Skip to main content

Respon Pengunjung: Isu Enakmen MPSJ

Ulasan saya berhubung isu enakmen MPSJ telah banyak menimbulkan reaksi dan perbahasan (Moderation on Alcohol Ban), (Mulakan Proses Pelaksanaan Islam Dengan Dakwah). Ada yang positif seperti pendapat Shazlan, Ahmad Azhar Wagiran, me.. , L_J, Abu Abdurrahman, kuzy, dan lain-lain; dan dalam masa yang sama banyak juga yang negatif. Ini tidak menghairankan kerana ramai, termasuk yang terlibat dalam gerakan Islam, selama ini hanya didedahkan kepada persoalan hukum, dan tidak kepada persoalan proses perubahan masyarakat, lebih-lebih lagi dari sudut pendekatan Al-Quran. Oleh itu mereka beranggapan pandangan dan pendekatan saya agak pelik atau ‘liberal’, walaupun saya menjelaskan peristiwa yang melibatkan Umar Abdul Aziz.

Saya ingin mengambil salah satu komen yang diterima, yang berbahasa Inggeris, sebagai contoh pemikiran sedemikian dan mengulasnya. Untuk memudahkan semua mengikuti perbahasan ini, saya telah menterjemahkan tulisan Anonymous ini ke Bahasa Malaysia. Biar saya mengulasnya perenggan demi perenggan.

KOMEN 1
YB Khalid,
Dalam usaha untuk menenangkan rakan politik bukan Islam kamu, penghujjahan kamu dipenuhi kesilapan. Saya akan senaraikan satu per satu:-

(i) Kamu katakan bahawa keputusan yang sebegitu akan menyebabkan orang Islam memberontak. Semenjak bila hukum Allah mengambil kira mereka yang kaki lawan? Bukankah itu intipati Islam? Untuk mengasingkan golongan beriman dari yang tidak melalui perlaksanaan hukum Allah? Kalau kita mengambil kira mereka yang menentang Hukum Allah, maka 99% dari hukum Syariat kena dibatalkan, atau ditunda perlaksanaannya seperti apa yang dilakukan kerajaan anda sekarang.

Apa yang saya sebut tiada kena mengena dengan soal menerangkan rakan politik bukan Islam. Ianya persoalan ‘Tadarruj’ atau berperingkat-peringkat yang merupakan proses yang digunapakai Al-Quran semasa membawa perubahan kepada masyarakat.

Hukum tetap hukum. Tiada yang mempertikaikan persoalan itu. Namun perlaksanaannya perlu dilakukan secara berperingkat bermula dengan mendidik masyarakat dahulu supaya mereka mampu menerima perubahan dengan baik.

Tidak, intipati Islam bukan untuk mengasingkan golongan beriman dari yang tidak. Sebaliknya intipati Islam adalah untuk menyeru manusia untuk memeluk agama Islam dan menghayatinya secara rela demi kebaikan diri mereka sendiri.

Sekiranya saudara memahami bahawa jiwa masyarakat telah jauh lari dari kehendak Islam sehingga 99% dari hukum syariat kena ‘dibatalkan’, maka semestinya saudara memahami bahawa satu proses pembetulan perlu dilakukan sebelum ianya dapat terlaksana. Atau saudara memang beranggapan bahawa syariat Islam ini sememangnya tidak boleh diterima manusia dan oleh itu mesti dipaksa ke atas manusia? Adakah itu yang dilakukan oleh Rasulullah? Sebenarnya Rasulullah (SAW) telah bersusah payah mendidik masyarakat akan kebenaran Islam dan betapa syariatnya adalah untuk kebaikan masyarakat itu sendiri. Atas keyakinan ini masyarakat Madinah menerimanya. Ianya tidak dipaksa ke atas masyarakat.

