Skip to main content

'Amanah' Telah Pun Ada

Persoalan kedudukan PAS dalam kerajaan Negeri Selangor dewasa ini terus menjadi bahan perbincangan. Dalam menjelaskan keberadaan PAS dalam kerajaan Selangor walaupun PAS merupakan sebuah ‘rogue party’ atau parti yang bagaikan lawan terhadap Pakatan Harapan, bermacam-macam alasan dan hujah dikemukakan.

Ada beberapa hujah yang benar tetapi tidak tepat.

“DULU PAS ADA, AMANAH TIDAK ADA”

Antara hujah yang dikemukakan adalah “dulu PAS ada dan Amanah tidak ada”. Kata-kata ini ditonjolkan media walaupun mungkin yang menyebutnya memberi penjelasan yang lebih lengkap.

Hakikatnya 'Amanah' sudah ada sejak awal melalui "Pandangan, Pendapat dan Pendekatan" kami yang berada di dalam PAS. Kami adalah serpihan dari PAS, iaitu serpihan yang terdiri dari golongan pemimpin dan ahli yang menyokong secara bersungguh-sungguh mempertahankan Pakatan Rakyat. Ini adalah hakikat yang tidak boleh disangkal mana-mana pihak.

Mungkin ada yang lupa betapa meruncingnya perbalahan antara PAS dan Pakatan Rakyat sebelum ini. Perbalahan ini telah menyaksikan peristiwa seperti:

1. Pertandingan antara PAS dan PKR sehingga berlakunya 3 penjuru di Kota Damansara dan beberapa kerusi lain: ‘Amanah’ ada.

2. Tuduhan tanpa bukti mahupun saksi bahawa ada calon PKR menjual pil kuda: ‘Amanah’ ada.

3. Usul kaji kembali kerjasama dengan PKR: ‘Amanah’ ada.

Dan kemuncak perbalahan ini adalah krisis MB Selangor di mana PAS dengan sokongan UMNO telah mempertahankan TSKI sebagai MB, sedangkan PKR dan DAP telah menolaknya. Sebelum itu juga telah tersebar luas mesej whatsapp Dr. Zuhdi dengan sikap khianat yang disyorkannya untuk PAS dan pada ketika itu juga ‘Amanah’ ada.

Ini telah akhirnya menghasilkan suasana muktamar Tahunan PAS tahun 2014 di mana golongan yang menolak TSKI dan memilih untuk bersama PKR dan DAP menyokong DSWA telah digelar ‘barua dan boneka’ oleh Presiden PAS sendiri. Yang dimaksudkannya dengan kalimah ‘barua dan boneka’ itu adalah barua dan boneka PKR dan DAP. Ini adalah kerana mereka tidak mengikut arahannya untuk bersama mempertahankan TSKI sebagai MB dengan sokongan UMNO/BN kerana ‘Amanah’ ada!

Perbalahan ini menyebabkan kami terpaksa keluar dari PAS untuk membentuk Amanah setelah dilihat pendekatan khianat dan berbalah ingin terus dilaksanakan PAS selepas muktamar 2015.

Kami berani mengatakan bahawa dengan adanya kami di dalam PAS maka Pakatan Rakyat telah muncul sebagai gabungan kerjasama parti pembangkang yang kukuh sehingga meningkatkan prestasinya dalam pilihan raya 2013 khususnya di Selangor. Oleh itu amat tidak tepat untuk mengatakan kami ‘tiada’ pada ketika itu.

Kalau kami ‘tiada’ pada ketika itu, mungkin keadaan Kota Damansara adalah keadaan di seluruh negara pada 2013 dan bukan sekadar di beberapa kerusi. Kalau kami ‘tiada’ pada ketika itu mungkin kerajaan Selangor dan Perak pada 2008 adalah kerajaan gabungan PAS dan UMNO/BN. Kalau kami ‘tiada’ pada ketika itu, mungkin TSKI terus kekal sebagai MB hingga hari ini dan kerajaan Selangor sekarang ini adalah kerajaan PAS dan UMNO/BN.

