Skip to main content

Pendapat: Saudara Zainal Abidin - Isu 3M

Berikut merupakan pendapat yg telah dihantar oleh Saudara Zainal Abidin Bin Abu Bakar berkenaan isu 3M yg dipaparkan semula dlm ruangan ini utk kita kongsi bersama. Pendapat beliau ini pada asalnya telah dihantar ke blog Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan kemudiannya di'CC' kan ke blog ini. Sehubungan dgn itu, pihak kami mengalu-alukan pendapat atau komen yg membina dari para pengunjung semua agar dpt dimuatkan diruang Pendapat dari masa kesemasa. Sekian terima kasih.
- Pejabat YB Khalid Abd Samad -


Dukacita Amat Dukacita

Oleh Zainal Abidin Bin Abu Bakar

Assalamu’alaikum dan salam sejahtera Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI), kaum keluarga, para REFORMIS, penggiat Pakatan Rakyat (PR), pendukung dan penyokong keadilan serta para netters budiman. Semoga kita semua sentiasa dalam lingkungan perlindunganNya.

Agak lama juga saya tidak mengirim ulasan ke blog DSAI ini. Namun saya tidak pernah ketinggalan mengikuti setiap kiriman dan ulasan di sini. Adalah lumrah, kiriman dan ulasan bersifat pro dan kontra, samada daripada ahli, penyokong PR, pemerhati atas pagar dan sudah tentu sekali kedapatan ‘cyber troopers’ ameno be end yang turut memeriahkan daftar pengira pengunjung blog DSAI.

Fitrahnya setiap kejadian atau sesuatu yang berlaku itu mempunyai asbab yang tertentu. Begitu jugalah dengan semua kiriman dan ulasan para pngunjung di sini termasuk juga kiriman saya ini. Masing-masing mempunyai sebab dan alasan, hasrat dan tujuan menjadikan blog DSAI sebagai platform menyuarakan rasa ketidakpuasan hati, memeta cetusan idea yang akhirnya DSAI dan para moderator blog DSAI akan membuat keputusan samada menerima dan menilai setiap suatu kiriman itu samada sesuai atau tidak demi memperelokkan perjalanan dan perlaksanaan kegiatan PKR khasnya dan PR amnya. Atau sekadar hanya memantau daftar pengira pengunjung tanpa membaca setiap kiriman dan membiarkan ianya berlalu tanpa tindakan proaktif yang menyusul.

Setiap sesuatu perkataan itu adalah do’a. Pujian melangit itu do’a, idea penyokong dan pendukung keadilan juga do’a waima caci maki hangit si ‘cyber troopers’ itu juga do’a. Makbul atau tidak setiap do’a itu adalah hakNya.

Ketika di ambang ‘Aidil Fitri ini, kita semua dikejutkan oleh kenyataan YB Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH) dalam keluaran lidah rasmi PAS, Harakah keluaran terbaru (saya mendapat maklumat ini daripada blog Perisik Rakyat) dan juga ulasan YB Saudara Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam merangkap Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor dalam blog beliau bertarikh 29hb Sept.2008.

Dukacita! Amat dukacita! Dangkal! Amat dangkal!

Menggambarkan betapa tiada lagi perkataan yang sesuai saya perolehi dari kamus perasaan saya kala menerima perkhabaran berkenaan. Malah, saya berkeyakinan tinggi perasaan sama juga turut dikongsi para penyokong keadilan dan penggiat politik PR di luar sana. Amat pasti kenyataan sebegitu disambut sorak gembira hilai tawa seteru politik PR dan si ‘cyber troopers’ di sini.

Berpijaklah dibumi nyata wahai TGHH dan para pengikut setia TGHH! Saya bukanlah seorang politikus separa masa atau sepenuh masa. Bukan juga seorang penganalisis politik lepasan universiti menggalas gelaran Professor. Bukan juga tergolong dari kalangan ilmuwan atau cendikiawan. Tetapi saya adalah seorang rakyat Malaysia berketurunan Melayu beragama Islam yang hidup berkerjaya, berkeluarga, bermastautin dan bermasyrakat di bumi Malaysia ini. Bersama-sama dengan TGHH dan rakyat Malaysia lainnya menjadi saksi turun naik seseorang Perdana Menteri dan barisan menteri kabinetnya. Kita telah bersama-sama melalui setiap detik helaan nafas dan titisan peluh mengharungi kehidupan bermasyarakat dalam negara majmuk ini. Tiada batasan ras, masing-masing bertungkus lumus meningkatkan produktiviti sambil memperlengkap dan menyesuaikan diri agar tidak ketinggalan bersaing dalam segenap aspek kegiatan seharian.

