Skip to main content

Apabila Melayu Bodohkan Melayu

Saya telah menerima beberapa mesej whatsapp melalui berbagai group whatsapp mengenai isi kandungan buku YB Hanna Yeoh, “Becoming Hanna”. Petikan yang dikemukakan bertujuan untuk membuktikan bahawa YB Hanna dan parti DAP itu sendiri ingin mengkristiankan Malaysia. Professor Melayu yang bernama Kamaruzaman Yusof mendakwa tulisan YB Hanna adalah satu pendedahan agenda DAP sebenar!

Amat sedih apabila ‘cendiakawan’ Melayu berusaha membodohkan Melayu. Ini yang dikatakan “harapkan pagar (atau pegar), pagar makan padi”. Saya yakin, sebagai seorang berpendidikan, Kamaruzaman mampu membezakan di antara keyakinan keagamaan seseorang ahli dan dasar parti politik yang disertainya. Namun dia sengaja putar-belit fakta sebenar supaya akan tercapai matlamat politik tertentu. Sedih, tetapi itulah hakikatnya.

Hanya yang terlalu bodoh akan mendakwa DAP sebagai parti politik yang beragenda mengkristiankan masyarakat Malaysia berdasarkan buku kisah hidup Hanna Yeoh! Bagaimana mungkin ada yang tak mampu membezakan agama seseorang ahli parti dan dasar parti yang disertainya boleh menjadi pensyarah universiti? Pensyarah di dalam bidang politik pula!

Untuk menangkis dakwaan songsang ini, kita hanya perlu melihat kepada saff pimpinan DAP. Adakah semua pimpinan dan ahli DAP beragama Kristian? Sekiranya ya, harap beritahu saya, YB Gobind Singh Deo adalah Kristian mazhab apa? YB Sivakumar, bekas Speaker Perak adalah seorang yang beragama Hindu. Adakah wujud mazhab Kristian yang berpegang kepada agama Hindu? Kebodohan yang menakjubkan. Amat malang kebodohan ini ditaja oleh seorang pensyarah Universiti Melayu supaya disebarkan di kalangan orang Melayu. Nak jadikan Melayu bodoh, bukan nak tambahkan Melayu dalam kepandaian.

Buku YB Hanna menceritakan mengenai dirinya sendiri, fahamannya, nilai-nilai hidupnya, cita-citanya dan liku-liku hidup yang telah dilaluinya. Ia tiada kena-mengena dengan dasar perjuangan politik partinya iaitu DAP. Biasanya kalau nak faham mengenai dasar perjuangan sebuah parti politik, maka perlembagaan parti tersebut adalah rujukannya. Mengikut penyarah ini, untuk mengetahui perjuangan DAP, buku kisah hidup YB Hanna adalah rujukannya! Tidakkah ianya kelakar? Lebih kelakar lagi apabila ada yang percaya dakwaannya.

Islam tidak menghalang orang bukan islam berpegang teguh dengan agama mereka dan mengamalkan ajaran-ajarannya. Itulah keadilan Islam. Malangnya ada yang beranggapan bahawa bukan islam yang hidup di ‘Negara Islam’ mesti “mengakui Islam adalah agama sebenar”! Saya masih ingat lagi semasa saya seorang mahasiswa di Universiti, ada ‘ustaz-ustaz jadian’ yang mendakwa itulah ajaran Islam. Saya tak hairan, berdasarkan kupasannya terhadap buku YB Hanna, sekiranya pensyarah ini beranggapan begitu juga! Sikap dan kefahaman sebegini menjatuhkan imej Islam. Betapa ramai yang menganggap dirinya berkhidmat untuk Islam tetapi sebaliknya meruntuhkan imej Islam.

Melayu sebegini merosak dan membodohkan Melayu demi kepentingan peribadinya. Mungkin alasan agama digunakannya tetapi amalannya tiada kena mengena dengan akhlak agama Islam. Dia sanggup menipu dan berbohong, sehingga Melayu takut kepada seseorang hanya kerana dia berbeza dan sanggup pula menyokong kepimpinan penyamun dan perompak semata-mata kerana mereka sebangsa! Patutlah bangsa Melayu jauh ketinggalan apabila Melayu membodohkan Melayu.

Saya mengenali YB Hanna sebagai seorang wanita yang rendah diri, berkeperibadian tinggi, jujur dan sangat fokus terhadap tanggung-jawabnya sebagai seorang ADUN dan Speaker Dewan Undangan Selangor. Amat malang kalau dia didera semata-mata kerana dia beragama Kristian dan difitnah sesuka-hati dan ini semua dilakukan ‘atas nama Islam’. Islam sebeginilah yang menghasilkan ISIS dan IS.

Parti AMANAH Negara berpegang kepada kefahaman islam yang berpaksikan Al-Quran, Sunnah Rasulullah (SAW) serta amalan para sahabat dan tabiin. Islam yang dibawa Nabi (SAW) adalah penuh dengan kerahmatan dan kasih sayang. Ianya membawa persaudaraan dan keamanan yang berpaksikan keadilan. Islam yang cuba dibawa ini, bersama pengikut-pengikutnya hanya mampu menyemaikan kebencian dan perbalahan. Ianya songsang dan sesat dan hanya menjanjikan kemusnahan masyarakat dan negara sepertimana yang telah menimpa semua negara ummat islam yang terpengaruh dengannya.

Untuk menghadapi kefahaman Islam yang songsang sebeginilah maka AMANAH ditubuhkan.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Popular posts from this blog

Berakhirnya Drama RUU 355?

Drama perlaksanaan sistem perundangan Islam yang mengambil bentuk usul persendirian YB Marang berhubung Akta 355 kelihatan menghampiri adegan penamatnya. Pada peringkat kesudahannya UMNO/BN kelihatan sebagai pihak yang meraih keuntungan terbesar dengan pembangkang berada dalam keadaan berpecah dan tidak bersepakat. Keutuhan Pakatan Rakyat yang telah mewarnai pilihan raya ke 13 pada 2013 sudah jelas hilang. Yang sepatutnya mengambil tempatnya, iaitu Pakatan Harapan, masih dalam keadaan sedikit terumbang-ambing, khususnya berhubung hubungan dengan PAS.

Tindakan UMNO/BN untuk mensasarkan PAS melalui isu perundangan Islam adalah satu ‘master-stroke’ yang tidak boleh dinafikan mana-mana pihak. Melaluinya bukan sahaja PR berpecah, namun ketidak-tentuan sikap terhadap PAS menyebabkan apa-apa tindakbalas untuk menyelamatkan keadaan menjadi tidak padu dan kurang bersungguh-sungguh. Kebergantungan terhadap PAS oleh pihak tertentu menyebabkan mereka tidak sanggup memutuskan hubungan dengan PAS s…

Kenyataan Media Amanah Mengenai RUU 355

Muqaddimah

Amanah menganggap mahkamah syariah sebagai institusi penting dalam usaha menzahirkan kebenaran dan keadilan Islam. Oleh itu imejnya sebagai institusi yang cekap dan berwibawa perlu sentiasa dijaga. Amanah bersetuju bahawa segala usaha ke arah memperkasakan mahkamah syariah, dari segi kecekapan perlaksanaan undang-undang Islam, perlu disokong dan dibantu.

Kenyataan Berhubung Usul Persendirian Marang: Cadangan Pindaan ke Atas Akta 355

MUQADDIMAH

1. AMANAH ingin menegaskan bahawa Mahkamah Syariah adalah institusi keadilan Islam dan oleh itu apa jua usaha ke arah menperkasakannya adalah disokong. Bidang kuasanya berhubung kesalahan jenayah syariah dijelaskan dalam Akta 355 sediada. Akta 355 ini perlu dijaga dengan baik dan apa jua usaha pembaik-pulihan serta pindaan terhadapnya perlu diperhalusi secara teliti supaya tidak menjejas kedudukan mahkamah syariah.

2. Akta 355 sediada telah digubal mengambil kira kedudukan dan peranan Mahkamah Syariah di dalam kerangka struktur kenegaraan Malaysia yang di dalamnya wujud Mahkamah Sivil dan juga Mahkamah Syariah. Sepertimana diketahui umum, bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah terhad kepada orang Islam dan kesalahan-kesalahan tertentu seperti terkandung dalam Senarai II Senarai Negeri Jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Selainnya adalah di bawah Mahkamah Sivil.

3. Apa jua pindaan yang ingin dibawa semestinya selari dengan kedudukan dan peranan ini supaya tidak berlaku…