Oleh kerana kami ada pada masa itulah maka apa yang ada sekarang dapat dikawal dan dipertahankan dengan izin Allah SWT. Maka janganlah diketepikan hakikat kehadiran kami dan peranan yang telah kami mainkan.

Sikap PAS seperti yang disaksikan hari ini adalah sikap tanpa adanya kami di dalam PAS. Sekiranya itulah sikap PAS sejak dahulu, sudah hampir pasti bahawa BA dan PR tidak mungkin dapat wujud di alam nyata. Dan pendekatan Amanah hari ini adalah sikap yang telah memungkinkan wujudnya BA dan juga PR.

Oleh itu, harap maklum ya, 'Amanah' telah ada sejak dahulu.

“MANDAT DIBERI KEPADA PAS, PKR DAN DAP MEMBENTUK KERAJAAN SELANGOR”

Ini juga satu kenyataan yang benar tetapi tidak tepat.

Sebenarnya mandat diberi kepada Pakatan Rakyat pada 2013 dan bukan kepada parti-parti secara individu. Perlu diingat bahawa pada 2013 PR telah menghadapi pilihan raya sebagai Pakatan Rakyat walaupun bertanding atas logo masing-masing atas sebab-sebab teknikal. Manifesto yang ditawarkan adalah manifesto Pakatan Rakyat dan rakyat Selangor memberi mandat kepada Pakatan Rakyat untuk memerintah. Dalam erti-kata lain, rakyat ingin ketiga-tiga parti iaitu PAS, DAP dan PKR berkerjasama memerintah negeri Selangor secara bersama berdasarkan manifesto tersebut.

Malangnya PAS khususnya tidak memahami maksud mandat tersebut dan sentiasa mendakwa PAS menang atas kekuatan PAS sendiri sehingga berterusan menempelak rakan lain dalam PR. Pada awalnya yang menjadi sasaran PAS adalah PKR dan kemudiannya DAP. Akhirnya PR telah terkubur dan walaupun ianya dihidupkan di Selangor, hakikatnya ia hidup dalam keadaan bergantung kepada ehsan dari Hj Hadi. Semangat kerjasama sebenarnya tidak lagi dijiwai dan dihayati.

Dalam usaha untuk menghidupkan kembali kerjasama sepertimana yang diinginkan rakyat Selangor, maka ditubuhkan Pakatan Harapan. Pakatan Harapan lebih menyerupai PR dahulu berbanding hubungan PAS, PKR dan DAP yang wujud di Selangor dewasa ini. Dalam erti-kata lain PH ditubuhkan untuk memenuhi mandat yang diberi rakyat Selangor kepada PR setelah PAS khianat. Ini adalah kerana kerjasama antara 3 parti yang diinginkan rakyat Selangor tidak mampu dilaksanakan lagi oleh gabungan PAS, PKR dan DAP. Ia hanya mampu dilaksanakan oleh Amanah, PKR dan DAP.

KESIMPULAN

Saya tidak cuba menafikan kebenaran apa yang dikatakan semua pihak dalam persoalan ini.

Hanya ianya tidak setepat mana yang sepatutnya kerana keadaan sudah berubah. Hubungan antara PAS, PKR dan DAP tidak seperti dahulu. Itu adalah hakikat sebenarnya. Hanya yang berada dalam perigi buta sahaja yang tidak menyedari hakikat ini dan ingin berpura-pura menipu diri bahawa ianya tetap sama. Bagi yang menyatakan PR masih wujud, sila panggil mesyuarat Majlis Presiden PR. Sila keluarkan kenyataan atas nama ketiga-tiga Presiden dan buktikan kewujudannya. Kalau tidak boleh maka terimalah hakikat, ianya sudah tiada.

“Move on!” Jangan kita berpaut kepada dahan yang rapuh. Bina kekuatan atas apa yang ada.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

azim saleh said…
Bercakap mengenai kota damansara, saya ada soalan. Baru ini saya ada mendengar forum yb khalid di youtube dan yb sendiri ada menjawab soalan hadirin berkenaan hubungan pkr-pas adalah untuk rundingan kerusi pada pru akan datang.

