Skip to main content

Kemunculan Melalui Parti Pekerja Malaysia

Selain program BERSIH 4, satu lagi berita hangat yang disiarkan di dada akhbar baru-baru ini adalah berhubung sidang media yang diadakan oleh gerakan Harapan Baru (HB) pada jam 3.00 petang 31 Ogos di Hotel Vistana Kuala Lumpur. Dalam sidang media tersebut telah dimaklumkan bahawa pimpinan gerakan HB telah kesemuanya menyertai sebuah parti lama yang bernama Parti Pekerja Malaysia. Melalui EGM yang telah diadakan pada 25hb Ogos, maka pemilihan saff pimpinan baru telah dilakukan untuk parti tersebut. Pimpinan gerakan Harapan Baru telah muncul sebagai pimpinan baru parti tersebut melalui EGM ini. Mesyuarat yang sama telah memutuskan bahawa nama dan logo parti akan diubah dan Islam diterima sebagai dasar perjuangan parti. Pindaan perlembagaan parti seterusnya akan dilakukan secara berperingkat.

Melalui tindakan ini maka gerakan HB telah mencapai matlamat mereka untuk muncul di pentas politik arus perdana melalui sebuah parti politik yang berjuang atas dasar Islam. Walaupun ianya bukan melalui sebuah parti baru yang ditubuhkan mereka sendiri, namun tetap melalui parti politik. Melalui tindakan ini, cita-cita untuk meneruskan perjuangan Islam dengan pendekatan mesra rakyat dan berhemah akan tetap dapat dicapai.

MENGAPA MELALUI PARTI SEDIADA?

Mungkin setelah menerima maklumat ini, ada yang bertanya, mengapa tidak tubuh sahaja parti baharu? Sebenarnya kita semua memahami bahawa di Negara ini proses pendaftaran parti baharu bukan sesuatu yang mudah. Ianya boleh dilengah-lengahkan sesuka hati pihak berkuasa tanpa sebarang sebab yang munasabah. Saya difahamkan parti IKATAN yang ditubuhkan TS Kadir Sheikh Fadhil telah mengambil masa hampir 3 tahun untuk didaftarkan. Itu dalam keadaan ianya tidak dilihat sebagai merbahaya terhadap BN dalam masa terdekat ini.

Oleh itu, dari awal lagi, sambil menyerahkan permohonan untuk mendaftarkan parti baru, iaitu ‘Parti Progresif Islam’, perundingan dengan ‘pemilik’ parti sediada telah diusahakan. Kita cukup memahami realiti politik negara dan bagaimana usaha ini akan disukarkan oleh pihak yang berkepentingan. Terdapat pihak yang sudah cukup selesa dengan suasana yang wujud sekarang di mana PR telah ditiadakan dan kemungkinan ianya muncul kembali adalah sesuatu yang hampir mustahil atas sebab sikap keras yang ditunjukkan PAS. Oleh yang demikian, usaha penubuhan sebuah parti Islam baru, yang mampu menghidupkan kembali suasana kekuatan gabungan parti pembangkang akan dihalang sepenuhnya oleh mereka.

Untuk mengatasi masalah ini maka pendekatan penyertaan dan pengubahan parti sediada adalah pendekatan yang terbaik. Lebih-lebih lagi apabila difahamai bahawa parti ini diperlukan untuk mewujudkan gabungan baru yang akan berhadapan dengan UMNO/BN dalam PRU ke 14. PRU ini mungkin akan diadakan dalam masa setahun dua ini, maka lebih cepat parti Islam yang baru ini dimunculkan, adalah lebih baik pada pandangan kami.

Namun demikian, usaha pendaftaran ‘Parti Progresif Islam’ akan diteruskan untuk melihat kecekapan dan keberkesanan pentadbiran pihak berkuasa. Sekiranya ianya diluluskan juga, ia boleh ‘disimpan’ dan tidak diaktifkan sekiranya semuanya berjalan baik dengan parti Amanah Negara.

Ada juga yang menegur nama ‘Parti Progresif Islam’. Dikatakan dulu kita kata ‘Islam Hadhari’ salah, tetapi sekarang dibawa Parti Progresif Islam? Apa beza Islam Hadhari dan Islam Progresif kata mereka!

Saya harap semua tahu membezakan antara ‘Progresif Islam’ dan ‘Islam Progresif’. ‘Progresif Islam’ bererti ‘progresif’ dicorakkan oleh Islam. ‘Islam progresif’ pula bererti Islam dicorakkan oleh ‘progresif’. Maka Parti Progresif Islam bererti parti yang bersifat progresif tetapi sifat progresifnya itu dicorakkan oleh Islam termasuk batas hukumnya.

PENUKARAN NAMA PARTI

Antara tajuk penting yang dibincangkan pada pagi 31 Ogos tersebut, sebelum sidang akhbar itu diadakan, adalah persoalan nama baharu untuk ‘Parti Pekerja Malaysia’. Dalam soal ini, isu nama Islam pada parti berkenaan dibahaskan. Ada yang menganggap bahawa amat penting untuk nama parti itu mengandungi kalimah ‘Islam’ supaya jelas dari awal matlamat dan dasar parti tersebut. Namun atas sebab pendirian pihak berkuasa seperti yang dinyatakan Zahid Hamidi diketahui semua, maka untuk mengelakkan proses pemohonan dan penolakkan yang membuang masa, maka diputuskan supaya memadai dasar Islam ditegaskan walaupun nama parti tidak menggunakan kalimah ‘Islam’.

