Skip to main content

Menteri Dalam Negeri Wajar Meletak Jawatan

Kes kematian Kugan dalam tahanan merupakan sebab wajar bagi Menteri Dalam Negeri meletak jawatan. Ianya merupakan kegagalan yang begitu dasar yang tidak boleh dimaafkan. Ini adalah kerana kematian Kugan berlaku sambil beliau dalam tahanan, iaitu di bawah jagaan pihak Kementerian itu sendiri. Kematian beliau juga adalah kematian yang mengerikan di mana beliau diseksa sehingga mati. Mana-mana Menteri yang waras akan merasa malu dan terjejas dengan kes kematian seorang di dalam tahanan, tetapi bagi Syed Hamid, ianya seolah-olah satu peristiwa biasa yang tiada kena-mengena dengan dirinya sendiri! Beliau tidak merasa malu atau kesal.

Lebih malang lagi, bukan sekadar dia tidak menyedari kegagalan dirinya sendiri, dia mengeluarkan kenyataan yang keliru dan memalukan. Syed Hamid berkata, rakyat tidak harus menjadikan ‘penjenayah’ sebagai seorang hero. Kenyataan ini bukan sekadar menunjukkan Syed Hamid tidak kesal dengan kejadian kematian itu tetapi sanggup menjustifikasikannya dengan menyifatkan Kugan sebagai penjenayah. Amat memalukan sebagai seorang peguam beliau mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan beliau tidak memahami proses undang-undang. Kugan baru ditahan reman, untuk disoal siasat. Dia belum lagi dihadapkan ke Mahkamah dan belum lagi didapati bersalah. Ianya amat tidak adil untuk Syed Hamid memainkan peranan sebagai ‘Judge, jury and executioner’.

Lagipun tiada pihak menjadikan Kugan sebagai hero. Dia mangsa kezaliman dan menjadi simbol perjuangan menentang kezaliman pihak polis. Kita semua sedar betapa amalan menyeksa tahanan telah menjadi bagaikan kebiasaan di negara kita.

Adakah Syed Hamid bermaksud bahawa seseorang penjenayah tidak mempunyai hak dan wajar diseksa sehingga mati? Sekiranya Kugan telah didapati bersalah sekalipun, kesalahan beliau tidak mewajarkan beliau diseksa sehingga mati. Beliau tidak dituduh membunuh, merogol atau kes jenayah yang serius seperti itu. Beliau dituduh dalam kes kecurian kereta. Sikap sambil lewa Syed Hamid dalam menangani kes ini membuktikan beliau tidak layak menjadi Menteri Dalam Negeri. Dia tidak faham apa tanggung-jawabnya dan batas-batas kuasa yang ada pada institusi keselamatan dalam negeri seperti polis.

Amat wajar bagi Syed Hamid untuk menarik balik kenyataan beliau dan menginsafi kegagalan institusi di bawah jagaan beliau. Dia harus meminta maaf kepada keluarga Kugan atas kematiannya dan bertekad untuk menghukum pihak yang bertanggungjawab. Seterusnya sebagai Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid wajib bertindak untuk membersihkan institusi polis dari segala anasir Gestapo dan Abu Gharib demi menjamin peristiwa yang seperti ini tidak akan berulang lagi. Syed Hamid perlu juga berusaha untuk menanamkan semangat cintakan keadilan dan hormat hak asasi manusia di kalangan pegawai-pegawai polis. Malaysia sepatutnya mempunyai dasar ‘Zero Tolerance’ terhadap seksaan. Sekiranya ini tidak dilakukan, terbuktilah bahawa jolokan mereka terhadap rakyat Malaysia terkena atas batang hidung mereka sendiri, iaitu “kemudahan dunia pertama, mentaliti dunia ke-tiga!”

WalLahu 'Alam

Comments

rajhi said…
undang2 malaysia lebih teruk dari hukum hudud. sedangkan hudud hanya menjatuhkan hukuman potong tangan bagi kesalahan mencuri jika didapati bersalah, undang2 kita mejatuhakan hukuman seksa sampai mati bagi kesalahan mencuri yang belum diketahui sama ada penuduh bersalah atau tidak. MasyaAllah. Semoga negara kita di lindungi dari kemunkaran hukuman manusia.

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan...

Surat Terbuka Untuk Penduduk Seksyen 23

2hb September 2009 M 13 Ramadan 1430 H السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Kehadapan penduduk Seksyen 23 yang dihormati, Semoga surat ini menemui tuan-tuan dalam keadaan sihat wal afiat serta keimanan yang teguh dan jitu berkat bulan Ramadhan ini. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan diri saya serta tuan-tuan akan Firman Allah, Surah Al Maaidah ayat 8 yang bermaksud; “Bertindak adil! Ianya lebih rapat dengan keTaqwaan.” Semoga dalam usaha kita membina keTaqwaan dalam bulan Ramadhan ini, kita mengingati hakikat bahawa ‘keTaqwaan’ yang diusahakan itu mempunyai hubungan rapat dengan keadilan. Keadilan ini pula perlu dilaksanakan terhadap semua, walaupun terhadap yang tidak disenangi. Ini ditegaskan di dalam ayat yang sama yang bermaksud, “dan jangan oleh kerana kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil…” Kalau terhadap kaum yang dibenci sekalipun dituntut keadilan, apatah lagi terhadap jiran sekampung dan warga sekota? Walaupun mereka tidak sebangsa...

Tapak Kuil Seksyen 23 Shah Alam

Baru-baru ini, banyak betul yang kita dengar berhubung isu tapak kuil yang dicadangkan di Seksyen 23, Shah Alam. Yang tahu, yang tak tahu dan yang buat-buat tahu, semuanya turut sama mengemukakan pandangan masing-masing. Di antaranya, pandangan Noh Omar yang menyatakan bagaimana kerajaan PR tidak peka terhadap sensitiviti umat Islam. Oleh itu, bagi mereka yang ingin tahu, izinkan saya menceritakan serba sedikit perkara sebenar berkenaan isu ini. Tapak Kuil yang dicadangkan adalah di kawasan Industri, lebih 200 meter dari kawasan perumahan. Sebuah Kuil yang sekarang ini berada di Seksyen 19 akan dipindahkan ke tapak baru yang dicadangkan ini. Di Seksyen 19, kuil berkenaan hanya berjarak 20 kaki dari kawasan perumahan! Buka pintu rumah, seberang jalan terdapat kuil. Sebenarnya, kuil Seksyen 19 telah berada di situ sejak zaman sebelum wujudnya Shah Alam lagi. Pada masa itu kawasan di mana kuil tersebut dibina dinamakan Ladang Sungai Renggam. Apabila PKNS ambil-alih, maka dijadikan kawas...