Skip to main content

Isu Printscreen WhatsApp AJK Pas Pusat

Saya menunggu dengan penuh sabar untuk Dr. Zuhdi atau mana-mana pihak dari AJK PAS Pusat yang terlibat dengan WhatsApp berkenaan untuk memberi penjelasan yang tepat berhubung isu printscreen WhatsApp AJK PAS Pusat yang telah dibocorkan baru-baru ini. Malangnya penjelasan tepat seperti yang saya inginkan tidak muncul. Oleh itu, pada petang tadi saya terpaksa mengadakan satu sidang media demi mengisi apa yang saya lihat sebagai lompang yang wujud.



SASARAN SERANGAN KEBOCORAN PRINTSCREEN

Zuhdi dan beberapa sahabat saya dalam PAS melihat isu printscreen tersebut sebagai serangan atas peribadi Zuhdi sendiri. Dikatakan ianya dilakukan supaya beliau akan dipecat dari jawatannya sekarang. Oleh itu kebanyakkan dari mereka lebih sibuk mempertahankan Zuhdi dari mempertahankan PAS. Dan tanpa disedari sebahagian dari hujjah mempertahankan Zuhdi menimbulkan syak wasangka masyarakat terhadap PAS!

Bagi saya Zuhdi bukan sasarannya. Jika benar Zuhdi sasarannya, sudah pasti printscreen berkenaan akan hanya berlegar di kalangan pimpinan PAS sahaja. Ini adalah kerana jawatan Zuhdi sebagai Pengarah Operasi PPP bukan jawatan yang dipilih rakyat tetapi dilantik pimpinan. Kebanyakkan rakyat jelata tidak mengenali pun siapakah Zuhdi dan hanya mula tertanya-tanya siapa Zuhdi apabila printscreen itu mula muncul. Oleh itu, sekiranya ada yang ingin menjatuhkan Zuhdi dari jawatan tersebut, tidak perlu disebarkan printscreen tersebut ke luar. Memadai ianya disebarkan di dalam parti sahaja.

Sasaran sebenar adalah PAS! Oleh itu saya merasakan lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk membela nama baik PAS dan bukan membela Zuhdi. Ini adalah kerana mesej berkenaan memberikan gambaran bahawa PAS bersedia untuk mengkhianati pengundi-pengundinya dengan meninggalkan PR dan bersekedudukan dengan UMNO! Maka imej PAS itu sendiri telah tercalar dan orang bukan Islam khususnya akan hilang kepercayaan terhadap PAS. Sedangkan kepercayaan ini telah mengambil masa berpuluh tahun untuk membinanya. Dan ianya akan lenyap dengan sekelip mata. Lebih-lebih lagi sekiranya peribadi Zuhdi cuba dipertahankan dengan membebankan sikap rasis dan khianat kepada pimpinan PAS!

STATUS PRINTSCREEN BERKENAAN

Printscreen berkenaan adalah dari WhatsApp group AJK PAS Pusat. WhatsApp group ini bukan satu medan rasmi untuk mengadakan mesyuarat, jauh lagi untuk membincangkan strategi. Ia hanya untuk penyebaran maklumat mengenai tarikh dan tempat mesyuarat, program yang diadakan oleh ahli group berkenaan serta maklumat berhubung isu-isu semasa termasuk rakan yang sakit, meninggal dan sebagainya. Setakat ini WhatsApp group tersebut tidak pernah diguna-pakai untuk membuat apa-apa keputusan parti dan beberapa pimpinan utama termasuk DS Presiden, Timbalan Presiden, seorang Naib Presiden, SUA (nama ada tapi beliau tidak ada) bukan sebahagian dari ahli group berkenaan.

Pada masa yang sama, yang menjadi ‘Admin’ group tersebut adalah kakitangan pejabat Agung yang tidak merupakan anggota mesyuarat PAS Pusat! Sekiranya ianya WhatsApp rasmi untuk hanya AJK PAS Pusat, maka semestinya ‘Adminnya’ anggota mesyuarat seperti SUA atau salah seorang penolong SUA.

Oleh itu ianya hanya medan ‘chatting’ atau sembang-sembang, bertanya khabar, mendapat maklumat yang digunakan oleh sebahagian dari AJK PAS Pusat secara aktif dan sebagainya. Ia bukan medan perbincangan strategi rahsia dan sulit untuk diguna-pakai oleh PAS Pusat.

Dengan itu saya ingin menegaskan bahawa printscreen yang dibocorkan tempoh hari BUKAN strategi atau rahsia PAS! PAS tiada strategi untuk khianat dan jentik orang bukan Islam!

