Skip to main content

Beberapa Isu Semasa

Ada beberapa isu semasa yang saya rasa perlu diberi sedikit penjelasan di sini. Isu-isu ini berhubung perkara-perkara yang melibatkan diri saya secara peribadi dan juga yang berhubung perjuangan rakyat negara ini secara keseluruhan.

Yang melibatkan saya secara peribadi terlebih dahulu adalah seperti berikut:

Jawatankuasa Disiplin
Saya menerima surat tunjuk sebab dari jawatan kuasa disiplin hasil dari aduan yang dibuat oleh Dewan Harian PAS Selangor terhadap diri saya. Saya telah menjawab surat berkenaan dan meminta supaya diberi peluang bertemu untuk menjelaskan isu-isu yang ditimbulkan dengan lebih lanjut lagi. Maklumlah, apa sangat yang boleh diceritakan melalui surat. Pada masa yang sama, saya telah menjelaskan bahawa insyaAllah dari 8 ke 11 saya akan ke Kuching, Sarawak dan dari 25 Januari ke 12 Februari saya akan berada di Timur Tengah. Oleh itu saya telah dipanggil untuk mengadap pada 7 Januari.

Dalam pertemuan berkenaan saya bercadang untuk menjelaskan sebab mengapa saya telah melakukan apa yang telah saya lakukan dan mengapa tindakan saya adalah wajar demi menjaga imej PAS sebagai sebuah parti Islam yang jujur dalam persahabatannya.

Semoga persoalan ini ditangani dengan segera, dibetulkan apa yang perlu dibetulkan, diketatkan apa yang perlu diketatkan dan dilonggarkan apa yang sepatutnya longgar dan seterusnya kita semua boleh beri tumpuan kepada persoalan menjatuhkan BN dalam PRU ke-13.

Hilangnya Kereta Saya
23 Disember, saya sampai di pejabat dan seperti biasa saya mempakir kereta saya di padang letak kereta berhadapan pejabat. Saya ke atas dan setelah menjalankan urusan seperti biasa, bertemu beberapa orang dan mengadakan beberapa mesyuarat, saya turun untuk makan tengah hari dan naik ke atas kembali untuk solat dan bersedia untuk pertemuan seterusnya.

Jam 5.30 petang, selepas Solat Asr, saya turun untuk pulang ke rumah dengan berhajat untuk ke rumah DSAI selepas Maghrib kerana Sheikh Wahbah Az-Zuhaili akan ke sana pada jam 9 malam. Apabila turun, saya berjalan ke tempat saya mempakir kereta, tiba-tiba saya dapati kereta saya tiada lagi di situ! Setelah mencari di seluruh padang letak kereta dan gagal menjumpanya, saya terpaksa menerima hakikat bahawa kereta saya telah dicuri orang. Jam pun sudah pukul 6 petang. Saya bertemu seorang sahabat yang meminjamkan kereta beliau untuk saya pulang ke rumah, menceritakan segalanya kepada orang rumah, solat Maghrib dan terus ke rumah DSAI.

Apabila menceritakan perkara ini ramai yang terperanjat. Saya menjawab, “Apa nak dihairankan, di Negara kita ini, bukan sekadar kereta boleh hilang, Enjin Kapal terbang pun boleh hilang! Dua biji pulak tu!”

Esok paginya saya membuat laporan polis. Pihak polis memberitahu saya, 2 ke 3 laporan kecurian kereta sehari adalah biasa. Setelah membuat laporan polis saya hubungi pihak Insuran dan saya sekarang menunggu sahaja keputusan dan tindakan insuran. Kalau hendak harapkan kereta dijumpai kembali, agak tipis harapannya.

Ada sahabat yang berseloka dengan saya, katanya “ada teringin nak jadi MP Shah Alam, dapat kereta yang ada lencana MP itu pun cukuplah...” Untuk makluman, ada pulak blog pro-UMNO yang siap siar gambar kereta tu! Saya sendiri pun tidak ada gambar kereta yang hilang itu!

Hari-Hari Terakhir Parlimen Sesi 2009
Sememangnya hari-hari terakhir di Parlimen penuh dengan drama. Undi majoriti sebanyak hanya 3 undi untuk meluluskan bajet begitu menggemparkan BN. Kerisauan yang teramat jelas terukir di atas wajah PM dan kemungkinan wujudnya sabotaj dari ahli Parlimen BN sendiri tidak boleh dinafikan.

Ada yang mengatakan bahawa kerajaan akan bubar sekiranya kalah dalam pengundian tersebut. Saya menjawab “Ya, sekiranya kerajaan bermaruah, mereka akan bubar Parlimen sekiranya mereka kalah dalam pengundian pada malam tersebut. Namun hanya sekiranya mereka bermaruah. Kerajaan BN tidak bermaruah maka apa yang barangkali mereka akan lakukan adalah membentangkannya kembali pada keesokannya dan tentukan mereka menang pada round ke-2.”

Itulah pandangan saya. Berdasarkan perangai BN. Berdasarkan pengalaman Perak. Berdasarkan segala yang kita tahu berhubung BN. Sememangnya mereka tidak bermaruah.

Isu GST
Kita semua tahu kerajaan BN sudah dalam keresahan hasil dari menguncupnya pendapatan Negara. Bajet 2010 adalah sebanyak RM180 bilion berbanding RM220 bilion untuk tahun 2009. Kurangnya keuntungan Petronas pula menyulitkan lagi keadaan. Kerajaan sedang mencari sumber tambahan.