Soalan saya bagaimana jika masih berlaku insiden seperti di kota damansara walaupun telah dibuat rundingan (saya anggap pas bukan dari pihak pembangkang atau kerajaan kerana mereka boleh membuat kacau di mana-mana kerusi pun). Apa PH ada back up plan? Atau pencegahan awal?

Terima kasih.
Pa'chik said…
mungkin langkah amanah untuk kekal bersama pakatan masa tu satu kesilapan.. kalau dibiarkan dulu hadi menunjukkan belang sebenar dia dengan bersamasama umno untuk mengekalkan khalid ibrahim secara jelas dan terang... barulah dizahirkan bahawa amanah menolak kerjasama tersebut... dan keluar dari pas kerana hadi dah sokong bn...
masa tu hadi dan konconya akan jadi seperti asri dulu...

tapi apa nak dikata.bn dah dapat hasil yg mereka nak.. pas dah jadi pempuan barai.. depa tinggai laaaa... takde sapa nak dah hadi tu... kalau dia gabung ngan bn pun, sah sah akar umbi sebenar akan tolak.. pas takde nilai untuk umno masa tu.. sekarang tugas pas hanya Untuk buat kacau la...
Mat Safian said…
Kita berterus-terang sahaja. Di Pulau Pinang, orang2 Azmin terus mempromosikan AMANAH adalah alat DAP dan DAP berjaya pecah-belahkan org Melayu PAS dgn mewujudkan AMANAH. Ini kata2 dr orang2 kanan PKR Penang sendiri.

Sy harap kepimpinan AMANAH pusat dan negeri telah pun maklum akan hal ini. Sy harap ada strategi yg dijalankan AMANAH utk mengatasi kumpulan Azmin. Ini masalah berat, kumpulan Azmin bukan sahaja cuba menghasut penyokong2 PAS menjauhkan AMANAH tetapi mereka juga menyebarkan Kak Wan merestui Azmin menjadi Perdana Menteri sekiranya PH menang kelak. Alasan mereka DSAI sendiri memberi izin dan ia sudah tua.

Ungkapan 'DSAI sudah tua' utk jadi PM adalah ungkapan yg paling byk disebarkan oleh orang2 Azmin. Ungkapan ini sama dgn ungkapan Tun M ketika ditemu-ramah oleh stesyen TV luar negara. Tun M juga menyebut DSAI sudah tua.
z_molan said…
{adangan saya YB..Amanah perlu turun kebawah..mula berceramah di seluruh negara..khusus di Selangor...beri penerangan..masih terdapay ahli ahli PAS dibawah yang masih belun jelas...mereka telah di tanamkan di dalam pemikiran mereja olih lebai2 berserban besar bahawa ahli ahli yang keluar ini khianat pada Parti....mereka semua tidak nampak lagi akan kebenaran sebenarnya..kerana ditutup olih serban yg besar2...
Saadun Sulaiman said…
Sejak dari PAS berjaya menurun kan "SETANDAN" dengan sekali "SODOK" mengunakan penyodok yang di sediakan oleh Mokhtar a/l Sneak membukti kan bahawa PAS telah berjaya di hasut oleh UMNO dengan harapan agar PAS berpecah. UMNO telah "MENGUPAH" a/l SNEAK untuk melakukan kerja kerja yang "TERKELUAR" dari ajaran Islam. PAS dan UMNO terlupa bahawa dengan pepecahan tersebut maka ALLAH telah mengilhamkan kepada yang di SODOK secara setandan itu akan menubuhkan wadah perjuangan baru yang di panggil AMANAH. Bila AMANAH telah berjaya di tubuh kan maka mula lah PAS dan UMNO mengelar AMANAH dengan pelbagai gelaran. Sekali lagi PAS yang konon nya memperjuangkan Islam telah "TERKELUAR" dari ajaran yang suci ini. Yang menyeronok kan bila PAS mula berkerja sama dengan UMNO sebuah parti yang sarat dengan kemungkaran. Para lebai dan serban longgar PAS seolah olah melupai acaman ALLAH kepada mereka yang menyokong dan bersekongkol dengan mereka yang zalim. Sebelum ini pehak lebai malang dan serban longgar dari PAS telah beberapa kali menjelaskan maksud ayat ini, akhir nya mereka sendiri yang melakukan nya. Ini apa cerita?

