Skip to main content

Undi Bukan Melayu: Hakikat Yang Tidak Disedari

Kemenangan PAS/PR di KT tercapai tanpa adanya ‘swing’ yang diharap-harapkan di kalangan pengundi Cina. Namun undi orang Cina tetap merupakan faktor yang memenangkan calon PAS/PR di KT. Hakikat ini tidak harus dilupai oleh PAS.

Menurut analisis yang diperolehi, PAS/PR telah mendapat 32,883 undi dan BN pula mendapat 30,252. Majoriti yang diperolehi PAS/PR adalah hanya 2,631. Ini bererti sekiranya 1,316 orang yang telah mengundi PAS/PR sebaliknya mengundi BN pada hari itu, calon PAS/PR akan kalah. Ini adalah kerana undi PAS/PR akan menjadi (32,883-1,316) iaitu 31,567 undi sambil undi BN akan meningkat pula menjadi (30,252+1,316) iaitu 31,568 undi. BN menang satu undi.

Jumlah undi 1,316 sebenarnya bukanlah banyak sangat. Berdasarkan anggaran 40% undi Cina adalah menyebelahi PAS/PR, jumlah undi mereka adalah melebihi 1,316. Kalau dilihat dari keputusan beberapa UPU majoriti pengundi cina, amat jelas bahawa jumlah orang Cina yang mengundi PAS/PR melebihi 1,316. Sebagai contoh, di Kampung Cina, kita mendapat 668 undi. Di Pulau Kambing, kita mendapat 958 undi. Di Pejabat Bandaran 681 undi dan di Paya Bunga 759 undi. Itu semua berjumlah 3,066 undi tanpa mengambil kira undi orang Cina di Batas Baru, Ladang dan beberapa UPU yang ada pengundi Cina yang ramai.

Saya faham 3,066 undi tadi bukan semuanya undi orang Cina tetapi amat wajar dari 3,066 undi itu tadi lebih dari 1,316 adalah pengundi Cina.

Saya hendak tonjolkan hakikat ini kerana malangnya masih ada yang tidak menghargai betapa pentingnya undi dan sokongan semua kaum. Apabila dibutakan dengan semangat keMelayuan mereka, walaupun mengakui diri mereka pejuang Islam, mereka hanya mementingkan undi orang Melayu. Sehingga ada yang menyatakan bahawa undi orang Cina tidak penting kerana mereka mengundi atas dasar kepentingan dunia. Bukankah Islam menjamin keselamatan dunia mereka? Apa salahnya mereka menyokong kita atas dasar kita dilihat lebih baik dan lebih adil oleh kerana kita berpegang kepada Islam? Apa jaminan orang Melayu semuanya menyokong kita atas dasar akhirat? Ini nak timbulkan hujjah 20 tahun tarbiyyah tu lagi ke?

Ada sehingga yang mengatakan, orang Cina yang duduk di bawah Kerajaan Kelantan selama ini kalau ikhlas sudah pasti akan memeluk Islam. Tak peluk Islam maka tak ikhlas! Yang peliknya mereka tidak pula mempertikaikan keikhlasan orang Melayu (UMNO) Kelantan yang menentang PAS di Kelantan selama ini! Nampak gaya asalkan Melayu dan Islam maka tidak mengapa.

Saya sebenarnya simpati dengan orang Cina Terengganu. Mereka ingin menolak BN atas dasar rasuah dan zalimnya BN tetapi mereka melihat pihak satu lagi macam tidak menghirau dan menghargai mereka. Apa salahnya kita mendapat sokongan mereka atas dasar adilnya layanan Islam terhadap mereka? Atau adakah pekat sangat semangat Melayu kita sehingga kita menganggap mereka ini langsung tak masuk buku? Bukankah mereka juga mad’u kita? Atau Islam hanya untuk Melayu?

Saya ingin semua menyedari bahawa kita menang KT oleh kerana 1,316 pengundi Cina mengundi kita dan bukan BN. Fahamlah, undi orang bukan Islam penting, bukan hanya di Shah Alam atau di KT, malahan juga di seluruh Malaysia. Dan setelah kita mencapai kemenangan ini dengan undi mereka, adakah wajar kita terus tidak menghargai mereka atau tidak mesra dengan mereka? Terus dengan sikap bodoh sombong kita?

Ada yang bertanya, “sampai bila nak ulangi isu ini?”. Termasuklah isu Tadika Kemas dan sebagainya. Jawapan saya, sehingga semua kita faham dan insaf.

WalLahu 'Alam

Comments

Anonymous said…
saya adalah pimpinan PAS caw di kajang.yb khalid pls also inform hulu langat MP, dr che rosli to tengok tengok jugak pungundi cina and india yg bagi beliau menang.kalau nak facts dia saya bole beri,mudah dan amat jelas,tengok UPU sg long cukup.
saya mempunyai masalah dgn pimpinan kawasan yg shok sendiri dgn kemenangan tanpa ambil faktor ni
Anonymous said…
Salam Pak Khalid,

Inilah permasalahan pokok yang dihadapi oleh PAS secara keseluruhannya.

Persepsi dan pemahaman sebegini yang akhirnya mendorong tindakan parti yang mementingkan pengundi Melayu-Islam tanpa mengambil kira kepentingan undi orang bukan Melayu mendorong kita bertanya ke mana perginya pemahaman bahawa Islam itu untuk semua. Faktor ini sebenarnya yang menentukan survival PAS pada PRU13 nanti.

Saya tidak berapa bimbang tentang pimpinan peringkat bawahan, yang saya khuatiri apabila pemahaman sebegini juga membabitkan pimpinan peringkat tinggi. Ini kerana orientasi tindakan ditentukan pimpinan peringkat atas.

Pimpinan PAS harus ingat bahawa di kawasan orang Melayu sebagai majoriti, sukar untuk PAS mendapat sokongan daripada orang UMNO. Kemenangan ditentukan oleh 5% undi atas pagar dan undi bukan Melayu (sekiranya terdapat bukan Melayu).Bayangkan kalau kini pihak PAS tidak menghargai undi bukan Melayu, dapatkah kita pastikan bahawa mereka akan tetap bersama PAS pada masa mendatang.

Ada satu lagi sikap yang sama yang dipegang oleh ahli-ahli PAS terhadap penyokong UMNO. Ini satu yang menggusarkan. Ada anggapan bahawa mereka yang lebih "Islami" dan orang lain tidak, dan timbul secara tidak disedari apabila kita berhubung atau berkomunikasi dengan penyokong UMNO. Inilah salah satu sebab mengapa penyokong UMNO lebih memilih PKR, bukan PAS.

Sekiranya PAS ingin menang dengan bergaya dalam PRU13 nanti, mereka perlu berubah dari sekarang. Jangan tunggu, buktikan sekarang. Rakyat umum sedang menilai.

Wassalam.

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.