Sekiranya perjuangan Islam adalah untuk memaksa syariat Islam ke atas masyarakat maka Rasulullah (SAW) akan menerima tawaran menjadi raja yang ditawarkan oleh masyarakat Quraisy di Mekah. Setelah menjadi raja Baginda boleh secara licik dan bertipu helah memaksa sistem Islam ke atas masyarakat. Namun, Rasulullah tidak melakukan itu. Sebaliknya Baginda mencari sebuah masyarakat yang bersedia untuk menerima Islam dan sistemnya secara rela dan pencarian Baginda menghasilkan Hijrah ke Medina.

(ii) Kamu percaya bahawa masyarakat memerlukan lebih penerangan dan kesedaran. Bahagian mana dari aspek Haram dan Halal, YB Khalid, yang perlukan penerangan pada ketika ini? Maksud kamu masih ada orang Islam yang menganggap bahawa meminum arak dan menghidangkannya adalah haram? Tidak YB. Jangan menipu diri dan pengundi di kawasan kamu. Apa masyarakat perlukan adalah PENGUATKUASAAN dan bukan didikan/penerangan. Dan di situlah peranan kamu. Bukankah kamu dipilih untuk membuktikan Hudud (yang mana ini hanya merupakan 0.1% darinya) boleh dilaksanakan? Selepas memenangi kerusi anda, kamu tidak memenuhi kehendak pengundi kamu, sebaliknya kamu memenuhi kehendak Ronnie Liu.

Islam bukan sekadar hukum halal dan haram. Begitu juga masalah sekarang bukan sekadar persoalan penguatkuasaan. Islam meliputi soal aqeedah, kepercayaan dan amalan, bukan sekadar hukum. Masalah sekarang ialah masalah keyakinan dan kefahaman ummat Islam dan masyarakat umum terhadap Islam. Ini perlu diperbetulkan sebelum sistem Islam dapat dilaksanakan secara menyeluruh. Itulah sebabnya mengapa dewasa ini hukum yang jelas dan diketahui terus dilanggari. Keyakinan tidak boleh dipaksa. Ia perlu dipupuk dan dibina.

Inilah apa yang diusahakan oleh alim ulama’ dahulu, termasuk Al-Ghazali, apabila sistem kepercayaan Islam dicabar oleh golongan ‘filosof’(Greek philosophy). Mereka bukan meminta pemerintah menangkap dan memenjara golongan yang tercemar pemikiran mereka dengan filosof Yunani tetapi sebaliknya berhujjah sehingga kebenaran jelas dari kebathilan.

Begitu juga keadaan kita dewasa ini. Dengan bermaharajalelanya fahaman sekular dan materialis, alim ulama’ perlu membuktikan kebenaran Islam dan menyakinkan ummat Islam itu sendiri sehingga mereka menuntut supaya Islam dilaksanakan secara keseluruhannya.

Sebagai wakil rakyat Shah Alam, saya tidak dipilih untuk melaksanakan Hudud. Agak bercanggah pandangan saudara, pada satu ketika menyatakan 99% hukum syariat perlu dibatalkan kerana masyarakat tidak menyakininya dan selepas itu menyatakan saya dipilih untuk melaksanakan Hudud. Sekiranya itulah mandat saya, bererti bahawa masyarakat sudah memahami dan inginkan perlaksanaannya. Hakikatnya belum lagi tetapi itulah yang perlu kita usahakan bersama, mendidik dan menjelaskan kepada masyarakat sehingga keadaan yang seperti itu akan tercapai.

Proses mendidik ini lebih mudah sekiranya kita berkuasa dan inilah sebabnya kita melibatkan diri dalam arena politik. Sekiranya pihak lain yang berkuasa, mereka akan berusaha untuk meneruskan keadaan di mana masyarakat terus dikelirukan seperti yang sedia wujud pada hari ini. Oleh itu suasana dan keadaan tidak akan berubah, malah akan menjadi lebih parah.

(iii) Kamu juga menyebut sesuatu berhubung pilihan lain bagi orang Islam yang menghidang arak ini apabila mereka dihentikan kerja. Sinilah peranan kamu, YB. Apa yang kamu lakukan selama ini? Apakah kerajaan Selangor pimpinan orang Islam yang sering bercakap tentang perubahan lakukan selama ini? Mengapa kamu tidak mempunyai kekuatan ekonomi untuk menyediakan pekerjaan lain? Atau sekurang-kurangnya kamu bentangkan blueprint bagaimana kamu akan menyediakan pekerjaan alternatif.