Saya berkayakinan bahawa PAS akan terus berusaha agar UMNO/BN akan terus memerintah namun perancanggan ALLAH tiada siapa yang tahu. Buat para pemimpan AMANAH yang
ikhlas terus kan lah usaha murni kamu untuk memperjuangan kan hak hak rakyaat yang terus di tindas oleh UMNO/BN yang boleh di andaikan saperti penjelmaan DAJJAL. Usah di hirau kan PAS yang akhir akhir ini kelihatan sudah membelakanggi Al-Qur'an dan Al-Sunnah.

Saya percaya bahawa di luar sana sememang nya mengharap kan pembilaan dari AMANAH. Kepada ALLAH kami berserah.

Popular posts from this blog

Berakhirnya Drama RUU 355?

Drama perlaksanaan sistem perundangan Islam yang mengambil bentuk usul persendirian YB Marang berhubung Akta 355 kelihatan menghampiri adegan penamatnya. Pada peringkat kesudahannya UMNO/BN kelihatan sebagai pihak yang meraih keuntungan terbesar dengan pembangkang berada dalam keadaan berpecah dan tidak bersepakat. Keutuhan Pakatan Rakyat yang telah mewarnai pilihan raya ke 13 pada 2013 sudah jelas hilang. Yang sepatutnya mengambil tempatnya, iaitu Pakatan Harapan, masih dalam keadaan sedikit terumbang-ambing, khususnya berhubung hubungan dengan PAS.

Tindakan UMNO/BN untuk mensasarkan PAS melalui isu perundangan Islam adalah satu ‘master-stroke’ yang tidak boleh dinafikan mana-mana pihak. Melaluinya bukan sahaja PR berpecah, namun ketidak-tentuan sikap terhadap PAS menyebabkan apa-apa tindakbalas untuk menyelamatkan keadaan menjadi tidak padu dan kurang bersungguh-sungguh. Kebergantungan terhadap PAS oleh pihak tertentu menyebabkan mereka tidak sanggup memutuskan hubungan dengan PAS s…

Kenyataan Media Amanah Mengenai RUU 355

Muqaddimah

Amanah menganggap mahkamah syariah sebagai institusi penting dalam usaha menzahirkan kebenaran dan keadilan Islam. Oleh itu imejnya sebagai institusi yang cekap dan berwibawa perlu sentiasa dijaga. Amanah bersetuju bahawa segala usaha ke arah memperkasakan mahkamah syariah, dari segi kecekapan perlaksanaan undang-undang Islam, perlu disokong dan dibantu.

Kenyataan Berhubung Usul Persendirian Marang: Cadangan Pindaan ke Atas Akta 355

MUQADDIMAH

1. AMANAH ingin menegaskan bahawa Mahkamah Syariah adalah institusi keadilan Islam dan oleh itu apa jua usaha ke arah menperkasakannya adalah disokong. Bidang kuasanya berhubung kesalahan jenayah syariah dijelaskan dalam Akta 355 sediada. Akta 355 ini perlu dijaga dengan baik dan apa jua usaha pembaik-pulihan serta pindaan terhadapnya perlu diperhalusi secara teliti supaya tidak menjejas kedudukan mahkamah syariah.

2. Akta 355 sediada telah digubal mengambil kira kedudukan dan peranan Mahkamah Syariah di dalam kerangka struktur kenegaraan Malaysia yang di dalamnya wujud Mahkamah Sivil dan juga Mahkamah Syariah. Sepertimana diketahui umum, bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah terhad kepada orang Islam dan kesalahan-kesalahan tertentu seperti terkandung dalam Senarai II Senarai Negeri Jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Selainnya adalah di bawah Mahkamah Sivil.

3. Apa jua pindaan yang ingin dibawa semestinya selari dengan kedudukan dan peranan ini supaya tidak berlaku…