Skip to main content

Isu Artikel Ummahonline

AlhamduliLlah, banyak betul respons yang diperolehi dari pembaca-pembaca blog berhubung temu-ramah saya dengan ummahonline. Ke atas respons mereka saya ucapkan terima kasih. Tak kisahlah yang setuju atau yang sebaliknya kerana saya amat menghargai percambahan pemikiran yang insyaAllah akan menghasilkan satu natijah yang positif bagi parti kita.

Malangnya, sebahagian dari mereka hanya membaca petikan yang disiarkan melalui Malaysiakini tanpa merujuk kepada temuramah penuh di ummahonline. Temuramah berkenaan sebenarnya disiarkan secara bersiri dan dibahagikan kepada 3 siri. Dalam temuramah, seperti biasa, saya menjawab soalan yang dikemukakan. Ia berbeza dari Press Statement di mana kita pilih isu dan tajuk sendiri. Sini kita menjawab soalan yang dikemukakan. Boleh juga kalau tidak jawab soalan2 tertentu, tetapi dengan tidak menjawab akan menimbulkan macam2 tafsiran dan andaian.

Untuk mendapat gambaran yang tepat, sila baca di ummahonline.com sepenuhnya. Bila dibaca, akan didapati isu Cikgu Pa dan PAS Terengganu bukan merupakan isu utama. Maka, yang megatakan bahawa kenyataan saya adalah khas untuk menyerang Cikgu Pa adalah tidak tepat. Akan tetapi ianya tetap merupakan isu yang disentuh kerana ianya merupakan salah satu soalan yang ditanya. Begitu jugalah dengan isu Terengganu.

Oleh kerana isu2 ini disentuh dan banyak mendapat respons, saya kena memberi penerangan terhadap respons yang diterima. Respons saya ini tidak semestinya menjawab semua isu, kerana terlalu banyak. Saya akan cuba beri penerangan terhadap respon yang saya anggap paling bernas.

Mawardi, UTM yang bertajuk: ‘Analisis Khalid Samad Salah
1. Terima kasih kerana menyatakan Cikgu Pa silap kerana meletakkan pendapat peribadinya di muka depan Harakah. Di sini saudara Mawardi menunjukkan sikap objektifnya kerana tidak menolak semua yang saya nyatakan seperti sebahagian tukang respons yang lain. Atas objektivitinya saya ucapkan terima kasih.

2. Komen beliau berhubung temuramah saya di ummahonline yang di anggap lebih ditujukan ke peribadi Mustafa saya anggap dibuat tanpa membaca temubual tersebut sepenuhnya. Sekiranya dia dah baca dan masih mempunyai tanggapan itu, saya tak tahu apa nak dikatakan kerana tiada tujuan saya menyerang Cikgu Pa secara peribadi.

3. Kenyataan Tuan Mawardi bahawa “analisis Mustafa dalam Harakah itu betul” saya akan jawab sehari dua ini, insyaAllah.

4. Terima kasih juga atas kenyataan bahawa dalam PRU ke-10, iaitu tahum 1998, PAS Terengganu menang bukan atas kekuatan PAS tetapi kerana orang Melayu memprotes kezaliman terhadap Anwar. Sebelum ini kita selalu mendabik dada dan mengatakan kemenangan itu adalah hasil “20 tahun tarbiyyah” dan tidak mahu mengakui factor Anwar. (Tuan Mawardi orang Terengganu ke?).

5. Analisanya bahawa Terengganu kalah pada PRU ke 12 adalah disebabkan “Terengganu mempunyai majoriti besar pengundi Melayu yang menyokong totok UMNO” saya rasa tidak tepat kerana kalau ‘totok’ bagaimana boleh menang pada 1998? Ini menunjukkan bahawa ada pengundi atas pagar yang mungkin jumlahnya kecil tetapi cukup untuk memenangkan PAS. Di sini saya rasa sikap Terengganu Tuan Mawardi semakin terserlah. Maaf ya, tetapi sikap yang terlalu cepat memutuskan “kawang orang PAS, demo UMNO totok” yang seperti inilah yang perlu dikikis. Kalau tidak, orang atas pagar juga kita bakulkan dalam bakul UMNO. Seronoklah demo (UMNO)!

Pengundi atas pagar wujud dan kemenangan akan tercapai sekiranya PAS mampu menawan hati pengundi2 ini. Mereka tidak sokong PAS macam kita sokong PAS dan oleh itu sikap yang keras yang dizahirkan oleh PAS boleh menyebabkan mereka undi UMNO. Sikap keras, termasuk sikap menghukum dan bermusuh-musuhan adalah di antara perkara yang tidak disukai oleh golongan yang seperti ini.

