Skip to main content

Perutusan Sempena Dua Tahun Pakatan Rakyat [TGNA]

Selama ini kita tidak berfikir untuk menyebar Islam kepada bukan Islam. Selama ini tok-tok guru pondok kita hanya menyebar Islam sesama orang Islam. Meskipun PAS menolak pendekatan perpaduan dengan Umno, bukan bermakna PAS mengenepikan tanggungjawab menyebar Islam. Sebenarnya, perpaduan melalui Pakatan Rakyat telah membuka ruang bagi PAS menyampaikan kebaikan Islam kepada pemimpin dan ahli parti Pakatan Rakyat yang bukan Islam.

Sebaliknya, PAS ada alasan dan sebab-musababnya kenapa menolak perpaduan dengan Umno. Antaranya,

1) Perjuangan Umno sebenarnya amat dhalalah (sesat sesesatnya), kerana menolak Islam dan mengasingkan politik dengan agama. Kesan menolak Islam itulah, banyak pihak tidak faham Islam, termasuk rakan kita yang bukan Islam.

2) Tindak tanduk Umno jelas mengkhianati perjuangan Islam, khususnya terhadap PAS. Berpandukan pengalaman lepas, PAS pernah membuat persetujuan masuk BN, maka ada yang menyokong dan menentang, sehingga ada kecelaruan dan munculnya golongan yang menentang kemasukan PAS dalam BN, seperti mana munculnya Bebas Bersatu sebagai serpihan PAS. Akibatnya lagi muncul pula Berjasa ketika PAS diambang kekalahan selepas diganyang Umno melalui peristiwa darurat 1977. Semuanya adalah nilai dan kesan pengorbanan besar PAS atas semata-mata ingin bersama Umno. Namun, pengorbanan itu tidak dihargai oleh Umno. Malah, PAS telah ditendang keluar. Ia sungguh perit bagi PAS untuk berbaik semula dengan Umno atau masuk balik BN.

3) Oleh sebab itu, PAS rela dan menyatakan komitmen tinggi bersama mengukuhkan perpaduan Pakatan Rakyat.

4) Begitu pula, semenjak pilihan raya umum 2008 lalu sampai ke hari ini, Umno menuduh PAS sebagai boneka DAP. Sedangkan apa yang berlaku di Pulau Pinang sebelum ini, Umno yang mendapat kuasa majoriti. Pun begitu, pemimpin parti Gerakan yang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Jelas, dalam keadaan itu, meletakkan kedudukan Umno sebagai parti yang menjadi kuda tunggangan (boneka) parti Gerakan. Di samping tidak kurang pula, ada sejumlah kerusi yang sepatutnya Umno bertanding (di kawasan majoriti Melayu), tetapi secara tidak beradab telah menyerahkan kepada pemimpin Gerakan, MCA dan MIC bertanding dengan alasan, kononnya ia simbol permuafakatan kuasa dalam BN.

5) Sekarang PAS dilihat berjaya bersama Pakatan Rakyat. Ia suatu perkembangan baik, memandangkan dulu PAS sendiri rela tidak berkawan dengan DAP, kerana ada pemimpinnya yang menyerang Islam. Sebaliknya sekarang, para pemimpin DAP termasuk Karpal Singh tidak lagi menyerang Islam. Malah berlaku perkembangan yang agak baik apabila sudah ada kalangan pemimpin Pakatan Rakyat (termasuk DAP) sudah mula pandai baca Al-Quran dan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan DAP di Pulau Pinang sudah berani berikrar mengambil contoh gaya pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz. Sedangkan Gerakan, MCA dan MIC begitu lama (sejak merdeka) bersama Umno dalam BN, mereka itu tetap tidak faham-faham agama Islam.

Jadi, bersempena dengan dua tahun usia Pakatan Rakyat ini, sukacita kiranya para pemimpin dan pendukung perjuangan Pakatan Rakyat dapat menguatkan lagi tekad ke arah membina perpaduan dan persefahaman serta keyakinan agar terus utuh di atas prinsip keadilan untuk semua rakyat. Ini kerana prinsip tersebut adalah sejajar dengan ajaran Islam yang mengutamakan keadilan untuk semua kaum di negara.

Sehubungan dengan itu, demi mengukuhkan lagi Pakatan Rakyat dan bagi mempersiapkan diri mendepani banyak lagi cabaran mendatang, maka pihak PAS sewajarnya mengadakan satu seminar atas isu ”hak-hak bukan Islam di dalam pemerintahan berteraskan Islam” bersempena Muktamar PAS akan datang.

