Skip to main content

Response to YB Karpal

Pakatan Rakyat retak? DAP mahu status PAS dikaji
(Courtersy mstar.com.my) KUALA LUMPUR - Tanda perpecahan mula ketara dalam Pakatan Rakyat apabila DAP secara terbuka meminta pakatan itu mengkaji semula keanggotaan Pas.

“Pas ternyata mengundang keraguan tentang kredibilitinya dan berdasarkan perkembangan mutakhir, Pakatan Rakyat (PR) perlu menimbang secara serius sama ada Pas patut terus dibenarkan menganggotainya,” kata Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh dalam kenyataan di sini semalam.

Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu berkata demikian sebagai reaksi terhadap laporan berita baru-baru ini yang mengesahkan bahawa Pas dan UMNO, yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional (BN), mengadakan rundingan bagi memelihara perpaduan Melayu di negara ini.

“Jaminan Presiden Pas (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang kepada rakan-rakan dalam PR (Parti Keadilan Rakyat dan DAP) bahawa Pas tidak akan meninggalkan pakatan itu bagi menyertai BN adalah tidak ikhlas dan tidak disokong oleh perkembangan kebelakangan ini.

“Selepas pilihan raya umum pada 8 Mac, Pas mengadakan perbincangan dengan UMNO bagi membentuk kerajaan campuran di Selangor. Tindakan ini berniat jahat kerana DAP dan PKR tidak dimaklumkan tentang perkara itu,” katanya.

Beliau juga menyelar langkah Pas mengadakan satu lagi pusingan rundingan dengan UMNO ‘atas nama perpaduan Melayu’ dan menyifatkan langkah bersifat perkauman oleh Pas itu sebagai tidak sejajar dengan dasar DAP dan PR.

PR yang dianggotai DAP, PKR dan Pas memerintah lima negeri, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Pepecahan gabungan ini akan menyebabkan berlakunya perubahan kerajaan di negeri terbabit, kecuali di Kelantan di mana Pas mempunyai majoriti lima kerusi.

Semalam, Mursyidul Am Pas Datuk Nik Aziz Nik Mat mencadangkan agar UMNO dan Pas dibubarkan dan sebuah parti baru ditubuhkan bagi menyatukan semua orang Melayu.

“Pendedahan ini sungguh memeranjatkan dan memberi kesan serius. Kenyataan Nik Aziz ini mengetepikan kenyataan Hadi Awang di Ipoh kelmarin bahawa Pas tidak akan bergabung dengan UMNO atau menyertai BN.

“Jelas sekali, kenyataan pemimpin Pas kebelakangan ini memberi persepsi bahawa mereka akan meninggalkan Pakatan Rakyat,” kata Karpal.

Bagaimanapun, kenyataan Karpal juga mengandungi kesilapan apabila beliau menyebut Nasharudin Mat Isa sebagai setiausaha agung PAS, sedangkan orang kuat PAS itu adalah timbalan presiden parti berkenaan.

"Minggu lepas, Setiausaha Agung (sebenarnya timbalan presiden) PAS Nasharudin Mat Isa berkata orang Melayu sudah mula mempercayai tuduhan meliwat yang dihadapi Anwar Ibrahim.

"Kenapa Nasharudin buat kenyataan seperti itu? Dengan berbuat demikian, beliau membabitkan PAS secara menyeluruh memandangkan kedudukannya sebagai setiausaha agung (timbalan presiden).

"Kenyataan Nasharudin itu bukan saja bersifat menghina dan tidak tepat, malah berupa satu serangan terbuka terhadap Anwar Ibrahim yang sedang bergelut dengan usaha untuk merosakkan kredibiliti beliau melalui dakwaan meliwat.

"PAS tidak patut dan tidak boleh dibiarkan berlari bersama arnab dan memburu bersama anjing pemburu bagi mengelaknya daripada dibaham anjing berkenaan," kata Karpal.

Beliau berkata pilihan raya umum pada 8 Mac lepas memberi mandat kepada gabungan pembangkang untuk memerintah lima negeri dan mempamerkan dengan jelas bahawa rakyat mahukan sistem dua parti.

"Perkara paling penting, rakyat tidak mengundi mengikut kaum. PAS memilih untuk berusaha bagi menyatupadukan semua orang Melayu dan bukannya berusaha ke arah melaksanakan dasar bagi menyatupadukan semua rakyat Malaysia, sedangkan Pakatan Rakyat ditubuhkan bagi menyatupadukan semua rakyat Malaysia," katanya. BERNAMA