Memang ini adalah pendapat peribadi saya. Suara hati seorang manusia yang menjadi rakyat Malaysia. Seorang hamba Allah swt yang bertanggungjawab kepada diri sendiri, isteri dan anak-anak serta kaum keluarga. Dengan izinNya juga, saya merasakan bertanggungjawab juga untuk berbuat sesuatu kepada masyarakat dan negaranya. Kehidupan saya seharian tidak dapat lari daripada pergaulan dengan masyarakat berbilang kaum.

Jika YB TGHH masih tidak jelas maksudnya, di sini saya perjelaskan. Mereka yang saya maksudkan dengan masyarakat berbilang kaum itu ialah terdiri daripada keturunan Melayu (Bumiputera) Islam, Cina Islam, India Islam, keturunan Melayu (Bumiputera) bukan Islam, Cina bukan Islam, India bukan Islam dan lain-lain bangsa keturunan bukan beragama Islam!

Berpijaklah dibumi nyata wahai TGHH dan para pengikut setia TGHH! Saya tidak pernah walau sesaat pun menafikan hak PAS menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan, Al Quran dan As Sunnah sebagai asas pentadbirannya. Tidak sesekali! Saya juga amat sedar bahawa Islam itu bukan HAK Melayu sahaja! Bumi Allah swt ini juga bukan hanya semata-mata untuk didiami oleh yang Islam sahaja! Siapa saya untuk mengajar YB TGHH dan pengikut setia TGHH tentang Islam!? Ustaz bukan, ilmuwan bukan cendikiawan pun bukan. Jauh sekali bergelar Tuan Guru!

Seperkara yang saya amat pasti adalah hak saya dan wajar sekali saya nyatakan di sini ialah saya sebagai ahli masyarakat Malaysia dan yang paling penting ialah seorang Islam menegur walau dengan apa cara sekali pun selagi ianya tidak melanggar hukum etika bermasyarakat dan bernegara. Tanpa mengira tahap pendidikan, kelas atau status ekonomi dan tiada persoalan keahlian parti politik mana yang saya memihak, saya fikir adalah menjadi tugas saya menegur YB TGHH.

Dukacita! Amat dukacita! Dangkal! Amat dangkal!

Syarat mutlak 3M yang ditetapkan oleh YB TGHH itu amat dangkal! Agaknya YB TGHH sedang mengelamun dan bermimpi berada dalam sebuah Negara yang hanya terdiri daripada 2 golongan sahaja? 1 golongan Melayu Islam dan 1 lagi golongan Melayu bukan Islam!? Memanglah YB TGHH menjadi ADUN dan Ahli Parlimen hanya untuk Rhu Rendang dan Marang tetapi YB TGHH ialah Tuan Presiden PAS dan parti YB TGHH ialah salah satu daripada 3 tonggak utama dalam PR!

Kenyataan YB TGHH itu bukan sahaja terkesan di hati saya tetapi saya berkeyakinan ianya amat menusuk jiwa setiap rakyat yang mengimpikan sebuah kerajaan baru iaitu kerjaan PR menggantikan kerajaan be end yang diterajui ameno. Sedar atau tidak, kejayaan PR dalam PRU 12 yang lalu menunjukkan rakyat berani melakukan anjakan untuk perubahan. Undi kami bukan undi daripada pengundi Melayu Islam dan Melayu bukan Islam sahaja tetapi undi daripada pengundi rakyat Malaysia majmuk! Terutamanya di sebelah Semenanjung ini. Tiada hasrat untuk menafikan peranan jentera pilihanraya PAS dan istiqamah perjuangan ahli-ahlinya yang paling mantap dan ampuh berbanding jentera PKR dan DAP. Malah jauh lebih baik daripada persembahan jentera ameno be end. Justeru, memang PR amat mengharapkan pengekalan PAS dalam gabungannya agar kekuatan PAS itu dapat dikongsi bersama memperteguhkan strategi ke arah perlaksanaan pelan peralihan tampuk pemerintahan negara.

Tidak diketahui samada YB TGHH dan para pengikut setia TGHH masih teruja bermuzakarah dengan ameno untuk bersama-sama mentadbir negara atas nama be end? Tidak cukup zalim lagikah perlakuan kerajaan ameno be end selama ini? Masih tidak serik dengan 2 kecurangan terbesar mereka terhadap PAS ketika sama-sama memerintah kerjaan negeri Kelantan dan Pusat sebelum ini? Sedar atau tidak, jika ditakdirkan PAS kembali ‘bersatu’ dengan ameno be end memerintah kerajaan Pusat, PAS masih lagi minoriti dan cita-cita PAS menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan, Al Quran dan As Sunnah sebagai asas pentadbirannya hanya akan kekal sebagai motto perjuangan partinya sahaja sehingga PAS akan ditendang keluar sekali lagi!