Yang dibocorkan adalah hanya sembang-sembang yang diadakan di antara beberapa AJK PAS Pusat pada sekitar jam 2 pagi mengenai apa yang mungkin berlaku sekiranya PAS tidak bersama PR. Ia bermula dengan adanya salah seorang pimpinan melontarkan ide meninggalkan PR atas sebab sentiasa bertelagah dan berbalah satu sama lain, samada di antara parti atau di dalam parti, iaitu intra dan inter group conflict. Maka oleh itu katanya, “kemanisan perjuangan tidak lagi dirasai seperti dahulu”.

Walaubagaimanapun, pembocorannya kepada pihak awam masih merupakan tindakan kurang berakhlak oleh pihak yang melakukannya, tetapi ianya bukan pengkhianatan atau pembocoran rahsia parti!

RESPONS AHLI WHATSAPP AJK PAS PUSAT KEPADA SENARIO SATU

Maka apabila ditimbulkan apakah akan berlaku sekiranya PAS tidak bersama PR, Zuhdi telah menawarkan untuk membuat beberapa scenario setting. Setelah beberapa ketika beliau mengemukakan senarioyang pertama. Apabila dikemukakan scenario tersebut, maka yang terlibat dalam chat ketika itu semua terkejut! Kerana tiada yang menjangkakan bahawa senario sebegitu rupa akan dilakarkan oleh Zuhdi. Ini jelas kelihatan dalam printscreen yang sama apabila Dr. Hatta secara spontan dan segera menyebut “I am out!”.

Seingat saya, tiada walaupun seorang ahli WhatsApp group berkenaan bersetuju dengan scenario satu yang dikemukakan oleh Zuhdi. Malahan hingga ke hari ini, yang mengucapkan syabas dan tahniah atas scenario satu tersebut hanyalah ISMA! Dan sememangnya senario yang dilakarkan hanya selari dengan pemikiran ISMA atau NGO Islam berhaluan kanan yang lain.

Hakikat bahawa tiada walaupun seorang yang bersetuju dengan scenario satu perlu didedahkan. Ini adalah bukti bahawa apa yang dicadangkan begitu asing kepada yang ‘sedang berchatting’ yang terdiri dari AJK PAS pusat. Ini menyanggah dakwaan bahawa scenario satu adalah hasil dari perbincangan yang telah diadakan. Ia juga adalah bukti kukuh bahawa tidak terlintas dalam pemikiran mana-mana AJK PAS Pusat untuk PAS khianati rakan-rakannya dalam PR dan bersekedudukan dengan UMNO/BN. Malahan ada yang menganggap cadangan Zuhdi agak ‘repulsive’ atau menjelekkan.

Mengapa perkara ini tidak didedahkan Zuhdi? Mengapa beliau begitu selesa ‘mencuci tangan’ dari scenario yang dihasilkan sendiri dengan mengatakan beliau hanya seorang ‘academician’ yang menjalankan tugas scenario setting berdasarkan apa yang dinyatakan oleh beberapa orang dalam WhatsApp group tersebut? Setakat yang saya ingat, tiada seorang pun menyebut ‘kerjasama dengan UMNO’ atau ‘menjentik orang DAP dan yang bukan Islam’ atau ‘isu serbuan gereja dan kalimah Allah’ dalam perbincangan WhatsApp pada malam tersebut. Tiada yang menyebutnya kecuali Zuhdi atas tiket akademianya.

Mungkin fakta ini tidak disebut kerana Dr. Zuhdi terlalu asyik membela dirinya sendiri sehingga tidak perasan bahawa PAS pula yang terkena tempiasnya! Saya secara peribadi lebih mementingkan PAS dan oleh itu ingin menegaskan bahawa senario satu lakaran Zuhdi adalah dari imaginasinya sendiri tanpa ada kena-mengena dengan ahli WhatsApp group berkenaan.

PERLETAKAN JAWATAN OLEH YB PAS

Sebenarnya, bukan sekadar tiada yang menyambut baik soal kerjasama dengan UMNO, sebaliknya ada sampai ke tahap menyatakan YB PAS wajib meletak jawatan. Tidak kurang dari 4 ahli WhatsApp group itu telah menyuarakan pandangan bahawa sekiranya PAS memilih untuk keluar PR maka YB dari PAS perlu meletakkan jawatan sebagai YB! Ini adalah kerana kita telah menang atas sokongan rakyat terhadap PR, bukan PAS semata-mata. Maka kekal dalam jawatan tersebut tanpa kita berada dalam PR selepas itu adalah dianggap satu tindakan yang tidak bermoral dan berbau pengkhianatan.

Ada juga yang menyebut bahawa kita akan terpaksa berperanan sebagai ‘pembangkang yang membina’ kerana harapan untuk memerintah sudah pasti tipis sekiranya PAS berseorangan. Dan peranan pembangkang perlu diteruskan samada sebagai wakil rakyat atau sebaliknya.