SOALAN : APA KOMEN YB PASAL KOMEN KARPAL SINGH INI? ADAKAH INI PETANDA BARU PAKATAN MULA GOYAH?
Saya rasa YB Karpal tidak sepatutnya merasa sangsi terhadap kesetiaan PAS untuk bersama Pakatan Rakyat. Kesetiaan PAS terbukti dengan ia menolak, tanpa merunding, tawaran yang dibuat oleh UMNO untuk memerintah Selangor bersama. Seperti yang diketahui umum, Khir Toyo menawarkan, mengikut penerangan beliau sendiri, jawatan jawatan Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar dan empat jawatan exco. Ini adalah jauh lebih banyak dari apa yang diperolehi PAS melalui PR. Kita tidak melakukan tawar menawar dengan UMNO/BN mahupun PR apabila tawaran ini dikemukan, sebaliknya kita menolaknya. Sekiranya kita tidak ikhlas kita boleh membuka perundingan dengan kedua-dua pihak dan menerima tawaran yang terbaik. Kita tidak melakukan ini dan sebaliknya menolak tawaran UMNO/BN dan seterusnya bertemu dan berbincang dengan PR tanpa merujuk kepada tawaran UMNO/BN. Apa yang dipersetujui bersama dengan PR diterima dengan hati terbuka. Bagi saya ini menunjukkan, malahan membuktikan, tahap keikhlasan yang sukar ditandingi.

Sekiranya kita memberitahu PR mengenai pertemuan dengan UMNO/BN pada saat itu, iaitu hanya 3 hari selepas PRU selesai, entah apalah lagi andaian YB Karpal. Sedangkan setelah kita menolaknya sekalipun dia masih mempersoalkan keikhlasan kita. Walaupun dia jauh lebih berpengalaman dari saya dalam soal politik, seorang ‘veteran’ yang saya hormati, saya rasa dia perlu faham bahawa isu ini diperbesarkan oleh UMNO/BN yang ingin melaga-lagakan kita. Mereka bagaikan wanita yang telah ditolak lamarannya oleh PAS yang seterusnya mengahwini PR. Wanita yang jahat dan dengki ini pula mula menyusun langkah untuk menggagalkan perkahwinan jejaka idamannya (PAS) dengan menimbulkan kecurigaan si isteri. “Bo layanlah”.

Sebenarnya hakikat bahawa UMNO/BN telah melamar PAS telahpun didedahkan pada 14hb Mac melalui PC yang diadakan di pejabat Perhubungan PAS Selangor Bangunan Worldwide. Mungkin oleh kerana ianya didedahkan oleh kami dan bukan PM maka ianya kurang sensasi. Ini merupakan bukti bahawa ianya bukan satu tindakan berniat jahat oleh PAS kerana ianya bukan ‘rahsia’. Dua pertemuan yang lain di Parlimen yang melibatkan YB Ustadz Nasharuddin juga merupakan perjumpaan informal yang tiada apa-apa hubungan dengan persoalan kongsi kuasa bersama UMNO/BN. Maka PR tidak goyah dan tidak akan goyah selagi mana kita ingat bahawa ini semua agenda UMNO/BN yang semakin terdesak untuk menghalang kejayaan PR.

Dalam soal ‘perpaduan Melayu’, ini merupakan konsep umum. Tidakkah perpaduan itu baik? Yang penting ianya mesti dibina atas asas yang kukuh dan adil dan bukan atas asas ‘chauvanisma’ kaum untuk menentang kaum yang lain. Adakah dengan menyertai PR maka kita inginkan perpecahan dan bukan perpaduan? Saya rasa sudah pasti tidak. Masalah kita, hasil 50 tahun pemerintahan BN, semua dilihat dari sudut chauvanisma kaum; bahasa, tulisan, budaya, perdamaian, perpaduan dan sebagainya. Kita mesti bebaskan diri kita dari kerangka pemikiran yang seperti ini dan melihat tiada salahnya setiap kaum bersatu dan bersatu pula dengan kaum kaum yang lain di atas dasar keadilan dan kebenaran.

Kenyataan Tok Guru Nik Aziz pula, ini mesti dilihat dari sudut realiti politik. Hakikatnya UMNO pasti tidak akan setuju untuk membubarkan UMNO dan menyertai pula sebuah parti yang berasaskan Islam. Itu adalah sama dengan mereka semua keluar UMNO dan masuk PAS!

SOALAN: KENAPA DISAAT PAS CUBA JAGA HATI KOMPONEN PAKATAN, DAP BOLEH KELUAR KENYATAAN MEMPERTIKAIKAN KESETIAAN PAS?
Saya tidak tahu sejauhmana kenyataan YB Karpal ini mewakili pendirian DAP. Sekiranya ‘ya’ maka saya rasa ianya bertujuan untuk mendapat penjelasan dan pertegasan dari PAS berhubung kenyataan-kenyataan yang banyak dikeluarkan baru-baru ini yang mengelirukan beberapa pihak. Ianya juga satu tindakan yang perlu supaya kekuathiran penyokong dan pengundi, khususnya dikalangan yang bukan Melayu, akan ditangani dan ditenangkan.

