Skip to main content

Selepas Jebon, Parasit Pula?

Baru-baru ini satu gambar pamplet yang bertajuk “Siapakah perosak sebenar PAS?” tersebar melalui media sosial WhatsApp. Di bawah tajuk itu tercatit pula takrif perkataan ‘parasit’. Di dalam pamplet tersebut disenaraikan pula 8 pimpinan PAS yang digelarkan sebagai ‘parasit’ dengan urutan ranking tertentu.



Nampak gaya seolah-olah satu atau dua gelaran tidak memadai dalam usaha golongan ini menjatuhkan pemimpin. Sebaliknya mereka memanafaatkan gelaran sebanyak mana yang mungkin demi mencapai matlamat mereka. ‘Jebon’, ‘Parasit’, ‘Anwarinas’, ‘anti-ulama’, ‘anti-hudud’, ‘liberal’, ‘sekular’ dan apa sahaja yang mungkin digunakan untuk menimbulkan kebencian terhadap kumpulan pemimpin ini. Samada gelaran ini betul atau pun tidak, benar ataupun fitnah, tidak langsung diendahkan. Yang penting, berjaya ditanam kebencian terhadap mereka ini.

Golongan tukang label ini menggelarkan diri mereka sebagai ‘pro-ulama’ tetapi hakikatnya, perangai mereka lebih sesuai dengan gelaran ‘geng-juhala’. Ini adalah kerana hanya yang jahil akan bersikap dan bertindak seperti mereka. Kononnya mereka lakukan demi menyokong calon ‘ulama’ dalam Muktamar. Kalau benar, maka saya harap calon ulama ini bukan jenis yang ‘bisu’, tidak menegur kejahilan dan kejahatan penyokong.

ASAL USUL GELARAN ‘PARASIT’
Setakat mana saya ingat, orang yang mula-mula gunakan gelaran ‘parasit’ adalah Dato Dr. Hassan Ali. Bersama beberapa pengikut tegarnya, DDHA menggunakan gelaran itu terhadap mereka yang menentang hajatnya untuk PAS membentuk kerajaan bersama UMNO/BN di Selangor pada 2008 dengan dirinya sendiri sebagai MB Selangor. Tidak sangka masih ada yang sanggup menjadi ‘tukang-tiru’ kaedah DDHA dalam PAS! Berkemungkinan juga mereka adalah orang-orang yang sama yang merupakan ‘tukang-tiru’ Zul Nordin pencipta gelaran ‘Anwarinas’!



Selepas ghaibnya DDHA dan ZN, budaya gelar-menggelar dan label-melabel diteruskan ‘tukang-tiru’ dengan turut tersebarnya gelaran baru yang dicipta mereka!

SIAPA PARASIT SEBENAR?
Parasit ditakrifkan oleh pengarang pamplet sebagai “menumpang pada tubuh dan menghisap segala zat dari tubuh itu. Parasit kenyang, namun tubuh yang ditumpangi itu semakin rosak dan lunyai”.

Bagi pandangan saya, 8 pemimpin yang digelar sebagai ‘parasit’ (termasuk saya), tidak menepati takrif di atas. Malahan ianya lebih sesuai digunakan terhadap golongan ‘geng-juhala’ yang baru muncul ini. Ini adalah kerana 8 pemimpin yang digelar ‘parasit’ ini sebenarnya telah bersama PAS sejak PAS parti lemah yang tidak mendapat sambutan, samada dari orang Islam atau bukan Islam. Keterlibatan kami sejak tahun 80an semasa PAS tidak mempunyai Ahli Parlimen ataupun ADUN kecuali sedikit dan hanya di Pantai Timur. Dan melalui maklumbalas yang diterima, usaha kecil kami bersama ahli PAS yang komited memperjuangkan Islam telah menyumbang kepada bertambah kuatnya PAS dan bukan sebaliknya.

Atau adakah ada yang beranggapan PAS lebih kuat pada tahun 80an berbanding 1998 hingga 2013?

‘Parasit’ datang pada tubuh yang kuat dan menjadikannya lemah (seperti sekarang) dan bukan datang ke tubuh yang sedang ‘lemah’ dan membantu mengukuhkannya. Kemanisan manafaat atau ‘zat’ yang telah dihisap tidak lain dari celaan berselang kutukan masyarakat pada ketika itu serta ditahan di bawah ISA dan bermalaman di lock-up!

PARASIT MULA DATANG...
Tetapi sekarang, tubuh PAS sudah kuat dan kukuh. Maka amat menarik bagi ‘parasit’ datang menghinggap dan menghisap! Maka inilah masanya dan bukan 20 tahun dahulu!

Mereka muncul entah dari mana, muka baru yang melayari alam maya, menaburkan fitnah dan adu-domba. “Pemimpin ini Liberal, Sekular dan Plural. Mereka anti-ulama, anti-hudud dan ingin jatuhkan DS Presiden” kata mereka. Mereka menonjolkan diri, menggambarkan diri sebagai penyokong PAS tegar tetapi dengan setiap kejayaan yang mengukuhkan kedudukan mereka, PAS menjadi semakin berpecah dan semakin lemah.

Ukhuwwah dalaman semakin parah, hubungan dengan PR semakin retak, penerimaan oleh masyarakat Islam dan bukan Islam semakin merosot. Sambil itu mereka bertambah ‘kenyang’. Disanjung atas sebab dianggap ulama. Laluan disediakan permaidani merah dan mereka inilah parasit sebenar.

