Skip to main content

Golongan Sekular Dalam PAS?

Menjelang Muktamar PAS tahun ini, kedengaran desas-desus kononnya perlu diadakan usaha untuk menjatuhkan ‘golongan Sekular’ dari jawatan-jawatan tinggi Parti. Saya yakin, desas-desus sebegini dimulakan oleh golongan dari luar parti yang ingin mengadu-domba ahli-ahli PAS yang bertujuan untuk melemahkan kesatuan dan perpaduannya. Bagi orang PAS, seruan yang sebegitu sudah pasti tidak masuk akal.

Ini adalah kerana ‘Golongan Sekular’ adalah golongan yang berpegang pada prinsip bahawa agama dan politik tidak ada hubung kait di antara satu sama lain. Agama adalah soal peribadi sedangkan politik adalah urusan Negara dan masyarakat, iaitu kehidupan orang ramai, bukan peribadi. Seseorang yang berfahaman sekular tidak akan menyertai PAS! Ini adalah kerana PAS adalah parti politik yang berasaskan prinsip keagamaan dan berjuang supaya prinsip dan ajaran agama digunapakai dalam politik, iaitu dalam arena kenegaraan dan kemasyarakatan, bukan dalam kehidupan peribadi sahaja.

Seseorang yang menjadi ahli PAS sudah pasti menerima perlembagaannya dan dengan itu terbukti tidak berkefahaman sekular walaupun dia bukan dari latar-belakang pendidikan agama. Walaupun institusi pendidikan agama, samada sistem pondok atau sekolah agama lain termasuk sekolah agama kebangsaan merupakan gedung dan benteng pertahanan ilmu keagamaan, namun tidak ada kelompok yang memiliki monopoli ke atas ilmu itu. Dengan rahmat Allah, Ilmu agama itu boleh diperolehi seseorang yang ingin mencarinya. Ia boleh diperolehi melalui beberapa kaedah apabila seseorang mempunyai kesedaran dan keinsafan tentang kewujudan Allah dan tugas dirinya sebagai seorang Muslim.

Kesedaran dan keinsafan ini pula tiada siapa yang mempunyai kuasa untuk menghadirkannya di dalam dada seseorang, melainkan Allah.
Hidayah adalah milik Allah dan Dia boleh berikan kepada sesiapa yang Dia ingini. Itulah sebabnya kita melihat bagaimana ada yang berpendidikan agama, tetapi ilmu mereka digunakan untuk mempertahankan kebathilan. Ada pula yang berlatar-belakang pendidikan ‘sekular’, tetapi mereka berusaha mempelajari agama Islam dan berdiri teguh bersama parti Islam menentang kebathilan.
“Allah tambahkan (hidayah) bagi mereka yang mengikut hidayah..” (Surah Maryam ayat 76)
Keadaan ini adalah mengikut kehendak Allah.
‘Apabila Allah inginkan kebaikan bagi seseorang, Dia berikannya kefahaman tentang agama’, maksud Hadith.
Dan tiada siapa yang boleh halang kehendak Allah. Walaupun individu tersebut tidak pernah kakinya berpijak ke dalam sekolah pondok mahupun sekolah agama tetapi sekiranya itulah kehendak Allah, berdasarkan ilmuNya, maka tiada yang boleh menghalangNya. Maka akan dilihat individu tersebut berusaha mempelajari agama Islam melalui berbagai cara dan kaedah, jalan yang jauh lebih mencabar dan tidak tersusun elok baginya, kearah kefahaman kesyumulan dan kebenaran Islam. Namun sudah semestinya apa yang dipelajarinya melalui kitab-kitab ulama’ muktabar dirujuk kembali kepada golongan ulama’ yang turut mengajar isi kandung kitab-kitab tersebut di Masjid dan Surau serta program usrah. Ini menambah pentingnya mereka berada di dalam PAS, supaya rujukan itu dapat dilakukan dengan baik dan tepat. Celaan bahawa mereka tidak berguru dapat ditangkis dengan keterlibatan mereka dalam program sebegini di mana ilmu yang telah mereka perolehi dari nuqaba’ mereka dan secara talaki dapat diimbas kembali.