Ya, inilah yang saya sebutkan sendiri. Apa yang perlu ialah perancangan, bukan sekadar satu luahan yang berlaku secara mengejut tanpa difikirkan masalah yang akan timbul. Dulu kita pembangkang, kita boleh sebut persoalan ini dan itu serta mendesak kerajaan mencari penyelesaian. Sekarang kita pemerintah. Kalau kita timbulkan sesuatu isu, seharusnya kita sudah sedia dengan penyelesaiannya.

Kaedah pengurusan Islam bukan ‘hendak buang air baru korek lubang’ atau lebih teruk, seperti sekarang, ‘dah buang air baru hendak korek lubang’. Sepatutnya kerajaan memikirkan kaedah perubahan ini terlebih dahulu dan melaksanakannya secara berperingkat. Persoalan ini sepatutnya dibincangkan bersama, termasuk dengan rakan-rakan politik kita di dalam PR. Sekiranya ianya dilakukan secara tersusun dan berperancangan, saya yakin tiada yang akan membantah. Bukan secara impromptu atau secara mengejut oleh mana-mana ‘maverick’ dalam PR.

Namun, yang terpenting ialah untuk mendatangkan kesedaran dan keinsafan di kalangan orang Islam sendiri supaya tiada yang perlu dipaksa.

(iv) Kamu menggunakan satu phrasa di sini, yang mendedahkan sikap tidak berTuhan(Godless) kamu. Kamu katakan “Keputusan sebegini akan hanya menggalakkan orang Islam, khususnya mereka yang merasakan tiada salahnya mereka bekerja di tempat yang menghidang arak untuk memberontak. Saya ulangi, “mereka yang merasakan tiada salahnya mereka bekerja di tempat yang menghidang arak”. Tu dia! Dalam satu ayat kamu mendedahkan sifat kamu yang sebenar. Jauh dilubuk hati kamu, kamu dah bersedia untuk melayani “mereka yang tidak merasa bersalah”.

Cuba kita panjangkan konsep ini kepada masyarakat sekular. “Kita patut biarkan sahaja mereka yang merasa tidak ada salahnya mereka gugurkan kandungan luar nikah mereka..” atau “Bagi yang merasa tidak ada salahnya memakan rasuah atau memberi rasuah, biarkan sahaja mereka”.

Mengapa pandangan sebegini ditolak? Kerana ia memberi gambaran bahawa dalam soal jenayah dan tindak tanduk yang terkutuk, seseorang itu mempunyai pilihan dan pihak berkuasa di dalam masyarakat tidak patut menyentuh mereka.

Maka sekiranya ianya tidak boleh diterima dalam sistem perundangan duniawi, bagaimana kamu boleh anggap YB, sistem perundang Allah boleh menerimanya?

Di sini saudara telah membawa satu andaian yang agak keterlaluan. Saya menyatakan keadaan yang wujud pada ketika ini adalah sebegitu. Ada orang Islam yang beranggapan tiada salahnya kerana bukan mereka yang minum dan sebagainya. Ada pula yang menganggap ianya masalah kecil. Ini adalah sebab mengapa mereka terus bekerja di tempat-tempat seperti itu. Ada yang mengatakan ini persoalan peribadi dan tak ada kena mengena dengan soal keimanan mereka. Itulah sebabnya kilang arak pun ada surau. Ini menggambarkan kecelaruan pemikiran dalam masyarakat. Pemikiran sedemikian rupa adalah hasil dari suasana kejahilan rakyat terhadap kebenaran dan kebaikan Islam.

Saya tidak berkata keadaan itu perlu dibiarkan sahaja. Saya hanya ingin semua memahami bahawa dalam kita ingin membawa perubahan, kita perlu memahami keadaan yang sedang wujud. Bila ianya difahami maka ianya dapat ditangani dengan baik.

