Skip to main content

Bubarkan Amanah Pembangkang Tenang?

TITM mencadangkan supaya Amanah dibubarkan. Menurut beliau lagi “bubar Amanah dan pembangkang akan tenang”. Mungkin TITM lupa bahawa sebelum wujudnya Amanah sekalipun pembangkang dalam keadaan berbalahan satu sama lain.

Dari sejak 2008 lagi PAS menimbulkan banyak masalah terhadap usaha kerjasama dan kesatuan pembangkang untuk menghadapi UMNO/BN. Kami yang sekarang ini berada dalam Amanah yang telah berusaha mempertahankan kerjasama ini bersama Almarhum TGNA. Dan oleh kerana usaha mempertahankan kerjasama ini jugalah maka kami digelar ‘golongan Erdogan’, ‘Anwarinas’, ‘wala pada PR lebih dari wala kepada PAS’ dan sebagainya. Akhir sekali digelar ‘liberal’, ‘jebon’, ‘pengkhianat’ dan ‘khadam DAP’.

Tidak perlu saya ceritakan satu persatu, ini semua cerita lama yang diketahui umum. Memadai dengan disebut krisis MB Selangor yang merupakan kemuncak perbalahan ini di mana PAS telah sanggup berkerjasama dengan UMNO mempertahankan TSKI sehingga ke peringkat memecat exco-exco PKR dan DAP. Rakyat Selangor bernasib baik dengan adanya dua ADUN PAS yang telah berjaya menggagalkan pengkhianatan PAS! Akhirnya TSKI terpaksa letak jawatan sebagai MB.

Konsep di sebalik pengkhianatan ini jelas terkandung dalam mesej whatsapp Dr. Zuhdi yang telah disebar-luas suatu ketika dahulu. Tiada kekesalan dan permintaan maaf sama dari PAS selepas berlalunya episod ini. Sedangkan ianya tindakan menikam rakan sendiri dari belakang!

Masalah perbalahan antara parti pembangkang ini tidak akan selesai selagimana PAS tidak insaf dan terus ingin menegakkan benang basahnya. PAS sentiasa menyalahkan pihak lain sedangkan dirinya sendiri yang jauh lebih bersalah dan bermasalah. Mutakhir ini ingin menyalahkan Amanah pula! Dengan sikap angkuh sebegini, bagaimana kesatuan pembangkang boleh tercapai?

CADANGAN ‘GENCATAN SENJATA’

Saya ingin nyatakan kepada TITM, lihat sahajalah kepada respon pimpinan PAS terhadap seruan TITM untuk diadakan ‘gencatan senjata’. Saya yakin TITM sendiri kecewa dengan respon yang diterimanya, tetapi itulah hakikat pemikiran PAS dewasa ini. Kecuali pimpinan Selangor, hampir semua yang lain telah menolak cadangan TITM. Mungkin ini yang menyebabkan TITM marah dan dalam kekecewaannya menghalakan kemarahannya kepada saya.

Sedangkan saya sendiri menyokong cadangan TITM. Namun tiada masalah, saya faham dan saya maafkan. TITM perlu faham, walaupun saya diam seperti yang dicadangkan beliau sekalipun, masalah perbalahan PAS dengan pembangkang lain tetap tidak akan selesai. Ini adalah kerana punca masalah itu bukan datangnya dari suara saya tetapi dari sikap Hj. Hadi dan pimpinan PAS yang lain.

PERMINTAAN PAS SELANGOR

Jika difikirkan permintaan PAS Selangor, sepatutnya Hj. Hadi akur kepada kehendak PAS Selangor. Hj Hadi sering sebut “orang Mekah lebih tahu liku-liku jalan di Kota Mekah”. Maka sepatutnya diterimanya bahawa orang Selangor lebih tahu waqi’ di Selangor. Akan tetapi permintaan PAS Selangor akan tetap ditolak. Bukan kerana Hj. Hadi anggap dirinya lebih tahu waqi’ di Selangor, tetapi kerana hala-tujunya sudah berbeza. Jatuhnya Selangor kepada UMNO/BN sekalipun mungkin tiada masalah bagi beliau. Malahan mungkin dianggapnya lebih baik dari Selangor terus kekal bawah PH dan PAS! Maka gencatan senjata akan tetap dan terus ditolak.

