Skip to main content

“Pilih Antara PAS Atau UMNO”: Pemikiran Politik Ketinggalan Zaman

Saya tersenyum lebar apabila membaca kenyataan Hj Hadi yang meminta rakyat memilih samada untuk bersama UMNO atau PAS demi untuk mengekalkan penguasaan politik Melayu Islam di Malaysia. Saya faham kenyataan beliau bukan bertujuan untuk menyeru rakyat untuk mengundi samada UMNO atau PAS pada pilihan raya akan datang. Sebaliknya ianya merupakan anggapan meleset terhadap realiti politik negara, di mana mengikut anggapan ini, iaitu hanya PAS dan UMNO sahaja mewakili rakyat berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Oleh itu maka demi mengekalkan penguasaan politik Melayu Islam di Malysia maka rakyat mesti memilih antara gabungan yang dipimpin PAS atau gabungan yang dipimpin UMNO. Dalam erti-kata lain, kerajaan yang dibentuk semestinya samada di bawah pimpinan PAS atau UMNO. Konsep sistem dwi-parti yang sesuai bagi Malaysia, mengikut Hj. Hadi, adalah gabungan parti yang dipimpin UMNO berhadapan dengan gabungan parti yang dipimpin PAS.

Kata-kata beliau menggambarkan keadaan pemikiran yang terkongkong pada satu zaman yang telah berlalu. Keadaan di mana hanya PAS dan UMNO merupakan pilihan bagi masyarakat Melayu di Negara ini telah lama berlalu. Mungkin beliau masih tidak sedar hakikat perubahan lanskap politik negara.

LANDSKAP POLITIK YANG MULA BERUBAH

Telah wujud Keadilan pada tahun akhir 90an dan tiada yang waras akan mengatakan ianya bukan satu parti yang boleh menjadi pilihan bagi orang Melayu dan Islam. Dengan wujudnya Keadilan maka suasana ‘dwi parti’ PAS dan UMNO untuk pengundi Melayu Islam sudah tidak lagi realistik dan lanskap politik telah mula berubah. Hanya mungkin ada yang tidak sedar kerana masih berpegang kepada senario yang lama.

Sememangnya sebelum Keadilan, telah wujud parti-parti pembangkang Melayu lain seperti Semangat 46 yang boleh menjadi pilihan untuk masyarakat Melayu juga. Malangnya mereka tidak bertahan lama. Semangat 46 sendiri tidak dapat bertahan apabila pimpinan utamanya kembali ke pangkuan UMNO.

Akan tetapi keadaan Keadilan tidak begitu dan ia terus menjadi satu pilihan bagi Melayu Islam.

Mungkin Hj. Hadi melihat Keadilan sebagai parti yang tidak ada apa-apa kekuatan. Ini diperkukuhkan lagi oleh kata-kata beberapa pimpinan Keadilan sendiri yang terus menggambarkan ketidak-mampuan Keadilan untuk bertanding tanpa kebersamaan PAS. Oleh itu, mungkin Hj Hadi boleh dimaafkan kerana tidak sedar bahawa Keadilan turut merupakan sebuah parti pilihan bagi Melayu Islam. Mungkin juga disangkakan selama ini Melayu Islam hanya mengundi Keadilan atas sebab Keadilan bersama PAS. Undi yang diperolehi Keadilan, mengikut pemikiran ini, adalah sebenarnya undi untuk PAS! Maklumlah, minda yang tercorak oleh suasana politik di Terengganu dan Kelantan.

Mungkin atas sebab itu beliau terus berkeras untuk keluar dari Pakatan Rakyat dan untuk PAS bertanding secara bersendirian termasuk di Selangor. Beliau yakin PAS akan menang semua kerusi yang ditandinginya di Selangor termasuk yang sedang disandang Keadilan. Mengikut minda beliau Keadilan menang oleh kerana PAS. Dalam ertikata lain, rakyat yang mengundi Keadilan sebenarnya ingin mengundi PAS tetapi oleh kerana Keadilan yang bertanding di kerusi berkenaan, maka mereka terpaksa mengundi Keadilan.

LANSKAP POLITIK YANG TERUS BERUBAH

Apabila Hj. Hadi terus mengeluarkan kata-kata “samada PAS atau UMNO sahaja”, beliau seolah-olah menganggap bahawa AMANAH dan PPBM juga tiada apa-apa kekuatan. Sama sahaja seperti Keadilan, mengikut mindanya. Mustahil beliau tidak sedar akan kewujudan dua parti baharu ini yang turut merupakan pilihan bagi masyarakat Melayu Islam dewasa ini! Namun beliau masih berpegang kepada realiti politik 80an dan awal 90an di mana pada masa itu hanya PAS merupakan satu-satunya parti pembangkang Melayu.

Dalam keadaan minda yang masih terkongkong pada zaman yang telah lama berlalu, tidak hairan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan kedengaran janggal dan tidak selari dengan keadaan sebenar. Hakikatnya lanskap politik sudah lama berubah. Bukan setakat PAS tidak lagi merupakan satu-satunya parti pembangkang Melayu, ia semakin kehilangan sokongan di kalangan masyarakat Melayu. Sekarang ini sokongan Melayu pembangkang, iaitu yang menolak UMNO/BN telah banyak beralih kepada Keadilan, AMANAH dan PPBM. Lebih-lebih lagi apabila dilihat mereka bertiga telah bersama dalam satu gabungan iaitu Pakatan Harapan.

Oleh itu pilihan bagi Melayu pembangkang tidak lagi tertumpu kepada PAS kerana bukan PAS sahaja yang ada sebagai pilihan untuk mereka. Pakatan Harapan sendiri telah menjadi gabungan parti pembangkang yang mewakili pembangkang Melayu.

Tanpa disedari Hj. Hadi, wawasannya untuk diwujudkan sistem dwi-parti di mana dua gabungan yang bertarung diketuai parti Melayu telah hampir menjadi kenyataan. Akan tetapi wawasan ini mengambil bentuk tanpa PAS!

SISTEM DWI-PARTI YANG KEKALKAN KEDUDUKAN MELAYU ISLAM

Keinginan Hj. Hadi adalah supaya satu sistem dwi-parti terbentuk dengan UMNO memimpin satu gabungan dan PAS memimpin gabungan yang kedua. Yang penting bagi Hj. Hadi adalah dua-dua gabungan itu mesti dipimpin oleh parti Melayu Islam supaya mana satu sekalipun menang, kedudukan Melayu Islam di negara ini tidak terancam.

Hakikatnya, sistem dwi-parti sedang mengambil bentuk, dulu melalui BN berhadapan dengan PR dan sekarang ini BN berhadapan dengan PH. PAS, atas sebab terperangkap dalam minda politik 80an dan awal 90an, telah tidak sedar bahawa pada hakikatnya mereka telah mengamalkan sistem dwi-parti yang diinginkan pada PRU ke 12 dan 13 yang lalu.

PR dahulunya disertai PAS dan Keadilan. Kerusi yang ditandingi UMNO kesemuanya ditandingi calon Melayu PAS atau Keadilan. Ini bererti sekiranya UMNO ditumpaskan maka pengganti-pengganti kepada semua Ahli Parlimen UMNO adalah Melayu PAS atau Keadilan! Namun PAS tidak berpuas hati kerana diinginkan hanya PAS sebagai pengganti UMNO! Itu yang saya maksudkan minda yang terperangkap dalam zaman 80an dan awal 90an.

KESIMPULAN

Dalam keadaan minda terus terperangkap dalam zaman yang telah berlalu, sepak terajang politik Hj. Hadi telah sekarang ini menjadikan PAS tidak lagi releven kepada sistem yang diinginkan Hj. Hadi sendiri!

Perwakilan Melayu dalam PH tidak berkurangan tanpa PAS. Dengan adanya AMANAH dan PPBM sebagai pengganti kepada PAS, maka UMNO tetap akan digantikan oleh calon-calon Melayu dari parti-parti Melayu dan majoriti Melayu dari PH. Maka kemenangan PH walaupun tanpa PAS akan tetap mengekalkan kedudukan Melayu dan Islam dalam politik negara. Hanya bezanya ialah Melayu korup dan kleptokrat akan diganti dengan Melayu yang lebih amanah dan telus.

Malangnya PAS akan tidak kelihatan. Semua ini berlaku kerana PAS terus menganggap hanya dirinya parti pembangkang Melayu untuk pilihan masyarakat Melayu.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Mat Safian said…
Salam YB,

Rasanya sebelum GE14 ni, PH perlu buat majlis besar-besaran mengisytiharkan PAS BERSAMA BN ke seluruh Malaysia. Ramai ahli PAS peringkat bawahan masih sangka PAS menentang BN.

Perlu ada kempen yg berbunyi, "UNDI PAS BERMAKSUD UNDI BN" atau apa2 sj yg sewaktu dgnnya.

PH perlu lançar majlis pengisytiharan tu. Yg anggap PAS pro-UMNO skrg hanyalah penyokong PH bukannya penyokong PAS.

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.