Persoalan perlunya undang-undang dan perlunya pihak berkuasa bertindak ke atas mereka yang melakukan perbuatan terkutuk tidak pernah dipertikaikan. Hanya masalah yang dihadapi ialah masih ramai yang menganggap ianya perkara yang kurang terkutuk. Tidak seperti rasuah dan membunuh bayi hasil hubungan luar nikah. Dan inilah masalah yang perlu ditangani.

“Oh”, saya boleh dengar kamu berkata, “saya tak boleh mengambil kira orang Muslim sahaja, kerana sekarang ini saya YB kawasan ini. Kawasan saya ada orang Islam dan orang bukan Islam”. Err…tunggu sebentar. Bukankah itu apa yang dikatakan oleh pemimpin UMNO yang beragama Islam selama ini semenjak kemerdekaan. Hakikat bahawa mereka mewakili masyarakat berbilang kaum, sesuatu yang PAS mengkritik semenjak zaman tok kadok lagi dan menyatakan bahawa itulah bukti bahawa UMNO anti Islam?

UMNO mempunyai pendekatan lain. Mereka menganggap sistem Islam tidak sesuai untuk masyarakat majmuk. Oleh itu mereka menjadi pelopor pemikiran ‘politik suku agama suku’. Kalau dipanjangkan kepada persoalan yang lebih luas, agama ini soal hubungan kamu dengan tuhan. Soal keduniaan bukan urusan agama. Maknanya kerjalah di mana sahaja yang kamu hendak kerja tetapi sambil itu tentukan dalam hati kamu, kamu terus beriman kepada Allah. Hakikat bahawa kerja kamu bercanggah dengan tuntutan keimanan, itu soal lain. Allah Maha Pengampun kata mereka. Walaupun ianya benar, tetapi ianya di salah ertikan sehingga ke tahap mengharuskan maksiat. Merekalah di antara punca masalah yang kita hadapi dewasa ini.

PAS sebaliknya ingin membawa dasar Islam dalam pentadbiran masyarakat. Dalam hal ini kita yakin bahawa Islam boleh dan ianya sesuai. Namun kita perlu mengambil kira keadaan yang ada dan pemikiran yang tidak betul yang perlu kita perbetulkan dahulu. Pentadbiran Islam memerlukan sebuah masyarakat yang berkeyakinan akan kemampuan Islam sebelum ianya boleh terlaksana dengan sepenuhnya.

Tetapi isu penghidangan arak ini tidak menyentuh hak orang bukan Islam SAMA SEKALI! Hak mereka untuk membeli, menyediakan tempat atau meminum sehingga mereka mabuk tetap di benarkan. Kita hanya meletakkan hukum islam di tempat yang sepatutnya, ia itu orang Islam tidak sepatutnya menghidang arak, seperti yang diperintahkan Ar Rasul.

Ini adalah juga benar sekiranya ianya adalah seperti yang saudara katakan. Masalahnya keadaan sekarang tidak sebegitu. Kebanyakan pekerja, malangnya, adalah orang Islam dan majikan mereka sebahagiannya adalah orang bukan Islam. Mereka akan disaman dan perniagaan mereka disita. Oleh itu sebenarnya ianya ada kena mengena dengan mereka, sedangkan ianya masalah orang Islam. Oleh itu, ianya perlu dilaksanakan secara terancang dan bukan mengejut.

ITUUUUU pun kamu nak mempolitikkan isu dan menidakkan syariah semata-mata ianya datang dari parti berlainan? Alangkah bobroknya akhlak kamu, YB!

Bahagian ini saya agak kurang faham. Datang dari parti lain? Parti mana yang saudara maksudkan? Setahu saya ianya datang dari ahli majlis PR. Saya tidak menidakkan syariat. Sepertimana yang saya sebut, hukum tetap hukum. Saya juga bukan membantah kerana ianya datang dari pihak ‘lain’ kerana ia datang dari pihak PR juga. Saya hanya menjelaskan proses perubahan yang berhemah yang perlu diambil kira kerana kita sekarang pemerintah, bukan pembangkang.