Masih segar di ingatan setiap rakyat Malaysia dewasa ini, betapa PAS di bawah YB TGHH telah berjaya menawan negeri Terengganu pada PRU 10 tetapi hanya mampu bertahan sepenggal. Kerajaan PAS Terengganu kalah teruk, jatuh tersungkur tidak berdaya bangkit di PRU 11 dan terkini di PRU 12. Peluang yang ada sekarang ini, kekuatan PR yang wujud ketika ini usah dipersiakan hanya semata-mata status YB TGHH seorang ADUN, ahli Parlimen merangkap Presiden PAS yang mahu menunjukkan bahawa YB TGHH juga perlu dihormati dan disegani oleh kawan dan lawan. Ular yang menyusur akar tidakkan hilang bisanya wahai YB TGHH. Percayalah! Kesudian YB TGHH merendahkan sedikit keegoan YB TGHH itu akan lebih disenangi dan disanjungi daripada mengeluarkan kenyataan yang dangkal seperti itu.

Alangkah moleknya diperkukuhkan PR (yang dikatakan longgar oleh segolongan pemimpin PAS sendiri) ini kemudian bersama-sama berkongsi kuasa memerintah di Pusat sambil menyebar dan menerapkan keindahan Islam itu di kalangan pemimpin dan penyokong PR itu sendiri yang telah sama-sama mengharungi jerih perih gelanggang pilihanraya yang tidak sama rata selama ini? Betapa cantiknya jika PAS bersama-sama PR membersihkan pentadbiran negara dari segala gejala mungkar yang semakin subur dengan kerenah bermacam jenis rasuah dan ketidakadilannya itu yang telah PAS cuba tentang selama setengah abad yang lalu!?

Akhirul kalam, cukuplah seorang WIRAWAN yang terGELUMANG dalam tong tahi yang kemudiannya WIRAWAN itu telah ditendang keluar dengan cara amat aib sekali dari sebuah yang terserlah keaibannya itu. WIRAWAN itu kini telah bersih dan semakin terserlah sinar keceriaannya semenjak diterajang dulu! Adakah YB TGHH dan para pengikut setia TGHH hendak menjadi WIRAWAN ke2!? Percayalah! Walau YB TGHH tidak memasuki tong tahi berkenaan namun busuk najis itu akan terpalit juga di batang tubuh YB TGHH dan para pengikut setia TGHH dengan hanya tinggal serumah dan duduk bergandingan tong tahi itu! Apabila sampai ketika dan waktunya kehadiran YB TGHH dan para pengikut setia TGHH tidak diperlukan lagi, YB TGHH dan para pengikut setia TGHH akan diterajang keluar dengan keadaan lebih aib!

SALAM ‘AIDIL FITRI 1429H.
MINAL ‘AIDIL WAL FAIZIIN.
MAAF ZAHIR DAN BATIN


Zainal Abidin Bin Abu Bakar
Pengundi berdaftar di PJ Utara


c.c. blog Perisik Rakyat dan blog YB Kahlid Samad
October 1, 2008 1:16 AM

Comments

Anonymous said…
inilah yang dikatakan perbezaan pendapat...

xpaham aku, bila orang berbeza pendapat dengan pendapat kita... terus di cop dangkal dan amat dangkal...

yang aku tak pahamnya, napa YB khalid ni sanggup siarkan perbezaan pendapat yang menkategorikan pendapat Presiden dia dangkal???????

walaupun orang c.c ke blog dia... sbg tuan blog, ada hak nak siar ke xnak siar...

aku rase betul la, memang wujud anai-anai dalam pas ni... dia nak serang sendiri presiden xberani... tapi cuba baling batu sembunyi tangan.

mintak maaf YB... yang ni pendapat saya... harap2 YB tak berkecil hati ya.. kan YB orang yang paling menghormati dan meraikan perbezaan pendapat.

walaupun aku sokong PR, tapi aku simpati dengan PAS.... sebelum kemenangan wat baik dengan PAS, lepas menang, tak perintah lagi tu... pakat ramai2 pijak PAS. Yang aku herannya, yang kena pijak tu yang tegas dasar perjuangan mereka.. yang menambah hairan lagi tu... ade jugak puak2 PAS ni jadi tukang pijak jugak...

