Skip to main content

Kisah Anak Pembesar Negara dan si Panglima Tua

Pada suatu hari, di sebuah Negara yang telah lama ditelan zaman, seorang Panglima tua telah diarahkan untuk menemani anak seorang pembesar Negara dalam perjalanan bersiar-siar di waktu petang. Kedua-dua mereka menunggang kuda. Panglima tua menunggang kuda yang telah berkali-kali dipacunya di medan perang. Anak pembesar Negara pula dengan kuda putihnya, cantik dengan pelana bertaburan baru permata.

Sambil menunggang kuda, di mana Panglima tua mengekori di belakangnnya, anak Pembesar Negara melihat ke kanan dan kiri, menikmati keindahan kawasan hijau hutan temperat di sekeliling mereka. Dia seorang yang muda, belasan tahun dan dibesarkan di dalam suasana yang serba mewah. Mukanya licin, telapak tangannya lembut, seperti kebiasaan mana-mana anak pembesar yang jarang membuat kerja keras. Panglima tua pula jauh berbeza, mukanya terukir dengan pengalaman zaman susah dan zaman perjuangan. Tangannya besar, kasar dan berparut. Perbezaan di antara mereka bagaikan bezanya zaman mewah dan zaman susah, zaman peperangan dan zaman perdamaian. Oleh yang demikian, perjalanan mereka pada hari itu merupakan satu perjalanan yang tanpa perbualan, kerana sukar untuk mencari tajuk yang boleh dibualkan bersama.

Secara tiba-tiba anak Pembesar berhenti sambil menunjuk ke arah se pohon pokok yang besar dan tinggi. “Lihat di situ”, katanya kepada Panglima tua. “Ada sesuatu yang berkilauan di atas dahan pokok itu”, katanya lagi sambil bergegas turun dari kuda tunggangannya.

Panglima tua pun mendongak ke atas, melihat dengan matanya yang sudah letih melihat segala kedurjanaan dunia serta tipu helah dan muslihat manusia. Ya, ada sesuatu yang berkilauan, jauh di atas hampir di puncak pokok tersebut. Dia menoleh pula ke anak pembesar Negara dan terkejut apabila mendapati bahawa dia sudah berada di bawah pokok berkenaan, menghentak-hentak kedua kakinya sambil melaung, “saya inginkan kamu, wahai yang berkilauan, mari, turunlah kamu ke pangkuan aku”. Anak pembesar Negara terus melaung dan merengek, menghentak-hentak kakinya, mendongak ke atas, langsung tidak menghiraukan si Panglima tua.

Si Panglima tua terfikir kepada dirinya sendiri, “Hmmm, mentang-mentang kamu anak Pembesar Negara, kamu ingat semua akan ikut kata-kata kamu?” Sambil menggeleng kepala, beliau turun dari kudanya dan melihat kepada pokok yang di atasnya terdapat barang berkilau tersebut. Panglima tua sedar bahawa sekiranya anak pembesar Negara tidak mendapat apa yang diinginkan, sudah pasti bapanya akan memarahinya. Itulah sebab mengapa mereka berada di sini, pada waktu yang sudah hampir senja, dalam cuaca yang semakin sejuk, semata-mata kerana itulah kehendak anak Pembesar Negara. Dan sepertimana kebiasanan, apa yang dihajatkannya, dia mesti dapat! Dan itulah tugas Panglima tua, untuk mendapat apa sahaja yang diinginkan budak yang terlalu dimanjakan oleh ayahnya.

Panglima tua melihat kepada pokok tersebut, betapa besarnya lilitan batang pokok itu, betapa kukuh kelihatan dahan-dahannya serta betapa licin permukaannya disebabkan lumut yang sudah mulai tumbuh. Beliau melihat ketinggian pokok berkenaan dan terpandang seolah-olah ada yang bergerak di atas sana. “Seekor burung agaknya”, katanya kepada dirinya sendiri. Tanpa berfikir panjang, Panglima tua membuka sebahagian dari pakaiannya, memasang tapak bergigi besi dikasutnya dan memegang sebilah pisau kontot di tangan kanan dan sebilah lagi di tangan kirinya. Pedangnya tetap berada di pinggangnya dan pada masa yang sama, dia meletakkan lilitan tali bagaikan selendang di bahunya.

