Skip to main content

DAP Menentang Islam?

Khutbah Eidul Adha di Negeri Pahang tahun ini telah menyebut DAP sebagai parti yang jelas menentang Islam. Tetapi malangnya tidak dinyatakan sebab mengapa disebut begitu. Tiada hujah ataupun bukti yang dikemukakan untuk menyokong dakwaan tersebut. Hanya dikeluarkan kenyataan dengan begitu sahaja. Apabila pimpinan DAP Pahang meminta untuk bertemu dengan Mufti Pahang supaya dapat dijelaskan mengapa DAP dianggap sebagai menentang Islam, Mufti menjawab dengan sekadar mengatakan “keluar DAP dulu..”.

TERKEJUT DENGAN TUDUHAN DAN RESPON

Saya sebenarnya terkejut dengan keadaan di mana tuduhan terhadap DAP dimasukkan dalam khutbah Eidul Adha. Ianya jelas merupakan tindakan menyalah-gunakan agama demi kepentingan politik golongan tertentu.

Saya terkejut buat kali kedua apabila mendengar jawapan sebegitu rupa dari Mufti Pahang apabila ditanya oleh pimpinan DAP Pahang. Apakah ini kaedah dakwah dan penjelasan mengenai Islam yang terbaharu? Tidakkah sepatutnya peluang untuk menjelaskan isi kandungan khutbah itu kepada golongan yang terbabit digunakan dengan sebaiknya? Tetapi sebaliknya peluang itu digunakan untuk menempelak golongan yang terbabit dan tanpa disedari, merosakkan imej institusi agama yang sepatutnya dijaga dan dipertahankan.

Saya sebenarnya menunggu untuk pejabat Mufti bertindak secara bertanggung-jawab dan memberikan alasan dan penjelasan mengenai tuduhan mereka itu. Namun hingga hari ini tiada sebarang penjelasan yang diberi dan dengan itu imej institusi Islam terus tercemar.

PENYALAHGUNAAN INSTITUSI AGAMA DAN KHUTBAH

Saya tidak tahu apa matlamat dan agenda sebenarnya di sebalik khutbah yang sebegitu rupa. Tetapi yang jelas ianya telah merosakkan imej institusi agama yang dalam kes ini jelas redha dirinya digunakan untuk kepentingan politik pihak tertentu.

Cukup jelas bahawa khutbah itu mempunyai agenda politik kerana sekiranya tidak, mengapa DAP dijadikan sasaran? Adakah DAP dianggap menentang Islam kerana mereka menolak perlaksanaan Hudud? Sekiranya benar begitu, maka adakah hanya DAP yang menolak perlaksanaan hudud? Mengapa tidak disebut sekali MCA, MIC, Gerakan dan juga UMNO yang turut menolak perlaksanaan hudud?

Kedua, tidakkah sudah dijelaskan bahawa pernolakan oleh DAP adalah atas sebab ianya bercanggah dengan perlembagaan Malaysia sepertimana yang telah diterangkan dan bukan kerana ianya dianggap zalim atau ketinggalan zaman? Maka sekiranya begitu, tidakkah sepatutnya respons yang lebih wajar dan adil dari pihak Mufti adalah mendesak supaya perlembagaan dipinda? Sebaliknya DAP pula dijadikan sasaran sedangkan bukan DAP yang menggubal perlembagaan.

KEDUDUKAN KERAJAAN NEGERI PAHANG

Pada masa yang sama, sekiranya penolakan terhadap hudud adalah ukuran, maka bagaimana pula kedudukan kerajaan Negeri Pahang itu sendiri? Adakah kerajaan Negeri Pahang telah melaksanakan hudud atau paling kurang meluluskan rang undang-undang mengenainya? Dan sekiranya tidak, maka mengapa Mufti Pahang tidak menegur kerajaan Pahang sepertimana yang telah dibuat ke atas DAP?

Ataua adakah mungkin Mufti Pahang terlupa bahawa Pahang sendiri tidak lagi meluluskan rang undang-undang hudud kerana kerajaan Negeri Pahang sendiri tidak pernah mengusulkannya? Atau adakah beliau menganggap bahawa DAP yang memerintah Pahang dan oleh itu DAP yang dipersalahkan dan bukan BN?

ALASAN LAIN

Mungkin ada alasan-alasan lain di sebalik tuduhan tersebut. Adakah mungkin ianya atas sebab agama selain Islam dan kaum?

Adakah DAP dianggap menentang Islam atas alasan murahan seperti kerana ramai ahlinya bukan Islam? Atau berbangsa Cina? Sekiranya itu alasannya, maka mengapa tidak disebutkan sekali parti lain juga?

Dan sudah jelas alasan dan hujjah itu adalah sangat dangkal dan tidak betul. Seseorang yang bukan Islam tidak semestinya dia menentang Islam. Sikap menganggap semua orang bukan Islam sebagai menentang Islam adalah sikap yang sesuai dengan pengikut dan pemimpin IS tetapi jelas bercanggah dengan ajaran Islam. Dan semestinya tidak wajar dipegang oleh seorang Mufti!

Atau adakah ianya kerana DAP menentang penyelewengan dan rasuah yang berterusan di bawah UMNO? Dan dianggap menentang UMNO itu sebagai menentang Islam? Jika itulah asas dan hujjah yang digunapakai maka semestinya ianya sikap yang tidak layak bagi seorang Mufti.