YB, tolonglah... jangan hingarkan lagi suasana... lebih baik berbaik sangka dengan sesama orang PAS... kalau PAS teruk sangat, tinggalkan aja PAS ni...

agak-agaknyalah, kalau Majlis Syura PAS(YB tak termasukkan) setuju nak join BN... apa keputusan YB masa tu yer???
gurau je YB, tapi mintak tolong YB tegaskan pendirian YB kali ni.
Wala' dengan Syura, atau masuk PKR atau Tubuh Parti Baru?

Selamat hari raya YB, maaf zahir & batin.

Penyokong PR
(Tapi belum daftar mana-mana parti, masih dijemput ke majlis UMNO kat kampung aku, cuma condong sikit kepada PAS)
abdrahim kassim said…
Kalau persetiaan PAS,PKR dan DAP dibuat dalam masa perang, rasanya Haji Hadi dah kena bedil dah kerana kenyataannya itu.
Anonymous said…
Along menulis..

PAS mesti dilihat tak hipokrik. Kalau betul mereka nak junjung kerajaan majoriti melayu, kenapa di perak mereka terima jawatan MB. Keluar je dari pakatan di Perak.

Adakah bila PAS jadi MB walaupun ADUN melayu bukan majoriti di perak hukumnya halal.. tapi di peringkat persekutuan, anwar di calon sebagai PM bukan ust hadi maka hukumnya berubah pulak jadi haram. saya yang mula nak sokong PAS ni jadi bingung.

Apa pun hancurkan UMNO dulu..Lepas tu pulihkan Demokrasi, bebaskan SPR, Akses media diperbaiki dan DSAI janji Mac 2009 PRU 13.

Kita kerja kuat dari sekarang supaya selepas PRU 13 kerusi PAS bertambah. Masa tu kita akan muncul sebagai parti politik yang disegani.

Tapi sekarang dah buat hal.. alamatnya, PAS saya cadangkan bersaralah dari arena politik Malaysia. Jom kita angkut periuk belanga jadi macam jemaah tabligh
Anonymous said…
pas ditegakkan atas dasar ISLAM!!ulang sekali lagi ISLAM!!kalau sebelum menang besar pru 12 aritu semua pimpinan pas tak malu bercakap tentang dasar pas nak tegakkan islam melalui negara berkebajikan tapi kenape selepas menang besar ade dari kalangan pimpinan sendiri seperti khalid ni menghentam dasar PAS sendiri?mungkinkah mereka mereka ni dah hanyut dengan kemenangan dunia sampai lupa asal perjuangan yg menuju akhirat yg abadi...entahlah mungkin ni yg dikatakan anai anai dalam jamah kot...wallahualam..
mohamed hadi said…
Assalamualaikum YB, ini ialah entri yang saya muatkan dalam blog peribadi saya kira-kira seminggu lepas. Saya rasa ada relevannya dengan topik yang sedang dibincangkan. Ini cuma pandangan peribadi saya & saya telah sunting sedikit sebanyak.



Kadang-kadang payah saya nak menelah justifikasi Presiden Pas apabila dia membuat kenyataan beramaran yang Pas takkan join kerajaan baru pimpinan Anwar Ibrahim kalau kerajaan itu didominasi oleh majoriti ahli parlimen bukan Melayu.

Aik, yang kat Perak tu apanya? Amaran tak applicable kat situ? YAB Nizar ialah Menteri Besar kerajaan yang hanya mempunyai kurang 1/3 Adun Islam (9 out of 31). Nak kira Adun Melayu lagilah sikit, cuma 8 out of 31 (tolak Adun Titi Serong yang merupakan Cina Muslim).

Mungkin ada yang kata, tu soal negeri, cuma 1 negeri daripada 13 negeri, tak boleh compare dengan peringkat nasional, peringkat federal. Kat federal orang Melayu mesti majoriti. Aik, selama ni Melayu yang majoriti kat atas, Melayu terbela sangat ke? Bahasa Melayu dijulang sangat ke?

Saya tak kata saya sokong kalau kerajaan baru yang Anwar dakwa tu bermajoritikan ahli parlimen bukan Melayu/Islam. Anwar sendiri dah kata kerajaan barunya mesti bermajoritikan ahli parlimen Melayu/Islam, so apa hal Pas nak beramaran-amaran lak?