Fakta ini juga perlu didedahkan supaya rakyat dan khususnya penyokong PR tahu bahawa PAS tiada niat mengkhianati amanah yang diberikan. Soal pertanggung-jawaban terhadap yang memenangkan kita dilihat secara serius dan PAS tidak bersikap seperti kumpulan YB yang pernah lompat membawa lari bersama mereka beberapa jumlah kerusi yang dimenangi melalui PR.

Perlu ditegaskan sekali lagi bahawa tiada walaupun seorang yang menyambut cadangan senario Zuhdi untuk bersama dengan UMNO\BN dan TSKI serta beberapa ADUN PKR yang dijemput melompat untuk membentuk kerajaan. Saya perlu dedahkan perkara ini supaya semua faham bahawa senario satu bukan datangnya dari pimpinan PAS. Sebaliknya ianya dikemukakan secara mendadak atas dasar akademik oleh Zuhdi. Cadangan beliau terpisah sama sekali dari semangat perbincangan pagi tersebut. Ini perlu saya tegaskan supaya tidak timbul kecurigaan di kalangan masyarakat, khususnya penyokong PR terhadap keikhlasan PAS untuk menjatuhkan UMNO.

Begitu juga persoalan menjentik yang bukan Islam, menyusun kembali persempadanan demi menjaga kepentingan Melayu Islam dan sebagainya. Kesemuanya ini tidak ditimbulkan oleh mana-mana pihak samada sebelum mahupun selepas itu. Ianya kesemuanya tidak langsung disebut oleh mana-mana anggota group WhatsApp berkenaan. Ianya hasil pemikiran yang malangnya, bagi saya, tidak berfikir sebagai ahli PAS, tetapi lebih cenderung kepada NGO Islam haluan kanan pada pagi berkenaan.

Perkara ini saya perlu jelaskan supaya nama PAS dibersihkan dari segala imej khianat, rasis dan dusta yang terpalit hasil dari pembocoran printscreen WhatsAap tersebut. Tiada pimpinan PAS yang berfikiran sedemikian.

ISU USUL KELUAR PAKATAN RAKYAT

Ada juga yang bertanya saya mengenai usul keluar Pakatan Rakyat yang dikatakan disokong 10 anggota WhatsApp AJK PAS Pusat seperti yang didedahkan Zuhdi. Saya jawab ianya hanya perbincangan santai tanpa ada pengerusi atau hala-tuju tertentu. Maka apabila timbul cadangan sedemikian, ada yang secara serius bersetuju dan tidak kurang juga yang berseloka bagi mendapatkan reaksi.

Saya sendiri mengatakan “saya setuju!” Hanya sekadar untuk melihat apa kesimpulan yang terhasil dari perbincangan tersebut. Tiba-tiba ada pula yang mendedahkan, melalui printscreen juga, bahawa saya di dalam WhatsApp group lain, hanya beberapa jam sebelum itu, mempertahankan PR, saya jawab; “itu sebelum jam 12 tengah malam. Di antara 12 mlm dan 7 pagi saya bersikap anti-PR kerana saya telah berubah menjadi werewolf!”.

Secara serius saya ingin nyatakan, PAS melalui muktamar tahunannya telah berkali-kali memutuskan untuk terus bersama PR dan mengukuhkannya. Wajib keputusan bersama ini dihayati dan dilaksanakan oleh semua ahli PAS secara bersungguh-sungguh. Sesiapa yang berusaha sebaliknya, menimbulkan perbalahan dengan sengaja, mengkhianati keputusan muktamar perlu dikenakan tindakan. DAP dalam soal ini begitu kommited sehingga pimpinan veteran peringkat Negeri Johor, Norman Fernandez, apabila mengkritik PAS, terus diambil tindakan. Kommitmen seperti ini pernah, melalui kes Hassan Ali, dan perlu terus ditunjukkan PAS.

Pada tahun 70an, semasa PAS bersama UMNO di dalam BN, ramai juga ahli PAS pada ketika itu yang tidak bersetuju. Mereka samada berhenti dari menjadi ahli yang aktif atau terus keluar dari PAS. Tindakan sabotaj usaha melaksanakan keputusan muktamar tidak wujud sama sekali. Sabotaj merupakan tindakan khianat kepada keputusan muktamar sendiri. Mungkin ini perlu diambil iktibar oleh ahli PAS yang tidak setuju PAS bersama PR, sekiranya masih ada.



WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Anonymous said…
seperti tikus membaiki labu
pasjbsnapshot said…
Alhamdulillah,penjelasan yg baik YB, mungkin artikel dan kenyataan ini boleh diterjemah dalam bahasa inggeris supaya mudah dibaca oleh teman2 yg lain
Izuddin said…
Arab sebelum nabi Muhammad, mereka ni jahil(pagan). Mereka tidak mengikuti cara(The Way) yang specific, sebab mereka jahil-tidak reti utk tubuh undang2 dan peraturan. bermakna, cara hidup mereka sambil lalu tidak terikat dengan peraturan tetap dan ikut dan.

bila nabi Muhammad datang, Nabi introduced Sunna-Sunna. Sunna2 ini adalah perkara2 baru dan ia telah merubah pemikiran arab dari kejahilan dan sterusnya ISLAm terserlah.

Saya harap PKR yang kini telah introduced banyak perkara2 baru dan masih dalam proses merubah pemikiran rakyat di beri laluan untuk ISLAM menyerlah sepetimana yang telah berlaku ketika zaman Nabi.

Ketika Islam dah mula terserlah, masih terdapat munafik, kafir, christian, majusi, yahudi dll hidup di makkah dan Medina. Dan mereka tidak di larang mengurus hal masing2. Malah terdapat juga munafik dalam pemerintahan Kalifa Abu bkr , umar, seterusnya.

Begitu juga lah kini terdapat munafik dalam kerajaan selangor khususnya. Apa yang penting ialah PKR telah bawa satu perubahan pemikiran yang akan menyerlah ISLAm di MALAYSIA.

Amin ya Allah, Amin(Saya terima ya Allah, saya terima)
armagedon said…
BI..UG tak faham sgt.

UG adalah Ustaz's Gang

bukan Unity Government.

Popular posts from this blog

Berakhirnya Drama RUU 355?

Drama perlaksanaan sistem perundangan Islam yang mengambil bentuk usul persendirian YB Marang berhubung Akta 355 kelihatan menghampiri adegan penamatnya. Pada peringkat kesudahannya UMNO/BN kelihatan sebagai pihak yang meraih keuntungan terbesar dengan pembangkang berada dalam keadaan berpecah dan tidak bersepakat. Keutuhan Pakatan Rakyat yang telah mewarnai pilihan raya ke 13 pada 2013 sudah jelas hilang. Yang sepatutnya mengambil tempatnya, iaitu Pakatan Harapan, masih dalam keadaan sedikit terumbang-ambing, khususnya berhubung hubungan dengan PAS.

Tindakan UMNO/BN untuk mensasarkan PAS melalui isu perundangan Islam adalah satu ‘master-stroke’ yang tidak boleh dinafikan mana-mana pihak. Melaluinya bukan sahaja PR berpecah, namun ketidak-tentuan sikap terhadap PAS menyebabkan apa-apa tindakbalas untuk menyelamatkan keadaan menjadi tidak padu dan kurang bersungguh-sungguh. Kebergantungan terhadap PAS oleh pihak tertentu menyebabkan mereka tidak sanggup memutuskan hubungan dengan PAS s…

Kenyataan Media Amanah Mengenai RUU 355

Muqaddimah

Amanah menganggap mahkamah syariah sebagai institusi penting dalam usaha menzahirkan kebenaran dan keadilan Islam. Oleh itu imejnya sebagai institusi yang cekap dan berwibawa perlu sentiasa dijaga. Amanah bersetuju bahawa segala usaha ke arah memperkasakan mahkamah syariah, dari segi kecekapan perlaksanaan undang-undang Islam, perlu disokong dan dibantu.

Kenyataan Berhubung Usul Persendirian Marang: Cadangan Pindaan ke Atas Akta 355

MUQADDIMAH

1. AMANAH ingin menegaskan bahawa Mahkamah Syariah adalah institusi keadilan Islam dan oleh itu apa jua usaha ke arah menperkasakannya adalah disokong. Bidang kuasanya berhubung kesalahan jenayah syariah dijelaskan dalam Akta 355 sediada. Akta 355 ini perlu dijaga dengan baik dan apa jua usaha pembaik-pulihan serta pindaan terhadapnya perlu diperhalusi secara teliti supaya tidak menjejas kedudukan mahkamah syariah.

2. Akta 355 sediada telah digubal mengambil kira kedudukan dan peranan Mahkamah Syariah di dalam kerangka struktur kenegaraan Malaysia yang di dalamnya wujud Mahkamah Sivil dan juga Mahkamah Syariah. Sepertimana diketahui umum, bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah terhad kepada orang Islam dan kesalahan-kesalahan tertentu seperti terkandung dalam Senarai II Senarai Negeri Jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Selainnya adalah di bawah Mahkamah Sivil.

3. Apa jua pindaan yang ingin dibawa semestinya selari dengan kedudukan dan peranan ini supaya tidak berlaku…