Skip to main content

Minal A'idin Wal Fa'izin

AsSalaamuAlaikum w.r.b.

Kepada kaum Muslimin yang menyambut 1 Syawal, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin. Kalau di Timur Tengah mereka selalu ucap “Kullu ‘Am wa antum bi khair” yang bermakna semoga anda berada dalam keadaan baik sepanjang tahun (lebih kurang).

Semoga kita bertemu dengan 1 Syawal dalam keadaan mencapai kemenangan setelah berjuang selama sebulan demi mencapai ketaqwaan. Saya faham bahawa bulan Ramadhan tahun ini tidak seperti bulan Ramadhan tahun2 sebelum ini kerana selain dari isu ibadat khususiyyah, banyak pula persoalan politik yang terpaksa kita ditangani. Lebih-lebih lagi dengan isu 16 September yang ditunggu-tunggu dengan penuh kedebaran. Ia telah datang dan telah lalu namun matlamat yang diinginkan terus diusahakan. Bersama kita doakan kejayaan usaha-usaha ini. Yang penting ialah kita memahami bahawa politik adalah sebahagian dari ibadah dan usaha untuk menegakkan kerajaan yang adil dan telus serta beramanah adalah merupakan amal Soleh yang tidak kurang pentingnya. Sepertimana kita selalu dengar sebelum dari ini: "Jihad Akbar adalah menyatakan kalimah hak di depan seorang pemerintah yang jahat atau zalim"

Oleh itu, janganlah kita merasakan amalan kita pada tahun ini kononnya tercemar dengan persoalan politik. Sebaliknya kita mesti bangga bahawa pada tahun ini Ramadhan kita dihiasi juga dengan usaha menegakkan pemerintahan yang adil sambil kita terus menunaikan malahan meningkatkan amalan khususiyyah kita. Dan sebenarnya inilah apa yang perlu kita pertahankan, sambil mengurus dunia mengikut kehendak yang maha Esa, amalan khusus dan sampingan tidak kita abaikan. Amalan-amalan ini sememangnya memberi kita kekuatan kerohanian untuk terus berlaku adil dalam urusan keduniaan kita dan mentadbirnya mengikut kehendak Illahi.

Selamat berhari raya, maaf zahir dan batin, semoga kita sentiasa berada di dalam keredhaan Allah swt.

Dengan Ingatan Tulus Ikhlas,
Hj. Khalid Abd Samad
27 Ramadhan 1429 Hijrah

Comments

Anonymous said…
Gambar asal Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, oleh: INK (Creative Commons Copyright). Terima kasih diucapkan.
lan said…
Jazzakallah khair YB kerna sudi terawih dan menyampaikan syarahan agama yang cukup baik tadi di Seksyen 8.. dapat juga turut serta minum teh bersama sebelum YB pulang

isi ceramah YB mengenai takwa menyentuh banyak perkara yang menarik di mana takwa juga diperlukan untuk kehidupan di dunia ini juga, selain untuk kehidupan di akhirat..

Akhir kata, eid mubarak, Taqabbalahhu minna wa minkum
Anonymous said…
"KUALA LUMPUR, 8 Okt (Hrkh) - Anggota-anggota pentadbiran, baik di dalam kabinet persekutuan mahu pun majlis mesyuarat kerajaan (Exco), perlu tahu dan patuh kepada prinsip tanggungjawab bersama (collective responsibility).

Menurut Profesor Dr Abdul Aziz Bari ketika diminta mengulas mengenai perbezaan pendapat antara dua EXCO Selangor, Ronnie Liu dan Iskandar Abdul Samad dalam kontroversi perobohan sebuah kuil di Ampang, baru-baru ini,"tuntutan ini terkandung di dalam Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan yang juga terdapat di dalam perlembagaan negeri."

Aziz berpendapat kenyataan Ronnie Liu betul manakala Iskandar pula menyalahi peruntukan perlembagaan.

"Ini kerana anggota kabinet tidak boleh menunjukkan perbezaan pendapat di khalayak ramai. Mengandaikan bahawa keputusan menggantung pegawai berkenaan tidak diputuskan oleh mesyuarat Exco sekalipun ia mengikat semua ahli kabinet, termasuk menteri besar dan Iskandar sendiri," jelasnya.

Sekiranya Iskandar tidak bersetuju dengan tindakan itu, kata Aziz lagi, beliau perlu meletakkan jawatan dari Exco.

"Menteri besar juga boleh memecat beliau sekiranya Iskandar masih mahu mempertahankan pendapatnya. Soal apakah keputusan menggantung pegawai itu adil atau tidak soal lain.