Kemantapan ilmu yang diperolehi akan terbukti dari amalan dan percakapan dan sekiranya dinyatakan sesuatu maka hendaklah kata-kata itu diterima atau ditolak berdasarkan hujjah dan bukan berdasarkan alasan, ‘dia bukan dari latar-belakang sekolah pondok atau sekolah agama’. Sekiranya ada yang tidak tepat, maka hendak dibetulkan dengan mengemukakan hujjah yang menambahkan kefahaman dan bukan dengan celaan latar belakang seseorang. Pembetulan melalui penghujjahan membetulkan keadaan dengan baik, menambahkan kefahaman, sedangkan yang sebaliknya hanya menambahkan kekeliruan dan ketegangan.

Begitu juga hendaknya dengan kata-kata dari mereka yang berlatar-belakangkan pendidikan agama. Tidak semestinya semua yang dikatakan seseorang ustadz itu betul dan perlu diterima tanpa soal. Beliau tetap manusia dan tidak maksum maka lihatlah juga pada kekuatan hujjahnya.

Adalah perlu juga difahami bahawa ada banyak perkara yang terjatuh di bawah kategori pandangan dan bukan kategori hukum. Dalam soal pandangan, tidak semestinya pandangan seseorang ustadz lebih ‘afdal’ dari pandangan seseorang yang bukan ustadz dan begitulah juga sebaliknya. Sekiranya pandangan Rasulullah (SAW) sendiri boleh disoal dan dibincang dengan para sahabat, maka sudah pasti pandangan sesiapa sekalipun boleh disoal dan dibincang.

Sepertimana yang berlaku semasa peristiwa perang Badr (kedudukan tentera), perang Uhud (berperang di dalam atau di luar kota Medinah) dan perang Ahzab (cara untuk mendamaikan Bani Ghathafan). Malahan, dalam ketiga-tiga peristiwa yang disebutkan di atas, pandangan Rasulullah (SAW) telah ditolak dan tidak diguna-pakai. Bukan semuanya hukum dan sudah pasti, pada zaman kita ini, ianya bukan wahyu.

Namun apa yang penting ialah, setelah dibahas dan dibincang dan keputusan dibuat, maka hendaklah semua berpegang kepadanya.

Konsep “sami’na wa ata’na” dalam erti-kata kepatuhan membabi buta, bukan datangnya dari Islam tetapi dari fahaman diktator dan komunisma. Namun diakui, ada tempat dan ketika apabila kepatuhan sebegitu diperlukan, seperti semasa bertempur dengan musuh, namun seperti di dalama kisah Amar Al-‘As, selepas peperangan Dzatus Sulasil, tindakan beliau disoal dan penjelasan tetap diberi.

Amat tepatlah sekali dalam semua persoalan, samada hukum ataupun pandangan, sikap yang dirumuskan oleh Saidina Ali Karamallahu wajhah iaitu “Lihat pada apa yang dikata dan bukan siapa yang mengatakannya”.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Anonymous said…
pada pengamatan saya , PAS akhirnya akan menjadi Parti sekular. Hala tuju PAS menjurus kepada apa yg UMNO buat dahulu.Dulu PAS kata Wanita tak boleh bertanding tapi sekarang boleh.Dulu PAS kata tak ada kompromi dengan Parti bukan Islam, tapi sekarang PAS lebih teruk daripada UMNO berpakat dengan DAP yang terang terang anti islam. PAS kata boleh undi calon DAP,boleh undi Calon bukan islam. mempergunakan hukum,hadis dan quran untuk halalkan cara. dan saya yakin dan percaya akhirnya PAS akan gugurkan matlamat menubuhkan negara islam untuk meneruskan agenda menawan pemerintahan negara. Ini namanya tidak ikhlas . Cuba buat isthikarah adakah apa yang kome buat ini betul.Minta doa pada Allah apa yang PAS buat sekarang ini betul atau tidak.? Dulu UStadz ustadz PAS mengajar tak boleh bg ucapan Deepavalli, tak boleh pi Kuil hindu dab sebagainya tp sekarang pemimpin PAS pi Kuil kuil rasmi kan program depa (HJ Nizar) tolong tuang air bagi kat orang orang hindu angkat KAbbadi pada hari Thaipusam, pakai kalung dan macam macam lain. AWAS ALLAH akan Hukum KOME.
Anonymous said…
YB kata" Ini adalah kerana PAS adalah parti politik yang berasaskan prinsip keagamaan ..."

Memang PAS adalah berasaskan prinsip keagamaan tetapi itu adakah pengikiut dan pemimpin benar-benar mengamalkan prinsip Islam? Perincikan dahulu kepada rakyat adakah kerjasama PAS dan DAP benar-benar ikut prinsip Islam? Rakyat tak yakin YB. Cakap berkaitan Islam, budak kecik atau Lim Guan Eng pun boleh cakap tetapi nak amalkan tak tentu ramai yang betul kecuali hamba Allah yang mukhlasin. YB lihatlah apa yang PAS telah buat di Shah Alam dan Selangor sebelum nak kata PAS saja betul. Rakyat dah semakin sedar PAS hanya banyak bercakap.Sorry YB, saya semakin kurang yakin dengan kebolehan PAS.
Anonymous said…
andalah golongon sekular di dalam pas...rkyt semakin menjauhkn diri dgn pas...yg skong pas pon skrng xlg iklas dgn perjuangan islam...pas lebh byk mengikut kata org2 yg munafik(pkr) n kafirun(dap) drpd mengkut kata jemaah sndri..lambat laun perjuangan anda akn tersasar jauh...skrng ni rmai rkyt meliht perjuangan pas telah pon tersasar dr landasan sbnr dgn adanya manusia seperti ANDA!!!
Anonymous said…
PAS dulu lain, PAS sekarang ramai golongan spt YB.Golongan ini lah yg menghancurkan PAS. Sedih perjuangan Allahyarham Fadzil Noor sia2.Ramai golongan profesional muda dlm PAS yg menjadi Trojan Horse. Cthnya spt YB, Salehudin Ayub, Mahfuz Omar, Dr Dzul dan ramai lagi. Sebenarnya anda semualah golongan sekular. Ulama2 dlm PAS lama kelamaan akan hilang. Ini jelas Rasulluah SAW bersabda, "Salah satu tanda-tanda kiamat ialah Allah SWT mengangkat ke langit segala ilmu dengan matinya ulama yang soleh".Wallahu'alam.
Anonymous said…
Komen "anonymous" kat atas ni semua dari orang yang sama aje..cybertrooper UMNO agaknya!
Anonymous said…
Soalan cepumas.

1-Pas boleh perintah Malaysia ke kalau tolak golongan sekular?

2-Sekular Pas sama dgn Sekular UMNO ke?

3-Akan menyusul...
lan said…
boleh jadi trooper barangkali

Saya fikir Pas menyesuaikan mengikut zaman dan situasi politik negara

Saya secara jujur merasakan kemampuan Pas boleh diuji jika ia di masa depan bersendirian tanpa perlu terikat dengan Pkr atau DAP

Tapi buat masa ini, ketiga-tiga mereka berjuang pada dasar yang sama iaitu untuk cegah kemungkaran yang telah bertahun dibuat oleh kerajaan UMNO dan cuba untuk tegakkan nilai-nilai yang baik dalam pentadbiran, bidang ekonomi dan lain-lain
lan said…
Golongan ulama di dalam Pas akan sentiasa ada atas kedudukan mereka di dalam Syura. Jadi tak timbul isu golongan2 Pas yang profesional akan ambil alih Pas dsb
Anonymous said…
ahli PAS adalah puak yang terlatih samada secara langsung @ tak langsung,mereka sekilas air tahu sekular & tak sekular.Dalam PAS saya tegaskan kita tak main sekular2 nie....setiap lapisan pimpinan dalam PAS tak de sekular sebab sekular kontra dgn Islam.Tu sebab saya sokong PAS.
Anonymous said…
saya sokong kata2 YB ini 100% malah 200%, jgn biarkan org yg perasan beragama lebih, membuli golongan profesional yg bukan jurusan agama kerana:-

hidayah drp Allah, tak mustahil org profesional bidang bukan agama lebih memahami agama, malah ketaatan pd Allah lebih drp ustaz2, kita pergi majlis ilmu, masing2 dpt kepahaman berbeza2 walaupun majlis yg sama.

lebih2 lagi IKHLAS, hanya Allah yg tahu, org yg ikhlas hatinya bersih maka penilaiannya juga bersih ikhlas kerana Allah semata-mata.

sebaliknya hati yg tak ikhlas mudah termakan tipudaya syaitan. sebab tu jadi dengki, conquer kat dia sorang, x nampak kebaikan org lain macam dia lebih baik drp org...

teruskan uasaha YB, kami mendoakan yg terbaik buat pas, semoga pemimpin yg ikhlas dan dinamik dan faham selok-belok berpolitik akan terpilih...

BUKAN yg jumud, taksub membabi buta, buta sejarah serta buta berstategi dan mudah masuk perangkap musuh. mudah2an Allah melindungi parti drp meraka ini.

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.