Skip to main content

Pilihan Raya PBT, Pendemokrasian dan 13 Mei

Saya mengikuti dengan penuh minat apa yang sedang dibahaskan berhubung isu Pilihan Raya PBT atau Local Council Election di media perdana dan alternatif. Seperti biasa dengan sebarang isu di Malaysia, ianya dikaitkan dengan isu kaum dan politik perkauman. Malangnya kali ini, kaitan itu dibuat oleh Presiden PAS dan bukan UMNO. Isu 13 Mei sememangnya sering digunakan oleh UMNO untuk menghalang proses pendemokrasian yang lebih menyeluruh. Segala persoalan ketelusan dan pertanggung-jawaban dijawab dengan ancaman akan berlakunya 13 Mei. Oleh itu apabila ianya disebut oleh Presiden PAS, maka ramai yang terkejut dan tertanya-tanya.

Sememangnya kekhuatiran yang ditimbulkan oleh Dato Seri Tuan Guru Hj. Hadi ada asasnya. Politik Malaysia di bawah UMNO, hakikatnya sebegitu. Tiada walaupun satu peristiwa yang akan terlepas dari tafsiran secara perkauman sempit yang digunakan untuk menakut-nakutkan rakyat khususnya orang Melayu, walaupun ianya sesuatu yang baik dan boleh membawa kebaikan kepada semua, termasuk orang Melayu. Oleh itu, sekiranya persoalan pilihan raya PBT ini tidak diurus dengan baik, maka golongan haluan kanan Melayu seperti PERKASA dan ISMA berkemungkinan mengambil kesempatan. Jika pembinaan Kondominium mewah di Datum Jelatek pun boleh dijadikan isu perkauman, maka apatah lagi isu pilihan raya PBT?

KEBAIKAN PILIHANRAYA PBT
Oleh itu pada mulanya, marilah kita akui bahawa pilihan raya PBT adalah sebahagian dari usaha pendemokrasian di mana peranan rakyat diperkasakan dengan dibenarkan mereka memilih wakil mereka untuk menjadi ahli majlis di PBT. Ianya sesuatu yang pada dasarnya baik kerana berasaskan prinsip keadilan dan demokratik termasuk “No taxation without representation” atau tiada pencukaian tanpa perwakilan; yang telah menjadi cogan kata perang kemerdekaan Amerika dari penjajahan British.

Sepertimana cukai diambil oleh kerajaan Pusat dari rakyat, maka rakyat memilih wakil rakyat untuk mewakili mereka di Pusat (Parlimen). Begitu juga dengan kerajaan Negeri di mana cukai diambil dari rakyat Negeri itu dan rakyat negeri tersebut memilih wakil mereka untuk mewakili mereka di Dewan Undangan Negeri. Maka begitu juga dengan PBT, di mana rakyat dicukai oleh PBT dan rakyat di dalam PBT tersebut berhak memilih wakil mereka untuk mewakili mereka di PBT. Ini adalah antara lainnya untuk menentukan bahawa duit cukai yang dikutip oleh Pusat, Negeri dan PBT digunakan dengan cara yang selari dengan kehendak pembayar cukai di semua peringkat berkenaan.

Pilihan raya PBT bukan sesuatu yang buruk dan tidak semestinya dikaitkan dengan persoalan penguasaan satu kaum ke atas PBT dan Negara. Sebaliknya ianya usaha menjamin ketelusan dan pertanggung-jawaban yang lebih berkesan demi kebaikan rakyat keseluruhannya. Oleh sebab itu ianya diamalkan di kebanyakan, kalau tidak kesemua, Negara demokrasi termasuk UK dan Turki.

HAKIKAT POLITIK NEGARA
Namun demikian, pada masa yang sama, kita perlu juga mengakui hakikat politik negara Malaysia dan bagaimana UMNO dan BN telah mengekalkan obor perkauman sehingga ianya boleh dinyalakan kembali dengan begitu mudah sekali oleh golongan politik kanan yang dilindungi. Ini menuntut agar menjadi lebih kreatif dalam berusaha untuk mencapai matlamat dengan memikirkan cara yang tidak akan memberikan peluang kepada mana-mana golongan terdesak ini untuk mengambil kesempatan. Pendekatan dan kaedah yang digunakan di UK dan Turki serta negara-negara lain tidak boleh diikuti secara bulat-bulat begitu sahaja kerana realiti politik mereka mungkin berbeza.

Oleh itu dalam beberapa perbincangan yang pernah diadakan dengan PR Selangor sebelum PRU ke 13 pada 2013, beberapa model telah dibincangkan supaya memungkinkan pilihan raya PBT diadakan tanpa memberi ruang kepadanya dieksploitasikan. Di antara yang pernah dicadangkan adalah dengan diadakan pemilihan untuk hanya 12 dari 24 ahli majlis yang diperlukan sambil baki 12 lagi dilantik dengan tujuan mengimbangi ketidak-adilan perwakilan semua kaum sekiranya ianya berlaku. Ada juga cadangan diadakan pilihan secara berpasukan di mana setiap pasukan mempunyai calon dari setiap kaum dan apabila sesuatu pasukan menang, dengan sendirinya perwakilan mengikut kaum turut juga dipenuhi.

BANTAHAN OLEH GOLONGAN ‘PURIST’ DEMOKRATIK
Mungkin golongan ‘purist’ akan membantah bahawa kaedah sebegini tidak memenuhi kehendak demokrasi sepenuhnya. Mungkin bantahan itu ada kebenarannya, tetapi adakah mungkin dipenuhi tuntutan demokrasi sepenuhnya di peringkat PBT sedangkan di peringkat Negeri dan Pusat ianya tidak dipenuhi? Apabila suasana negara menjadi lebih demokratik dan media dibebaskan sehingga golongan kanan Melayu dipinggirkan sepertimana sepatutnya, mungkin pada ketika itu ianya boleh dilaksanakan dengan lebih baik lagi.

Lagi pun pada pendapat saya, kaedah yang dicadangkan ini adalah satu daripada langkah ke arah yang lebih baik dan merupakan satu kemajuan ke arah pendemokrasian.

Dan inilah cabaran bagi barisan pemimpin sediaada. Bagaimana untuk melicinkan lagi proses pendemokrasian dengan mengenal pasti kaedah dan pendekatan yang paling sesuai untuk menghadapi keadaan dan realiti politik semasa. Perlaksanaan yang tidak mengambil kira keadaan dan hakikat masyarakat akan bertemu kegagalan sambil tidak mengusahakan perlaksanaannya sama-sekali, dalam apa bentuk sekali pun, atas alasan keadaan dan suasana, adalah ‘kegagalan sebelum bermula’.

Pokoknya masalah ini boleh ditangani dengan baik dan bijaksana sehingga pilihan raya PBT boleh diadakan dalam bentuk tersendiri tanpa menimbulkan ketakutan di kalangan orang Melayu bahawa mereka akan hilang pengaruh di PBT tertentu. Persoalannya adalah samada ingin mencari penyelesaian yang boleh diterima semua pihak atau sengaja ingin mencari perbalahan dengan tujuan menghancurkan PR.

POLITIK PERKAUMAN DAN PAS
Politik perkauman adalah nyawa UMNO. Oleh itu orang Melayu lebih ramai terpengaruh dengan politik perkauman berbanding kaum lain. Kalau boleh, semua peristiwa hendak difahamkan kepada rakyat sebagai cabaran dan ancaman terhadap orang Melayu. Islam digunakan sebagai alat politik untuk menyatupadukan Melayu atas agenda politik Melayu sedangkan agenda politik Islam terus diabaikan. Agenda politik Melayu adalah berbeza dengan agenda politik Islam. Agenda politik Melayu adalah adu-domba dan perkauman demi menjaga kedudukan Melayu walaupun ajaran Islam dipinggirkan. Agenda politik Islam adalah kesatuan dan perdamaian atas keadilan Islam demi menzahirkan kebenaran.

Orang Melayu akan terus tenggelam dalam arus politik Melayu atau politik perkauman kecuali diselamatkan dengan politik Islam. Demi agenda politik Melayu yang memerlukan supaya sentiasa dibezakan antara Melayu dan bukan Melayu, maka Islam turut di Melayukan. Memperjuangkan Melayu menurut mereka adalah memperjuangkan Islam. Dan menentang kehendak bukan Melayu adalah juga memperjuangkan Islam. Sedangkan Islam adalah keadilan untuk semua termasuk yang bukan Islam dan bukan Melayu.

Hanya PAS, buat masa ini, adalah harapan orang Melayu supaya terselamat dari arus politik perkauman sempit yang dibawa kumpulan yang terdesak. Amatlah malang sekiranya PAS juga terbawa-bawa dengan agenda politik perkauman Melayu dengan hasrat ‘menjentik’ kaum lain yang beragama selain Islam. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada pimpinan PAS supaya istiqamah dengan perjuangan Islam yang dibawa selama ini.

KESIMPULAN
Usaha pendemokrasian ini diperlukan kerana ianya akan menjamin ketelusan dan pertanggung-jawaban. Pada masa yang sama juga perlu menjamin supaya obor perkauman tidak dinyalakan oleh pihak yang terdesak. Saya yakin penyelesaian boleh dicari sekiranya ianya diusahakan secara berhikmah, ikhlas dan penuh tanggungjawab.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

arul psm said…
Isu pokok disini adalah rakyat harus diberi peluang memilih wakil mereka di PBT seperti semua negara yang bertamadun di dunia. PR boleh meletakkan calon mengikut kebolehan dan bukan perkauman dan saya rasa rakyat boleh terima calon pelbagai kaum. Ini adalah mesej PRU 2008. Tetapi masalah wujud apabila parti dalam PR sendiri mahu bermain politik perkauman...maka tidak ada kesudahan. Harap kita konsisten menentang perkauman
Izuddin said…
Anwar says it is hadi's personal view. I think Anwar is saying to us 'never mind that hadi, he is out of pakatan anyway. Anwar is playing the cards right.

I thought Umno will end first, but it seems PAS will be the first to end.

Hadi dah hilang punca. Kesian, kata2 dia dicemari dgn mirip Umno yang dahulu dia kecam.

Is hadi trading with umno and projecting umno kind of racial politics to get umno makes this country into an Islamic country? Or hadi is speaking like an umno guy because he sees Pakatan will not turn this country into an Islamic country?
Unknown said…
This comment has been removed by a blog administrator.
Khalid Samad said…
Sorry Hamba Com (https://plus.google.com/107926535385304345546/), your comment cannot be published due to the profanity words. Be nice next time!

-The office of MP for Shah Alam-
Izuddin said…
Eh pak ali, kau bercakap pun tergagap-gagap nak debate konon. Apsal kau sampai nak berdepan dengan lge publicly? Kau niat nak malukan dia ka apa? Talipon je laa lge dan bedal dia dan bawa issue ini dalam meeting PR. Atau kau nak terang kenapa hadi ugut 13 mei? Awat sampai nak cuci pungkoq hadi?

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.