Skip to main content

Menggempur Pemikiran Assobiyyah (Perkauman)

Pada ‘Thursday, August 21, 2008’ blogger antihusham telah postkan entry yang disertakan dibawah. Saya sertakan disini kerana ingin semua memahami sikap dan jalan perhujahan yang ingin beliau bawa supaya kita dapat menangkisnya dari awal sebelum ianya menjadi barah yang merosakkan PAS.

"Aku Engkau" Dengan Tuan Guru
Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang adalah seorang tokoh ulama yang dihormati dan segani oleh setiap kawan dan lawan dari dalam mahupun luar negara. Ilmu dan amalannya dikagumi oleh setiap orang. Bangun ditengah malam untuk bertahajud menjadi amalan rutinnya yang tidak pernah ditinggalkan. Nikmat bermimpi bertemu Rasulullah sudah berkali-kali dirasainya. Solat Istikharah untuk membuat sesuatu keputusan ataupun mencari petunjuk adalah menjadi kewajipannya. Hinggakan untuk mendapat petunjuk Allah terhadap isu muzakarah PAS-UMNO pun Tuan Guru beristikharah selama tiga hari tiga malam. Yang mana akhirnya Allah menunjukkan kepadanya betapa Surah Al-Anfal Ayat 60-62 menjadi sangat relevan terhadap isu tersebut. Itupun masih ada yang meragui ayat AlQuran tersebut hingga sanggup mengupah orang mencari hujah untuk menolak ayat tersebut...dengan alasan kununnya telah dimansuhkan.

Hakikat bahawa ayat tersebut telah dinasakhkan mengikut sebahagian ulama’ diperakui oleh Tuan Guru sendiri di dalam ucapan beliau. Itu tidak seharusnya menjadi satu isu. Soal istikharah dan kedudukan Tuan Guru sebagai seorang ‘Alim juga tidak menjadi isu. Namun keputusan jemaah tidak boleh diputuskan atas hujjah istikharah pemimpin semata-mata. Mesti ada hujjah dan dalil yang lain. Kalau tidak tak perlu kita bersyura dan membahas dan membincang strategi dan taktik. Hakikatnya istikharah salah satu usaha tetapi ianya tidak merupakan hujjah muktamad dan tidak menjadi hukum Qat’i.

Setiap orang terutamanya ahli-ahli PAS sentiasa berebut-rebut dan mencari peluang bertemu, bersalam, mencium tangan dan memeluk tuan guru presiden. Bukan kerana taksub membabi buta tetapi ingin merasa ni'mat dan barakah bertemu dengan seorang tokoh ulama disamping mengharapkan doa dan shafaatnya untuk hari kemudian.Dengan personaliti, ketokohan dan kewibawaan Tuan Guru Presiden sedemikian, sangupkah anda apabila bercakap dengan beliau menggunakan perkataan "aku engkau" dengan beliau? Saya percaya semua tidak sanggup (gamak) samada lawan ataupun kawan termasuk diri saya sendiri. Sebelum ini tidak pernah terlintas dihati saya bahwa ada orang yang sanggup berbuat demikian. Tetapi amatlah mengejutkan dan menyedihkan apabila sekarang saya tahu dan kenal siapa yang sanggup dan memang senantiasa bercakap macam tu. Tak perlu saya berselindung dan orang itu adalah KHALID SAMAD, ahli Parlimen Shah Alam dan seorang ahli dalam Lujnah Politik PAS.

Cubalah kita bayangkan betapa rendahnya martabat Tuan Guru Presiden menurut kaca mata Khalid Samad sehingga di"aku-engkau"kan. Kalau nak cakap "ana anta" pun kita rasa macam dah kasar inikan pula "aku engkau". "Ana anta" kalau ikut penggunaan bahasa Arab pun lebih kurang macam "aku engkau" juga. Kalau Hatta Ramli yang kurang ajar tu memang dia cakap "ana anta" saja dengan Tuan Guru Presiden. Tapi Khalid Samad ni dah lebih teruk dari kurang ajar. Biadab, takdak akhlaq dan menuju ke arah syakhsiyah jahiliyah. Orang UMNO pun tak cakap macam tu kat ketua mereka. Paling kurang mereka akan bahasakan PakLah atau Dato Seri.