Setelah membaca “Bismillah”, dia terus menuju ke pokok berkenaan dan memanjatnya. Pisau kontot digunanya untuk mendapat pegangan yang mantap dan kukuh sambil kasut bergigi besi menjamin beliau tidak tergelincir disebabkan kelicinan lumut.
Sambil Panglima tua memanjat, anak Pembesar Negara terus merengek di bawah sana. “Saya nakkan benda berkilau itu!” katanya sambil melompat-lompat bagaikan anak kecil yang mengamuk tidak mendapat gula-gula. Dia terus menangis sambil melambai-lambai tangannya dan meratib ayat yang sama berulang kali, “saya nakkan benda berkilau itu!”

Sambil itu Panglima tua terus memanjat sehingga ke peringkat pertengahan pokok tersebut tanpa menghiraukan rengekkan anak Pembesar yang berada di bawah. Dia melihat ke atas dan tersenyum, sambil berkata, “usaha memanjat kamu tidak sesukar yang dianggarkan semasa aku berada di bawah, wahai si pokok”. Seperti biasa, semua cabaran kelihatan sukar, sehingga kita usahakan secara terancang. Sejurus sahaja beliau berkata sedemikian, tiba-tiba ternampak seekor ular besar di sebelah kirinya. Selama ini ular itu bersembunyi di sebatang dahan yang rimbun yang ditutupi daun. Ular itu menyelar dengan cepat ke arahnya, melilit kaki kirinya, menuju ke badannya.

Anak Pembesar Negara yang melihat peristiwa ini terus menyahut, “Jangan apa-apakan ular tersebut! Ia penjaga benda yang berkilau. Berbaik-baiklah dengannya!” Sebaliknya Panglima tua tahu bahawa ular besar itu akan melilit tubuhnya dan mencengkamnya sehingga patah-patah tulang rusuknya. Selepas itu ular tersebut akan menelannya! Menyedari dirinya dalam bahaya, Panglima tua segera melepaskan pisau kontot yang di tangan kanannya dan dengan tangan yang sama, menghunuskan pedangnya dan memenggal kepala ular tersebut. Bangkai ular itu terlepas jatuh, terhempas ke bumi.

Anak Pembesar Negara terkejut mendengar bunyi terhempasnya bangkai ular berkenaan. Dia berhenti seketika, menggaru kepalanya. Dia segera pergi ke bangkai tersebut dan selepas beberapa saat, kembali merengek sambil berkata, “Apa yang kamu buat ini? Bukan ini yang aku inginkan wahai Panglima tua! Dahlah tua, bodoh pula! Aku inginkan benda yang berkilau itu! Marilah sini wahai yang berkilau. Indahnya kamu wahai yang berkilau ke biru-biruan dan ke hijau-hijauan! Marilah sini, aku inginkan kamu!”

Panglima tua tersentak dengan kata-kata kasar dan biadap anak Pembesar Negara. Namun memandangkan dia pun sudah hampir mencapai benda yang berkilauan tersebut, dia meneruskan usahanya. Bila tibanya ke puncak pokok dia mencapainya. Ianya seutas rantai emas yang mempunyai sebiji permata berlian yang besar. Dengan hati-hati dia mengikat rantai tersebut dengan tali yang dibawanya tadi dan menghulurkannya ke bawah, ke tangan anak Pembesar Negara yang terus menjerit keseronokan. “Ianya rantai yang mungkin telah diterbangkan ke sini oleh seekor burung. Mungkin diambilnya dari sebuah istana yang tidak jauh dari sini” fikir Panglima Tua. “Sudah pasti pemiliknya cuai dalam menyimpannya dan oleh itu ia disambar burung. Si anak pembesar Negara juga seorang yang cuai. Besar kemungkinana dia akan kehilangannya juga”, fikirnya lagi sambil tersenyum.

KESIMPULAN

Rantai emas berpermata berlian dalam kisah ini menggambarkan kepimpinan.
Anak Pembesar Negara adalah ahli, penyokong dan pemimpin PAS yang inginkan PAS memperolehi kepimpinan tersebut, khususnya memimpin PR, tetapi hanya mampu menuntut dan mendesak dengan seruan “PAS mesti memimpin PR, PAS mesti memimpin PR”. Mereka menganggap kepimpinan ini boleh dimilikki dengan begitu sahaja, iaitu dengan tuntutan, desakan dan tindakan merengek.