Ianya juga dilihat sebagai satu peluang bagi PAS untuk menjelaskan sikap kita dan pada masa yang sama, menjelaskan kaedah ‘non-antagonistic’ yang kita amalkan terhadap semua pihak. Kaedah ‘non-antagonistic’ ini, sambil memungkinkan pertemuan dengan semua pihak tidak bermakna kita tidak tegas dari sudut sikap dan pendirian kita. Apa lagi yang boleh ditawarkan oleh Khir Toyo untuk memikat kita? Dia dah tawarkan yang paling maksima dan itu pun kita tolak. Betapa tegas lagi pendirian yang perlu kita tunjukkan?

Kaedah PAS mungkin berbeza dengan kaedah DAP kerana kita perlu memahamkan orang Melayu Islam khususnya tentang kezaliman dan penyelewengan UMNO/BN. Orang Melayu masih ramai menganggap UMNO/BN sebagai pembela mereka walaupun telah dikhianati berulang kali. Pada tahun 70an kaedah kita begitu ‘antagonistic’ dan jelas ianya kurang berkesan. Mulai pertengahan tahun 80an kita berubah kaedah, kepada satu kaedah yang ‘non-antagonistic’ yang digelarkan ‘muwajjahah silmiyyah’ atau berdepan secara damai dan ia lebih berkesan. Mungkin YB Karpal tidak memahami kaedah yang seperti ini tetapi ianya lebih selari dengan jiwa Melayu. Namun, ianya tidak bermaksud ingin berdamai dan bersatu dengan UMNO/BN.

Saya rasa banyak sudah diperkatakan, yang perlu sekarang ini ialah untuk kita sama-sama membina kekuatan kita dan dengan itu mengukuhkan kedudukan PR. Keikhlasan semua pihak akan semakin terserlah dengan peredaran masa. Itu sahaja yang akan memaparkan bukti keikhlasan secara muktamad.

Comments

Popular posts from this blog

Berakhirnya Drama RUU 355?

Drama perlaksanaan sistem perundangan Islam yang mengambil bentuk usul persendirian YB Marang berhubung Akta 355 kelihatan menghampiri adegan penamatnya. Pada peringkat kesudahannya UMNO/BN kelihatan sebagai pihak yang meraih keuntungan terbesar dengan pembangkang berada dalam keadaan berpecah dan tidak bersepakat. Keutuhan Pakatan Rakyat yang telah mewarnai pilihan raya ke 13 pada 2013 sudah jelas hilang. Yang sepatutnya mengambil tempatnya, iaitu Pakatan Harapan, masih dalam keadaan sedikit terumbang-ambing, khususnya berhubung hubungan dengan PAS.

Tindakan UMNO/BN untuk mensasarkan PAS melalui isu perundangan Islam adalah satu ‘master-stroke’ yang tidak boleh dinafikan mana-mana pihak. Melaluinya bukan sahaja PR berpecah, namun ketidak-tentuan sikap terhadap PAS menyebabkan apa-apa tindakbalas untuk menyelamatkan keadaan menjadi tidak padu dan kurang bersungguh-sungguh. Kebergantungan terhadap PAS oleh pihak tertentu menyebabkan mereka tidak sanggup memutuskan hubungan dengan PAS s…

Kenyataan Media Amanah Mengenai RUU 355

Muqaddimah

Amanah menganggap mahkamah syariah sebagai institusi penting dalam usaha menzahirkan kebenaran dan keadilan Islam. Oleh itu imejnya sebagai institusi yang cekap dan berwibawa perlu sentiasa dijaga. Amanah bersetuju bahawa segala usaha ke arah memperkasakan mahkamah syariah, dari segi kecekapan perlaksanaan undang-undang Islam, perlu disokong dan dibantu.

Kenyataan Berhubung Usul Persendirian Marang: Cadangan Pindaan ke Atas Akta 355

MUQADDIMAH

1. AMANAH ingin menegaskan bahawa Mahkamah Syariah adalah institusi keadilan Islam dan oleh itu apa jua usaha ke arah menperkasakannya adalah disokong. Bidang kuasanya berhubung kesalahan jenayah syariah dijelaskan dalam Akta 355 sediada. Akta 355 ini perlu dijaga dengan baik dan apa jua usaha pembaik-pulihan serta pindaan terhadapnya perlu diperhalusi secara teliti supaya tidak menjejas kedudukan mahkamah syariah.

2. Akta 355 sediada telah digubal mengambil kira kedudukan dan peranan Mahkamah Syariah di dalam kerangka struktur kenegaraan Malaysia yang di dalamnya wujud Mahkamah Sivil dan juga Mahkamah Syariah. Sepertimana diketahui umum, bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah terhad kepada orang Islam dan kesalahan-kesalahan tertentu seperti terkandung dalam Senarai II Senarai Negeri Jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Selainnya adalah di bawah Mahkamah Sivil.

3. Apa jua pindaan yang ingin dibawa semestinya selari dengan kedudukan dan peranan ini supaya tidak berlaku…