Skip to main content

Pemergian Ust. Hassan Shukri

Pada hari Isnin 14 Jun jam 2.30 petang, semasa saya di Parlimen, saya telah dimaklumkan akan berita mengenai Ust. Hassan Shukri yang telah kembali ke rahmatullah. Saya bersama Dato' KJ terus ke rumah Allahyarham dan tiba beberapa minit sebelum tibanya jenazah. Berkesempatan bertahlil bersama dengan orang ramai yang telah mula berkumpul dan kemudiannya bersolat Asar.

Pagi ini sekali lagi saya ke sana dan sempat untuk solat jenazah. Ramai yang telah berkumpul semasa saya tiba. Walaubagaimanapun, saya tidak sempat mengiringi jenazah ke tanah perkuburan kerana Parlimen bersidang hari ini.

Almarhum Ust. Hassan sering digelar 'kamus' PAS. Segala perincian berhubung perlembagaan PAS, ramai yang merujuk kepadanya dan begitu jugalah berhubung sejarah penubuhan PAS. Semasa saya digantung jawatan pada awal tahun ini, terdapat PAS Kawasan yang ingin menjemput saya merasmikan Mesyuarat Agung Kawasan, oleh itu pimpinan kawasan merujuk kepadanya. Bolehkah saya hadir atau sebaliknya? Ust Hassan menyatakan, "Mengapa tidak? Dia digantung jawatan bukan keahlian".

Semasa di akhir muktamar baru-baru ini, saya sempat bersalam dan berseloka dengannya. Saya nyatakan keinginan saya untuk menunjukkan deraf cadangan berhubung enakmen Negeri Selangor dalam soal tauliah dan orang bukan Islam kepadanya. Saya ingin mendapatkan pandangan beliau. Yang lain saya sudah e-mail tetapi saya tidak tahu emailnya. Beliau bersetuju untuk berjumpa pada minggu hadapan, tetapi malangnya tidak kesampaian.

Ust. Hassan merupakan seorang yang kehidupannya adalah PAS. Dari muda hingga ke akhir hayatnya. Sememangnya, ramai yang tahu akan perbezaan pendapat di antara saya dan Al-Marhum dalam beberapa hal - itu perkara biasa. Ianya bukan personal. Kedudukannya sebagai orang lama di dalam PAS, pemimpin dan pakar rujuk PAS, tiada yang dapat nafikan, lebih-lebih lagi saya.

Semasa saya mula menyertai PAS, hampir 30 tahun yang lepas, Al-marhum adalah di antara pemimpin yang sering saya kunjungi. Perbezaan pendapat tidak menghilangkan hormat saya terhadap seorang yang hidupnya adalah untuk perjuangan Islam dan kata-katanya untuk mengikhlaskan hidupnya untuk PAS dikotakan. Malahan, perbezaan pendapat inilah yang merupakan ujian terhadap wujudnya ukhuwah Islam yang sebenar.

Ya, kita boleh bersalam-salaman dan bermesra di antara satu sama lain apabila kita mempunyai pandangan yang sama. Tetapi apabila kita berbeza pendapat dan berhujjah satu sama lain, pada masa itulah ukhuwah kita ini benar-benar diuji. Samada benar, ikhlas dan mendalam, atau hanya berpura-pura.

Pemergian Ust. Hassan merupakan satu kehilangan bagi PAS. Semoga Allah mencucuri rohnya dengan keRahmatanNya dan menggolongkan Ust. Hassan segolongan dengan mereka yang diredhaiNya.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Ahmad Tajuddin said…
beruntungnya mereka yang meninggal dalam perjuangan...

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan...

Surat Terbuka Untuk Penduduk Seksyen 23

2hb September 2009 M 13 Ramadan 1430 H السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Kehadapan penduduk Seksyen 23 yang dihormati, Semoga surat ini menemui tuan-tuan dalam keadaan sihat wal afiat serta keimanan yang teguh dan jitu berkat bulan Ramadhan ini. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan diri saya serta tuan-tuan akan Firman Allah, Surah Al Maaidah ayat 8 yang bermaksud; “Bertindak adil! Ianya lebih rapat dengan keTaqwaan.” Semoga dalam usaha kita membina keTaqwaan dalam bulan Ramadhan ini, kita mengingati hakikat bahawa ‘keTaqwaan’ yang diusahakan itu mempunyai hubungan rapat dengan keadilan. Keadilan ini pula perlu dilaksanakan terhadap semua, walaupun terhadap yang tidak disenangi. Ini ditegaskan di dalam ayat yang sama yang bermaksud, “dan jangan oleh kerana kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil…” Kalau terhadap kaum yang dibenci sekalipun dituntut keadilan, apatah lagi terhadap jiran sekampung dan warga sekota? Walaupun mereka tidak sebangsa...

Tapak Kuil Seksyen 23 Shah Alam

Baru-baru ini, banyak betul yang kita dengar berhubung isu tapak kuil yang dicadangkan di Seksyen 23, Shah Alam. Yang tahu, yang tak tahu dan yang buat-buat tahu, semuanya turut sama mengemukakan pandangan masing-masing. Di antaranya, pandangan Noh Omar yang menyatakan bagaimana kerajaan PR tidak peka terhadap sensitiviti umat Islam. Oleh itu, bagi mereka yang ingin tahu, izinkan saya menceritakan serba sedikit perkara sebenar berkenaan isu ini. Tapak Kuil yang dicadangkan adalah di kawasan Industri, lebih 200 meter dari kawasan perumahan. Sebuah Kuil yang sekarang ini berada di Seksyen 19 akan dipindahkan ke tapak baru yang dicadangkan ini. Di Seksyen 19, kuil berkenaan hanya berjarak 20 kaki dari kawasan perumahan! Buka pintu rumah, seberang jalan terdapat kuil. Sebenarnya, kuil Seksyen 19 telah berada di situ sejak zaman sebelum wujudnya Shah Alam lagi. Pada masa itu kawasan di mana kuil tersebut dibina dinamakan Ladang Sungai Renggam. Apabila PKNS ambil-alih, maka dijadikan kawas...