Yang saya persoalkan ialah ‘kebijaksanaan’ mengeluarkan amaran tersebut. Mungkin Presiden Pas rasa dengan amaran tersebut, ahli Pas akan lega kerana Pas takkan join kerajaan yang majoritinya bukan Melayu (lantas selesa dengan kerajaan bermajoritikan Melayu yang korup?), tapi bagaimana dengan impaknya terhadap pengundi bukan Melayu, malah kejayaan Pas di Perak dan track record YAB Nizar setelah 7 bulan menjadi Menteri Besar telah menafikan kebimbangan yang timbul kalau-kalau bukan Melayu yang jadik majoriti, orang Melayu akan dipinggirkan!

Sekarang Melayu terpinggirkah di Perak? Saya rasa setakat ni belum lagi, walaupun isu tanah untuk sekolah cina sengaja dikontroversikan. Malah berbunga hati saya apabila komitednya YAB Nizar mengimarahkan institusi masjid dan menghidupkan Ramadan dengan tradisi tarawih dan tazkirah di bandar Ipoh. Belum campur bantuan yang disalurkan semula kepada sekolah agama rakyat. Maknanya, kebimbangan yang ditakuti konon-konon Melayu Perak akan terpinggir dah tak timbul lagi. Malah, sayang pulak Cina dan India kat MB Perak yang baru ni.

Apakah kerana bukan orang Pas yang menjadi ‘the PM to be’ maka Presiden Pas mengeluarkan amaran berikut?

Dari segi skema perlembagaan jugak, soal pembelaan orang Melayu tak timbul sebab Yang di-Pertuan Agong masih Melayu & PM masih Melayu. Kalau ditengok betapa besarnya kuasa Sultan dalam menentukan siapa Menteri Besar negeri itu dan sekali-sekala interfere dalam soal administration (macam kes Pengarah JAIP tu), sebesar itulah juga kuasa Agong dalam menentukan siapa PM dan bagaimana hala tuju kerajaan persekutuan mesti diturut. Yang menjahanamkan hak Melayu dalam perlembagaan selama ni pun siapa wehhh? Orang Cina dan India ke?

Walaupun Pas lebih selesa barangkali untuk berjuang sebagai pembangkang dan menunggu rakyat sendiri memilih mereka secara terhormat i.e. melalui pilihanraya, tapi selama mana Pas nak tunggu? Kalau Pas betul nak rasa terhormat maka Pas tak sepatutnya menyertai DAP untuk membentuk kerajaan di Perak sebab kerajaan tu terang-terang lebih 2/3 Adunnya bukan Melayu/Islam.

Di peringkat negeri (Perak, Selangor) pun Pas tak sudi memandang Umno walaupun ditawar jawatan Menteri Besar, kenapa lain pula fi'ilnya apabila berbicara soal kerajaan persekutuan?

Pas masih lemah, Pas perlu mengaku tentang itu. Nak generate kemenangan ke Sabah dan Sarawak pun, bagi aku lagi 20 tahun pun belum tentu sebab majoriti orang bukan Islam kat Sabah dan Sarawak. Pas bertanding kat Sabah pun 2,3 kerusi Dun, kat Sarawak pun 1, 2 kerusi Dun, dengan hilang deposit tak sudah-sudah, macam mana nak memerintah Malaysia? Jangan kata Sabah dan Sarawakla, yang sekecik Perlis dan Melaka tu pun tak tergapai lagi.

Masihkah Pas sanggup menunggu untuk ‘hari itu’, hari yang mana kemenangan Pas menjalar ke Sabah dan Sarawak? Berapa puluh tahun lagi? Berapa kali pilihanraya lagi?

Mungkin juga Pas kata, "kami tak mahu kemenangan setengah masak", apa guna ahli parlimen bukan Melayu menyokong kita pun kalau mereka bukannya ikhlas nak menyokong kita. Dan mereka bukannya sokong kita sebab mereka faham dengan perjuangan kita. Aik, yang sokong Pas masa pilihanraya ke-12 baru ni pun bukannya diorang faham perjuangan Pas, Cina dan India kat Kedah dan Selangor faham ke? India Kota Raja faham ke Iqamatuddin wa siyasatuddunya bihi? Cina Shah Alam tau ke al-Islam ya'lu wala yu'la 'alaih? Nak tunggu pilihanraya akan datang, ada peluang lagi ke Pas nak menang lagi? Jangan lupa, adat pilihanraya ni bergilir-gilir kemenangan antara BN dan pembangkang. 1990, 1999 & 2008, tahun pembangkang. 1995, 2004 tahun BN, boleh saja 2012 akan kembali menjadi tahun BN.

