Skip to main content

Coretan Muktamar Pas ke 57

Dari kedai kopi hingga ke Pak Menteri dan tidak ketinggalan juga yang masih merasakan dirinya Perdana Menteri; telah banyak yang diperkatakan oleh segenap lapisan masyarakat semenjak berakhirnya Muktamar PAS yang ke 57 pada hujung minggu yang lalu.

PROSES PEMILIHAN
Saya telah hadir ke Muktamar di Taman Melewar yang bermula pada Jumaat 3 Jun hingga Ahad 5 Jun pada sekitar jam 4 petang. Ucapan dasar yang disampaikan membentangkan konsep ‘Negara Berkebajikan’ dan ini didakwa sebagai bukti PAS telah menyimpang dari dasarnya. Yang mendakwa sedemikian adalah UMNO yang dari awal tidak memahami apa yang PAS perjuangkan! Ini akan saya ulas secara lanjut di bawah.

Pada sebelah petang, pengundian dijalankan sambil Minit Mesyuarat, Laporan Tahunan dan Laporan Kewangan 2010 dibentang untuk dibahas. Hakikatnya, ini merupakan agenda yang ditunggu-tunggu oleh ramai dan setelah selesai, ramai yang tidak sabar-sabar untuk tibanya esok hari kerana ingin mengetahui keputusan.

Amalan baru, ‘bidaah hasanah’, yang dilakukan pada tahun ini, setiap calon jawatan TP dan 3 NP telah melantik wakilnya untuk melihat proses perkiraan undi. Sambil itu, 5 orang lagi diambil secara rambang dari perwakilan untuk melihat proses tersebut bagi pihak calon AJK PAS Pusat. Bukan soal tidak percaya, tetapi untuk menentukan tiada fitnah yang dapat ditimbulkan lebih-lebih lagi oleh pihak lawan yang begitu kemaruk ingin memburuk-burukkan PAS dan mengadu-domba di kalangan ahli PAS.

Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik dan pada keesokan harinya, semua bergegas ke dewan muktamar dengan ada kedengaran bermacam-macam khabar angin. Saya juga turut ingin mendengar keputusan, lebih-lebih lagi untuk jawatan-jawatan tertinggi parti. Malangnya, jam 8.33 pagi saya menerima panggilan dari anak sahabat saya, Abdul Rahman Mayan, memberitahu bapanya baru sahaja meninggal dunia!

AL-MARHUM SAUDARA A. RAHMAN MAYAN
Semua yang bergiat dengan PAS Shah Alam mengenali A. Rahman Mayan. Beliau bergiat sebelum saya tiba di Shah Alam dan merupakan di antara penggerak utama PAS Shah Alam. Dewan restorannya di Temasya Food Court, semasa ianya disewa oleh Al-Marhum, sering digunakan untuk diadakan Mesyuarat Agung, Seminar dan Konvensyen. Beliau merupakan seorang periang, sangat-sangat murah hati dan penggerak yang komited. Beliau di antara pengasas Kelab Penyokong PAS yang sekarang ini telah dinaik taraf menjadi Dewan Himpunan Penyokong PAS. Keikhlasan orang seperti Al-Marhum sebenarnya adalah dorongan bagi diri saya sendiri. Hakikatnya, perjuangan ini panjang dan sukar, tidak mungkin ditanggung seorang diri. Dengan adanya orang-orang seperti Al-Marhum, yang berkorban tanpa mengharapkan balasan di duniawi, memberi suntikan semangat untuk kami terus berjuang.

Saya bergegas keluar dari dewan walaupun keputusan belum lagi diperolehi dan terus menuju ke rumah Al-Marhum. Ramai yang telah mula berkumpul. Saya sempat bertahlil ringkas dan membaca Yaa Siin dan sejurus selepas itu, jenazahnya dibawa ke Masjid An-Nahdah Seksyen 18. Saya diberi penghormatan mengimamkan salat jenazahnya dan selepas itu, dengan perasaan yang serba sebak, sempat juga menyampaikan kata-kata ringkas akan kebaikan Allahyarham.