Saya amat menghormati Tuan Guru Haji Hadi dan juga Tok Guru Nik Abdul Aziz. Setakat mana yang saya tahu, saya sentiasa bercakap dengan penuh hormat semasa bersama mereka. Kalimah ‘aku’ kadang2 saya gunakan semasa bergurau dengan sahabat handai, tetapi tidak sekali-kali semasa bercakap dengan mereka. Kalimah ‘Engkau’ saya tak pernah pakai dan sebaliknya menggunakan ‘awak’ secara kebiasaan. Bagi saya ini merupakan isu murahan yang ingin digunakan oleh blogger antihusam untuk menimbulkan sentiment benci dan marah dikalangan ahli dan penyokong PAS terhadap golongan yang dia anggap penyokong dan pengikut YB Husham. Saya dikatakan salah seorang dari mereka. Itu andaian beliau sedangkan kami tidak berpuak-puak di dalam jemaah tetapi dia ingin mewujudkan puak-puak ini. Dalam mesyuarat adakalanya saya menyanggah pandangan Dr. Dzul, adakalanya pandangan Husham dan juga sebaliknya. Itu perkara biasa bagi kami. Kita ingin mencari keputusan yang terbaik. Saya menyeru kepada semua ahli PAS untuk berwaspada dan menolak usaha beliau untuk mewujudkan puak-puak ini.

Dalam Muktamar PAS baru-baru ni kita boleh lihat betapa Khalid Samad begitu terdesak nak jadi juara puak Erdogan dalam PAS. Ucapannya dalam membahaskan usul tempohari hanya menampakkan kebodohan beliau sendiri. Berapi-api macam sapi (yang kena cucuk hidung) tapi takdak isi. Beliau cuba berlagak pandai bila menceritakan kedudukan PAS dengan PKR/PR di Selangor sedangkan beliau tidak terlibat secara langsung dalam pentadbiran negeri Selangor. Apa yang dia tahu? Orang yang layak bercakap hanyalah Dato' Hasan Ali sebagai Exco kanan kerajaan negeri. Ust Salehin yang jadi wakil Selangor dalam mukamar tu pun layak bercakap dan dia lebih tahu dari Khalid sebab dia duduk dalam Majlis Pakatan Rakyat Negeri.

Saya adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor dan Pengerusi PASKAD iaitu unit kajian dasar dan stratejik PAS Negeri Selangor. Saya tahu apa yang berlaku. Namun saya merasakan masalah yang kita sedang hadapi dalam PR adalah perkara biasa. Baru 5 bulan bersama. Keadaan kongsi kuasa ini adalah keadaan baru bagi ketiga-tiga pihak, iaitu PAS, PKR dan DAP. Pasti berlaku kesilapan dan ketidak-serasian atas isu-isu tertentu. Itu biasa. Itu tidak bererti kita dianak-tirikan. Di sini mungkin ada khilaf di antara saya dan Ust. Salehin tetapi kita tahu adabul ikhtilaf dan tidak membodohkan satu sama lain.

Keadaan di mana ada perbezaan pandangan di antara PAS, PKR dan DAP sudah dijangka apabila kita memutuskan untuk mengamalkan ‘tahalluf siyasi’. Kalau kita tak jangka maknanya kita tak faham apa yang kita buat. Soal ucapan saya samada menampakkan kebodohan sendiri atau sebaliknya saya serahkan pada perwakilan untuk menilainya. Hanya saya merasa bangga bahawa Tok Guru Nik Aziz memetik ucapan saya dan mengukuhkannya semasa beliau berucap. Mungkin blogger ini tak iktiraf TGNA sebagai ulama’ atau menganggap TGNA juga menunjukkan kebodohan beliau dan orang Husam kut?