Atau kerana DAP ingin perjuangkan demokrasi, ketelusan dan pertanggung-jawaban? Tidakkah itu semua prinsip yang selari dengan ajaran Islam? Maka sekiranya begitu, bagaimana DAP boleh dituduh menentang Islam apabila mereka memperjuangkan prinsip yang selari dengan Islam? Tidakkah yang mempertahankan rasuah dan menolak ketelusan serta pertanggung-jawaban dalam pemerintahan lebih layak digelar ‘menentang Islam’?

KENAPA BELA DAP?

Mungkin ada juga yang bertanya mengapa saya membela DAP dalam isu ini dan seolah “menyerang” Mufti Negeri Pahang.

Pertama ianya adalah atas sebab prinsip keadilan. Sebagai seorang beragama Islam, bukan sahaja saya, bahkan semua ummat Islam perlu mempertahankan keadilan. Tuntutan mempertahankan keadilan adalah begitu penting dalam Islam sehingga ianya dituntut walaupun terhadap musuh dan mereka yang tidak disukai. Tindakan memfitnah DAP adalah suatu kezaliman dan demi keadilan, fitnah ini perlu ditentang.

Kedua, ianya penting kerana DAP adalah rakan kami dalam Pakatan Harapan. Sekiranya DAP dilihat sebagai sebuah parti yang menentang Islam, sudah pasti semua akan terpalit atas sebab berkerjasama dengan mereka. Kerjasama dengan DAP dan kewujudan Pakatan Harapan sendiri akan hanya dapat kami pertahankan sekiranya DAP dibersihkan dari tuduhan rambang dan fitnah yang tidak bertanggungjawab ini.

Dan sebenarnya, inilah sebabnya fitnah ini sengaja diadakan, supaya menjejaskan sokongan terhadap Pakatan Harapan dan AMANAH demi kepentingan politik pihak tertentu. Dalam ertikata lain, DAP difitnah kerana kami dan oleh itu adalah amat wajar agar mereka dibela.

KESIMPULAN

Saya harap pihak pejabat Mufti Pahang akan berani bertanggungjawab untuk menjawab soalan yang timbul berhubung isi kandungan khutbah tersebut. Dengan itu mungkin dapat dikembalikan sedikit maruah kepada institusi agama yang dalam kes ini dilihat oleh ramai sebagai alat politik semata-mata. Biarlah sesuatu ‘fatwa’ itu berasaskan hujah dan dalil yang jelas dan nyata dan bukan demi memenuhi kehendak golongan berkuasa.

Saya harap khutbah dan hari perayaan Islam tidak akan lagi dicemari oleh tindakan politik murahan pada masa-masa akan datang. Biarlah Eidul Adha dan khutbahnya dihormati dan terselamat dari mainan politik dan sebaliknya digunakan untuk membawa manusia untuk mengenali Penciptanya.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

hishamuddin said…
Assalamualaikum... Saya cadangkan agar pimpinan Amanah lebih menumpukan perhatian kepada isu2 negara daripada membuat penjelasan terhadap pandangan negatif pihak PAS. Penjelasan dan jawapan balas terhadap tindak tanduk PAS pada saya merugikan masa dan tenaga Amanah sedangkan byk isu negara mahupun luar negara y boleh di ketengahkan pada rakyat... Byk isu besar seringkali didedahkan oleh DAP dan Rafizi... Beberapa panfangan negatif pas terhadap tindakan amanah dan pembangkang biarlah rakyat yang mengunyah dan menghadamnya dan membuat penilaian sendiri.. Rakyat tak lah bodoh sangat...
hurricanemax said…
Salam S'ra. "...Rakyat tak lah bodoh sangat..." unquote.
Saya mmg kurang pasti dgn pandangan anda.
hurricanemax said…
"...Rakyat tak lah bodoh sangat.' ~ unquote.

Saya mmg kurang pasti dgn pandangan anda. Peace.
Unknown said…
Rakyat tak lah bodoh sangat nak sokong "pengkhianat"
Izuddin said…
British gelar kamu Melayu sebab kamu layu. British heran tengok kamu. YB Khalid nak change mentality kamu supaya kamu tak lah BODOH.

jangan gelar kamu Melayu lah. Buang lah perkataan melayu. Perkataan melayu tak sesuai lagi. Ia mencermin perangai malas. Orang indonesia tak pun gelar diri mereka melayu...walaupun depa layu juga,,,,haha.

Ada satu masyarakat yang tinggal di Ithmus Kra yang betul2 melayu...depa ni fishermen....kias pagi makan pagi, kias petang makan petang.

Dah nak capai status negara maju 2020 tapi ada lagi orang melayu di Malaysia.
hishamuddin said…
Rakyat yang berfikiran rasional tdk condong dan terikut ikut pada pandangan mana2 parti melebihi kewarasan akal yang sihat, kebenaran yang ada di dalam satu2 isu... Saya bukan org parti mana2... Saya cuma pengundi yang akan mengundi mengikut kewajaran yang disarankan agama...
Izuddin said…
Dok atas pagar. harapkan pagar, habeh padi kena curi....haha
adriana said…
Parti amanah sayap melayu Dap
Izuddin said…
pas nak jadi sayap umno kot....haha

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.