6. Pokoknya, sekiranya suasana Terengganu berbeza dengan suasana Kelantan, maka strategi Terengganu mesti berbeza dengan strategi Kelantan (Tuan Mawardi sebut di Kelantan majoriti Melayu totok PAS). Kelantan dimenangi pada 1990 dan dimenangi kembali pada 1995. Dengan isu Anwar, kemenangan semakin melonjak pada 1998. Bukan kerana totok PAS sahaja, tetapi undi atas pagar yang perasaan mereka diambil kira dan dilayani juga pandangan mereka. Namun, saya setuju bahawa majoriti orang Kelate lebih Islamik setelah beberapa sesi di bawah PAS. Pengharaman dilakukan secara berperingkat-peringkat dan mendapat sokongan ramai.

Walaupun begitu, ramai yang atas pagar tertawan dengan Pak Lah dan Kelantan hampir jatuh pada 2004. Maklumlah, duduk bawah ‘kerajaan pembangkang’ bukan mudah. Kalau boleh nak rasa juga duduk selari dengan kerajaan Persekutuan. AlhamduliLlah, masih ada atas pagar mengundi PAS, atau jumlah totok PAS bertambah dalam tempoh 1990 hingga 2004, dan usaha UMNO terus gagal.

7. Kalau awal2 diakui bahawa kemenangan 1998 adalah di atas faktor Anwar juga dan rakyat Terengganu tidak seperti rakyat Kelantan, mungkin strategi dan tindakan kerajaan Terengganu pada masa itu akan ada sedikit perbezaan. Tak syok sendiri sangat dan usaha lebih akan ditumpukan kepada soal menawan hati mereka2 yang di atas pagar.

8. Oleh kerana kita sedar kemenangan kita di Selangor “lebih kuah dari sudu” dan disokong oleh bukan Islamlah yang strategi kita di Selangor tak boleh ikut rentak Terengganu atau Kelantan. Ini yang perlu difahami. Dan memang, kalau saya di Shah Alam ikut rentak Terengganu semasa PRU Mac dulu, saya tak akan menang walaupun ramai pengundi bukan Islam. Inilah di antara penemuan post mortem PRU ke-12. Swing bukan Melayu berlaku disemua negeri, KECUALI Terengganu dan Perlis. Yang penting, strategi mesti sesuai dengan keadaan rakyat. Tidakkah Rasulullah (SAW) bersabda “Bercakaplah dengan manusia mengikut kadar kemampuan penerimaan mereka” au kama Kall.

9. Yang terakhir, apakah sebanarnya kejayaan PAS Selangor? Ini saya akan jawab lain kali secara detail. Buat masa ini cukuplah dengan menyebut kejayaan menjatuhkan kerajaan BN. Kita membebaskan manusia dari khurafat terbesar yang ditaja UMNO, iaitu Malaysia tak boleh hidup tanpa UMNO. Harap tiada dikalangan orang PAS sendiri yang masih terpengaruh dengan khurafat ini.


Telaah Politik yang bertajuk: ‘Antara Cikgu Pa dan Khalid Samad’
1. Saya ucapkan terima kasih kepada Telahan_Politik atas masa yang beliau gunakan untuk memberi komen. Saya setuju dengan beliau bahawa perubahan itu sukar tetapi saya masih tak jelas ke mana yang hendak di bawa hujjah beliau. Adakah oleh kerana ianya sukar maka kita tak seharusnya mencuba? Atau oleh kerana ianya tak semudah itu maka kita istihar mereka2 yang mengatakan ‘boleh’ sebagai pembohong? Dah selama ini kita berbohong juga kerana menjanjikan kemenangan kepada ahli dan rakyat yang menyokong kita?

2. Saya faham bahawa parti2 politik sehaluan dengan PAS di Negara-negara lain telah digagalkan oleh pihak berkuasa dengan menggunakan kekerasan tetapi adakah ini kesimpulan yang nak dibawa? Bahawa di Malaysia kita juga kena bersiap sedia untuk menghadapi keadaan yang sebegitu? Kalau gitu buat apa buang masa berpilihan-raya?

3. Ginilah tuan dan mereka2 yang sependapat dengan tuan; Pertama, di negara2 lain betul, bila parti Islam dengan sendirinya nak berkuasa, walaupun melalui proses demokrasi, seperti di Algeria hampir 20 tahun yang lalu, mereka digagalkan oleh tentera. Institusi Tentera di negara-negara seperti itu berbeza dengan institusi tentera di Negara Malaysia. Suasana Negara mereka juga berbeza dan politik mereka juga berbeza. Kedua, PAS bukan nak berkuasa sendiri tetapi sebaliknya secara berkongsikuasa. Ini akan mengurangkan kegerunan pihak kuasa besar akan implikasi kemenangan ini. Ketiga, betul akan ada yang akan berusaha mengagalkan tetapi saya rasa,tak kurang juga mereka yang akan berusaha menjayakan dikalangan pentadbiran yang sedia ada. Itulah kelebihan yang ada pada Anwar (kena kutuk lagilah aku). Dia bekas TPM dan ramai juga di dalam pentadbiran yang sedia ada yang menyokong atau simpati dengan dia.