Saya juga berpeluang mendengar Tuan Guru Haji Hadi semasa press conference beliau di bilik VIP selepas saya berucap. Dia menyebut soal assobiyyah. Itu menyebabkan saya terasa begitu terharu kerana saya telah menyentuh isu yang sama semasa berucap.

Apa yang Khalid Samad tahu?? Khalid Samad hanya tahu nak selamatkan bosnya, Husam Musa dan sudah tentu DSAI. Dia juga antara pimpinan PAS yang terlalu sayangkan cina kafir DAP dan cuba nak menjahamkan kedudukan Melayu/Islam di Selangor. Saya mendapat tahu bahawa kerusi Ahli Majlis Daerah Tempatan (PBT) di Shah Alam yang sepatutnya diperuntukkan untuk ahli PAS telah beliau cuba serahkan kepada orang Cina kafir!! (Nasib baik ditolak oleh DAP sendiri kerana cina tu tak disukai oleh DAP). Cukup bodoh dan bebalnya pemikiran Khalid Samad ni. Apa yang dia lakukan adalah perbuatan mengkhianat kepada orang Melayu/Islam yang tak boleh dimaafkan. Baru 5 bulan jadi YB dah nak tunjuk belang...perasan diri tu bagus sangat!

Point ini yang saya rasa amat tertarik untuk menjawabnya. Di sini kita boleh nampak pemikiran Blogger ini secara jelas. Beliau seorang ‘racist’ yang tak ada tempat dalam Parti Islam. Dalam tulisan beliau, ‘Islam’ sentiasa digandingkan dengan ‘Melayu’, seolah-olah Islam itu tidak boleh berdiri atas kekuatannya sendiri dan mesti disokong oleh tongkat kebangsaan Melayu. Sambil itu perkataan ‘kafir’ itu pula mesti digandingkan dengan perkataan ‘Cina’. Kesempitan kefahamana beliau terhadap Islam dan keadilannya disempitkan lagi oleh sikap perkauman beliau. Betullah apa yang saya sebutkan di dalam ucapan saya semasa membahas usul memperkukuhkan PR bahawa ramai yang tidak mengikuti tarbiyyah tahun 80an dalam soal menggempur pemikiran assobiyyah.

Dalam kesempitan dan keserabutan pemikiran beliau, cogan kata “PAS untuk semua” tidak mampu beliau fahami. Begitu juga konsep “rahmattan lil ‘alamiin” amat jauh sekali dari hati beliau. Dia marah kerana saya mencadangkan nama seorang pemimpin masyarakat Cina sebagai salah seorang calon untuk ahli majlis PBT sedangkan pemimpin Cina ini berkerja keras untuk PAS semasa PRU 1999, 2004 dan semenjak tahun 2005 sehingga PRU ke 12 pada 2008. Dalam pemikiran beliau Islam tidak mampu menarik sokongan orang bukan Melayu/Islam. Islam lemah dan akan hanya disokong oleh orang Melayu. Kawasan tak ramai Melayu patut diabaikan dan serahkan kepada parti lain. Bila parti lain menang besar dia marah sedangkan ianya berlaku atas ketidak-yakinan beliau sendiri terhadap daya penarik Islam yang adil dan hebat ini.

Sebenarnya, peruntukan untuk PAS diisi oleh orang PAS. Ada pula peruntukan untuk NGO dan Professional. Mr. Ang yang saya cadangkan adalah Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Berkeley. Saya cadangkan nama beliau untuk mengisi peruntukan NGO. Pihak DAP tidak bergerak di Taman Berkeley yang mempunyai lebih kurang 3,000 orang pengundi Cina tetapi PAS, atas sokongan Mr. Ang, begitu dikenali di situ. Setiap tahun semenjak 2005 ada program 2 atau 3 kali. DAP tidak tahu Mr. Ang menyokong kita maka apabila namanya naik mereka membantah kerana menganggap beliau orang Gerakan. Agak lucu bila difikirkan bagaimana PAS lebih rapat dengan pengundi Cina di situ dari DAP sendiri. Namun perkara ini tak mampu difahami oleh orang yang mata hatinya telah dicemar semangat perkauman yang begitu tebal. Saya harap beliau memahami “laisa minna” yang disebut oleh Rasulullah terhadap golongan assobiyyah.