Panglima tua pula bolehlah diumpamakan sebagai ahli, penyokong dan pemimpin PAS yang memahami bahawa kepimpinan mesti dimilikki dengan usaha ‘memanjat pokok kehormatan’ yang di puncaknya terletak kepimpinan yang diinginkan. Memanjat pokok kehormatan ini bererti menawan hati rakyat melalui usaha dan tindakan sehingga PAS disanjung tinggi dan dihormati. Ini memungkinkan rantai emas berpermata berlian diperolehi. Untuk memanjatnya, PAS mesti mempunyai kelengkapan dan pendekatan yang tepat. PAS mesti sedar betapa licinnya permukaannya, mana dahan yang kukuh serta mana pula ranting yang rapuh. Silap pijak, maka akan terjatuh atau tergelincir kembali ke bawah. Pendirian dan prinsip yang dilaungkan mesti dizahirkan melalui amalan dan pendirian. Dalam masa yang sama ia mesti tepat dan tegas serta kukuh, seperti kukuhnya pisau kontot yang terpacak ke atas pokok tersebut, tidak berubah-ubah dan ‘flip flop’. Barulah rakyat akan percaya dan hormat apa yang diperjuangkan.

Ular yang menyelar dan ingin ‘bersatu’ dengan Panglima tua itu tidak lain dan tidak bukan ialah UMNO. Ular itu hanya mengendahkan Panglima tua apabila beliau sudah berjaya memanjat pokok ke tahap yang tinggi. Semasa Panglima tua di paras tanah, ular tersebut tidak menghiraukan beliau. Ianya samalah seperti UMNO. Hanya ingin ‘berkawan’ bila PAS sudah dipandang tinggi dan mencabar kedudukan mereka.

Walaupun anak Pembesar Negara meminta Panglima tua berbaik dengan ular berkenaan, kerana yakin ular itu adalah pemilik rantai tersebut, Panglima tua yang berpengalaman itu tahu bahawa rantai tersebut akan hanya dimiliki dengan memenggal kepala ular itu. Ada yang menganggap UMNO adalah pemilik kepimpinan Negara, buat selama-lamanya. Oleh itu, cara PAS untuk memiliki kepimpinan, mesti melalui berbaik-baik dengan UMNO. Sebenarnya UMNO yang menghalang PAS dari mencapai kepimpinan itu dan usaha bekerjasama dengan UMNO akan menghancurkan PAS, dari dalam dan dari luar.

Kesimpulan dan rumusan lain bolehlah tuan-tuan perolehi sendiri dari kisah di atas. Yang penting, harapan saya, biarlah PAS kekal merancang, berusaha dan bersabar sepertimana yang telah ditunjukkan oleh Panglima tua tersebut dan jangan sekali-kali tergopoh-gapah seperti anak pembesar Negara yang tidak memahami erti perjuangan.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Unknown said…
Salam,

cerita yang baik untuk di fikirkan , di perhatikan ,di kaji .

Tanpa bimbingan para Aulia dan Ahlullah kita akan berjuang untuk buat kebaikan atas nafsu amarah , lawamah atau mulhimmah.

kita rasa nak buat baik , nak buat kerana Allah tetapi kita jadi Nabi Adam terlalai kerana tak redha Allah nak hantar ke bumi sebagai penghuni Bumi.

Nak dan segala jenis nak lalu menjadikan kita leka dengan tipu daya Iblis
LibangLibu said…
Tuan Khalid,

mcm gitulah. sapa tak nak kuasa, berebut2.

mudah2an PAS kita akan stay mcm dolu-dolu. tak gelojoh, tara karut-marut.
proud to be a pas member said…
wonderful YB,saya baca dua kali,sebelum pun membaca kesimpulan tuana saya sudah pun buat kesimpulan yg sama spt tuan cuma saya lebih direct lagi,anak pembesar tu saya namakan dha.

saya bangga jadi ahli pas dan mempunyai pemimpin seperti saudara.
merahsilu99@gmail.com said…
YB Khalid,
Cerita klasik - plot, mesej & perwatakan terhubung dalam konteks semasa. Interpretasilah apa saja. Pointnya kuasa - cara memperolehi, mempertahan, menerus, mengurus & menggunakan kuasa/amanah.
Terpenting dalam jamaah, elakkan " Hubbul Riaasah" iaitu gila nak jadi ketua. Dalam konteks menyalah-gunakan kuasa "KETUA" dalam bentuk 'veto' tanpa keperdulian matlamat jamaah. Watak 'ketua' ini terdapat dalam mana2 jamaah dan mana2 zaman, ketua ini tak peduli kesan jangka panjang dan pendek kerana tindak-lakunya pada jamaah. Ketua pada ahli, pengikut, penyokong dan rakyat seluruhnya akan terus menilai setiap perwatakan, kerja & caragaya kepimpinan. Rakyat bukan lagi seperti ‘panglima tua’ yang patuh secara total dengan segala arahan ‘anak pembesar negara’.
Dan apakah alasan WALA’ kalimat keramat untuk menghalalkan segala tindakan ketua yang merugikan kelangsungan imej jamaah ?