Pada masa ini, yang menyedapkan hati kamu adalah kenyataan bahawa ketua kamu Nik Aziz-Hadi juga sama buta dan mabuk dengan kemanisan kemenangan pilihanraya. Kalau tidak, kamu perlu menganalisa kekosongan jiwa (soul searching) kamu YB.

Benci Arak
January 16, 2011 9:39 AM

Ya, terima kasih Anonymous atas teguran dan komen saudara. Bahagian terakhir saya tidak berhajat untuk mengulas.

KOMEN 2
Anonymous said...
YB, zaman Rasullulullah orang "baru" masuk Islam, jadi dilaksanakan secara berperingkat2. Larangan MPSJ kepada orang yang dah lama masuk Islam, pun YB tak setuju.? Sepatutnya PAS yang perjuang Islam no.1 sokonglah tetapi sebaliknya bersengkongkol. Apa beza PAS dengan UMNO?

Pemimpin PAS sungguh mendukacitakan.
January 16, 2011 11:47 AM

Zaman Rasulullah, walaupun mereka baru masuk Islam, namun mereka masuk dengan penuh kefahaman. Mereka sedar bahawa masuk Islam bererti membenarkan Islam mencorakkan hidup mereka sepenuhnya dan mereka berbaiah sehingga ke tahap sanggup mengorbankan nyawa dan harta benda mereka untuk Islam. Dalam keadaan kefahaman sebegitu sekalipun mereka tetap dibentuk secara berperingkat-peringkat.

Sekarang orang sudah lama Islam, lahir dalam Islam. Namun mereka tidak faham Islam. Kualiti Islam tidak dilihat dari sudut berapa lama sudah Islam. Sebaliknya yang dilihat adalah ketaqwaan dan ketaatan. Kalau dari sudut ini, masyarakat kita jauh ketinggalan dengan mereka yang ‘baru masuk Islam’ pada zaman Rasulullah.

Maka, kalau pada zaman Rasulullah pun ianya berperingkat-peringkat, walaupun kualiti mereka jauh lebih baik dari kita, takkan pada zaman kita hendak dipaksa sahaja secara mengejut?

Abu Razen2 bertanya mengenai ‘time frame’ atau jangka masa dakwah sebelum penguatkuasaan. Dalam perkara ini sukar untuk ditetapkan jangka masa. Ianya bukan bergantung kepada masa, tetapi sebaliknya penerimaan masyarakat, Islam dan bukan Islam dan perkembangan politik dari masa ke semasa. Nabi Noh berdakwah selama 500 tahun tetapi tidak berjaya kecuali dengan beberapa orang.

Apa yang penting ialah perundangan dan nilai-lain masyarakat mesti selari. Usaha dakwah kita ialah untuk membentuk pemikiran masyarakat dan nilai-nilai masyarakat sehingga masyarakat melihat apa yang keji di sisi Islam sebagai keji di sisi mereka. Itulah sebabnya PAS dikatakan harakah ‘dakwah was siyaasah’. Kita perlu terus berdakwah, memanfaatkan kedudukan berkuasa atau berkongsi kuasa untuk berdakwah dan pada masa yang sama memantapkan kedudukan kita di kalangan masyarakat. Kedudukan kita menjadi semakin mantap apabila semakin ramai memahami dan menyertai gerakan kita kearah menghayati Islam dengan sepenuhnya secara rela.

Petanda-petanda kesediaan masyarakat Islam itu sendiri adalah seperti penghayatan Islam oleh individu Muslim secara lebih menyeluruh. Ramainya di Masjid dan Surau pada waktu solat harian, kurangnya berlaku rasuah di kalangan ummat Islam, prihatinnya ummat Islam terhadap persoalan keadilan dan juga, penolakan dasar perkauman assobiyyah oleh ummat Islam. Ini semua menjadi petanda berlakunya perubahan dalam nilai-nilai masyarakat sehingga semakin selari dengan kehendak syariat Islam.

