan mereka itu.

Pada 12 Jun, saya telah memohon restu pimpinan tertinggi PAS untuk saya mewakili parti dalam misi ini. Saya turut memaklumkan bahawa Timbalan Presiden telah dijemput berucap bersama Perdana Menteri dalam program pelancaran misi ini. Berdasarkan maklumat tersebut, permohonan saya itu telah dipersetujui dan saya merasa gembira di atas restu serta sokongan yang diberikan.

Sehari selepas itu, saya diberitahu sahabat yang bergiat dalam sebuah NGO bahawa kapal Mavi Marmara dan dua lagi kapal besar telah menarik diri. Oleh itu, jumlah peserta dari seluruh dunia, termasuk Malaysia, terpaksa dikurangkan dari 20 (saya difahamkan pada asalnya) kepada 10 orang sahaja. Seterusnya saya juga dimaklumkan bahawa misi kali ini tidak akan seperti yang pertama. Beberapa NGO yang telah memainkan peranan utama sebelum ini tidak akan menyertainya. Saya mula kedengaran ketidak terlibatan Haluan Palestine, Yayasan Amal, Aqsa Syarif dan lain-lain. NGO Turkey yang ke depan dalam misi pertama, iaitu IHH juga tidak akan lagi memainkan peranan utama sepertimana dulu. Ini dikatakan ada kena-mengena dengan suasana pelarian dari Syria yang memasuki Turkey.

Walaupun dalam suasana seperti itu, saya tetap meletakkan harapan misi ini akan dapat diteruskan dengan semangat yang sama seperti dulu. Pada masa itu, saya mengharapkan program pelancaran yang akan dilakukan pada 18 Jun akan meletakkan misi ini atas satu asas yang kukuh dari sudut keikhlasan perjuangan membela nasib rakyat Palestine. Hakikat bahawa program itu akan dilancarkan oleh PM dan Timbalan Presiden PAS akan turut berucap mewakili PR serta Khairy Jamaluddin mewakili BN adalah, bagi saya, bukti bahawa perkiraan politik diketepikan sama sekali dalam usaha ini.

Pada 17 Jun, sehari sebelum pelancaran misi LL4G (2), saya dimaklumkan secara peribadi oleh pihak LL4G bahawa mereka dihubungi pihak PM dan diberitahu bahawa Timbalan Presiden PAS tidak dibenarkan berucap! Sekiranya terus ingin membenarkan beliau berucap, maka PM tidak akan hadir dan Aman Malaysia akan menarik diri dari menyertai misi tersebut. Pihak LL4G memaklumkan kepada saya, “sebagai NGO, kita amat memerlukan penglibatan PM dan Aman Malaysia serta kerjasama Wisma Putra dan sebagainya. Apa harus saya lakukan?” Saya hanya mampu menyebut bahawa ianya terpulang kepada dirinya untuk memutuskannya. Sebagai NGO, maka beliau harus berkecuali dan ucapan dari kedua-dua pihak akan membuktikan bahawa LL4G tiada affiliasi politik. Itulah sebabnya mengapa beliau menjemput kedua pihak pada asalnya.

Saya seterusnya bertolak ke Perak pada petang itu kerana mempunyai program di Batu Kurau pada malam 17 dan di Bukit Gantang pada 18 Jun.

Pada 18 Jun, semasa saya di Bukit Gantang, saya telah dimaklumkan bahawa Timbalan Presiden telah tidak hadir kerana telah diberitahu bahawa dia tidak akan dibenarkan berucap. Malahan, sepanduk-sepanduk di tempat program pelancaran turut diubah-suai dengan meletakkan pita bagi menutup nama Tuan Haji Mohd. Sabu dan Khairy. Lencana NGO-NGO tertentu turut ditutup kecuali lencana LL4G dan Aman Malaysia. Kawan-kawan saya yang hadir ke program tersebut memaklumkan ianya berjalan bagaikan program UMNO.

Ketidak-ikhlasan pihak PM dengan menuntut supaya Timbalan Presiden PAS tidak berucap amat menduka-citakan. Ianya jelas menunjukkan bahawa mereka mempunyai motif politik dan ini mencemarkan niat disebalik misi ini. Tindakan mereka untuk mendapatkan keuntungan politik dari penderitaan rakyat Palestine dengan percubaan menenggelamkan keterlibatan PAS dan hanya menonjolkan peranan mereka dianggap keterlaluan.

