Skip to main content

‘Parti Melayu’ dan Pakatan Harapan

Ada yang bertanyakan saya berhubung pandangan perlunya sebuah ‘Parti Melayu’ memimpin Pakatan Harapan untuk meyakinkan pengundi Melayu supaya menyokong PH. Saya jawab itu merupakan naratif asing bagi PH. Akan tetapi naratif sebegitu amat sesuai untuk gabungan seperti BN. Ini kerana PH tidak sama seperti BN maka apa yang sesuai untuk BN tidak semestinya sesuai untuk PH.

GABUNGAN BN VS GABUNGAN PH

Pada dasarnya BN merupakan gabungan parti yang berasaskan kaum. Ianya terdiri dari parti Melayu (UMNO), Cina (MCA), India (MIC) dan beberapa lagi parti yang berasaskan kaum serta kenegerian. Walaupun ada yang dikatakan parti berbilang kaum, parti sebegini tidak menonjol dan tidak mencorakkan imej BN.

Apabila sifat BN adalah begitu, maka parti yang mewakili Melayu dalam gabungan tersebut, khususnya UMNO, perlu dinyatakan sebagai parti yang diberi keutamaan. Ini adalah kerana parti-parti lain mewakili kaum masing-masing dan atas kedudukan Melayu sebagai rakyat majoriti, maka UMNO perlu diutamakan. Dalam kata-kata yang lain, parti Melayu yang mewakili Melayu diutamakan ke atas parti kaum lain atas sebab Melayu adalah kaum majoriti.

Itu naratif BN dan sesuai untk BN. Ianya bukan naratif PH dan jika cuba dikenakan ke atas PH maka ianya janggal dan tidak selari dengan asas gabungan PH itu sendiri. Ini adalah kerana dalam PH ada lebih dari satu parti di mana majoriti ahlinya adalah terdiri dari orang Melayu. Walaupun mereka bukan ditubuh atas asas kaum, dan sebaliknya atas prinsip-prinsip tertentu, tidak boleh dinafikan bahawa mereka juga adalah parti majoriti Melayu yang juga mengambil berat kepentingan kaum Melayu bersama kaum-kaum yang lain.

Dalam BN, mungkin hanya UMNO boleh mendakwa memperjuang dan mempertahankan kedudukan orang Melayu sepertimana terjamin dalam perlembagaan. Tidak mungkin MCA dan MIC boleh mendakwa begitu. Kerana tiada Melayu dalam MCA ataupun MIC. Begitu juga parti-parti lain dalam BN. Ini adalah kerana hanya UMNO ‘parti Melayu’ dalam BN.

KEDUDUKAN MELAYU DALAM PH

Dalam PH, adakah hanya satu parti yang merupakan parti orang Melayu? Selain parti PPBM, AMANAH juga mempunyai ahli yang majoriti besarnya adalah orang Melayu. Sepertimana juga Keadilan. Malahan DAP juga turut mempunyai ahli Melayu. Pengasingan kaum mengikut parti tidak berlaku dalam PH. Oleh itu adalah amat janggal untuk diketengahkan naratif kaum serta dikatakan perlu parti Melayu memimpin PH. Ini adalah kerana lebih dari satu parti mempunyai ahli majoriti Melayu dan semua parti mempunyai ahli Melayu.

Jika ingin dilihat dari sudut kaum, sepatutnya orang Melayu lebih selesa melihat kepada PH berbanding BN. Ini adalah kerana 3 dari 4 parti anggota PH adalah parti majoriti Melayu dan parti keempat juga mempunyai keahlian Melayu. Dalam keadaan sebegitu, persoalan dominasi kaum lain ke atas kaum Melayu hampir mustahil berlaku. Dan sememangnya PH tidak memperjuangkan dominasi mana-mana kaum ke atas kaum-kaum yang lain.

Oleh itu, ianya satu mitos bahawa Melayu terpinggir dalam PH. Kepimpinan Melayu terserlah dalam PH selama ini tetapi ditutup dan diselindung dari mata rakyat Melayu melalui fitnah jahat BN. Dengan adanya PPBM bersama PH, hakikat ini perlu didedahkan bersama dan mitos tersebut diketepikan, bukan dikukuhkan.

NARATIF PH

Naratif PH bukan mengikut naratif kaum. Sebaliknya ianya mengikut naratif prinsip dan keadilan. PH didominasi prinsip bukan kaum. Prinsip urus tadbir yang baik dan beramanah yang menguntungkan semua kaum. Prinsip keadilan di mana yang miskin diutamakan berbanding yang kaya, yang lemah berbanding yang kuat. Atas naratif sebegini semua kaum merasa selesa kerana sikap berprinsip dan adil merupakan nilai-nilai universal atau sejagat yang turut ditekankan oleh Islam.

Sedangkan naratif BN adalah dominasi kaum Melayu tanpa mementingkan prinsip dan keadilan. Satu prinsip sahaja yang diperjuangkan BN di bawah UMNO, iaitu pemimpin semestinya Melayu. Sedangkan pemimpin Melayu membuat sesuka hatinya. Asalkan yang di atas itu Melayu maka dia terus disokong, walaupun yang turut dideranya dan ditindas di bawah adalah kebanyakannya Melayu.

Naratif BN tidak sesuai dengan PH dan pada hakikatnya PH mahu bawa rakyat Malaysia keluar dari naratif BN yang sebegini. Kerana naratif BN telah terbukti gagal. Ianya tidak menjamin keadilan dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya walaupun terhadap kaum Melayu. PH inginkan rakyat mengikuti naratif yang baharu yang berbeza ia itu naratif prinsip urus tadbir yang baik dan keadilan.

