Skip to main content

“Kalimatul Haq Yuriidu Biha Bathilun”

Kata-kata yang diungkapkan di atas merupakan kata-kata Saidina Ali (KW). Ia bermaksud “Kalimah Benar Yang Diinginkan Darinya Kebathilan”. Ungkapan ini digunakan Saidina Ali terhadap golongan Khawarij. Mereka merupakan golongan bersemangat tinggi, banyak beribadah tetapi gopoh dan kurang kefahaman mengenai sifat dan matlamat agama Islam. Cogan kata mereka adalah “inilhukmu illa lillah” atau “tiada hukum (kerajaan) kecuali kepunyaan Allah”. Atas cogan kata itu mereka menolak kepimpinan Saidina Ali, sering mencaci dan memaki hamun beliau sehingga ke tahap menyatakan darahnya halal dan mereka akan membunuhnya.

Cogan kata mereka merupakan petikan ayat Al-Quran dan semestinya merupakan “kalimah kebenaran”. Namun berdasarkan kalimah kebenaran ini yang diperjuangkan oleh golongan Khawarij, dengan sikap kebencian mereka terhadap Saidina Ali dan Muawiyyah, akhlak caci maki yang menjadi kebiasaan mereka dan kecenderungan mereka untuk menghukum Ali dan Muawiyyah sebagai kafir dan sebagainya, kesudahan yang diinginkan mereka adalah kebathilan.

Ada dari kalangan ahli sejarah yang menggelar golongan Khawarij ini sebagai golongan ‘anarchist’ atas sebab keengganan mereka mengiktiraf perlunya sebuah kerajaan. Seolah-olah bagi mereka memadai wujudnya kerajaan Allah dan kerajaan itulah yang memerintah.

RELEVENSI KATA-KATA SAIDINA ALI HARI INI

Yang menarik adalah bagaimana ungkapan Saidina Ali (KW) berhubung dengan “kalimah benar yang diinginkan darinya kebathilan” merupakan ungkapan yang sentiasa releven lebih-lebih lagi dalam suasana politik tipu-helah dan pembohongan dewasa ini. Antara kalimah benar yang digunakan untuk mempertahankan kebathilan dewasa ini adalah “tidak bersalah sehingga terbukti kesalahannya”.

“Tidak bersalah sehingga terbukti bersalah” merupakan kata-kata masyhur yang sering diguna untuk membela seseorang yang dituduh melakukan kesalahan tetapi belum lagi dibuktikan dia bersalah. Ianya prinsip yang berhubung rapat dengan satu lagi prinsip ia itu seseorang itu mesti dianggap tidak bersalah kecuali setelah dibuktikan bersalah atau “innocent until proven guilty”. Ini semua merupakan kata-kata benar atau ‘kalimatul haq’ yang tidak boleh dipertikai oleh sesiapa.

Namun kalimah yang benar ini tidak boleh diguna-pakai terhadap pemimpin dan pemerintah yang berkuasa secara diktator sehingga setiap saluran untuk mendakwanya ditutup atau ditiadakan! Dalam keadaan tersebut, bagaimana dia boleh dibuktikan bersalah apabila usaha mendakwanya telah dihalang melalui tindakan salah-guna kuasa yang ada pada dirinya.

ROMPAKAN WANG NEGARA MELALUI 1MDB

Telah terang lagi bersuluh bahawa siapakah “Malaysian Official 1” (MO1) atau “Pegawai Malaysia 1” yang dimaksudkan dalam laporan Department of Justice atau Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat. Laporan itu dengan jelas menyatakan bahawa harta negara Malaysia telah dirompak melalui amalan ‘money laundering’ atau pengubahan wang yang merupakan kesalahan jenayah di bawah undang-undang Amerika Syarikat.

Hakikatnya kesalahan ini telah diketahui semua tetapi tiada tindakan pendakwaan dilakukan oleh Peguam Negara. Peguam Negara merupakan satu-satunya pihak yang boleh mendakwa MO1. Telah digantikannya dengan seorang Peguam Negara baru yang awal-awal lagi mengistiharkan tidak bersalah walaupun segala bukti menunjukkan sebaliknya! Begitu ramai terkorban demi mempertahankan kesalahan di dalam kes 1MBD ini termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri sendiri! Ada juga berpandangan bahawa mantan Timbalan Pendakwa Raya, Mendiang Kevin Morais, juga salah seorang yang dikorbankan demi melindungi beliau.

Dalam keadaan ini, ungkapan dan kata-kata benar “tidak bersalah sehingga dibukti bersalah” disebut untuk mempertahankan kebathilan dan kemungkaran.

Adalah jelas bahawa proses untuk mendakwa beliau telah dihalang serta ditiadakan dan oleh itu pembuktian secara muktamad tidak mampu dilakukan. Dalam keadaan sebegini yang perlu dilakukan adalah untuk menjatuhkan beliau supaya proses pendakwaan yang telus dan bebas dapat dijalankan.