Amanah setuju dan sokong supaya diadakan gencatan senjata antara parti pembangkang. Amanah setuju kita perlu bersatu dalam berhadapan dengan UMNO/BN. Itulah sebabnya Amanah ditubuhkan supaya kesatuan itu tercapai. Kerana PAS tidak setuju.

BERKERJA DI BAWAH SESEORANG

Dalam soal berkerja di bawah seseorang, ianya tiada masalah bagi saya. Tuduhan TITM bahawa saya dan rakan-rakan tidak boleh berkerja di bawah orang lain adalah tidak berasas. Sudah pasti dalam Amanah sekalipun bukan semua menjadi pimpinan terkanan. Oleh itu semestinya akan ada di kalangan kami yang berkerja di bawah yang lain.

Isunya bukan berkerja bawah orang lain, tetapi orang yang kita berkerja di bawahnya perlu membawa kita ke arah yang terbaik. Sebelum penubuhan Amanah kami telah berikan tempoh seratus (100) hari untuk melihat hala tuju pimpinan baru. Kami melihat ianya jauh terpesong dari hala-tuju yang dibawa Almarhum TGNA di mana beliau sentiasa menegaskan “kukuhkan PR” dan ‘jatuhkan UMNO’. Terbukti bacaan kami tepat. PAS telah pecah-belahkan PR dan sedang bermesra dengan pimpinan UMNO.

Apabila PAS tidak lagi menganggap perlu semua pembangkang berkerjasama untuk menghadapi UMNO/BN, ia bermakna menjatuhkan UMNO/BN bkan agenda utama. Dalam erti-kata lain kalau UMNO/BN tidak dijatuhkan sekalipun ianya bukan satu masalah. Seperti yang pernah dikatakan Hj. Hadi, “Najib tidak seburuk Firaun”.

Oleh itu terpaksalah kami tubuhkan Amanah supaya hala-tuju yang diusahakan sejak dahulu terus diusahakan. Kami istiqamah dengan usaha tersebut walaupun tidak istiqamah dengan jemaah PAS. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, yang penting risalahnya bukan jemaahnya.

AGIHAN KERUSI

TITM ingin memberikan gambaran bahawa masalah utama pembangkang adalah soal agihan kerusi. Sebenarnya ada masalah yang lebih utama, iaitu kejujuran dan keikhlasan dalam berpakat. Kalau tidak jujur atau ikhlas, maka agihan kerusi akan menjadi masalah. Apa guna diagihkan tetapi selepas itu watiqah tetap dikeluarkan apabila diminta menantu? Atau dipaksanya diserahkan kerusi dengan dituduh secara terbuka calon parti rakan menjual pil kuda? Dan yang lebih teruk, setelah dimenangi kerusi berkenaan secara berpakat, melalui sokongan dari semua parti rakan, mendakwa ianya milik PAS secara mutlak?

Kemuncak segala pengkhianatan ialah apabila dimenangi jumlah kerusi tertentu, dengan sokongan parti-parti rakan, digunakan kerusi-kerusi tersebut untuk berunding dengan UMNO/BN! Bukankah TITM sendiri pernah berkata, sekiranya PAS menang 20 dan pembangkang dan BN menangi jumlah yang sama, PAS boleh pilih hendak dengan siapa?

Dan inilah masalahnya. Tiada kejujuran dan keikhlasan maka rundingan kerusi sudah pasti tidak akan selesai. Jika berjaya diselesai sekalipun, dikhianati. Amanah adalah alterntif kepada pengkhianatan, komited kepada kejujuran, ikhlas dalam persahabatan dan tidak menikam rakannya dari belakang. Itu sebabnya Amanah ditubuhkan. Untuk menzahirkan politik Islam yang adil, ikhlas dan jujur.