Seksyen 18/40 Shah Alam
Budak Parit said…
Saya 100% bersetuju dengan anda. Ingatlah kisah perjuangan nabi Muhammad ketika pembesar Quraish menawarkan harta benda & pangkat supaya nabi meninggalkan seruan dakwah. Nabi memilih untuk terus berjuang dan mendapat kemenangan yang dijanjikan Allah. Saya merasakan supaya PAS terus istiqamah dan melupakan tawaran harta benda dan pangkat dari UMNO dan InsyaAllah akan diberikan kemenangan yang gilang gemilang!
Nizam said…
Salam YB... satu cerita yang baik. Ia akan jadi baik kepada mereka yang nak FAHAM. Akan tetapi cerita ini akan jadi cerita dongeng kepada mereka yang BUAT-BUAT TAK FAHAM. Sukar untuk mengawal EGO manusia walaupun mereka mengajar kita di dalam kuliahkuliah agama mereka. Ilmu mudah untuk disampaikan berbanding PERLAKSANAAN ilmu tersebut.

ACTION SPEAK LOUDER THAN WORDS...
iqra said…
Salam...Apa pun cara dan gaya utk menyampaikan atau mengkisahkan senario politik Malaysia yg penting ia blh difahami oleh pembacanya.

Pembaca pula tidak semestinya memahami isi cerita seperti mana hasrat atau tersirat dlm pemikiran penulisnya, lantas ia terbuka kpd bermacam2 bentuk komen yg pro mahu pun kontra.

Walau apa pun ceritanya, kehidupan ini adalah perjuangan yg berterusan, malah perjuangan ini telah bermula dari sejak masih di dlm rahim lagi di mana jutaan sperma berlumba dan berjuang dan akhirnya yg kuat saja akan berjaya lahir ke dunia ini.

Namun begitu perjuangan setelah lahir ke dunia adalah lebih mencabar dan rumit kerana kita diberi kebebasan memilih jalan sendiri walau pun telah di sediakan jalan yg benar, jelas dan lurus.

Maka bermulalah episod manusia menonjolkan watak kepimpinan mereka dan berjuang mengikut latar belakang persekitaran mereka sendiri.

Dalam membuat pilihan inilah ramai manusia yg keliru malah tersasar langsung tersesat jalan, ada yg sempat berpatah balik dan ada yg berakhir dgn kerugian yg nyata.
Berbalik pada cerita kelasik YB di atas, pemimpin, pengikut dan penyokong hendaklah memahami perjuangan sebenar.

Pemimpin yg baik dan bermutu hendaklah bermula dari bawah, maknanya seorang pemimpin hendaklah seorang pengikut dan penyokong yg kuat dan setia kpd sesuatu perjuangan itu, bukannya semata dari seorang anak kpd seorang pemimpin terus mempunyai kedudukan utk menjadi pemimpin.

Ketiga2 unsur seperti pemimpin, pengikut dan penyokong hendaklah sentiasa berilmu, beramal, bersabar dan berdisiplin dlm perjuangan mereka.

Pendidikan dan penerangan berterusan adalah penting dlm perjuangan, barulah pengikut dan penyokong faham, malah pemerhati juga akan faham isi dan asas perjuangan yg sebenar.

Harus di ingat seorang pejuang yg sebenar adalah dari golongan yg berilmu yg boleh menundukkan nafsunya terlebih dahulu sebelum boleh menjadi pemimpin, kerana biasanya golongan ini sudah cukup matang utk berfikir, beremosi, berdialog, berdiskusi, mempunyai pegangan hidup yg syumul, berhemah dan berhikmah.