Namun kesalahan beliau telah menjadi jelas berdasarkan laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.

PERLUNYA 2 ORANG SAKSI

Ada juga yang merapu sehingga mendakwa perlunya 2 orang saksi sekiranya ingin menuduh seseorang itu mencuri. Ini sekali lagi merupakan kata-kata yang benar yang boleh digunakan untuk membela kebathilan. Hakikatnya 2 saksi diperlukan sekiranya ingin mendakwa di bawah undang-undang hudud. Akan tetapi sistem perundangan Islam bukan sekadar hudud. Takzir juga sebahagian dari sistem perundangan Islam dan di bawah takzir pembuktian melalui bahan bukti lain boleh juga diguna pakai.

Antara bukti yang boleh diguna-pakai adalah keadaan di mana duit tersebut telah masuk dalam akaun peribadi seseorang. Atau dokumentasi yang lengkap dan jelas yang menunjukkan bahawa wang rakyat telah diselewengkan. Walaupun tiada saksi yang melihat wang berkenaan masuk ke dalam akaun seseorang, hakikat transaksi tersebut berlaku terbukti dengan adanya wang tersebut di dalam akaun berkenaan dan adanya segala dokumentasi berhubungnya.

Dakwaan perundangan Islam memerlukan 2 orang saksi sebagai satu-satunya bentuk bukti adalah satu pembohongan walaupun ungkapan kata-kata tersebut ada kebenarannya. Ianya disalah-gunakan demi membela kebathilan.

TOLAK CAMPUR TANGAN ASING!

Satu lagi kata-kata “kalimatul haq” yang sering digunakan untuk mempertahankan kebathilan adalah “Tolak campur tangan asing”. Persoalan campur tangan asing sememangnya ditolak oleh mana jua rakyat yang cintakan negaranya. Negara Malaysia, sebagai contoh, merupakan negara yang berdaulat dan merdeka maka tidak perlu mana-mana pihak campur tangan dalam urusannya. Namun apabila pemerintah terlalu berkuasa sehingga tiada ruang untuk menjamin keadilan dan kedaulatan undang-undang, maka kata-kata sebegini boleh diguna-pakai untuk mempertahankan kebathilan pemerintah yang zalim dan rakus. Kalimah ini telah digunakan semasa berlakunya ‘ethnic cleansing’ atau pembersihan etnik di Bosnia dan juga di Burma.

Namun demikian, dalam kes 1MDB kata-kata “tolak campur tangan asing” langsung tidak releven. Walaupun begitu ada juga yang menggunakan ungkapan tersebut untuk seolah-olah membela Najib! Ianya sama sekali tidak releven kerana Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mengambil tindakan terhadap 1MDB dan pegawai-pegawainya atas sebab tindakan mereka di Amerika Syarikat bukan di Malaysia! Mereka telah melakukan jenayah di Amerika Syarikat dengan merompak duit rakyat Malaysia yang telah terlebih dahulu dipindahkan ke Amerika Syarikat. Oleh itu pihak Amerika Syarikat mengambil tindakan mengikut undang-undang negara mereka terhadap kesalahan yang berlaku di negara mereka! Tindakan ini bakal menyelamatkan harta rakyat Malaysia dari disonglap oleh perompak.

KESIMPULAN

Sudah pasti banyak lagi kata-kata benar yang boleh difikirkan yang pernah digunakan untuk membela kebathilan. Namun tidak mungkin saya menyenaraikan kesemuanya di sini. Akan tetapi mungkin wujud satu perbezaan nyata antara golongan Khawarij dan ‘pengamal’ kata-kata benar untuk mempertahankan kebathilan. Golongan Khawarij meyakini kata-kata tersebut sebagai satu prinsip yang wajib mereka pertahankan. Mereka tidak memperalatkannya. Sebaliknya, kebanyakan yang lain hanya menggunakan kata-kata benar ini sebagai helah untuk mengelirukan rakyat dan mendorong penyokong taksub mereka untuk terus pertahankan kebathilan yang ingin mereka pertahankan. Termasuk yang ingin dipertahankan adalah pemimpin zalim tetapi memberikan mereka dedak.

Oleh itu, rakyat sendiri perlu bijak dan bermaklumat supaya mereka tidak dikelirukan sehingga menjadi pembela kebathilan. Jangan menjadi pengikut membabi buta. Jangan ikut semata-mata kata-katanya merupakan kata-kata kebenaran. Faham tujuan untuk apa kata-kata berkenaan digunakan. Bebaskan negara dari kepimpinan songsang dan rasuah. Kata-kata benar mesti untuk menentang kezaliman dan menegakkan kebenaran!

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.