Dalam soal ini, usaha kita berhadapan dengan dua cabaran utama. Yang pertama, meyakinkan ummat Islam itu sendiri terhadap kebaikan Islam dan keadilan sistem perundangannya. Dalam kita mengusahakan ini kita perlu juga menjelaskan perkara yang sama kepada masyarakat bukan Islam. Kedua-dua kelompok manusia menjadi mad’u kita namun semestinya ummat Islam akan menjadi sasaran utama. Inilah cabaran yang amat sukar yang perlu diberikan tumpuan oleh semua. Sekiranya ummat Islam bersetuju untuk menerima syariat, maka cabaran pertama berjaya kita atasi.

Cabaran kedua adalah menyakinkan yang bukan Islam bahawa perlaksanaan syariat Islam adalah hanya ke atas orang Islam dan ianya adalah hak serta kehendak ummat Islam.
Sekiranya langkah pertama selesai, langkah kedua, saya yakin, insyaAllah amat mudah untuk dilaksanakan.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Anonymous said…
Pencerahan yg terang!
Syukran YB Ir Khalid Samad.

Wong Joe War May Rhu
jay said…
Thanks, crystal clear sir!
Anonymous said…
Persoalan dakwah, tarbiah dan pendekatan berperingkat hanya timbul bila mana keadaan yang terlampau rosak terlah berlaku. Andai kata, semua hukum syarak disebarluaskan seoptimum mungkin, sebagaimana tanggujawab zakat yang boleh dilihat terpampang dimana-mana, pihak Kerajaan Selangor dan PAS khususnya hanya perlu menyambung peringkat penguatkuasaan ini pada peringkat yang lebih lanjut.

Acuaan penerapan nilai syaarak sehingga kini tidak dapat dilihat sebagai suatu asas yang perkasa dalam ruang lingkup kerajaan dan masyarakat di Malaysia.

Dengan kata lain, PAS sehingga kini masih terbeban dengan pembersihan najis UMNO.

Dan yang paling menarik ialah, dalam kegawatan isu ini, masyarakat masih belum sedar akan perkara yang sama berlaku di seluruh Tanah Air, bahkan hanya isu MPSJ sebagai isu yang satu tanpa mempersoalkan Negara Malaysia secara keseluruhannya.

Oh, di kelab-kelab malam di Jalan P Ramlee, dari penajaga pintu, penyambut tetamu, bar-tender, pelayan bahkan kakitangan pengurusan terdiri dari kaum Melayu yang kemungkinan besar beragama Islam.
sgray said…
salam YB ,

Saya kira ulasan yang YB buat diatas lebih pada menegakkan benang basah dan cuba berselindung di balik kemunafikan.Hakikatnya respon anda lari dari isu yang dipersoalkan iaitu Hukum dan Islam.

Jangan lah menggunakan alasan berperingkat2 itu dengan zaman ini.Berselindung dengan sesuatu yang datang i,e hukum dizaman nabi dengan apa yang telah tersedai ada dalam kesempurnaanya (Al Quran)di masa ini , apa masih boleh diterima alasan yang bodoh sebegitu. Apakah dengan kemajuan dan keccanggihan zaman ini masyarakat Islam begitu bodoh..common..apa yang berlaku sebenarnya ialah korupsi minda.Cukup2 lah minda muslim diperlekehkan dengan kepalsuan tu..9menghalalkan cara)
Berpijaklah dibumi yang nyata.
kata nada masyarakat akan terkejut dengan undang2 Islam yang sedia ada memperlihatkan kedangakalan anda.
STOP BULLSHITTING YB..ingat2lah nyawa kepada pencipta..wallahuwa'lam
nasir said…
Saya harap kiranya YB Khalid tak perlulah melatah dalam isu MPSJ ini. Biarlah exco dan MB menyelesaikannya.