Ada baiknya seminar itu dapat menjadikan tulisan As-Syeikh Dr. Yusoff al-Qaradhawi, bertajuk ”Ghairul muslimin fil mujtama’ul-Islami” sebagai bahan rujukan penting untuk perbincangan. Mungkin dengan penganugerahan tokoh Maal Hijrah 1431 oleh kerajaan Malaysia kepada as-Syeikh Dr. Yusoff adalah suatu titik persetujuan awal kita bagi menerima idea-idea baik daripada beliau untuk difahami dan diamalkan dalam kerajaan. Sekaligus ia boleh diajak bersama para pemimpin politik bukan Islam menyertai seminar tersebut.

Sebenarnya, melalui seminar sedemikian, PAS boleh melakukan pendekatan yang baik dalam menghubungkan kefahaman antara pemimpin Islam dengan bukan Islam. Di samping PAS tidak seharusnya lupa terhadap jasa dan pengorbanan para ulama’ dan pemimpin Islam terdahulu. Dan sesungguhnya, pemimpin PAS sekarang begitu terhutang budi kepada para ulama’ terdahulu, kerana berkat hasil usaha mereka jugalah, sekarang ’orang Kelantan’ sudah berada di mana-mana sahaja dalam pelbagai sektor pembangunan Negeri dan Negara.

Dan, apa yang telah dilaksanakan di Kelantan hari ini adalah suatu simbol kejayaan politik Pakatan Rakyat. Maka, PAS dan kerajaan Kelantan hari ini sudah membuat banyak penambahbaikan kepada kedudukan dan kefahaman Islam itu sendiri. Ia turut merangkumi kehendak politik rakyat pelbagai kaum. Semuga akan datang, akan lahir kalangan pemimpin Islam yang mewakili pelbagai kaum – kalangan orang Cina atau India – layak menyambung sejarah Islam. Ini kerana sejarah awal Islam membuktikan orang Cina dan India terlebih dahulu menerima Islam daripada orang Melayu. Ia bermakna, orang Cina dan India layak dan mustahak turut sama menyebarkan Islam di negara ini.

Apa yang utama, penglibatan semua kaum dalam politik dan dakwah akan menyuburkan lagi nikmat persaudaraan di sebalik Allah Subhanahu wa taala jadikan manusia itu pelbagai kaum. Firman-Nya,

Maksudnya, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).
[al-Hujuraat, 49: 13]

Semuga amalan dan kebajikan yang kita lakukan mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa taala. Panjang usia Pakatan Rakyat, panjanglah keadilan untuk semua rakyat.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Mursyidul Am PAS,
merangkap Menteri Besar Kelantan.
22 RabiulAwwal 1431 bersamaan 8 Mac 2010.

Sumber dari Blog Tok Guru
-Pejabat YB Khalid Samad-

Comments

Anonymous said…
This comment has been removed by the author.
Az said…
simple dan mudah saja penerangan TGNA, hrp mereka yg teringin nak join amno paham dan sedar.. jgnlah mengkhianti parti yg kita sayangi.

TGNA juga pernah berkata jgnlah kita dipatuk ular di lubang yg sama 2 kali... tak cerdiklah kalau membiarkan diri asyik kena buli.
Anonymous said…
Perutusan muafakat Tuan Guru Nik Aziz sempena Ulang Tahun Kedua Pakatan Rakyat dialu-alukan

Namun begitu, ingin saya membawa perhatian para pembaca dan pihak PAS kepada dakwaan TGNA bahawa "ada pemimpinnya [dari DAP] yang menyerang Islam".

Dakwaan ini tidak berasas.

Barangkali penasihat-penasihat TGNA telah menyampaikan maklumat yang salah kepada beliau, atau TGNA sendiri tidak mengerti, meneliti atau mengupas secukupnya apa yang dimaksudkan sebagai "menyerang Islam".

Ini kerana DAP tidak pernah menafikan atau menolak Islam sebagai agama rasmi Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Apatah lagi, DAP memperjuangkan kebebasan memilih dan mengamalkan mana-mana agama di Malaysia termasuk Islam. Ini juga salah satu pendirian DAP yang konsisten sejak pertubuhannya. Tidak wujud diskriminasi terhadap Islam atau mana-mana agama.

Bagi seorang pemerhati parti DAP daripada kelompok akademik seperti saya, tidak kelihatan pun mana-mana pemimpin DAP yang 'menyerang Islam' atau 'anti-Islam' sama ada di dalam tulisan, kelakuan, niat atau matlamat mereka. Yang jelas ialah tekad para pemimpin DAP untuk berkhidmat kepada segenap masyarakat tanpa menganak-tirikan mana-mana golongan.