4. Kalau ikut pandang tuan, kita mengalah tanpa mencuba dan ini saya tak boleh terima. Ini yang saya sebut “di bawah tempurung”. Kita nampak hanya apa yang kita nampak dan apa orang lain nampak kita tolak mentah2. Mungkin dunia kita tidak seluas dunia luar? Tak mungkin? Takpelah.

5. Pimpinan tertinggi PAS berunding melalui Majlis PR yang telah bersidang beberapa kali. Isu 16 Sept diketahui umum dan tidak benar pimpinan kita tidak dibawa berunding. AJK PAS Pusat melantik beberapa orang sebagai wakil kita dan mereka melaporkan perkembangan kepada Lujnah Politik Pusat (ana ahli) dan juga AJK PAS Pusat. Syarat majoriti Melayu Muslim ditetapkan oleh PAS dan disampaikan kepada Majlis PR dari dulu lagi.

6. Dalam Lujnah Politik telah diputuskan PAS akan juga berusaha untuk menarik MP2 UMNO untuk menyertai PR, khususnya PAS. Itu latar belakang dan malahan justifikasi muzakarah yang dipertahankan dengan begitu tegas oleh Cikgu Pa. Kalau bukan untuk tarek orang UMNO masuk PAS, muzakarrah yang dipertahankan dengan begitu emosi untuk apa? PAS masuk UMNO?

7. Inilah sebabnya saya tidak boleh terima tindakan Cikgu Pa. Bukan saya saja ya. Tolong ingat Tok Guru Nik Aziz. Atau Tuan2 ingat depa jumpa untuk minum teh ke? Mungkin artikel tuan sepatutnya bertajuk “Antara Tok Guru Nik Aziz dan Cikgu Pa”.

8. Cikgu Pa keluarkan kenyataan seolah-olah nak sabotaj usaha2 kami untuk menubuhkan kerajaan Pusat PR. Ditimbulkan isu moralnya lompat. Kenapa tak ditimbulkan dulu? MP UMNO yang nak lompat teragak-agak. Takut2 mereka lompat ke kanan, PAS lompat ke kiri.

9. PAS yang memilih untuk menjadi pasif dengan sikap “kita tunggu dan lihat”. Sambil menyatakan sikap ini ada pula yang menuntut jawatan PM untuk TG Abd. Hadi Awang, Presiden PAS. Tak pelik ke? Tak buat apa2 kecuali tunggu dan lihat tapi nak jawatan PM!

10. Tiada sebab kita perlu menjadi pasif. Tiada siapa suruh kita jadi pasif. Kita pasif mungkin kerana kita dihantui bermacam2 ketidak-tentuan yang menyebabkan kita tak tahu macam mana nak gerak. Nak bersama UMNO ke? Mungkin tercapai melalui PR ke? Mageran ke? Khianat Melayu ke? Moral ke? Banyak sangat perkiraan sehingga apa yang diputuskan akhirnya tinggal sebagai keputusan sahaja. Yang berusaha digelar ‘Erdogan’ dan yang diri ditepi menunggu dan melihat dianggap PAS asli yang telah menerima tarbiyyah. Lepas itu, kalau gagal, ada yang ‘asli’ ini yang akan bersorak. Betul ke sikap macam ini? Sepatutnya kita berusaha bersama untuk menjayakan, bukan sebaliknya.

11. Sebenarnya sikap kurang kommitted segelintir pimpinan PAS terhadap PR sangat tidak disenangi oleh TGNA. Mungkin inilah sebabnya berlaku pertemuan 6 mata di KB baru2 ini. Takkan nak minum teh je, kan puasa!