Sebenarnya sudah lama isu halal dan haram ini dan semua dah faham apatah lagi melibatkan arak . Kalau Hudud mungkin kita dapat katakan ianya masih dalam peringkat pencerahan dan penerangan . Tetapi berkenaan arak , GRO ini bukan lagi peringkat pencerahan . Apalah salahnya kalau arak itu dijual tanpa melibatkan muslim ? Nak tadarruj peringkat mana lagi dalam hal arak dan GRO ini. di mana konsep AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR bila kita berkuasa kita masih lagi dengan AMAR MAKRUF ? Lagipun bukan baru sebulan dua berkuasa dah hampir 3 tahun YB .

Kalau YB tak nampak ada rasional sepatutnya YB diam dahulu biarkan EXCO dan MB melaksanakan tugas mereka . Apakah semua bidang YB nak masuk campur ? apatah lagi apabila ianya melibatkan PESURUHJAYA sendiri .


Kata YB ,
Ini adalah juga benar sekiranya ianya adalah seperti yang saudara katakan. Masalahnya keadaan sekarang tidak sebegitu. Kebanyakan pekerja, malangnya, adalah orang Islam dan majikan mereka sebahagiannya adalah orang bukan Islam. Mereka akan disaman dan perniagaan mereka disita. Oleh itu sebenarnya ianya ada kena mengena dengan mereka, sedangkan ianya masalah orang Islam. Oleh itu, ianya perlu dilaksanakan secara terancang dan bukan mengejut.

Ya akhirnya takut kerana nanti Majikan Non Muslim tak dapat untung kerana tak dapat gaji pekerja melayu dalam premis menjual arak ? Berbelit2 . Akhirnya laksana UMNO atas nama dakwah maka biarlah pekerja muslim ni ada kesedaran sendiri untuk berhenti ? Apakah istimewanya arak sehingga perlu dijual di semua kedai ? Apakah YB sendiri tak yakin dengan pertolongan ALlah dalam melaksanakan perintahnya .

Lakukan dengan perancangan ?

sampai sekarang YB hanya bermain kata2 tanpa ada penerangan yang jelas . Kalau setakat tulis dakwah ..itu lah ajaran zaman mahathir dulu .
Anonymous said…
YB, I think what these people are trying to say is that lately, PAS has somewhat been a YES man for Pakatan, especially for DAP, a liberal party who don’t want to see Malaysia to be made as an Islamic country.

For PAS to hate UMNO because of the alleged accusation of corruption is still OK, but to befriend and agree with a party that CLEARLY rejects Islam is unheard of.

It’s kind of ironic that PAS, who said a lot of things about UMNO making friend with MCA and MIC, now taking orders from DAP.
Anonymous said…
sgray.... sy rs lbh baik kamu yg jd pemimpin... kte tgk blh tak kau mengubah masyarakat dgn perlaksanaan hukum secara mendadak.. plz... berkata biar secara realistik... bkn fantasi.. sedangkn utk membimbing seorg kwn ke jln Allah pn [perlukn pendekatan scara berperingkat, apatah lg utk mengubah mentaliti masayarakat... dn kenyataan nya mmg masyarakat islam zmn ni msh rmai yg jahil ttg islam
Kg Morten said…
YB, Asalamualaikum.

Mereka-mereka yang memberi komen negatif di atas mungkin terbatas akal mereka untuk memahami apa yang cuba diterangkan YB. Agaknya, mereka ini bila bab berstrategi jangka panjang dan menyusun gerak kerja mereka 'ada kureng'.

Bagi saya apa yang YB paparkan jelas dan tak lari dari apa yang Islam mahu.

Saya bekerja di luar negara dan dapat saksikan secara 'live' apa yang cuba diterangkan YB.

Mamat-mamat tanpanama (anonymous) hanya pandai mengomel dan menuduh itu ini (tak mereka fikir agaknya menuduh itu mungkin akan kembali kepada mereka jika ianya tidak benar).