Lagipun, dakwaan "menyerang Islam" adalah tidak selari dengan realiti, memandangkan DAP sendiri mempunyai penyokong dan ahli-ahli akar umbi yang terdiri daripada Melayu Muslim. Sejak dulu lagi, DAP mempunyai pemimpin atasan yang Melayu Muslim (Ahmad Ton dan kini Tunku Abdul Aziz).

DAP parti yang mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang asal seperti yang telah dipersetujui dalam perjanjian Merdeka oleh semua pihak, golongan Melayu, bukan Melayu serta Raja-Raja Melayu. Ini termasuk klausa mengenai kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan Malaysia. Hak untuk memeluk dan mengamalkan agama Islam, hal ehwal kebajikan umat Muslim atau pemeluk mana-mana agama yang lain dijamin oleh pemimpin-pemimpin DAP seperti Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Walaubagaimanapun, mengikut Perlembagaan Persekutuan, Malaysia tidak ditakrifkan sebagai sebuah negara Islam. Sila rujuk penerangan yang dibuat oleh seorang peguam yang telah menyelidik isu perlembagaan ini, saudara Art Harun (di sini).

Mungkin inilah yang menjadi duri di dalam daging PAS. Maka yang "menyerang" visi Islam PAS bukannya DAP sebenarnya tetapi Perlembagaan Persekutuan Malaysia sendiri.

Tambahan, kalau ada pun parti politik yang anti-Islam, UMNO-lah yang pada unsurnya anti-Islam. Ini sudahpun dimaklumkan oleh Nik Aziz.

Justeru itu saya menyeru pihak PAS memperhalusi dan mendalami pemahaman mereka akan pendirian DAP sebelum memberi sebarang komen yang salah atau mengelirukan.

Pemahaman yang tepat mengenai DAP harus juga disalurkan kepada ahli-ahli biasa PAS. Aspek ini penting lagi kritikal dalam usaha mengeratkan persaudaraan PAS dan DAP di bawah payung perjuangan Pakatan Rakyat. Kalau tidak, PAS bersikap tidak ikhlas dalam perhubungannya dengan DAP.

Jikalau salah satu tonggak Islam ialah perjuangan prinsip-prinsip keadilan, kebajikan umat manusia dan menentang kezaliman, maka prinsip dan tindakan DAP selaras dengan Islam. Semangat perjuangan DAP yang berdasarkan prinsip-prinsip ini cukup terkenal bagi mereka yang tahu sejarah politik tanahair.

Usahlah gentar atau curiga sekiranya di kalangan pemimpin berbangsa Cina, India, Iban dan lain-lain atau yang bukan beragama Islam pun ada tokoh-tokoh yang berkaliber, berprinsip dan mampu mentadbir.

Set nilai, prinsip dan rukun duniawi dan akhirat bukan monopoli mana-mana satu agama.

Oleh itu sisa-sisa bohongan dan fitnah yang dilemparkan oleh golongan pro-UMNO bahawa DAP itu anti-Islam harus dikikis daripada persepsi penyokong-penyokong dan pemimpin-pemimpin PAS.

Sebaliknya, kita harus raikan persamaan dan permuafakatan mantap antara PAS dan DAP demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negara.
Anonymous said…
Way to go Tok Guru.You have already earn the full trust of the most none malay malaysians.The silent majority silence among the None Malay Malaysian support you and PAS.
But keep the eye on PAS leaderes like Nash and That Hassan Ali fellow of Selangor.They will ruin the image of PAS in the eyes of the none.
Keep and look good after PAS loyalist like YB Khalid Samad.Men like him are assets to PAS cause the none in his constituency and Malaysian none in general realy respect that men for his stand As you stand to your words, action and promises.
pang5bugis said…
salam.... maafum... wahai orang yang berselimut ... bangun .... sembah lah tuhan mu Allah swt.... bykkkan mohon ampun dari tuhan mu Allah swt.... semoga DIA memberi taufik hidayat kepada hamba yang ia ingini...

Ini lah tarbiah Allah swt kepada Rasulnya apa, saje halangan , rintangan ... atau kejayaan kembali kepada sEmula niat asal ... kpd pcipta nya ... Tuhan semesta alam... Allah swt//.. waallah waalam..
Anonymous said…
Dap bukan anti Islam? ha ha ha ha ha , bodoh piang punya statement.

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.