Habis bila lagi Pas nak memerintah Malaysia kalau begitu?

Walaupun saya tak menyokong kalau kerajaan baru Anwar mempunyai majoriti ahli parlimen bukan Melayu/Islam, tapi boleh ke kita nafikan possibility yang Anwar juga boleh memerintah Malaysia sebaik Nizar memerintah Perak? Bolehkah?



Sekian, yang benar,
Mohamed Hadi bin Abd Hamid
Pengundi berdaftar parlimen Wangsa Maju
FaridShah said…
Assalamu'alaikum..

Tatkala pada pagi Ahad, 28/9/08 saya mendapatkan Harakah Edisi Isnin, terasa menusuk dijiwa menatap tajuk hadapan. Amat terkejut dan berdukacita!! Memang mendukacitakan.. Terdetik dihati saya betapa berkecamuknya suasana. Merungut saya kepada isteri tercinta di dalam kereta sambil menghulur Harakah kepadanya.

Pendapat saya ketika itu benar amat senada dengan pandangan Saudara Zainal Abidin Bin Abu Bakar di dalam warkahnya.

Apakah episod seterusnya..???

Semoga kita dilindungi Allah SWT.
Ameen.

Salam EidulFitri buat YB dan keluarga, pemimpin, teman-teman serta semua Umat Islam.
zuhair said…
Muruntun jiwa dan raga saya apabila menatap muka depan Harakah terbaru yang lalu. Buat pertama kalinya sejak kemenangan besar dalam PRU-12 pada 8 Mac 2008 yabg lalu, saya terasa tidak mahu membeli Harakah apabila membaca kenyataan mengecewakan dari YB Tuan Guru Hj Hadi (TGHH).
YB TGHH mungkin terlupa, tidak sedar ataupun tidak mahu menerima hakikat bahawa PAS memang belum betul-betul kuat untuk berdiri atas kaki sendiri memerintah Malaysia. YB TGHH mungkin terlupa Perak diperintah oleh seorang YB dari PAS walaupun majoriti ADUNnya bukan Islam, kemenangan di Perak juga "separuh masak", tetapi YB Ir Nizar berjaya membuktikan bahawa beliau / PR mampu memerintah tanpa mengetepikan hak orang Melayu-Islam. YB TGHH mungkin terlupa kezaliman ArmNo Be eNd terhadap rakyat Malaysia selama ini. Tiba-tiba juga YB TGHH terlupa rakyat Malaysia telah lama hidup menderita dibawah pemerintahan armno dan be end.

Wahai YB TGHH, kenyataan YB di Harakah itu pada saya bukan mampu menguatkan Islam, PAS dan PR, tapi mungkin melemahkan lagi dan tidak mustahil bakal membawa kebencian dan hilangnya keyakinan masyarakat / rakyat Malaysia kepada PR umumnya dan PAS sendiri khususnya. Adakah YB TGHH masih berharap untuk bergabung dengan ArmNO dan Be End yang kotor lagi menjijikkan itu? Adakah YB TGHH masih percaya kepada SPR akan mengendalikan Pilihanraya yang ADIL yang boleh membawa kemenangan kepada PR dalam PRU akan datang ?? Saya yakin dan percaya, jika tidak kerana pilihanraya kotor, penipuan SPR yang bersekongkol dengan ArmNo dan Be End, PR sudah lama berada di Putrajaya hari ini, harga minyak di Malaysia sudah pasti sekitar RM 1.60 - Rm 1.70 seliter sahaja, harga ayam pasti lebih rendah dari RM 8 sekg!, harga beras mungkin turun RM 10-20 setiap 10kg, inflasi mungkin tidak melonjak ke tahap tertinggi dalam masa 26 tahun, TV3 dan sekutunya pasti tidak lagi penuh dengan berita fitnah dan meloyakan, hiburan melampau pasti telah mula dikurangkan (oleh PAS sendiri agaknya) dan rakyat pasti sudah boleh mula menguntum senyuman lega.

DS Anwar Ibrahim sendiri ada menyatakan tentang kemungkinan Pilihanraya Umum akan diadakan secepat mungkin (dalam masa 1-2 tahun) setelah PR mengambilalih Kerajaan Persekutuan, dengan syarat SPR diperbaiki, daftar pemilih dibersihkan, sistem kehakiman dipulihkan, rasuah polis dikurangkan, jabatan Pendaftaran negara tidak bersekongkol membuat kad pengenalan yang dipalsukan, media perdana dibebaskan dan akta zalim dimansuhkan. Tidak sedarkah semua itu wahai yang dimuliakan YB TGHH (dan pimpinan PAS yang lain yang masih bermimpi untuk bermuzakarah bersama ArmNo dan Be End)???