Seterusnya kami mengiringi jenazahnya ke tanah perkuburan di Sek 21 dan sejurus itu berita berhubung keputusan pemilihan diterima melalui SMS. Keputusan pemilihan, termasuk bahawa saya juga telah dipilih, tidak mampu menyerikan suasana sedih yang menyelubungi kami ketika itu.

Ramai yang berkumpul di tanah perkuburan sehingga 3 khemah yang disediakan tidak cukup untuk menampung jumlah orang yang hadir. Al-Marhum dikenali dan disenangi ramai. Saya yakin tiada hutang yang ditinggalkan tetapi sebaliknya yang berhutang dengannya mungkin ada.

Jam 2 tengah hari, selepas makan tengahari, saya bersama sahabat kembali ke muktamar di Taman Melewar. Keputusan menunjukkan suatu line-up diperingkat tertinggi yang diluar dugaan. Ini kerana, ramai yang menganggap jawatan-jawatan tertinggi akan dimenangi oleh golongan berlatar belakang pendidikan agama secara rasmi. Akhirnya, jelas tidak begitu.

KEPUTUSAN PEMILIHAN
Seperti yang telah dijangkakan, pada keesokan harinya Utusan Malaysia melalak, “PAS menolak kepimpinan Ulama”. Apabila saya ditanya mengenai perkara ini, maka saya menjawab bahawa, “pemilihan adalah untuk pimpinan parti bukan pertandingan ‘Anugerah Ulama’ terbesar di dalam PAS’! Ianya pemilihan untuk memilih orang yang dianggap paling mampu membuat kerja tertentu. Dalam soal ini, Ulama’ atau bukan ulama’ tidak relevan. Yang relevan, siapa yang boleh membuat kerja-kerja berkenaan. Soal kepimpinan ulama’, ianya telah diinstitusikan dalam PAS melalui terbentuknya Majlis Syura Ulama’. Jika ingin memilih ahli Majlis Syura, barulah persoalan ulama’ atau tidak diambil kira”.

PAS sentiasa dibawah kepimpinan ulama’ dengan adanya Majlis Syura Ulama’. Inilah sebabnya perlembagaan PAS dipinda pada tahun 80an dahulu dan ditambah peruntukan ‘Majlis Syura Ulama’. Sebelum itu badan ini dengan kuasa-kuasanya tidak wujud. Yang wujud hanyalah Dewan Ulama’. Sekarang adanya Dewan Ulama’ dan Majlis Syura Ulama’. Majlis Syura inilah sebenarnya yang paling berpengaruh kerana ia memantau dan menentukan semua yang dilakukan PAS tidak bercanggah dengan Islam.

UMNO yang sendiri menangguhkan pemilihan parti, riuh mengenai pemilihan dalam PAS dan bagaimana kononnya PAS mengenepikan ulama’. Hendak termuntah membaca tulisan Utusan Malaysia, lidah tidak rasmi UMNO. Dalam UMNO, ulama di mana? Hanya Biro agama, sepertimana Biro sukan! Tidak segagah Pemuda dan Wanitanya. Malahan tenggelam bila dibanding dengan Puteri dan Puteranya (‘Puteri Putera’ – maklumlah UMNO ni golongan yang perasan Bangsawan!).

MUKA BARU!
Ada pula yang mengatakan, “dengan naiknya muka-muka baru ini, maka jelaslah satu perubahan menyeluruh telah berlaku dalam PAS!”.

Hmmmmmm... Muka baru? Eh sudah lupakah kita semua bahawa pada tahun 2009, jawatan Timbalan Presiden turut ditandingi. Mat Sabu, Husham dan Nasharuddin bertanding. Pada ketika itu, Nasharuddin menang dengan memperolehi lebih kurang 42% dari undi. Yang selebihnya dikongsi di antara Mat Sabu dan Husham. Kali ini, Mat pula yang menang dengan mendapat lebih kurang 40% undi majoriti, manakala bakinya dikongsi pula di antara Tuan Ibrahim dan Nasharuddin.