Anaksengat yang bertajuk 'Kenapa Khalid Samad Ni???'
Respon saya kepada komen anaksengat seperti berikut:-

1. Baca temubual saya di ummahonline.com sepenuhnya sebelum komen.

2. PRU ke 12 adalah yang diadakan pada Mac tahun ini. PRU ke 13 belum lagi dan sedang dinanti2.

3. Saya pun setuju kita sepatutnya memberi tumpuan kepada post-mortem PAS dan bukan post-mortem Khalid Samad. Hanya saya ada satu permintaan. Bila buat post-mortem, pemimpin Negeri yang sedang di post-mortem harap tidak terlibat. Kalau terlibat, sukar dia nak akui kesilapan dirinya sendiri dan kesimpulannya, kesalahan biasanya diletakkan di pihak lain. Kedua, pegawai2 yang buat psot-mortem juga selalunya malu alah dengan pemimpin2 besar kita ini dan akhirnya isu yang sensitive akan tidak disebut. Sebagai contoh, faktor2 kekalahan Terengganu pada 2004 setelah memerintah selama hampir 5 tahun. Hingga hari ini keterlanjuran sebahagian pimpinan Negeri tidak disebut secara rasmi tetapi dibisik2 dikalangan ahli. Tidak sepatutnya begini. Keterlanjuran khususnya dalam soal ‘ghanimah’ sering disebut.

4. Soal TG Hj. A.Hadi sedikit sebanyak terpengaruh dengan Cikgu Pa adalah persoalan biasa. Apa gunanya rakan dan sahabat kalau tidak untuk berkongsi pendapat. Bagi saya ini menunjukkan sikap tawaddhu’ TG Hj. A. Hadi dan tiada kena mengena dengan soal kononnya beliau lemah. Lagi teruk kalau saya kata dia tak dengar cakap sesiapa.

5. PAS Terengganu bergerak dalam suasana majoriti Melayu yang begitu besar. Ini merupakan hakikat yang diketahui umum dari dulu lagi. Strategi PAS Terengganu mesti ambil kira keadaan persekitaran mereka dan mesti disusun dengan tujuan menawan hati orang Melayu, khususnya yang atas pagar. Sebenarnya di Selangor ada beberapa kawasan majoriti Melayu yang kita menang, seperti Parlimen Gombak (80% lebih) dan semua DUN2nya. Begitu juga DUN Bangi. Jentera di Gombak dan Bangi di antara yang terkuat, namun tidak sekuat Terengganu. Kalau strategi kena, dengan jentera yang kuat, walaupun di kawasan majoriti Melayu, kita boleh menang, insyaAllah. Soal ini ada hubungan dengan imej yang kita bawa juga. Berkebajikan, ramah, lembut, merayu, nak membantu dan sebagainya.

Akhir kata, seperti yg saya nyatakan sebelum ini: berdakwah bukan satu tugas yang mudah dan matlamatnya tidak akan tercapai dalam sekelip mata. Ianya perlu dilakukan dengan hikmah dan bijaksana. yg memerluan strategi dan ‘awlawiyyat’ yang jelas. Lebih-lebih lagi apabila yang diceburi adalah arena politik. Sila rujuk posting saya sebelum ini mengenai isu
Awlawiyyat. Terima kasih sekali lagi diatas respons dan pandangan saudara semua.

WaLlahu ‘Alam

Comments

Lot 250 said…
Satu hujah yang bagi ana antar terbaik yang dinukilkan oleh YB

Salam perjuangan
Anonymous said…
Yes, saya setuju. Sedikit sebanyak menjernihkan kekalutan yg ada. Alhamdulillah, teruskan usaha penerangan YB - grassroot bangi
Anonymous said…
Salam YB.

Hujjah YB bernas. saya bagi kredit untuk YB.

Mintak YB Komen cadangan TKP DPP Pusat pulak. Apakata setelah Pak Lah tak mahu jumpa DSAI kita sarankan pulak supaya TGHH jadi wakil PR untuk buat perjumpaan dengan Pak Lah bagi menggantikan DSAI. Sebab akhir-akhir ni UMNO macam dah kendur skit dengan PAS.

Salam.
Anonymous said…
bagus mcm ni, ada pendapat dan teguran membina yg boleh di manafaatkan bersama oleh kedua2 pihak pemimpin dan yg dipimpin. tak semesti nya berlainan pendapat mesti bergaduh dan bermasam muka. yg penting semua mesti ikhlas utk menegakkan kalimah Allah di bumi Malaysia - then no problemo...
Anonymous said…
Assalamualaikum.

teringin jugak nak dengar YB ulas cadangan ust. nasha tontowi.

Sebab sblm ni PM penah jumpa (muqabalah) dengan timb. presiden.
mana tau dia nk jumpa presiden kita pulak.
abdrahim kassim said…
YB Khalid,

Kalau semua pemimpin PAS boleh berfikir seperti saudara, saya rasa sudah lama PAS boleh memerintah Malaysia.

Teringat saya kata-kata almarhum Tuan Haji Yusof Rawa semasa YB baru join PAS dulu. Dia kata, "budak ini (YBlah) ada tokoh untuk jadi Presiden PAS".

Tapi YB jurutera dan bukan ulamak (seperti yang difahami banyak orang), Dia orang boleh terima ke?

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan