Skip to main content

Pelantikan SUK Negeri Selangor

Ada yang beranggapan bahawa sekiranya Kerajaan Negeri akhirnya menerima perlantikan Khusrin sebagai SUK maka bantahan selama ini oleh PR tidak bermakna dan hanya membuang masa. Sebenarnya tanggapan sebegitu adalah tidak tepat sama sekali. Bantahan dilakukan bertujuan untuk menjelaskan kepada rakyat Selangor bahawa Khusrin bukan pilihan kerajaan Negeri tetapi sebaliknya adalah pilihan kerajaan Pusat. Beliau tidak dilihat sebagai calon terbaik oleh kerajaan Negeri tetapi oleh kerana kuasa Negeri, sepertimana kuasa Sultan, telah dirampas oleh Kerajaan Pusat, maka akhirnya perlantikan beliau tetap sah di sisi undang-undang. Oleh itu, sekiranya mutu kepimpinan beliau tidak sepertimana yang sepatutnya dan lanjutan dari itu mutu perkhidmatan awam merudum selepas beliau dilantik, maka rakyat mesti faham, ianya adalah kerana peranan yang dimainkan oleh peribadi yang diletakkan oleh kerajaan Pusat untuk memimpin kakitangan kerajaan di negeri Selangor. Ianya bukan atas kelemahan kerajaan Negeri itu sendiri.

Jawatan SUK adalah begitu penting kerana beliau merupakan ketua kepada semua kakitangan kerajaan di Negeri Selangor. Pegawai Daerah, Ketua-ketua jabatan semua melapor kepadanya. Oleh itu seorang yang dipilih untuk mengisi jawatan tersebut mesti mempunyai kemampuan dan kewibawaan untuk memimpin seluruh kakitangan kerajaan supaya segala program kerajaan Negeri dapat dilaksanakan dengan jayanya. Oleh kerana beliau tidak merupakan calon terbaik, mengikut penilaian kerajaan Negeri, maka perlantikan beliau dibantah.

Ianya dibantah supaya rakyat dapat melihat betapa kerajaan Negeri pilihan mereka ingin dipinggirkan oleh kerajaan Pusat. Ianya dibantah supaya rakyat memahami bahawa kerajaan Pusat ingin mengekang kejayaan dan kemampuan kerajaan negeri dengan meletak seorang yang kurang berupaya dalam jawatan yang sepenting itu. Ianya dibantah supaya rakyat memahami bagaimana kerajaan Pusat terus berusaha untuk menggagalkan cita-cita rakyat untuk melihat terbentuknya sebuah kerajaan yang cemerlang dicapai oleh PR.

Sehubungan dengan itu, maka akan menjadi jelas juga kepada semua bahawa sekiranya Negeri Selangor ingin membebaskan diri dari belenggu ketidak cekapan dan urus tadbir yang lembab, maka tidak memadai untuk rakyat memenangkan PR hanya di Negeri. Kemenangan mesti juga dicapai di peringkat Pusat.

Ada yang menganggap bahawa saya mempunyai agenda peribadi terhadap Khusrin. Sebenarnya tidak. Biar saya nyatakan di sini secara terus terang, sekiranya Khusrin merupakan pilihan pertama kerajaan Negeri, maka saya akan sokong perlantikan beliau. Pada ketika itu, sekiranya kerajaan Pusat ingin beliau diketepikan, maka saya pula yang akan menjadi orang yang pertama membelanya.

Namun, hakikatnya Khusrin bukan pilihan kerajaan Negeri. Beliau pilihan kerajaan Pusat. Mengapa kerajaan Pusat berdegil ingin meletakkan beliau di jawatan tersebut?, kita hanya mampu mengandaikan sebabnya. Tetapi bagi saya, sebabnya adalah jelas. Beliau telah berkhidmat dengan cemerlang untuk BN semasa beliau Pengarah JAIS. Segala yang dilakukan BN, termasuk solat hajat untuk kemenangan ‘Ustadz’ Kamal(anathan), diiyakannya dan segala yang dilakukan oleh PR dalam usaha membina hubungan yang lebih rapat di antara ummat Islam dan yang bukan Islam, dianggap derhaka dan menghina Islam. Sikap tidak profesional beliau menyebabkan beliau disayangi BN kerana itulah jenis pegawai yang dihargai oleh BN. Ia itu pegawai yang mengutamakan BN dari rakyat itu sendiri.

Namun, akhirnya dia tetap dilantik dan kerajaan Negeri serta Sultan sendiri tidak diberi kuasa atau hak untuk menolak perlantikan tersebut. Paling kurang, rakyat memahami dan akan turut memantau bersama setiap tingkah laku beliau. Dan sekiranya dia tidak cekap atau khianat, rakyat akan bersama kerajaan Negeri meminta supaya beliau ditukarkan.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Anonymous said…
YB, adalah salah menganggap rakyat begitu matang untuk faham permainan politiks. Yang penting Khusrin bukanlah pilihan Pakatan jadi dia tidaklah harus diterima. Sebarang keputusan yang bakal diambil hari akan menjejaskan PR dan MB.
Anonymous said…
Salam YB,

YB berkata,"Beliau pilihan kerajaan Pusat. Mengapa kerajaan Pusat berdegil ingin meletakkan beliau di jawatan tersebut?"

Betul kah? Kalau dilihat apa yg telah terjadi, kesimpulan yg boleh dibuat adalah Khusrin itu pilihan bersungguh-sungguh pihak istana dan kerajaan pusat cuma tumpang sekaki ambil peluang untuk mengacau. Opportunislah katakan.

Bagi orang mcm saya, keengganan kerajaan negeri/PR untuk 'recognize' hakikat itu dan mengatur langkah yg sesuai untuk menentang campurtangan istana itulah membuat saya agak cuak untuk bersimpati atau menyokong kerajaan negeri dalam isu ini. Macam mana hendak memperjuangkan Ketuanan Rakyat sekiranya masih takut untuk 'call a spade a spade'?

Kalau hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih. Tak kisah lah sama ada sudah pegang kuasa di peringkat federal atau pun negeri shj.

Salam hormat.
L_J said…
YB,

Saya bersetuju dengan YB berkenaan dua perkara: (1) Khusrin bukan calon terbaik ataupun pilihan PR; dan (2) walaupun begitu, perlantikan beliau tetap sah di sisi undang-undang.

Hatta, pembantahan perlantikannya walaupun wajar (untuk menunjukan bahawa beliau bukan calon terbaik ataupun pilihan PR), akhirnya dia tetap dilantik.

Akan tetapi, saya tidak dapat menafikan kenyataan Anonymous ((February 7, 2011 9:35 AM) bahawa “Khusrin itu pilihan bersungguh-sungguh pihak istana”!

Salam,

LJ
Anonymous said…
dah kalah tu mengaku je la.
buang masa ja...
Anonymous said…
Balak selangor Encik ! Balak Selangor Encik.MB ada kuasa meluluskan pemotongan balak bawah 18 inci sepekeliling.Kalau nak luluskan Khusrin cakap Tak boleh Tak boleh.Takde takungan air kat Ulu Yam.Banjir kilat K L nanti macam kat Hatyai.Hu wooh!
Anonymous said…
Kakitangan JUSA A dan JUSA B memang terkesan dengan lantikan Kusrin yg bertaraf JUSA C, jumping que secara mendadak.

Lantikan ini memang menimbulkan keresahan sesama kakitangan Kerajaan yg bertaraf JUSA. Lepas pencen Kusrin akan tahu langit dan bumi.

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.