Mereka ini mungkin lupa kita (termasuk YB, saya yakin) bukan menentang hukum Allah, tapi membincangkan cara terbaik dan terhikmah untuk memastikan hukum tersebut agung dan tidak diperlecehkan akibat dari kegopohan dan tanpa berencana jangka panjang mereka-mereka yang diamanahkan.
sgray said…
salam YB izinkan laluan..
Anon January 31, 2011 3:53 PM
,anon,… apakah hukum dan peraturan yang telah termaktub sekian lama di dalam Al QURAN [ lebih 1000tt tahun bro] dikatakan mendadak. Dimana rasionalnya. .. baru keluar dari pertapaan di Batu Caves ke. Yang rasionalnya kenapa mereka yang mengaku Islam ini berada dan mencari rezeki ditempat sebegitu.Apakah bukan contoh kemunafiqan, mereka 2 ini,mengaku penganut agama yang jelas melarang perkara2 tersebut,sehingga ada yang mempersoalkan dengan kehidupan harian,..(itu sama sahaja melabel Allah itu dzolim..apakah Allah itu dzolim atau kita yang menzalimi diri kita sendiri..fikir2kan bro.
Justru kejahilan masyarakat “Islam “ yang saperti anda maksudkan itulah makanya hukum itu wajar dan wajib dilaksanakan..Tiada yang baru dalam enakment MPSJ itu…rasanya standard aje..Apakah jabatan agama baru ditubohkan …yo!! kita dah merdeka 50tt tahun bro…mana lu pegi.
Komen saya kerana yang mengeluarkan kata2 adalah YB yang mengaku Muslim..KALAU sahaja YB bukan muslim saya tidak akan mempersoalkannya.[get what I mean]
Apa yang anda katakan sama sahaja dengan membiarkan maksiat berlaku dari mencegah..apakah tidak terfikir oleh anda yang ianya mengelirukan dan semakin menyesatkan.Apakah kita tahu bila kita kan mati.Any detik you boleh game bro..sebelum terlambat diingatkan.
Ikut atau tidak terpulang kepada anda.Hidayah hanya dari Allah atas sesiapa yang dikehendakinya.Namun sebagai muslim saya tetap mengatakan tindakan YB dan begitu juga alasan anda irreleven dengan isu.. [Yakni MENARIK BALIK LARANGAN bagi melarang dan mencegah umat Islam berkerja ditempat demikian..itu , ISU komen saya.
Islam adalah agama resmi Malysia dan mengatakan Ronnie tidak faham juga adalah kurang tepat..[he was not born yesterday BRO..]salah kerana memperlekehkan agama dan hukum Allah.
You don’t say halal when you tahu itu adalah haram…never.No excuse sekalipun dihukum pancung..lihat sahaja sejarah Bilal dan Sumaiyyah…dan banyak lagi…sedangkan mengharamkan yang halal di tegah Allah inikan pula yang jelas ditegahnya kita cuba menghalalkan …. fIkir2kan.
Shazlan said…
Salam,
YB,

I still think that a time frame is necessary. Without a target, you can't gauge how well have WE ALL (ingat, tanggungjawab da'wah bukan pada pemimpin sahaja tapi pada semua!) perform in educating the Muslims masses on this issue. At least, with the time frame, muslims yg terlibat + the majikans can plan and take action to meet the regulation timely and accordingly. An open ended time frame will only make people care less...

My two cents...

Wassalam
Anonymous said…
"Sebagai wakil rakyat Shah Alam, saya tidak dipilih untuk melaksanakan Hudud."

Eloklah YB mengucap semula...
Anonymous said…
Masing-masing ada hujah dan masing-masing inginkan Islam dilaksanakan secara syumul..cuma ada kata berpreringkat dengan memberikan kefahaman kepada rakyat dan ada yang mahu ia dilaksanakan segera. Ok mari kita sama2 berganding bahu untuk melaksanakan amanah yang diserahkan pada kita. Jangan jadi macam UMONO dan yang setaraf dengannya..dulu kini dan selamanya kosisten dalam menentang pelaksanaan Islam.50 tahun memerintah makin semarak judi arak dan lain2 kemungkaran. UMNO w/pun kadang2 nampak macam menyokong tapi hanya untuk mengabui mata pengundi. Tenang jadi contoh bagaimana UMNO membisu bila rakan merkeka menghina Cikgu Mala yang enggan bersalam dengan lelaki bukan muhrim.

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.