NASIHAT PADA PIMPINAN PAS

Saya ingin berikan nasihat kepada TITM dan pimpinan PAS, walaupun saya yakin nasihat ini tidak akan diindahkan. Mereka merasakan mereka sahaja yang betul dan mereka sahaja kononnya yang dipandu Al-quran dan Sunnah. Ini punca keangkuhan mereka. Namun saya tetap bertanggung-jawab menasihati mereka. Terima atau tidak terpulang.

Nasihat saya adalah supaya jangan kita jadi seperti tentera Turki yang terlibat dalam usaha rampasan kuasa tempoh hari. Mereka ingat rakyat bersama mereka, bahawa mereka adalah sebagai pembela nasib rakyat dan apabila mereka melakukan rampasan kuasa, rakyat Turki akan sambut mereka sebagai penyelamat dan perwira negara. Namun amat sangat meleset andaian dan tanggapan mereka!

Kenapa andaian mereka begitu jauh tersimpang dari hakikat sebenar? Kerana mereka diindoktrinasi dengan fahaman dan maklumat yang songsang. Mereka hanya sesama mereka dan termakan dengan propoganda sendiri. Mereka menganggap rakyat bencikan Erdogan seperti mereka bencikannya. Sedangkan hakikatnya adalah sebaliknya.

Sememangnya amat benar Islam itu adil dan merupkan agama yang benar. Dan amat benar bahawa Islam apabila terlaksana sepertimana sepatutnya akan menghasilkan keadilan dan manusia akan datang berduyun-duyun untuk bersama Islam. Tetapi adakah benar bahawa pendekatan PAS dalam membawa risalah Islam itu menzahirkan keadilannya? Adakah benar bila rakyat melihat PAS maka dianggap PAS pembelanya? Atau sekadar yang bercakap mengenai Islam tetapi yang dilakukan tidak seperti yang dikatakannya? Lihat bagaimana sokongan bukan Islam telah hampir kesemuanya lari dari PAS di Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Sedarlah akan keadaan yang telah berubah dan tidak seperti dahulu. Jangan kita seolah berada dalam perigi buta.

Ya benar, Amanah sebaliknya tidak mendapat undi Melayu, kecuali dalam lingkungan 10% - 13%. Sebagai sebuah parti baharu, itu tidaklah menghairankan. Amanah baharu ditubuhkan dan masih belum lagi dikenali. Tambah pula Amanah diserang bertubi-tubi oleh UMNO dan PAS, kedua-dua parti Melayu yang paling berpengaruh dalam arena politik Melayu selama ini. Namun alhamdulillah Amanah tetap mendapat 10% dalam tempoh hayat hanya 8 bulan. Potensi untuk Amanah adalah hanya ke arah semakin betambah banyak, tetapi adakah potensi ini turut dikongsi oleh PAS dalam keadaan semasa?

KESIMPULAN

Saya menyeru TITM untuk teruskan usaha mengubah pemikiran PAS supaya PAS mengakui kesilapan dan kesalahan yang telah dilakukannya. Biar jujur dalam berkerjasama dan kembali kepada sikap UMNO/BN sebagai musuh utama. Saya sokong usaha TITM ke arah itu.

Tetapi sekiranya jelas bahawa PAS tidak akan kembali kepada pendekatan asalnya, iaitu bersama parti pembangkang dalam menentang UMNO/BN, maka TITM perlu mengakui bahawa usaha tersebut akan tidak ke mana. Pada ketika itu TITM perlu membuat keputusan ia itu untuk terus bersama PAS yang telah hilang hala-tujunya atau bersama PH dalam usaha menjatuhkan UMNO/BN.

Kami di Amanah telah membuat keputusan yang kami yakin dengan kebenarannya. PAS bukan lagi sebuah parti pembangkang dan menjatuhkan UMNO/BN bukan lagi salah satu matlamat utamanya. Itu adalah hakikat dan bukan lagi persepsi.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Unknown said…
Sempit jugak pemikiran tuan ibrahim ni yek..mcm boss die jugak..vangang

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-