Oleh itu akhirnya dipersetujui semua bahawa nama parti ditukar menjadi ‘Amanah Negara’. Ini sesuai dengan kefahaman bahawa kuasa politik dan kepimpinan adalah satu amanah terhadap rakyat dan Negara.

Dalam perbahasan berhubung nama baru parti, sebelum diputuskan dan dipersetujui kalimah ‘Islam’ tidak boleh diletakkan atas sebab dasar pemerintah semasa; maka terdapat juga cadangan untuk menggunakan nama parti ‘IMAN’ iaitu singkatan kepada ‘Islam Menggalas Amanah Negara’. Walaupun ianya juga kelihatan amat sesuai, lebih-lebih lagi apabila difahami bahawa IMAN itu adalah peringkat kepercayaan dan ketaatan yang lebih tinggi dari ISLAM, namun ianya terpaksa diketepikan. Ayat 14 Surah Al-Hujurat berbunyi;


Maksud ayat tersebut;

“Berkata orang-orang Arab: “Kami beriman”. Katakan (Wahai Muhammad): “Kamu tidak beriman tetapi katakan kami Islam”. Iman itu belum lagi memasuki hati-hati kamu, dan sekiranya kamu taat pada Allah dan RasulNya, Dia tidak akan mempersia-siakan mana-mana amalan kamu, sesungguhnya Allah Pengampun dan Pemurah.”

Kefahaman ini juga diperolehi melalui kalimah ‘Muslim’ dan ‘Mu’min’ di mana Mu’min itu adalah lebih tinggi martabatnya. Sudah pasti sekiranya parti baharu ini muncul sebagai parti ‘IMAN’ maka ianya akan mendiamkan segala sindiran dan kritikan dari parti ‘ISLAM’. Dan dengan itu akan tercapai satu ‘kemenangan’ dari awal lagi.

Namun kemenangan dari segi nama bukan yang terpenting. Lagi penting adalah kemunculan segera di pentas politik dan ‘kemenangan’ dari segi amalan dan tindakan. Dan inilah yang dimaksudkan dengan gesaan Allah melalui firmanNya “fastabiqul khairats” ia itu berlumba-lumba melakukan kebaikan.

HUJJAH PENGHARAMKAN PENGGUNAAN PERKATAAN ISLAM UNTUK PARTI POLITIK

Zahid Hamidi semakin pantas menzahirkan kemampuannya untuk menggantikan Ahmad Maslan sebagai icon Menteri yang kurang bijak. Dalam hujjah beliau berhubung penggunaan kalimah ‘Islam’ pada sesebuah parti politik, beliau menyebut, antara lain;

“Kesilapan dulu tidak wajar diulangi. Dengan adanya parti yang menggunakan kalimah Islam pada namanya maka timbul suasana di mana parti berkenaan mendakwa hanya dia sahaja adalah parti yang memperjuangkan Islam dan hanya ahlinya sahaja yang Islam. Ini merupakan keadaan yang tidak sihat dan tidak wajar digalakkan dengan diluluskan satu lagi parti bernama Islam”.

Walaupun bukan itu perkataannya secara verbatim, namun itulah maksud isi kandungan ucapan beliau. Kalau difikirkan secara rasional, masalah yang disebutkan akan diatasi dengan adanya beberapa parti Islam dan tidak dikekalkan hanya satu. Masalahnya timbul apabila ada hanya satu. Maka akan secara tidak langsungnya mendakwa hanya ia sahaja Islam.

Oleh itu saya beranggapan bahawa bukan itu sebab sebenarnya nama Islam tidak mahu dibenarkan, tetapi sebaliknya ‘status-quo’ hendak dikekalkan. Dengan diadakan hanya satu parti Islam dan hanya satu parti Melayu, maka sokongan terhadap UMNO/BN serta PAS dapat dikekalkan secara sediada. Dan sekiranya akhirnya tercapai kerjasama PAS UMNO yang diidam-idamkan, sokongan Melayu Islam dapat dikukuhkan sepenuhnya.

KESIMPULAN

Maka akhirnya tercapai juga apa yang diinginkan dengan adanya parti politik yang boleh dimanfaatkan untuk meneruskan perjuangan meletakkan parti Islam di persada politik arus perdana dan bukan lagi dipinggirannya seperti sebelum ini. Masalah pertukaran nama dan perlembagaan akan diuruskan seterusnya. Buat masa ini, sehingga nama baru dan pindaan perlembagaan diluluskan, ianya akan bergerak di dalam keadaan sediada, tetapi hasrat, dasar dan matlamat perjuangan diketahui semua.

Adalah diharap, semua yang inginkan perubahan politik dan ekonomi Negara ke arah yang lebih baik, yang lebih selari dengan kehendak Islam, akan bersama dengan parti Amanah Negara ini. Samada beragama Islam atau tidak, yang Melayu ataupun bukan Melayu; kami yakin bahawa prinsip-prinsip keadilan politik, ekonomi dan sosial Islam yang diperjuangkan Amanah Negara boleh diterima secara relanya dan dipersetujui semua; insyaAllah.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Unknown said…
Salam Tuan, umum memperkatakan tntang logo Amanah. Melihatnya saya teringat monumen Putrajaya. Jadi kita modify sikit. Konsep A. Tapi mirip monumen putrajaya. Mknta artis kita buatkan.

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.