Kesimpulannya PAS kena buang dan turunkan pimpinan yang kurang ajar seperti beliau yang tidak melambangkan keperibadian Parti Islam. Lebih-lebih lagi apabila beliau sendiri tidak ada rasa hormat sehingga bertindak menghina dan merendah-rendahkan martabat seorang ulama besar seperti Tuan Guru Presiden PAS sendiri dengan perkataan "aku engkau". Sedarlah bahawa tiada tempat untuk orang-orang yang biadab dan celupar terhadap kepimpinan ulama PAS seperti Khalid, Hatta Ramli, Hanifa Maidin dll.* tambahanSemalam di parlimen bila wakil DAP Chong Eng dan PKR (Zulkifli Nordin) bertelagah mengenai isu forum memeluk Islam anjuran Majlis Peguam, Khalid Samad macam biasa cuba nak jadi hero. Yang bangangnya bukan hero untuk Islam tapi hero DAP. Punyala Zulkifli Nordin mempertahankan rasional tindakannya bersama dengan penunjuk perasaan untuk menghentikan forum tersebut atas dasar mempertahankan agama Islam, si Khalid senang-senang mencelah dan cuba memenangkan dan mempertahankan Chong Eng yang mempertikaikannya. Hinggakan Chong Eng berterimakasih dan meminta orang lain mencontohi Khalid Samad yang beliau gelarkan "Islam Moderate". Nampaknya Khalid Samad lebih takutkan DAP dan tindakan disipilin Lim Guan Eng daripada takutkan ALLAH!

Sebenarnya Zulkifli Nordin dan Chong Eng bertelagah hasil jolokan UMNO/BN. Isu asal berhubung Bahasa Kebangsaan dan Islam sebagai ugama resmi sengaja dikaitkan kepada Forum Majlis Peguam. Saya masuk untuk menghentikan perbalahan di antara dua wakil PR dengan membawa perbahasan kembali kepada isu asal iaitu Bahasa Kebangsaan dan Islam sebagai ugama resmi. Mendengar penjelasan saya berhubung kedua-dua isu ini Chong Eng mengeluarkan pujian terhadap diri saya. Pujian ini bukan kerana saya memenangkan beliau dalam perbalahan beliau dengan Zul kerana saya langsung tak sentuh isu Forum berkenaan kerana ia keluar tajuk. Pujian ini adalah kerana AlhamdulilLah, saya dapat membuktikan sikap Islam yang adil berhubung bahasa dan ugama. Saya faham bahawa bagi blogger ini, ini suatu yang mustahil kerana mana mungkin orang “Cina Kafir” dapat melihat keadilan Islam ini. Sepertimana yang saya sebut tadi bagi pandangan beliau Islam tak mampu menawan pemikiran orang “Cina Kafir”. Islam hanya mampu menawan hati orang Melayu/Islam. Oleh sebab itu beliau membuat andaian bahawa saya memenangkan Chong Eng. Persoalan: PAS nak dilihat sebagai pemimpin seluruh Malaysia atau Melayu/Islam sahaja?


KESIMPULAN:
Melalui pilihanraya 2008, rakyat Malaysia memberi peluang kepada PAS untuk membuktikan kemampuan dan keadilan Islam. Ini merupakan peluang yang dinanti-nantikan selama ini. Adakah setelah peluang ini diperolehi kita ingin kembali kepada premis Melayu/Islam yang menjadi laungan UMNO selama ini?

Bagi PAS bila Islam kuat, Melayu selamat, Cina selamat, India selamat dan semua selamat. Bagi mereka-mereka yang tidak mampu membezakan Islam dari Melayu, sila masuk UMNO. Kami mempunyai cabaran dan tugasan besar, iaitu membuktikan kebenaran, keadilan dan kehebatan Islam. Don’t stand in our way!