Husham pula bertanding untuk jawatan Naib Presiden dan beliau merupakan mantan Naib Presiden 2007 – 2009. Maka, mana ada muka baru itu? Bagi saya, semua muka yang sama termasuklah Idris Ahmad, Nik Amar dan Nizar. Nizar pada pemilihan yang lepas telah mendapat undi terbanyak apabila bertanding AJK PAS Pusat sesi 2009 – 2011 dan agak wajar ada yang ingin melihat beliau ke jawatan Naib Presiden. Idris Ahmad pula sebagai mantan Ketua Penerangan. Maka adalah wajar ada yang mencalonkan beliau untuk jawatan Naib Presiden. Begitu juga Nik Amar, orang lama, Exco Kerajaan Negeri Kelantan dan yang mencalonkan beliau mengambil-kira Kelantan telah lama diperintah PAS.

Seperti yang saya katakan tadi, tiada ‘muka baru’ hanya apa yang dilakukan perwakilan ialah memilih siapa yang dianggap mereka mampu meneraju parti untuk menghadapi PRU yang menjelang tiba. Ada yang menganggap orang ini, ada yang menganggap orang itu. Namun akhirnya, setelah diketahui keputusan, PAS akan kembali bersatu seperti biasa dan berhadapan dengan UMNO/BN sebagai sebuah parti yang mantap dan gagah. Hakikat ini turut difahami oleh UMNO.

Yang boleh dikatakan ‘muka baru’, seperti yang disebut DS Presiden, adalah saya dan Wahid Endut. Walaubagaimanapun, saya ini pun tidaklah baru sangat. Dari 1987 hingga 1993 saya pernah menjawat jawatan AJK PAS Pusat. Selepas 1993, saya tidak bertanding dan menumpu kepada usaha diperingkat cawangan dan kawasan. 1997 saya menjadi YDP Shah Alam dan menumpukan usaha di peringkat Kawasan dan Negeri Selangor. Seterusnya saya menjawat jawatan Ketua Penerangan, Bendahari dan akhirnya Timbalan Pesuruhjaya 2 Negeri iaitu dari 2003 sehingga 2008. Saya dicalonkan untuk jawatan AJK PAS Pusat semenjak 2007, bertandingan dan tidak dipilih sehinggalah pada tahun ini. Ini bermakna saya kembali ke peringkat Pusat selepas hampir 20 tahun! Sudah pasti bukan ‘muka baru’, sebenarnya yang lama itu jugalah!

Begitu juga YB Wahid Endut yang pernah bersama saya dahulu dalam Pemuda Pusat (1983 – 1989) dan seterusnya beliau menumpukan usaha beliau di peringkat Negeri. Menjadi ADUN dan MP Kuala Terengganu. Juga bukan ‘muka baru’, tetapi baru sahaja dipilih menjadi AJK PAS Pusat.

Bagi saya, pemilihan ini menzahirkan betapa ramainya calon yang layak memimpin PAS dan betapa kayanya PAS dengan pemimpin-pemimpin yang berpotensi! Jauh, jauh sangat bezanya dengan UMNO.

Bagi yang telah mengundi saya, saya ucapkan berbanyak terima kasih di atas kepercayaan tuan-tuan terhadap diri saya. Saya berharap tuan-tuan akan mendoakan supaya saya mampu melaksanakan tugas ini dengan sebaik mungkin.

NEGARA BERKEBAJIKAN DAN NEGARA ISLAM
Isu yang turut dilaung-laungkan ialah bahawa kononnya PAS sudah menggugurkan matlamat perjuangannya dan menerima matlamat perjuangan PKR dan DAP. Ini adalah kerana cogan kata yang digunakan PAS adalah ‘Negara Berkebajikan’ dan bukannya ‘Negara Islam’.

Hakikatnya, sekiranya ada parti politik yang ingin mengubah matlamat perjuangannya, ianya bukan dengan mengemukakan cogan-kata tertentu. Ianya mesti melalui pindaan perlembagaan parti tersebut. Selagimana perlembagaan tidak diubah, maka apa cogan kata sekalipun mesti ditafsir berdasarkan perlembagaan yang digunapakai.

Istilah ‘Negara Berkebajikan’ bagi ahli PAS ialah ‘sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah’ (Perlembagaan PAS fasal 5).