Mereka hisap zat kekuatan PAS demi keuntungan peribadi. Mereka semakin kuat, PAS semakin lemah dan lunyai.

DUIT DATANG DARI MANA?
Ada juga yang bertanya, “buat pamplet ini banyak belanja. Mana datang duit?”

Adakah mustahil mereka ditaja? Oleh yang inginkan PAS dan PR berpecah untuk UMNO kekal memerintah.

KESIMPULAN
Nasihat ikhlas saya pada ‘tukang-tiru’ DDHA dan ZN, sekiranya kamu hendak gelar dengan gelaran menghina sekali pun, pilih-pilihlah. Silap-silap terkena batang hidung sendiri. Sudahlah akhlak terkutuk, nampak kebodohan lagi... bab duit, sila jawab sendiri.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Unknown said…
Salam YB, senarai parasit2 yg ada dlm buku tu, kesemua mereka adalah yang digeruni oleh umno, untuk membaca buku itu bukanya susah sgt.. baca buku tersebut umpama membaca utusan melayu... yg mana utusan melayu sokong yang itu kita tolak.. yg mana utusan mengkritik yang itu kita sokong
Assalamuaalaikum YB Khalid Samad yang di hormati.

Setuju dengan tulisan YB. Keberanian YB dalam menyatakan kebenaran amat kami sanjungi, terutama genarasi yang bersama 80an yang telah berusaha sehingga sanggup menghabiskan masa, tenaga dan harta benda untuk memperkasakan Pas seperti sekarang. Tetapi golongan juhala yang baru bersama Pas, mahu bergerak ke belakang dan sepertinya mahu Pas kuat di Pantai Timur. Geng Juhala ini mungkin mempunyai penyakit inferiority complex yang sangat meruncing dan menjadikan mereka mempunyai pemikiran yang ganjil untuk menutup penyakit mereka dengan melabelkan generasi kita terutama yang bukan ustaz dengan pelbagai penglabelan yang menjengkelkan.

Persoalannya mengapa MSU dan Presiden tidak menanggani krisis dalam yang berlaku sekarang? Bahkan berdiam diri dan menganggap krisis ini sebagai kecil dan tidak merbahaya kepada keutuhan Parti.

Dan lebih melucukan, krisis ini dikatakan , berpunca dari musuh dari luar yang hendakkan Pas berpecah.

Kita tidak menafikan kemungkinan unsur luar memainkan peranan, tetapi sekiranya MSU dan Dewan Ulama terdiri dari golongan yang tahu mengurus konflik dalaman seperti yang berlaku sekarang, musuh luar tidak akan dapat mengambil kesempatan memecah belahkan Pas dari dalam walaupun sebesar mana peranan jahat mereka.

Saya yakin sepenuhnya MSU dan pentaksub Presiden ada ajenda tersendiri untuk melihat golongan yang bukan ulama , diketepikan dengan pelbagai cara dari saf kepimpinan dengan menguna geng juhala sebagai barisan hadapan.

Sungguh menyedihkan hati saya melihat situasi seperti ini. Kalau lah betul, mereka ingin hendak keluar atau dikeluarkan dari Pakatan Rakyat, maka beterus terang sahaja supaya kami diperingkat bawahan ini senang untuk membuat keputusan.

Maaflah YB, kalau komentar yang saya tulis terlalu panjang. Saya sudah lama berdiam diri dan sudah tak sanggup menanggung apa yang terpendam di hati bertahun-tahun lamanya.

Sekian Terima kasih.
james pong said…
two words: Agent provocateur.

ini perangai umno. mesti manusia umno... takkan geng alamak sanggup buat demikian...

tapi tak tau la kalau ulamak dalam PAS sekarang lebih kurang standard ulamak dalam umno je... ( i.e : ulamak dalam umno tak bendung gejala surat layang dan politik wang dalam umno)
Izuddin said…
Mudah saja. Sapa yang mahu pas bergabung dgn umno, dia lah parasit.

Dalam video tu dia kata selagi ada nik ajis dan anwar, pas takan gabung dgn umno. marah sungguh dia kata nik ajis dan anwar. maksudnya dia nak pas gabung dgn umno lahhh.

Skrg nik ajis dan anwar dah takdak....dan dia akan cuba bawa pas gabung dgn umno.

jadi, dia ni lah parasit tumpang pas...haha

kesian kat dia ni diguna jadi parasit oleh umno.

dan dia menuduh 8 org ni parasit??? saya tak faham.

adakah 8 orang ni mahu pas gabung dgn pkr dan dap? saya rasa tidak. hadi yang setuju pas masuk pakatan rakyat menentang umno.
Izuddin said…
Dia bukan ahli PAS . Dia bukan ahli Umno pun. Dia sibuk apa??? tak lain tak bukan dia lah parasit.
zarra said…
Selalu kita dengar, ada saja sesuatu perkara terhadap parti, akan adalah komen yang mengatakan ia angkara musuh. Persoalannya, apakah tudingan boleh menyelesaikan masalah? Sindrom penafian ini nampaknya menjangkiti Pas
Unknown said…
Rupa2nya puak serban yg dilihat jujur adalah yg paling khianat. pakaian hanyalah topeng utk mengaburi org.
Konon tak kisah kalau kalah pru sebb nak cari redhaa Allah. tp bermati2an pulak nak menang dlm muktamar.bg mrk yg keluarkan surat lyg, majalah parasit, label org, hina org, tuduh org, fitnah org, mungkir janji; tunggulah di akhirat nanti. tiada taubat nasuha yg boleh melepaskan kamu selain dari ampunan empunya diri.

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.