Sejurus itu saya telah dihubungi beberapa rakan NGO dan ahli parti untuk menarik diri. Saya hanya mendiamkan diri. Namun ianya jelas bahawa UMNO ingin membersihkan nama mereka melalui misi ini setelah dipalitkan dengan Israel melalui perlantikan APCO sebagai penasihat kerajaan BN. Hakikatnya, UMNO TIDAK PERNAH menyokong perjuangan Hamas, parti politik pilihan rakyat Palestine. Sebaliknya, mereka bersama Fatah, parti Yasser Arafat. Sedangkan Gaza dikenakan sekatan kerana ianya dibawah Hamas. Sehingga hari ini kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf Hamas.

Pada 20 Jun saya telah bertolak ke Saudi. Pada ketika itu, tarikh bertolaknya misi LL4G (2) masih tidak disahkan. Menurut sumber yang tertentu, mungkin 23 atau 26 Jun, tetapi mungkin ditangguh seminggu.

Pada 21, setibanya saya di Saudi, saya telah dimaklumkan bahawa pihak penganjur telah menafikan bahawa dia telah diberikan tekanan untuk menggugurkan Timbalan Presiden PAS, Tuan Haji Mohd. Sabu sebagai penceramah pada malam pelancaran misi. Saya terkejut dengan kenyataan beliau kerana beliau sendiri yang telah bercakap dengan saya mengenai tekanan tersebut! Kenapa dia perlu menipu? Tidak cukupkah dengan pengguguran tersebut, adakah perlu dirosakkan lagi suasana dengan penipuan demi membela Najib? Maka jelas, pada mulanya ditekan supaya menggugurkan Tuan Haji Mohd. Sabu dan kemudiannya ditekan sekali lagi untuk menafikan berlakunya ugutan serta tekanan!

Dalam masa yang saman, penafian beliau menjadikan kenyataan Tuan Haji Mohd. Sabu seolah-olah tidak benar dan bermotifkan politik. Sedangkan merekalah yang berniat jahat dan mengugut penganjur demi kepentingan politik mereka dengan menipu membenarkan Najib serta menjadikan orang lain sebagai mangsa.

UMNO membuktikan sekali lagi bahawa ianya parti yang sentiasa berusaha untuk menipu rakyat dan menghalang kebenaran dari terserlah. Saya masih ingin menyertai walaupun misi ini walaupun ketika ini dikelilingi dengan pemainan politik, penipuan serta ketidak ikhlasan. iAllah saya akan ke Mekah pada petang ini (22 Jun) dan di hadapan Kaabah saya akan beristikharah mengenai penglibatan saya dalam misi ini. Misinya penting seperti yang saya sebutkan di atas, namun tidak perlu saya terlibat sekiranya ia bermatlamatkan kepentingan politik UMNO dan untuk dijadikan hujjah untuk menipu rakyat. Kononnya mereka membela rakyat Palestine sedangkan sumbangan mereka kepada APCO sebanyak RM 147 Juta dalam tempoh dua tahun amat disyukuri Israel.

Misi yang semulia ini tidak sepatutnya dicemari melalui putar-belit politik serta penipuan dan pembohongan seperti yang telah berlaku. Belum apa-apa lagi, ianya sudah jelas, misi LL4G (2) tidak akan seperti yang pertama. Sebenarnya, Flotilla pertama dahulu tidak diambil tahu pun oleh pihak kerajaan BN sehinggalah apa yang telah berlaku. Sekembalinya mereka, maka mereka disambut oleh Najib dan segala kepura-puraan bermula selepas itu. Cuma bezanya pada kali ini, ianya bermula dari awal lagi.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Anonymous said…
Innallaha maa' sobirin.. sesungguhnya Allah bersama orang2 yang sabar.. Y.B... sebenarnya Allah sedang memperlihatkan keburukan dn kemunafikan mereka di hadpn masyarakat yang bertamadun. sehebat mana mereka menipu dan memputarbelitkan rakyat. semakin mereka menuju kehancuran, insya-Allah yang bathil pasti tenggelam dengan yang hak..