Tidak sedarkan pimpinan PAS dan YB TGHH bahawasanya DS Anwar telah melalui pelbagai penghinaan, penyiksaan dan kesengsaraan sepanjang 10 tahun mutaakhir, adakah DS Anwar akan memijak Islam/Melayu selepas peluang diberikan oleh rakyat dalam PRU lepas ? Ketepikan persoalan siapa bakal PM, saya sendiri pun rela sesiapa sahaja dari kalangan pimpinan PAS atau PKR menjadi PM (asalkan Melayu-Islam), tetapi sedarlah kepentingan kita menumbangkan kerajaan zalim ArmNo dan Be End itu dahulu. PAS tidak perlu keluar dari PR jika Kerajaan baru PR tidak membela Melayu-Islam dan kaum lainnya, rakyat sendiri akan menghukum kerajaan PR seperti rakyat "mengajar" ArmNo dan Be End. YB TGHH perlu ingat kembali slogan ini "SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT" dan juga "RAKYAT HAKIM NEGARA".
Ingat dalam kepala, rakyat Malaysia telah lama menderita, tersiksa dan tidak mampu lagi menunggu lebih lama.
Allahuakbar! Reformasi !
Ibnuwalid said…
Nampaknya PAS sama mcm umno. Tak reti nak bermuzakarah sesama sendiri, alam siber juga jadi pilihan. Kan sama mcm umno tuh? Mana Islam kamu semua? mana ukhwah yang dilaung2kan selama ini? Inikah cara Rasulullah selesaikan masalah sesama para sahabat? Berfikirlah secara Islam, berfikirlah sebagaimana para sahabat berfikir...
Anonymous said…
yg salah harakah sapa suh letak amaran tp yg lagi salah bile ahli jawatan tertinggi pas sendiri mcm mabuk..apa igt kamu dah besar sgt besar kepala degil mana istilah wala' dgn pimpinan malu wey..keje Yg Berkhidmat utk memberi khidmat ini belum apa2 dah masuk tahap ego; pegi buat round dulu area s alam silap2 lepas ni kene tolak org educated x perangai camni pakaila channel yg betul...selagi pimpinan mengangkat quran dan hadis apa salahnya dah istikharah 3 mlm berturut2 bukan mcm kite rasa nak menulis..menulis aje pastu timbulkan perbalahan sedangkan kiri dan kanan asik mencatat dosa pahala....sedar la sikit!
Anonymous said…
Sunday, October 5, 2008
Pendapat: Saudara Zainal Abidin - Isu 3M

Berikut merupakan pendapat yg telah dihantar oleh Saudara Zainal Abidin Bin Abu Bakar berkenaan isu 3M yg dipaparkan semula dlm ruangan ini utk kita kongsi bersama. Pendapat beliau ini pada asalnya telah dihantar ke blog Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan kemudiannya di'CC' kan ke blog ini. Sehubungan dgn itu, pihak kami mengalu-alukan pendapat atau komen yg membina dari para pengunjung semua agar dpt dimuatkan diruang Pendapat dari masa kesemasa. Sekian terima kasih.
- Pejabat YB Khalid Abd Samad -

ada sapa-sapa yg nampak tak pendapat ini disiar di blog DSAI?

kalau ada....???
kalau tak der...????
Salam Anon October 5 2008,

Berkenaan pertanyaan yang dibuat tentang artikel saudara Zainal Abidin ini;

Link untuk blog DSAI boleh didapati di SINI

dan

Link untuk blog Perisik Rakyat boleh didapati di SINI

Terima kasih
-Pejabat YB Khalid Samad-
abdullah said…
Perbezaan pendapat antara dua golongan utama dalam PAS ada kaitan dengan kecenderongan Nik Aziz, dengan bisikan anak didik Anwar dalam PAS- iaitu Husam dan Kamaruddin Jaafar- mempercayai janji berbilion yang dicurahkan ke Kelantan jika Anwar jadi PM. dan jangan lupa PRU 12 Anwar yang "belanja".

Kedua, Nik Aziz ambil hukum tiada saksi maka Anwar tak ada sondolmi, boleh di sokong.

Ketiga dendam kejatuhan kerajaan PAS Kelantan semasa berpisah dari BN. Dendam inilah puncanya.