Comments

Doktor PAS said…
Syabas YB! Crystal clear.

Even though actually hujah antihusam tu umpama kemuncup di jalanan shj. Orang tak heran pun dgn tulisan dia.
Anonymous said…
Mereka yang menyokong sentimen perkauman dan ke'puak'an seperti antihusam perlu fikirkan matlamat perjuangan asal ISLAM itu sendiri yg bukan utk org Melayu atau mana kelompok tertentu shj "Islam for ALL". Semoga kita semua diberikan petunjuk dan kekuatan. Utk YB Khalid Samad: Teruskan perjuangan!
Anonymous said…
YB,

Saya setuju dengan tulisan Doktor Pas.

Antihusam itu menulis menggunakan bahasa yang langsung tidak mencontohi gaya bahasa yang digunakan Nabi Muhammad SAW.

Antihusam menggunakan gaya bahasa yang digunakan oleh puak Jahiliah yang memusuhi Nabi Muhammad SAW.

Kata pepatah Tamil, "Apa yang ada dalam senduk, itulah yang ada dalam periuk."

Kata pepatah Melayu, "Bahasa menunjukkan bangsa."
Naim Jalil said…
assalamualaikum, ini kali pertama saya membaca tulisan tuan. sebagai wakil rakyat PAS, ada satu soalan yang ingin saya tanyakan:

dalam senario politik negara yang tidak keruan - hilang percaya kepada kerajaan, isu perkauman picisan yang dimainkan oleh DAP/PKR, benar/palsu cerita DSAI - apa strategi yang dibuat/dirancang oleh PAS untuk mengukuhkan kedudukan & pengaruh?

pendirian PAS seakan tidak jelas dalam isu-isu ini. saya rasa, ini adalah masa yang baik untuk PAS mendidik rakyat Malaysia (terutama yang Islam), tentang pendekatan islami yang boleh mereka ambil dalam menghadapi kemelut fitnah akhir zaman ini - kuatkan iman, teguhkan tawakkal, etc. Tapi nampaknya agak sukar, kerana PAS sendiri sudah masuk dalam sebahagian daripada fitnah itu, i.e pakatan rakyat.

Apa pandangan tuan?
Anonymous said…
lihat pada jenama 'antihusam'saja kita dah tahu jenis orangnya.ada saiko.kemaruk benar dia meng'anti
yb husam dan yb2 yang disebut2nya.

nyatanya dapatlah kita semua tahu ada spesis jenis ini dalam PAS kita.spesis duri dalam daging, musuh dalam selimut @ musang berbulu ayam memang nak rosakkan kebaikan.

kalau spesis ini nak perkasakan jemaah kita, dia tidak akan menabur fitnah, bahasa kejian atau tuduhan melulu sedemikian. mereka yb2 itu telah dipilih oleh rakyat masing2 tentulah punya kelebihannya masing2.

tidak salah jika kita katakan penulis blog 'antihusam'...punya agenda songsang dari perjuangan PAS atau ada dalang berkepala botak yang menggosok belakangnya agar berlaga dengan kepimpinan PAS tanpa sopan dan maaf. dia bukan seorang pemimpin dan tidak layak menjadi pemimpin.
Anonymous said…
salam alaik,
gaya bahasa dan pola serangan blogger antihusam itu agak biasa dilihat, tetapi bukan di kalangan ahli pas. ataupun sekurang-kurangnya ahli pas yang terdidik dengan ilmu.

dan golongan seperti inilah yang saya anggap lesu dan sangat tidak lincak berpencak dalam politik.

kalau dalam sukan bola sepak, mereka adalah pemain2 yang gemar menjaring gol ke gawang sendiri. jika badminton, gemar mengumpan bola tanggung.

yang susah adalah majoriti ahli pas yang jenuh nak menangkis serangan lawan.
khalid, kau cuba nak tegakkan benang yang basah kat sini.
aku akan jawab dan dedahkan lagi.
tunggu...

