Skip to main content

Temubual The STAR: Kereta Dr. Hatta

Baru baru ini ada disiarkan interview saya dengan akhbar ‘The STAR’ berhubung peristiwa usaha membakar kereta YB Dr Hatta Ramli yang kisahnya luas tersebar. Dalam menjawab soalan pemberita, saya telah beralih dari isu usaha membakar kereta Dr. Hatta kepada peranan yang boleh dimainkan oleh DS Presiden. Ada yang menganggap saya berniat jahat terhadap DS Presiden apabila menyebut namanya dalam konteks isu berkenaan. Sebenarnya masalah timbul apabila keseluruhan interview tersebut tidak disiarkan. Sebaliknya hanya jawapan-jawapan tertentu tanpa soalan yang ditanya. Namun kalau dibaca dengan hati terbuka, akan difahami maksud saya. Tetapi bagi yang sengaja mencari salah, atau berpenyakit hatinya, jawab macam mana pun, saya tetap akan dipersalahkan. Oleh itu di sini saya rakamkan kembali ‘flow’ atau urutan perbincangan semasa interview berkenaan. Supaya dengan itu yang berkenaan akan terselamat dari dosa buruk sangka dan adu domba.

Apabila ditanya berhubung usaha membakar kereta Dr. Hatta, saya menjawab ianya kerja pihak-pihak luar yang ingin mengambil kesempatan dari perbalahan dalaman PAS. Mereka mengetahui mengenai demonstrasi oleh beberapa ahli dan pimpinan pertengahan PAS yang meminta Dr Hatta letak jawatan. Maka sebagai satu tindakan provokasi mereka telah berusaha membakar kereta Dr. Hatta. Harapan mereka ialah supaya ada pula yang akan bertindak balas dengan menuduh ianya kerja pendemo itu dan dengan itu perbalahan akan menjadi semakin kronik. Maka saya menyeru semua pihak supaya bertenang dan jangan tertipu dengan mainan musuh PAS. Saya percaya bahawa ahli PAS tidak akan bertindak sedemikian rupa.

Seterusnya pemberita menanya saya berhubung dengan demonstrasi berkenaan. Saya menjawab ini juga benda baru dalam PAS. Biasanya apa yang dilakukan ialah pertuduhan sebegini akan dibawa ke Jawatankuasa Disiplin dan pihak JK Disiplin akan bertindak atas aduan tersebut. Masalah dalaman biasanya akan diuruskan secara dalaman dan tidak dihebohkan ke luar. Namun, tambah saya, ini tahun pemilihan. Maka tindakan membawa isu ini ke luar bukan sekadar untuk menentukan tindakan diambil, tetapi ianya juga bertujuan menonjolkan ‘hero’ tertentu. Mereka mendakwa Dr. Hatta ingin menjatuhkan DS Presiden dan mereka pula ‘pembela DS Presiden’. Maka dengan cara ini strategi mereka untuk menjatuhkan Dr. Hatta akan berjalan serentak dengan usaha menonjolkan ‘hero’ pembela DS Presiden. Mereka boleh dengan itu menumpang populariti DS Presiden untuk mendapat sokongan perwakilan semasa muktamar akan datang. Ianya bukanlah sukar sangat untuk dibaca.

Namun kata saya lagi, perwakilan PAS cukup matang. Mereka boleh baca strategi murahan sebegini dan akan melihat pendemo ini sebagai golongan yang inginkan publisiti murahan dan mengadu-domba di kalangan ahli PAS. Oleh itu saya yakin, strategi ini akan gagal dan sebaliknya ‘backfire’, iaitu menempelak mereka kembali.

Biasanya dalam PAS, kempen yang dijalankan adalah ‘kempen positif’ iaitu ditonjolkan kebaikan dan pengorbanan seseorang. Ini diambil dari peristiwa pemilihan Saidina Abu Bakar (RA) yang dipilih menjadi Khalifah selepas wafatnya Rasulullah (SAW). Dalam erti-kata lain, dalam PAS tiada ‘kempen negatif’. Kalau ada pun terlalu sedikit. Malangnya sekarang ini dimulakan budaya baru, iaitu kempen negatif untuk menjatuhkan pimpinan tertentu. Ini bukan budaya PAS.

Seterusnya ditanya lagi apa yang akan dilakukan oleh pimpinan PAS untuk membendung budaya negatif yang baru ini? Saya menjawab bahawa soalan ini memang telah ditanya semasa mesyuarat AJK PAS Pusat. Dan telah disebut bahawa oleh kerana pendemo bertindak kononnya demi membela DS Presiden, maka penyelesaian yang termudah ialah untuk DS Presiden sendiri mengarahkan supaya ianya dihentikan. Dengan itu DS Presiden sendiri akan dilihat tidak bersama dengan tindakan sedemikian rupa dan tidak akan tercemar imej beliau. Ini juga merupakan cabaran terhadap kepimpinan DS Presiden sendiri kerana samada beliau menanganinya dengan baik atau sebaliknya akan turut dinilai oleh semua.

Sebaik-baiknya masalah dalaman sebegini ditangani secara dalaman supaya orang melihat perpaduan di dalam PAS mantap dan kukuh walaupun adanya perbezaan pendapat. Perbahasan berhubung sesuatu isu di mana adanya beberapa pandangan adalah berbeza dengan tindakan menuduh wujudnya kumpulan pengkhianat, pembenci ulama’, Liberal, Plural dan sebagainya di dalam PAS. Perbezaan pandangan adalah perkara biasa dan perbahasan ilmiah berhubungnya akan menambahkan ilmu semua pihak yang terlibat. Menuduh wujudnya kumpulan ‘jahat’ dalam PAS tiada manfaat kecuali menghasilkan perbalahan dan permusuhan serta merosakkan ukhuwwah dan hilangnya perasaan kasih sayang dan saling mempercayai.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

pensel warna said…
Habistu cmne plak dgn geng yg bocor rahsia mesy dan printscreen wasapp?knape bwk bnda ni kluar?geng yb pon sama naik guna budaya nk jatuhkan pemimpin https://www.facebook.com/video.php?v=1571641083105812

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.