"Kita bercakap soal prosedur dan ketetapan perlembagaan. Begitu juga tidak timbul soal kebebasan mengeluarkan pendapat kerana ini tidak terpakai dalam kes kabinet di mana undang-undang menetapkan semua anggota kabinet sekata dan siapa yang tidak mahu terikat keluar atau dipecat,"jelasnya.

Tidak timbul juga soal portfolio, Aziz menjelaskan bahawa semua anggota kabinet bertanggung jawab kepada semua perkara, termasuk di dalam hal-hal yang terjatuh di dalam portfolio ahli lain.

Dalam soal ini, kata Aziz lagi, Iskandar juga bertanggungjawab kepada keputusan merobohkan kuil itu.

Aziz menambah kalau Iskandar tidak mahu terikat dengan dasar dan keputusan kerajaan Selangor beliau boleh meletakkan jawatan dan menjadi penyokong kerajaan (backbencher) yang tidak tertakluk kepada prinsip tanggungjawab bersama itu.

Aziz menjelaskan perbezaan pendapat tidak boleh berlaku secara terbuka di kalangan anggota kabinet kerana ia akan menyebabkan rakyat keliru dan tidak dapat melihat yang mana satu sikap dan dasar kerajaan yang memerintah.

Jika itu berlaku, jelas beliau lagi, akan sukarlah untuk dewan memantau dan memaksa kerajaan bertanggungjawab kepadanya.

"Sebab itu jangan dikelirukan antara hak kebebasan bersuara dengan kedudukan sebagai ahli kabinet,"tambahnya. - mks. _ " -Harakahdaily.net

Itu dalam kabinet dan exco kerajaan negeri. Dalam Jemaah pun begitu jugak. Kita tidak dibenarkan berbeza pendapat dengan Syura.

YB ada sebut tentang Saidina Umar yang berlapang dada apabila ditegur. Saya buka menafikan ruang untuk berbeza pendapat. Jemaah ada saluran untuk berbeza pendapat dan menyatakan pendirian. Gunakan saluran yang betul. YB kan pimpinan. Itupun sebelum syura membuat keputsan. Jika selepas Syura, ahli-ahli WAJIB berpegang pada keputusan syura itu. Melainkan kita bukan ahli Jemaah atau kita tidak faham.

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan...

Surat Terbuka Untuk Penduduk Seksyen 23

2hb September 2009 M 13 Ramadan 1430 H السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Kehadapan penduduk Seksyen 23 yang dihormati, Semoga surat ini menemui tuan-tuan dalam keadaan sihat wal afiat serta keimanan yang teguh dan jitu berkat bulan Ramadhan ini. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan diri saya serta tuan-tuan akan Firman Allah, Surah Al Maaidah ayat 8 yang bermaksud; “Bertindak adil! Ianya lebih rapat dengan keTaqwaan.” Semoga dalam usaha kita membina keTaqwaan dalam bulan Ramadhan ini, kita mengingati hakikat bahawa ‘keTaqwaan’ yang diusahakan itu mempunyai hubungan rapat dengan keadilan. Keadilan ini pula perlu dilaksanakan terhadap semua, walaupun terhadap yang tidak disenangi. Ini ditegaskan di dalam ayat yang sama yang bermaksud, “dan jangan oleh kerana kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil…” Kalau terhadap kaum yang dibenci sekalipun dituntut keadilan, apatah lagi terhadap jiran sekampung dan warga sekota? Walaupun mereka tidak sebangsa...

Tapak Kuil Seksyen 23 Shah Alam

Baru-baru ini, banyak betul yang kita dengar berhubung isu tapak kuil yang dicadangkan di Seksyen 23, Shah Alam. Yang tahu, yang tak tahu dan yang buat-buat tahu, semuanya turut sama mengemukakan pandangan masing-masing. Di antaranya, pandangan Noh Omar yang menyatakan bagaimana kerajaan PR tidak peka terhadap sensitiviti umat Islam. Oleh itu, bagi mereka yang ingin tahu, izinkan saya menceritakan serba sedikit perkara sebenar berkenaan isu ini. Tapak Kuil yang dicadangkan adalah di kawasan Industri, lebih 200 meter dari kawasan perumahan. Sebuah Kuil yang sekarang ini berada di Seksyen 19 akan dipindahkan ke tapak baru yang dicadangkan ini. Di Seksyen 19, kuil berkenaan hanya berjarak 20 kaki dari kawasan perumahan! Buka pintu rumah, seberang jalan terdapat kuil. Sebenarnya, kuil Seksyen 19 telah berada di situ sejak zaman sebelum wujudnya Shah Alam lagi. Pada masa itu kawasan di mana kuil tersebut dibina dinamakan Ladang Sungai Renggam. Apabila PKNS ambil-alih, maka dijadikan kawas...