http://antihusam.blogspot.com/
Anonymous said…
Askum YB,
Jangan dilayan sangat blogger..tu. drp jenama blognya saja kita dapat menilai objektif penulisan beliau.Tulisan yg dipenuhi dengan unsur dendam dan bak kata ore kelate "perut pedal busuk". Teruskan bersuara demi agama dan kebenaran.Allahuakhbar!
Anonymous said…
Ana setuju dgn pokmae kita jgn layan sgt org2 mcm antihusam ni, buat buang masa dan tenaga kita je. Ana juga cadangkan kepada SEMUA raykat Malaysia yg berAkal agar boikot je blog mamat nih supaya dia syok sendiri, tulis sendiri dan baca sendiri apa yg dia tulis... Jgn beri ruang free publicity sbb itu yg org2 mcm dia ni mahukan aka Blogger murahan.

Walaubagaimanapun ana 'rasa', ana tahu kenapa YB jwb penulisan yg kali ini, teruskan usaha dan semoga mendapat keberkatan. Lwn tetap lwn!
Anonymous said…
Syabas YB. Your reasoning is precise, clear and wise.Ramai orang kita always think that Melayu is Islam.Mereka lupa ada bangsa bangsa lain yang lebih lama dpd kita memeluk agama Islam."Bagi mereka-mereka yang tidak mampu membezakan Islam dari Melayu, sila masuk UMNO." Lucu tapi tepat kata YB tu.
webmaster said…
YB! Blogger antihusam merupakan seorang yang pengecut. Tak ada telur. Tak berani nak tampilkan wajahnya dalam blog. Tak berani untuk membiarkan blognya dikomen sebebasnya oleh para pengomen. Minta pimpinan PAS siasat, siapa dalang disebalik blog berkenaan? Ini merupakan jarum2 halus yang cuba merosakkan perpaduan jemaah.
Anonymous said…
DAP PERTAHAN NEGARA SEKULAR

Andai sungguh apa di kata..
sudah terang lagi bersuluh..
DAP amat menentang usaha..
Menjadikan islam tunjang negara…
berdosakah kita bersama mereka..
atau syuga balasan kita…
kalau itu pengakhir kata…
lebih baik tunduk melangkah di buka..
laluan gerbang telah terbina…
islam akan terus dibela..
marilah kita bersama..
memberi kata dua kepada mereka..
islam tetap terus di bela..
dasar sekular kita kuburkan jua…
islam harus jadi tunjang negara..
rawatlah luka sebelum bernanah lela..
biar busuk tapi ia kering jua…
jangan sampai ia di potong pula..
islam tetap di pertahan juga…
semua soalan ada jawapannya..
Islam tetap di hati kita..
Takbir….. Allahuakbar…
Takbir….. Allahuakbar…
Takbir….. Allahuakbar…

DIKARANG OLEH : SUDAHMASUKPAS
DITUJUKAN KEPADA : Y.B. KHALID ABD SAMAD DAN AHLI PAS
ibnumustafa said…
Salam..
Tahniah dan terima kasih atas kenyataan yg jelas dari YB Khalid..

Walaupun saya dari berlainan parti, namun sebagai seorang muslim, saya memahami maksud dan perjuangan kita adalah sama demi menegakkan Dinul Islam..

Kpd antihusam kalau benar ia bertunjangkan kepada kalimah Lailahaillallah Muhammadur Rasulullah, dia tahu apa tujuan terciptanya syurga & neraka?? kalau dia telah menciptakan fitnah maka laknat Allah menantinya, kalau dirasainya ia di pihak yg benar

SILA TAMPILKAN DIRI!! JANGAN BERSEMBUNYI SEPERTI SYAITAN YG JAHAT TAK DAPAT DILIHAT DEK MATA KASAR KITA!!

Kpd YB Khalid teruskan perjuangan.. dakwah & tarbiah.. demi agama, bangsa & negara..

Takbirrr!! Allahu Akbar!!