NARATIF PH MULA BERPENGARUH

Pada hakikatnya naratif PH telahpun mula bertapak di minda rakyat. Itu sebabnya PH atau PR telah mendapat 52% undi popular pada PRU ke 13 pada 2013. Naratif ini mula berpengaruh dan berkembang di kalangan rakyat. Yang penting adalah bukan sekadar Melayu memimpin tetapi Melayu yang berprinsip dan adil.

DAP tidak menentang kepimpinan Melayu. DAP menentang kepimpinan yang bersifat korup dan zalim. Samada pemimpin itu Melayu, Cina atau India, pemimpin itu tetap akan ditentang kerana dia korup dan zalim. Begitu juga sikap semua parti dalam PH. Kerana naratif PH adalah berhubung prinsip dan keadilan. Kami semua inginkan kepimpinan yang adil dan berprinsip.

Untuk Malaysia, oleh kerana Melayu adalah lebih dari 70% dari rakyatnya maka semestinya pemimpinnya berbangsa Melayu. Adakah apabila disebut syaratnya semestinya “berprinsip dan adil” maka Melayu diketepikan? Adakah benar tiada Melayu yang berprinsip dan adil? Adakah benar Melayu semestinya korup dan zalim? Mungkin itu pegangan UMNO dan BN. Ianya bukan pegangan PH. Oleh itu naratif PH tidak meminggirkan Melayu.

KESIMPULAN


Dakwaan Melayu terpinggir dalam PH adalah satu mitos. Ini dibuktikan melalui tiga dari empat parti yang menganggotai PH sekarang adalah parti majoriti Melayu. Pada masa yang sama, kepimpinan Melayu jelas terserlah dalam PH. Hanya ianya tidak dihebohkan kerana ianya bukan naratif PH. Naratif PH adalah persoalan prinsip dan keadilan. Inilah naratif yang akan memajukan Melayu dan semua bangsa di Malaysia.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Popular posts from this blog

Berakhirnya Drama RUU 355?

Drama perlaksanaan sistem perundangan Islam yang mengambil bentuk usul persendirian YB Marang berhubung Akta 355 kelihatan menghampiri adegan penamatnya. Pada peringkat kesudahannya UMNO/BN kelihatan sebagai pihak yang meraih keuntungan terbesar dengan pembangkang berada dalam keadaan berpecah dan tidak bersepakat. Keutuhan Pakatan Rakyat yang telah mewarnai pilihan raya ke 13 pada 2013 sudah jelas hilang. Yang sepatutnya mengambil tempatnya, iaitu Pakatan Harapan, masih dalam keadaan sedikit terumbang-ambing, khususnya berhubung hubungan dengan PAS.

Tindakan UMNO/BN untuk mensasarkan PAS melalui isu perundangan Islam adalah satu ‘master-stroke’ yang tidak boleh dinafikan mana-mana pihak. Melaluinya bukan sahaja PR berpecah, namun ketidak-tentuan sikap terhadap PAS menyebabkan apa-apa tindakbalas untuk menyelamatkan keadaan menjadi tidak padu dan kurang bersungguh-sungguh. Kebergantungan terhadap PAS oleh pihak tertentu menyebabkan mereka tidak sanggup memutuskan hubungan dengan PAS s…

Video Parlimen: Melayu, Songkok dan Biadab?

Banyak yang telah diperkatakan berkenaan respon saya terhadap Pasir Salak di Parlimen awal minggu ini. Saya sertakan disini video perbalahan tersebut.



Dia mencarut dan mempermainkan nama keluarga Seputeh dan apabila ditegur terus berdegil. Kemudian dia terus mengejek Batu Kawan yang turut menegurnya. Sikap degil Pasir Salak mempertahankan akhlak buruk diri sendiri terpaksa saya hadapi dengan kata-kata keras sebegitu dan malangnya dibela pula oleh Speaker.

Harap saksikan dan nilai sendiri videonya secara keseluruhan dan jangan dirujuk satu lagi versi yang telah disunting melalui Blog BNBBC. Sudahlah akhlak tidak seberapa, cuba menipu pula?



WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Penjelasan atas Fitnah yang Disebar Kononnya Ahli Parlimen Shah Alam, YBKS 'Sembah Ayam'

1. PAS untuk sekian kali sudah bertukar menjadi parti fitnah dan maki hamun. Tiada selain memunafikkan, mengkafirkan atau dituduhnya syirik kepada orang lain termasuklah dalam gambar saat akhir video CNY yang dibuat DAP.



2. Perlu faham bahawa mengikut bahasa Cina, perkataan Na (itu) Ji (Ayam) yang kebetulan bunyinya sama macam Najib.

3. Video tersebut adalah berkaitan Kisah Ayam itu (Na Ji) yang jahat dan selalu merugikan tuannya.

4. Tuannya serah ayam itu kepada YB Teresa kerana sudah tidak mampu lagi membela ayam itu. Tiba-tiba semasa menerima ayam itu, ia terlepas lari, mereka semua mengejarnya dan berjaya ditangkapnya semula.

5. YBKS telah memasukkan ayam itu (na ji) dalam sangkar (penjara) dan ucap Selamat Tahun Baharu Cina.

6. Photo terakhir itu menunjukkan mereka semua mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina pada Na Ji yang sudah berada dlm sangkar (penjara).


7. Tiada upacara atau scene sembahan di situ. Gong Xi Faa Chai yang disebut bukanlah penyembahan.

Seronokkah buat dan se…