truskan perjuangan.. syurga adalah ganjaran paling hebat utk kita Umat Muslimin..
Anonymous said…
YB, tolong selidik kat orang2 Pakatan samada betui ke cerita berkaitan Raja Petra ini.

http://wikiislam.net/wiki/Raja_Petra_Kamarudin_(former_Muslim)
Anonymous said…
baru cerah skit otak nie...tengok TV susah nak faham coz laporan main sekerat2...sokong YB,sokong Palestin dalam setiap sudut & setiap masa tidak semata2 menyertai flotila.
mamat said…
takyah nak dolak dalih la YB...kalau dah pasang niat tu pegi jela. Bukannye rugi kalau YB pegi, pahala pula dpt.
Nak pening kepala fikir pasal politik bodoh malaysia ni apasal??
ke...YB takut dgn israel tu...heheh
Anonymous said…
Setuju dgn EN. Mamat.
YB kita ni berdolak dalih kata PM tak nak dtg kalau Mat Sabu bagi ucapan. Pada aku ini semua hearsay je. Takkan la PM dah confirm datang tetiba Mat Sabu nak bagi ucapan PM tak jadi dtg. Biol la dpt PM mcm tu. Tapi lagi biol dpt MP Shah Alam yg tak nak pegi lagi berdolak dalih.

Masalahnya..kalau aku jadi PM pun aku tak nak Mat Sabu bagi ucapan..bukan sebab politik..tapi sebab Mat Sabu itu sendiri.

Jauh panggang drp api la YB. Cammon la YB. Positive sikit. Jangan sebab NGO punya program YB kata UMNO dah politikkan tapi YB pun apa kurangnya? Tulis dlm blog pasal ni adakah itu bukan politik?
Anonymous said…
Inilah masalah fahaman politik Malaysia. Semua hal kehidupan di Malaysia mesti melalui politik. Walau pun badan NGO! Saya juga melalui suasana yang serupa bila sebahagian AJK drp sebuah ngo berat kepada sesebuah parti, maka ada program yang sukar dijalankan. Sungguh pelik kita sebagai manusia di Malaysia ini, bermusuhan parti politik kalau boleh biar sampai ke lubang kubur. Sungguh sangat sedih sebenarnya.... kita belum matang oleh pendidikan dan ilmu seperti di negara barat. Waktu pilihan raya kita bersaing undi. Selepas pilihan raya kita perlu bekerjasama membangun negara. Bukankah begitu selayaknya kita sebagai rakyat yang maju negara dan terdidik masyarakatnya.
Anonymous said…
Memang PM tu biol... tu pong tak tau kerrr

To YB

stay coolz brader :)

we lose some n win some... n Allah will count we win always klao kena ngan niat n cara Nya...

wassalam
rezz said…
low class mentaliti la lu YB!
Anonymous said…
semua NGO Muslim yang merintis LL4G untuk menjayakan Flotilla II telah menarik diri, sah politik. Elakkan diri anda daripada ditunggangi oleh politik lakonan UMNO menjelang PRU 13. Lnik :
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/3991-ngo-muslim-tarik-diri-dari-sertai-flotilla-ii
Serious Shepherd said…
Salam.

Kalau YB pergi sekali kan bagus. Boleh buat benda2 berikut:

-Mengingatkan YB BN pasal pintu Rafah yang baru dibuka beberapa minggu lepas, hasil pentadbiran baru Mesir yang terbina daripada demonstrasi jalan raya

-Mengajak YB BN supaya mengiktiraf pentadbiran Hamas di Gaza

-Mengingatkan YB BN pasal sekatan 3 batu nautika untuk mendapat royalti minyak, oops, menangkap ikan yang dikenakan terhadap penduduk Gaza

Oh, dah terlepas kapal pun. Tapi takpelah. Lepas ni tanyalah YB BN soalan trivia: Siapakah Perdana Menteri Palestin? Kalau mereka jawab Ismail Haniyah, ajaklah perdana menteri tersebut datang melawat Malaysia dan disambut oleh Perdana Menteri Malaysia sendiri.
Anonymous said…
takut la aku nak pegi, kang kena tembak, Anwar jadi PM aku dalam kubur..

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.