Seperti biasa dalam soal untuk mendapatkan duit, rakyat di dahulukan. Maka rakyatlah sumber pertama yang dikaji oleh pimpinan BN. Yang dicadangkan adalah cukai GST (Cukai Perkhidmatan dan Barangan) yang akan dikenakan ke atas semua transaksi jual beli di seluruh Negara yang dianggarkan sebanyak 4%.

Undang-undang ini belum lagi dikuat-kuasakan dan belum lagi dibahas. Kalau tidak setuju dengan undang-undang GST ini, harap dapat dimaklumkan kepada wakil rakyat masing-masing dan minta mereka bantah sekeras-kerasnya. Walaupun mereka Ahli Parlimen BN, rakyat mesti sampaikan bantahan kepada mereka dan minta mereka turut sama bantah. Sila ingatkan mereka bahawa mereka mewakili rakyat yang mengundi dan mereka bukan mewakili BN!

Bagi yang wakil rakyatnya adalah dari PR, tiada masalah. Memang kita akan bantah bila dibincang pada bulan Mac 2010. Kecuali kalau ada pula yang bersetuju untuk dikenakan cukai GST tersebut! Kalau begitu memang bermasalah.

BN seperti biasa akan menyalahkan PR. Keuntungan Petronas merudum pun BN cuba salahkan PR! Ini semua kerana PR memaksa Petronas menjual minyak murah kata mereka. Ehhh… bukan dulu kata ada subsidi ke?? Kena kelentong habis orang kampung. Hakikatnya BN yang patut dipersalahkan. Dulu duit banyak tidak mahu berjimat cermat. Membazir. Boros. Rasuah. Habiskan duit bela kroni sana-sini. Sekarang duit sudah berkurang, masih hendak buat juga seperti itu! Inilah masalahnya. Akhirnya rakyat dibebankan.

Posting esok atau lusa insyaAllah adalah berkenaan pemantauan projek-projek yang sedang berjalan di sekitar Shah Alam.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

AnakKedah said…
bab si Zul kulim tu tak nak sentuh ka YB...
Anonymous said…
Penduduk Shah Alam sangat bertuah mempunyai pemimpin yang jujur,iklas memperjuangkan keadilan dan berpandangan jauh dan rational seperti YB. You are a true Moslem. God bless you & your family. Keep up the good work YB.
Anonymous said…
Negara out of control..kadar GST akan dinaikkan menandakan kerajaan dah bankrup!
Anonymous said…
Salam YB..

Jangan lupa juga postingkan isu Tanah Perkuburan Islam Batu Tiga Shah Alam. Kami Rakyat Batu Tiga ingin mendapat penjelasan terkini mengenai isu setelah kenyataan YB tempohari disangkal oleh Penduduk Setempat pada 1/1/10 yang lalu.

YB Rodziah bersama pembantu-pembantunya juga diam seribu bahasa. Setiap panggilan dan SMS pun tak dijawabnya.. Itu lah lain kali kalau tak buat kerja, mengaku aje tak buat kerja. Jangan cuba kelentong rakyat. Bila dah pecah tembelang, kita juga yang malu. Orang cakap PR & BN sama saja kelentong rakyat. Akibat tidak cermat statement yang dibuat oleh YB Rodziah, YB Tuan Haji Khalid pun ikut sama terpalit. Orang kata apa ni orang PAS kelentong orang.

So jangan hilangkan kepercayaan masyarakat kepada PAS dan PR.

Buat kerja betul2. Kalau ada isu yang masih kabur, elok rujuk kepada masyarakat setempat yang berautoriti dan benar-benar tahu tentang permasalahan yang berlaku. Jangan main ikut apa pembantu-pembantu cakap. Pembantu2 yang baik dia tidak akan memalukan bosnya..

Wassalam...

Bt3 Shah Alam.
Anonymous said…
i just love your writing YB- memang senang nak faham, cukup substance. dah tak larat nak dengar isu nama "allah" yg satu lagi terbaik dijadikan hal buruk & busuk perut. itu baru satu, kecoh bukan main. yg kesemua 99 nama, taktaulah.

teringin saya nak tengok YB jadi PM Malaysia, suatu hari nanti.
Anonymous said…
1. Gula Naik harga - akan menyebabkan kenaikan harga barang lain.

2. Petrol akan naik harga dalam 2010.

3. GST akan datang pada 2011.

4. Jet Engine yang boleh "terbang".

5. PKFZ yang billion billion.

6. banyak lagi.

Jangan Lupa
Anonymous said…
Saya ingat YB Khalid ingin "mencabar" sesiapa dalam posting, rupanya tidak. Inilah akhlak Islam yang kita mahu dari ahli politik
:-)
Mv Agusta said…
Sy rasa kereta YB yg hilang dicuri oleh umno. Maklumlah umno dihati. Makan umno, tidur umno, mandi umno, berjimak umno, ketawa umno.

la... meroyan la pulak
Anonymous said…
Pastikan Yb sentisa berwaspada dengan puak-puak UMNO. Mereka takut dengan YB-YB dari PAS yang hebat-hebat. Sebab itu YB nizar pun dah jadi mangsa. harap sentiasa ada orang yang mendampingi YB walau kemana YB pergi.
Anonymous said…
About GST, do you have the details? The Pros & Cons? Or is it only based from the "opposition mentality"? Will PR apply this if PR becomes the government? Or should PR agree with this but in the same time monitor the...serve for the people? I think you should read more YB.

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.