Istilah ‘Negara Berkebajikan’ digunapakai kerana ingin memberi penegasan kepada aspek kebajikan yang terjamin dalam sesebuah masyarakat yang sedemikian rupa. Istilah ‘Negara Islam’ tidak digunapakai kerana penekanan melalui istilah itu adalah hukum-hakam Islam, khususnya Hudud, seolah-olah itu sahajalah apa yang terdapat di dalam pemerintahan yang diinginkan PAS. Sedangkan hukum-hakam Islam, termasuk Hudud, adalah bertujuan untuk menghasilkan kebajikan kepada manusia! Termasuk dalam takrif ‘berkebajikan’ itu adalah keadilan, kebertanggung-jawaban dan keamanan.

Dalam erti-kata yang lain, istilah ‘Negara Berkebajikan’ membawa rakyat untuk melihat kepada hasil dan kesudahannya; sambil istilah ‘Negara Islam’ memperlihatkan mekanisma dan perundangannya.

Jikalau dirujuk di dalam Al-Quran, istilah yang masyhur yang terdapat di dalamnya adalah ‘Baldatun Tayyibatun wa Rabbul Ghafuur’ atau ‘Negara yang baik serta pengampunan dari Tuhan’. Ianya merupakan istilah yang menumpukan kepada persoalan hasil yang diinginkan dan hasil ini mampu menarik minat semua pihak.

Lagipun, semua yang mengaji memahami kaedah ‘Al-Hukmu yadurru ‘alal musamma laa ‘alal ismi’ atau ‘hukum (sesuatu perkara) bergantung kepada perkara yang dinamakan itu, bukan kepada namanya’. Dalam erti kata lain, ‘apa ada pada nama, yang penting adalah benda atau isinya!’

SETERUSNYA...
Saya yakin, semua yang kalah bertanding jawatan Timbalan dan Naib akan dilantik kembali. Tugas-tugasan akan diberi dan bahtera yang kita kenali sebagai PAS ini akan terus belayar dengan gagahnya. Tiada yang akan merajuk dan tiada yang akan kecewa kerana di dalam PAS, jawatan adalah sesuatu yang tidak dicari. Ianya amanah dan ianya tanggungan yang berat, lebih-lebih lagi di akhirat kelak.

Yang penting ialah untuk bersatu dan bersedia untuk menghadapi PRU. Rakyat mengharapkan kemenangan bagi PAS dan PR yang membawa kepada satu perubahan yang bersejarah. Saf pimpinan yang telah dipilih menggalas harapan ini.

Hanya satu teguran sampingan saya di sini, semoga Dewan Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) digunakan seterusnya untuk seminar yang sering dianjurkan PAS. Dan juga untuk Mesyuarat Agung Kawasan, tetapi tidak lagi untuk Muktamar Tahunan. Kerana ianya telah menjadi terlalu kecil dan PAS telah menjadi semakin besar.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

najahudin said…
A.Rahman Mayan.. pgatur kuliah Islam yg hebat.. tkilan aku setelah lebih 5 kali beliau hubungi utk tetap tarikh kuliah, sampai ke akhir hayat, aku tidak dpt mberikn tarikhnya.. aku yg kenal singkat tahu pgorbannnya, Allah Maha Tahu lebih tahu besar pgorbanannya utk Islam.. tazkiah utk keluarga tokoh hebat ini
PAS Australia... said…
Pada YB Khalid Samad dan seluruh saf kepimpinan di peringkat Pusat, Negeri, dan mana-mana kawasan/cawangan... Ucapan yg nabi ajar > Siiru 'ala barokatillah.

Pergilah kamu melaksanakan amanah itu dgn mengharapkan keberkatan dari Allah.


Keduanya > Untuk kepimpinan PAS, pendokong dan penyokong mesti mampu bercakap, menerangkan dan berhujjah sekalipun kepada rakyat tentang konsep kebenaran & ke'adilan yg sangat diperjuangkan oleh Islam.

Itu dasar paling penting yg Islam turunkan melalui Rasulnya. PAS hanya meneruskan dasar yg Rasul ajar tersebut, bukan mereka-cipta sesuatu yg baru.