-AMK BHG.NIBONG TEBAL P.PINANG-
Anonymous said…
Salam..
Tahniah dan terima kasih atas kenyataan yg jelas dari YB Khalid...
antihusam tu sengaja nk memecah belahkan ahli pas...orang macam tu kite kene dakwah die agar kembali kpd ajaran Islam yg sbnr...
sekali lagi saya menyokong pendirian YB yang begitu jelas sekali menegakkan Islam...
Islam for all..
Anonymous said…
YB,

Please carry on with the stellar work that you've been doing so far.

Ignore the efforts of people like antihusam, who is far too cowardly to even reveal his identity.
Anonymous said…
Tuan....

Teruskan usaha murni untuk Malaysia khususnya Shah Alam...

Semuga Allah akan sentiasa bersama tuan.....
Anonymous said…
'Islam' untuk SEMUA KAUM DI BUMI ALLAH ini.

Pengkritik 'antihusam'ini hanya Lebih bersifat emosi dan diskriminasi dalam Islam dan memecah-belahkan penyokong2 PAS.
Tiada suatu bangsa pun di angkat tinggi darjatnya melainkan mereka yg betul2 BERIMAN kepada Allah.

ISLAM itu ADIL utk semua makhluk di bumi ALLAH. maka tidak adil lah jika ISLAM/MELAYU yg di bangga2kan oleh penulis mensisihkan keadilan utk mereka kaum yg lain.

Jangan terikut2 dgn MAJORITI budaya UMNO atasan yg lebih membangga2 kan MELAYU BANGSA drpd memperjuangkan ISLAM.
Itu yg menyebabkan bangsa lain tidak berminat mendekati Islam kerna 'mendiskriminasikan' Islam itu sendiri hanya utk org Melayu.malah ada nya orang Melayu sendiri keciciran agama Islam nya.

Bermuafakat lah kita untuk memperkuatkan Islam untuk semua orang dan bukan hanya untuk segelintir golongan di dunia ini.
Anonymous said…
assalamualaikum..
akhi khalid..
jelas blogger ni adalah abdullah bin saba' moden..
pimpinan pas kena jaga orang-orang saba'iyah yang bertujuan menjatuhkan islam melalui perpecahan dalaman sebagaimana mereka berjaya menimbulkan fitnah di zaman khalifah usman..
Anonymous said…
Aku tak paham Melayu2 yang taksub sangat dgn Anwar Ibrahim, sampai nak tohmah Hj Hadi & Ust Nasa. Sampai kata puak2 ni gila kuasa, pasai tu nak bersekongkol dgn UMNO.

These people have been around for the longest time, kena tekan teruk2, mcm2 dugaan tapi tak pernah jual prinsip.

DSAI, nampak peluang nak jadi PM cepat2 nak jual hak orang Melayu, api2 kebencian sesama Islam etc. Hina sangat ke orang Melayu dalam UMNO sampai tak boleh nak duduk semeja berbincang? Yang semua Cina regardless of DAP, MCA, Gerakan boleh duduk semeja under the pretext of Chinese Chambers, Siqiu, Dong Zeong etc. untuk bincangkan kepentingan kaum dia dari segi ekonomi, perniagaan, ugama, pelajaran, etc. tak pernah pulak jadik isu.

Tapi bila melayu nak duduk semeja, heboh macam satu perkara yang busuk dan hina. Pasai apa... Pasai takut Anwar tak dapat jadik PM ke? Anyting goes as long as idola jadi PM... orang2 mcm ni lah melayu paling busuk!!!!!!!!

UMNO buat silap pasal takabur tak berbincang dgn PAS sebelum ni. Sekarang, PAS dah kuat, jangan riak dan buat kesilapan yang sama. Orang melayu tak kisah UMNO ke PAS, janji orang Melayu ada tempat kat M'sia ni. Dah la takat ni takde ape2, semua nak open kat orang lain under so called meritocracy, tinggal spender je la nanti.

Aku pun benci UMNO, memang ramai pengkianat bangsa. Tapi jangan kita pun dalam sibuk nak tentang dia, bersekongkol dengan mereka yang lebih besar khianatnya!!
Anonymous said…
This comment has been removed by a blog administrator.

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan