Skip to main content

Respon Pengunjung Februari (Bahagian I)

Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih atas kesemua komen yang telah disampaikan melalui blog ini. Saya mohon maaf kerana tidak dapat respon kepada semua, tetapi hanya kepada beberapa komen yang saya rasa memerlukan respon seperti berikut:

KOMEN 1
Alhamdulillah YB telah tampil ke depan memberi sokongan kepada rakan PR dalam kes saman ini. Tapi saya ragu sekiranya menimpa sesama ahli Jemaah adakah YB akan memberi sokongan.

Lihat dalam kes Nasrudin, Ketua Pemuda YB orang yang mula-mula beri komen tanpa merujuk dahulu kepada beliau adakah penyataan tersebut benar atau sebaliknya. Ambil terus berita dari akhbar. Inilah perangai YB dari dulu hingga sekarang yang hanya membina keunggulan peribadi lebih dari Jemaah. Wallahu'alam

Dalam kes Ust. Nasaruddin, sebenarnya komen saya, apabila ditanya wartawan, adalah, “agak pelik sekiranya dia (Nasaruddin) menyatakan begitu kerana dia tidak merupakan anggota mana-mana kerajaan Negeri” tetapi ianya di’spin’ untuk memberi gambaran bahawa saya mengecam beliau. Saya ditanya perkara ini semasa membuat sidang akhbar bersama YB Dr. Mariah dan beberapa YB lain berhubung kes YB Suhaimi dan MPSJ.

Seterusnya saya ditanya pula samada soal sambutan ‘Valentines day’ dibincang dalam mesyuarat Lujnah Politik Pusat dan saya menjawab “tidak”. Jawapan ini juga ditokok tambah sehingga mengambil bentuk saya membidas Ust Nasaruddin dengan mengatakan ianya pandangan peribadi beliau. Seterusnya bila ditanya berhubung ‘crackdown’, saya menjawab tiada ‘crackdown’ tetapi apa yang akan dilakukan adalah operasi biasa yang dilakukan pemuda PAS di mana mereka akan mendekati pemuda-pemudi yang sedang ‘coupling’ dan menasihati mereka secara baik. Perkara ini disambut oleh YB Dr. Mariah dan beliau memberikan penjelasan tambahan berhubung bagaimana operasi sebegitu biasa dilakukan.

Saya rasa yang penting adalah kesedaran bahawa media cuba mencorakkan imej yang tertentu bagi setiap pemimpin. Bagi Ust. Nasaruddin, imej yang ‘konservatif’ dan saya, imej yang ‘liberal’. Seterusnya mereka ingin memberikan gambaran bahawa kami bertelagah dan ini dilakukan dengan di’spin’ kenyataan-kenyataan kami. Saya harap saudara memahami bahawa bukan sekadar kenyataan Ust. Nasaruddin boleh diputar-belit, kenyataan saya pun begitu.

Dalam soal ingin membina keunggulan peribadi lebih dari jemaah, saya memahami bahawa saya tidak mampu melakukan apa-apa seorang diri tanpa adanya jemaah. Oleh itu tanggapan saudara adalah merupakan persepsi peribadi saudara sendiri dan apa yang saya ingin lakukan adalah untuk membina imej PAS sebagai parti yang berasaskan ajaran Islam di mana Islam mengambil kira persoalan waqi’ dan suasana dalam mencorakkan sesuatu sikap dan tindakan.

KOMEN 2
Bukan mahu mengutuk, cuma mahu berbincang. Bercakap tentang pembentukan masyarakat Islam dan hubungannya dengan PAS.

Saya lihat PAS dulu dan sekarang amat jauh berbeza. Dahulu, PAS merupakan sebuah parti yang tidak akan berkompromi berkaitan perkara Islam. Tapi kini, PAS sudah semakin ‘lembut’.

PAS kini lebih mendengar kata DAP dan PKR dalam perkara berkaitan Islam. Ianya amat menyedihkan umat Islam di negera ini.

Apa yang lebih menyedihkan adalah Anwar Ibrahim yang mahu melantik Lim Kit Siang sebagai TPM. Adakah pemimpin Islam dalam PAS tidak layak untuk memegang jawatan tersebut? Mengapa pemimpin PAS tidak diberi peluang?

Saya rasa pemimpin PAS perlu memikirkan kembali perjuangan Islam. Kini, rakyat sudah menyedari perkara ini dan tidak lagi menyokong PAS. PAS sudah tewas di beberapa PRK dan mungkin menemui nasib sama di Merlimau.

Sebenarnya PAS tidak berubah. Yang berubah adalah keadaan dan suasana yang memerlukan penegasan yang berbeza. Dulu perkara yang sering ditegaskan adalah isu Aqeedah. Ini adalah kerana ummat Islam sering didengarkan kata-kata seperti “sistem perundangan Islam ketinggalan zaman”, “kalau Islam memerintah, maka akan habis batu-batu kerana merejam penzina sehingga tidak boleh bina jalan raya”, “perundangan Islam hanya sesuai untuk zaman dulu dan suasana padang pasir” dan banyak lagi yang seumpamanya.

Dalam suasana begitu maka PAS mengambil pendekatan tegas kerana ianya melibatkan persoalan aqeedah. Dalam persoalan aqeedah memang tiada kompromi. PAS menegaskan bahawa mempertikaikan hukum Allah boleh membawa kepada kekufuran. Sering ceramah-ceramah PAS membawa isu batas-batas iman dan kufur kerana itulah keperluan pada ketika itu.

Sekarang, Alhamdulillah, secara umumnya tiada yang sanggup mengeluarkan kata-kata begitu. Persoalan yang ditumpukan sekarang adalah persoalan memperluaskan kefahaman. Dalam keadaan ini maka kefahaman terhadap matlamat disebalik perjuangan Islam, seperti keadilan, urus tadbir baik (good governance), pembebasan dari rasuah, menentang kezaliman dan prinsip siyasah syariyyah menjadi tumpuan dan diberikan penekanan. Namun semua ini diletakkan dalam konteks pengabdian diri kepada Allah dan mencari kereDhaanNya.

Soal mengikut kehendak DAP dan PKR tidak timbul sama sekali. Aspek mana yang diperjuangkan oleh PR bercanggah dengan Islam tetapi diterima PAS sebagai kompromi demi politik? Adakah urus tadbir baik bukan dari Islam, atau keadilan atau penentangan terhadap rasuah dan kezaliman? Kalau semua ini adalah yang dituntut Islam, maka bagaimana boleh dikatakan bahawa PAS mengikut kehendak DAP dan PKR? Tidakkah pihak yang mempertahankan rasuah dan penyelewengan sebaliknya yang patut dikutuk sebagai pembawa unsur yang tidak berlandaskan Islam dalam pemerintahan?

Dalam soal LKS menjadi TPM, ini merupakan dakyah UMNO/BN yang tidak berasas. DSAI tak pernah mengeluarkan kata-kata begitu kerana ianya tidak pernah dibincangkan di peringkat pimpinan PR. Akhirnya, siapa yang akan menjadi PM dan TPM bergantung kepada siapa menang dan berapa kerusi yang dimenangi oleh setiap parti. Berdasarkan kepada keputusan pilihanraya, maka satu konsensus perlu dicapai berhubung apa-apa jawatan.

Oleh itu, sekiranya ada yang ingin PAS memainkan peranan yang lebih besar dalam PR, mereka harus berusaha supaya PAS memenangi kerusi yang lebih. Adalah tidak masuk akal untuk seseorang menuntut PAS supaya memainkan peranan yang lebih utama tetapi pada masa yang sama berusaha untuk memenangkan UMNO.

PAS kalah di Galas melalui PRk. Kalau PRU, insyaAllah tidak mustahil PAS boleh menang balik kerusi berkenaan kerana PRk berbeza dengan PRU. Tenang, Merlimau dan Kerdau merupakan kerusi-kerusi yang dimenangi UMNO pada 2008. Sekiranya semuanya dimenangi UMNO/BN melalui PRk sekalipun, ianya bukan bukti kemerosotan sokongan terhadap PAS atau PR. Ianya hanya bukti bahawa PRk sukar dimenangi pihak selain BN.

bersambung...

WaLlahu 'Alam

KHALID SAMAD
Jazan, Saudi Arabia

Comments

Anonymous said…
mcm mana dgn Kuala Trengganu?
kawasan umno yg PAS boleh menang???
mungkin PAS trengganu lebih tersusun dan taktikal?? :)
Anonymous said…
Kalau PAS Terengganu lebih tersusun dan taktikal, maka PAS dah menang la ari tu...tu pun susah nak paham..

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.