Ahli mesti sanggup berdepan dgn masyarakat menerangkan isu ini. Bukan setakat diharapkan kepimpinan sahaja. Kefahaman di kalangan ahli sgt penting agar mainan @ fitnah TV3, seperti malam tadi hampir 15min di mengutuk & menghina PAS, mampu dipatahkan.

UMNO, Utusan, TV3 dan puak2 itu tidak akan surut melemparkan fitnah dan menghina Islam. Mereka penat dan kita pun penat... Mereka mendapat habuan dunia. Tapi kena ingat kepenatan yg kita curahkan akan dapat "kededhoan Allah" semata, apa yg tidak mereka impikan [AQ].


Oleh itu, bagi ramai kalangan kepimpinan di pelbagai peringkat yg kerap berceramah dan berkulliyyah di surau/masjid, amanah di bahu kalian jauh lebih tinggi utk menjawab semula fitnah yg dilontarkan kepada Islam dgn istilah yg PAS gunakan sekarang ini. Jangan lepaskan peluang itu.

Walau ramai yg suka, seronok dan teruja sekalipun dengan pelbagai istilah yg kerap bermain di mulut sebelum ini (eg; khilafah, negara Islam, hudud & qisas, etc...), Ucapan Dasar Presiden baru-baru ini mengajak kita utk meletakkan keutamaan dalam gerakerja dan pemikiran kitya, i.e; mana yg lebih kita utamakan, "substances" dlm perjuangan Islam atau setakat retorik & teori yg masih gagal berpijak di bumi yg jelas.

Saya masih belum nampak mana2 pimpinan ada yg telah menulis dgn jelas tentang istilah "kebajikan" ini, melainkan di dalam blog pemimpin ini.

Jadi oleh itu, para bloggers dan penulis maya, saya harap turut sama menerangkan, dan terus menerangkan isu ini pada rakyat.

Sebagai da'ie (pendakwah) yg merupakan tanggungjawab SEMUA, kerja utama yg perlu dilakukan adalah utk terus menerang dan membentangkan hujjah yg Islam ajar. Jangan lagi terjerat dlm permainan suka menghukum dan melabel golongan tertentu yg sama-sama melaksanakan 'amal Islami.

Insya Allah jika ini dapat kita bersama lakukan, Islam dan perjuangannya akan lebih diterima oleh masyarakat Islam, dan yg bukan Islam.

Barulah pada masa tu kita tak segan lagi nak sebut "Islam for ALL"... we walk our talks!




Wallahu'alam.
Al-Faatihah!


p/s -

> Suntikan semangat perjuangan oleh Arwah Hj Rahman adalah suatu yg tersangat berharga buat warga Shah Alam, Selangor malah semua peringkat yg turut mengenali dia.

> Bagi ikhwah yg sempat bersama beliau, terus jadikan ruh Ikhlas & Istiqamah nya beliau dalam 'amal Islami ini sebagai pemangkin kerja Islam kita!
lan said…
Malu sebab sebagai warga Shah Alam, saya tidak mengenali arwah :(

Tahniah pada Yb atas kemenangan, memang ramai yg tertarik dengan gaya kerja & approach Yb

Dengan itu harapan saya dan mungkin orang lain agar mungkin suatu hari nanti dapat lihat Yb sendiri kemudi Pas Selangor.. We need someone like you, seriously!
lan said…
http://www.facebook.com/pages/Khalid-Samad-Sebagai-Pesuruhjaya-PAS-Selangor/189846081068162
greenbottle said…
SETINGGI TINGGI TAHNIAH YB!
tahniah kpd YB!