Wallahu'alam...
Anonymous said…
Penduduk Quraisy menentang keras ajaran yang dibawa oleh baginda. Mereka memusuhi baginda dan para pengikut baginda termasuk Abu Lahab, bapa saudara baginda sendiri. Tidak pula bagi Abu Talib, dia selalu melindungi anak saudaranya itu namun dia sangat risau akan keselamatan Rasulullah memandangkan tentangan yang hebat dari kaum Quraisy itu. Lalu dia bertanya tentang rancangan Rasulullah seterusnya. Lantas jawab Rasulullah yang bermaksud:
“Wahai bapa saudaraku, andai matahari diletakkan diletakkan di tangan kiriku dan bulan di tangan kananku, agar aku menghentikan seruan ini, aku tidak akan menghentikannya sehingga agama Allah ini meluas ke segala penjuru atau aku binasa kerananya”

DIMANAKAH PERJUANGAN KITA SELAM INI ????
Anonymous said…
Salam, tahniah diucapkan kepada YB Khalid.

Ia satu kisah satira yg banyak mengandungi maklumat yg tersirat namun ia jelas kepada ahli-ahli PAS. Namun terdapat segelintir ahli PAS yg masih memegang kepada mitos bahawa yg kelihatan seperti ulama itu yg sesuai memimpin jamaah, berbanding individu yg dikatakan golongan profesional.
Mitos ini perlu di pecahkan oleh kita semua, namun ia perlu kepada kekuatan yg jitu.

kepimpinan suatu jamaah adalah berdasarkan pengalaman individu dalam jamaah itu sendiri, sejauhmana ia dapat konsisten dalam mengharungi liku-liku pedih, suka dan duka serta pengorbanan ketika susah berbanding ketika senang. Kita boleh lihat ketika ini bagaimana pemimpin yg ada sekarang adalah mereka yang masih baru berada dalam jamaah.

PAS pada peringkat awalnya sering menekankan permasalahan tarbiah, namun skrg tarbiah sekadar ungkapan manis bibir semata-mata. Tanpa mengikuti proses tarbiah, bagaimanamungkin individu tersebut boleh memegang kepimpinan, melainkan dengan cara lobi-melobi di kalangan jamaah.

Tarbiah dalam PAS mempunyai peringkat-peringkat atau fasa, selagi mana ahli dapat meneruskan tahap tarbiah maka mereka inilah yang sepatutnya dipilih sebagai kempimpinan. Namun hakikat kepimpinan dalam PAS sama ada peringkat cawangan, kawasan dan negeri, tidak melalui peringkat tarbiah yang sedia wujud dalam PAS. Mereka ini berpolitik untuk menjadi pemimpin, PAS merupakan parti politik, namun kepimpinan dalam PAS bukan dengan cara berpolitik (LOBI).

Mereka perlu mendalami tarbiah, dan tarbiah ini berjalan terus ketika susah dan senang, ketika kalah dan menang, ketika menjadi ahli jamaah atau pimpinan jemaah. Maka daripada peringkat tarbiah itulah ahli jamaah mesti patuh dan wala' terhadap pimpinan.Kerana dengan mendalami tarbiah inilah, nilai-nilai kepimpinan dapat dibentuk bagi memimpin jamaah.

Pimpinan PAS perlu senantiasa berada dalam kawasan serta cawangan. Pemimpin yang tiada jamaah bukanlah pimpinan yang sebenar-benar, mereka perlu berada dalam jamaah yang terpimpimpin maka itulah pemimpin yang memegang kepimpinan jamaah.
nasir said…
Yang asyik bercakap tak banyak bekerja itulah dia ...

yand asyik mengkritik dan membenci tanpa mahu bersaudara ...

Yang pendendam dan asik mencari salah silap orang ....

Semuanya dah cukup . Ntah apa kerja yang PAS tak lakukan . Ataupun PAS akan dilihat bekerja bila Pak Khalid yang menjadi PRESIDEN ?

Selama 52 tahun ini nampaknya PAS hanya tahu berkata2 nasib baiklah ada PR dan Anwar kalau tidak PAS memang hanya tahu berkokok .. tak begitu Pak Khalid.

Memperkukuhkan Jemaah atau nak Meruntuhkan ikatan Jemaah ?

Teruskan dengan agenda dendam selagimana tak dapat ke kerusi empuk PRESIDEN atau PJ ..
Anonymous said…
Aii dah lepas edah ni pandai pula bersastera. BTW good analogy tp puak ini bukannya faham cerita-cerita kiasan. Mau lanyak terus aje .....

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-