Skip to main content

Beberapa Pengajaran dari Pilihanraya Sarawak

Ada di kalangan penyokong tegar UMNO/BN yang masih ingin menipu diri sendiri dengan mengatakan bahawa BN mencapai kemenangan cemerlang di Sarawak. Tidak mengapa, biarkan mereka dengan labu-labunya. Menipu diri mungkin di antara ‘hak asasi manusia’ mengikut kitab perjuangan mereka. Bagi PR, kita memahami bahawa keputusan Pilihan Raya Sarawak merupakan keputusan yang terburuk bagi BN selama 24 tahun. Selain menunjukkan peralihan sokongan dan kesedian masyarakat Sarawak menimbangkan alternatif selain dari BN, ianya telah juga menzahirkan perpecahan di antara BN Pusat dan BN Sarawak.

BN Sarawak berdiri teguh bersama Taib yang ingin meletak jawatan ‘selepas beberapa tahun’. BN Pusat bersama Najib, yang ingin Taib meletak jawatan segera sebaik sahaja selepas Pilihan Raya. Namun BN Pusat tidak mampu memaksa keputusan tersebut tanpa sokongan BN Sarawak, kerana kedudukan kerajaan BN Pusat itu sendiri akan terjejas! Ini menunjukkan kelicikan Taib dalam mengharamkan UMNO di Sarawak.

Bagi PR, keputusan Pilihan Raya sememangnya boleh dibanggakan. Walaupun hanya mendapat 15 kerusi dan 1 kerusi pergi kepada pihak bebas, ianya tetap satu pencapaian yang membanggakan. Ini adalah kerana selama ini pihak ‘pembangkang’ di Negeri Sarawak hanya mendapat 8 kerusi. Keadaan ini lebih jelas apabila dilihat dari sudut jumlah undi yang telah diperolehi secara keseluruhan. BN hanya mendapat 55.6% dari jumlah undi keseluruhan dan PR memperolehi 44%. Ini merupakan peningkatan jumlah undi yang memberangsangkan dan dari sudut jumlah undi, yang secara tidak langsungnya telah menafikan sokongan 2/3 rakyat Sarawak kepada BN.

Bagi PAS yang tidak menang walaupun 1 kerusi, tidak juga dapat dinafikan, peningkatan sokongan telah berjaya dizahirkan. PAS bertanding di 5 kerusi, 4 darinya buat kali pertama dalam sejarah PAS. Di kerusi Beting Maro yang PAS tandingi pada 2006, jumlah undi telah meningkat dan majoriti BN dipotong lebih dari separuh! Pada 2006, jumlah undi sebanyak 4,697 tanpa dikira undi rosak, BN dapat 2,796 undi, PAS 1,901. Majoriti BN adalah sebanyak 895. Dalam Pilihan Raya 2011, jumlah undi adalah sebanyak 5,747 tanpa dikira undi rosak, BN dapat 3,069 undi, PAS 2,678. Majoriti BN hanya 391!

Pencapaian PAS di Tanjong Datu, Muara Tuang, Sadong Jaya dan Sebuyau juga memberangsangkan memandangkan ianya kali pertama PAS bertanding di kerusi-kerusi berkenaan.

Namun prestasi PR dalam Pilihan Raya Sarawak sebenarnya boleh lebih cemerlang sekiranya beberapa perkara ditangani dengan baik. Saya telah berkempen di Sarawak di antara 3 – 6 Mac di Miri dan pada 11 – 14 di Kuching. Saya melihat kelemahan-kelemahan PR adalah seperti berikut:

  1. Setiap parti berkempen secara bersendirian tanpa adanya penekanan dan strategi yang sama. Di kawasan-kawasan PAS, hanya bendera PAS kelihatan dan walaupun ada diturunkan penceramah DAP dan PKR pada masa-masa tertentu, identiti PR tidak menyerlah. Ini menjadi lebih parah apabila tiada risalah-risalah yang dikeluarkan oleh PR untuk diedarkan di seluruh Negeri Sarawak. DAP dengan risalahnya, PKR dengan risalahnya dan PAS dengan risalahnya.
  2. Tiada suatu pendekatan yang bersepadu yang diselaraskan di mana objektif penglibatan PR dinyatakan secara jelas. Ada yang sebut ianya adalah untuk menafikan majoriti 2/3 BN dengan mengadakan pembangkang yang kuat, ada pula yang menyebut calon Ketua Menteri baru di bawah PR. Sekiranya matlamat PR adalah untuk memerintah Negeri Sarawak, maka satu Manifesto PR untuk Sarawak perlu dikemukakan. Malangnya, setahu saya, tiada manifesto disediakan untuk tatapan masyarakat Sarawak. Ketidakselarian ini menyebabkan pengundi keliru.
Sekiranya PR bergerak dengan cara yang lebih bersepadu dengan penyelarasan yang lebih rapi, besar kemungkinan prestasi dan keputusan yang lebih baik akan dapat diperolehi. Tetapi, PR sebenarnya tidak perlu gusar, PRU menanti dan pada masa itu, PR boleh menentukan kelemahan yang sepertimana disebut di atas, dapat diatasi, bukan sahaja di Sarawak tetapi di seluruh negara, insyaAllah.

Yang penting, ‘fixed deposit BN’ telah mula dibolosi dan simpanannya semakin berkurangan. Sebahagiannya telah mula mengalir ke simpanan PR!

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Sarikei said…
PR perlu menonjolkan teladan negeri2 yang makmur bawah mereka terutama Selangor dan P.Pinang.

Sebagai penduduk Sarawak saya ingin menikmati keistimewaan seperti yang dialamai oleh rakyat Selangor terutama tentang pemberian2 insentif.
Anonymous said…
pas yg dapat telor ayam di sarawak awak kata kata org BN tipu diri sendiri.. ka ka ka ka
Anonymous said…
"Setiap parti berkempen secara bersendirian tanpa adanya penekanan dan strategi yang sama."

Orang Melayu yakin kebolehan PAS tetapi lansung tak percaya DAP. Kami orang Melayu hanya nampak DAP dan PKR mempergunakan PAS. Sebab itulah DAP dan PKR nampak peluang, mereka tinggalkan PAS berkempen bersendirian di Sarawak. Malangnya pemimpin PAS yang tak sedar tetapi kebanyakan Melayu nampak amat jelasPAS dipergunakan oleh PKR dan DAP. Sebab kebanyakan kami orang biasa bukannya orang politik.

YB pernah bersekolah dan dibesarkan di kawasan kejiranan majoriti kaum Cina? YB pernah kerja syarikat majoriti kaum Cina? Kalau tak pernah, tanyalah rakan-rakan YB yang mempunyai pengalaman. Jangan tanya seorang dua, tanyalah seberapa ramai yang boleh untuk dapat gambaran jelas.

Ikutlah AlQuran yang jelas menyatakan orang beriman ambilah rakan karib dikalangan orang beriman. Keimanan seseorang Muslim Allah Yang Lebih Mengetahui. Tetapi yang pasti ialah orang kafir bukan golongan orang beriman.

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.