Jadi Nik Aziz tidak tertarik dengan hujah Haji Hadi yang lebih meletakkan hukum tidak membenarkan ditutup pintu rundingan dalam Islam.

Golongan pro-Hadi secara diam tahu tentang masalah tabi'i sex Anwar, dan tidak boleh terima dia sebagai layak menjadi PM. Hadi bimbang menyandarkan masa depan parti kepada satu pihak sahaja kerana nanti apabila DAP dan PR berjaya lumpuhkan kekuasaan politik orang Melayu PAS akan dituduh bersubahat.

DAP tetap dengan agenda menjatuhkan kuasa politik Melayu, dan menggunakan PKR dan PAS semata-mata untuk tujuan ini. 'If you can't beat them, join them and then destroy them.'

Apa nak dibanggakan PAS apabila Nizar cuma boneka DAP? Jadi DAP dah pun kawal Perak dan Penang. Mana PAS nak pergi nanti? Para peramal mengatakan PRU 13 PAS mampu pertahankan Kelantan sahaja.

Maaf tapi Tok Guru Nik Aziz pandai cakap sahaja tetapi mudah dipengaruhi oleh mereka yang rapat. Beliau lebih melihat kapada kepentingan yang boleh didapati Kelantan. ramai mungkin ingat beliau pernah melobi Dr M supaya menjadikan Ku Li PM selepasnya.

Haji Hadi dari dulu bukan mudah diperdaya. Jadi PAS Kelantan cuma cawangan PKR?

Popular posts from this blog

Berakhirnya Drama RUU 355?

Drama perlaksanaan sistem perundangan Islam yang mengambil bentuk usul persendirian YB Marang berhubung Akta 355 kelihatan menghampiri adegan penamatnya. Pada peringkat kesudahannya UMNO/BN kelihatan sebagai pihak yang meraih keuntungan terbesar dengan pembangkang berada dalam keadaan berpecah dan tidak bersepakat. Keutuhan Pakatan Rakyat yang telah mewarnai pilihan raya ke 13 pada 2013 sudah jelas hilang. Yang sepatutnya mengambil tempatnya, iaitu Pakatan Harapan, masih dalam keadaan sedikit terumbang-ambing, khususnya berhubung hubungan dengan PAS.

Tindakan UMNO/BN untuk mensasarkan PAS melalui isu perundangan Islam adalah satu ‘master-stroke’ yang tidak boleh dinafikan mana-mana pihak. Melaluinya bukan sahaja PR berpecah, namun ketidak-tentuan sikap terhadap PAS menyebabkan apa-apa tindakbalas untuk menyelamatkan keadaan menjadi tidak padu dan kurang bersungguh-sungguh. Kebergantungan terhadap PAS oleh pihak tertentu menyebabkan mereka tidak sanggup memutuskan hubungan dengan PAS s…

Kenyataan Media Amanah Mengenai RUU 355

Muqaddimah

Amanah menganggap mahkamah syariah sebagai institusi penting dalam usaha menzahirkan kebenaran dan keadilan Islam. Oleh itu imejnya sebagai institusi yang cekap dan berwibawa perlu sentiasa dijaga. Amanah bersetuju bahawa segala usaha ke arah memperkasakan mahkamah syariah, dari segi kecekapan perlaksanaan undang-undang Islam, perlu disokong dan dibantu.

Kenyataan Berhubung Usul Persendirian Marang: Cadangan Pindaan ke Atas Akta 355

MUQADDIMAH

1. AMANAH ingin menegaskan bahawa Mahkamah Syariah adalah institusi keadilan Islam dan oleh itu apa jua usaha ke arah menperkasakannya adalah disokong. Bidang kuasanya berhubung kesalahan jenayah syariah dijelaskan dalam Akta 355 sediada. Akta 355 ini perlu dijaga dengan baik dan apa jua usaha pembaik-pulihan serta pindaan terhadapnya perlu diperhalusi secara teliti supaya tidak menjejas kedudukan mahkamah syariah.

2. Akta 355 sediada telah digubal mengambil kira kedudukan dan peranan Mahkamah Syariah di dalam kerangka struktur kenegaraan Malaysia yang di dalamnya wujud Mahkamah Sivil dan juga Mahkamah Syariah. Sepertimana diketahui umum, bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah terhad kepada orang Islam dan kesalahan-kesalahan tertentu seperti terkandung dalam Senarai II Senarai Negeri Jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Selainnya adalah di bawah Mahkamah Sivil.

3. Apa jua pindaan yang ingin dibawa semestinya selari dengan kedudukan dan peranan ini supaya tidak berlaku…