selamat memikul amanah.
abul a'la said…
Salam, kesilapan yg berlaku semasa muktamar. Pada pandangan ana yang sebenarnya mengikut konvensyen mesyuarat, ajk lama adalah utk tempoh 2009-2011 dan muktamar kali ini adalah untuk tahun 2011, maka selagi muktamar ini belum ditangguhkan oleh pengerusi tetap maka ajk2 tersebut belum terlucut jawatan mereka walaupun keputusan dah diumumkan.
Ajk yg baru pula adalah utk tempoh 2011-2013 dan hanya berkuatkuasa selepas muktamar ditangguhkan.
Sepatutnya Ustaz Nasa dan Dato Tuan Ibrahim terus duduk atas pentas hingga akhir dan diberi peluang utk membuat ucapan penggulungan pada akhir muktamar seperti biasa utk menjawap persoalan yg dibangkitkan yg ada hubungkait dgn tanggungjawap mereka selama setahun.
Proses pemilihan dan pengumuman boleh diadakan pada bila2 masa sewaktu muktamar dan ianya tidak menjejas kedudukan jawatan sehingga muktamar ditangguhkan. Mat Sabu hanya sah jawatan timbalan selepas muktamar tangguh yg menandakan bermulanya sesi 2011-2013.
Adalah satu kesilapan bagi pengerusi tetap utk memanggil mereka yg menang utk duduk diatas pentas kerana jawatan mereka belum berkuatkuasa. Kita harap akan datang pengerusi tetap dihantar kursus untuk belajar konvensyen bermesyuarat (by-convention) kerana benda ni x de dlm perlembagaan. Kesilapan ini walaupun nampak REMEH bagi sesetengah pihak tapi sangat memalukan bagi sebuah parti yang dikatakan nak ganti UMNO. (seolah2 mcm mesyuarat agung cawangan je, tak reti konvensyen mesyuarat). wallah waalam
Ratu Cantik Yg Beriman said…
Salam sejahtera Tuan Khalid:

Sebuah rencana di Malaysian Insider dan Malaysiakini (versi BI) menyebut:

"Majlis syura tidak akan membenarkan Jawatankuasa Kerja Pusat menyimpang daripada dasar dan tujuan-tujuan parti seperti penubuhan negara Islam walaupun sejengkal. Dengan itu, soal puak profesional menidakkan atau melawan matlamat negara Islam tidak timbul sama sekali. Mereka perlu melangkah mayat majlis syura dahulu."

Dan...

"PAS's constitution Clause 3 to 8 are the embodiment of PAS's Islamic state goal. The unelected Syura Council ensures that the actions of all committees in PAS do not deviate from this goal. The same applies for the Islamic state of Iran. Mahathir Mohamad and Ibrahim Ali's allegations that PAS has abandoned its ambition to establish an Islamic state are baseless."

Tuan, PAS ni masih berpegang kepada tujuan mendirikan negara Islam seperti dulu, atau tidak?

Saya keliru. Rencana-rencana yang saya baca cakap 'Ya'. Mahathir cakap 'Tak'. Saya nak jawapan yang terus terang. Ya atau tidak?

Terima kasih.
Kit Siang said…
Apa ni Khalid?

"Facts about PAS and the Islamic State Issue", by Pak Sako.

From Malaysiakini:

"PAS's constitution Clause 3 to 8 are the embodiment of PAS's Islamic state goal (highest law is Al-Quran, enacting Islamic values and policies in all spheres of nationhood, etc.)"

"The unelected Syura Council ensures that the actions of all committees in PAS do not deviate from this goal."

"The exact same applies for the Islamic state of Iran."

"Mahathir Mohamad and Ibrahim Ali's allegations that PAS has abandoned its ambition to establish an Islamic state are baseless."

To read more, click on the link above...
Anonymous said…
PAS for me anytime. Its time for PAS to lead PR. And should PR takes Putrajaya come 13GE, our new PM and DPM should all come from PAS.
Mae said…
Negara Islam tak ada dalam Quran. Negara Kebajikan juga tidak disebut dalam Quran. Kedua-duanya istilah ciptaan manusia.
Anonymous said…
Bukan soal tidak percaya, tetapi untuk menentukan tiada fitnah yang dapat ditimbulkan lebih-lebih lagi oleh pihak lawan yang begitu kemaruk ingin memburuk-burukkan PAS dan mengadu-domba di kalangan ahli PAS ----->>> hahahaha... sekarang cakap camnie... masa pemilihan dulu, yang duk cakap ada penipuan pengiraan undi tu bukan kawan-kawan YB ker...? maknanya kawan-kawan YB tu adalah pihak lawan yang begitu kemaruk ingin memburuk-burukkan PAS dan mengadu-domba di kalangan ahli PAS...

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.