Skip to main content

Hikayat Pendekar Ludah

Saya telah mengadakan sebuah sidang media pada 27 Ogos 2014 bagi menjelaskan beberapa isu yang berlaku. Berikut merupakan intipati sidang media tersebut.

PERTUDUHAN DI BAWAH AKTA HASUTAN

Saya telah mengaku tidak bersalah apabila dibacakan pertuduhan terhadap saya. Setelah perbahasan ringkas, Hakim telah mengarahkan saya meletakkan RM4,000 sebagai ikat jamin dan menamakan seorang penjamin. YB Dr. Hatta, Ahli Parlimen Kuala Kerai telah bersetuju untuk menjadi penjamin saya.

Tarikh pendengaran kes telah ditetapkan Hakim pada 22 September 2014.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih atas sokongan dan kehadiran Saudara Mat Sabu, Timbalan Presiden PAS, beberapa pimpinan PAS Pusat, Pemuda dan Negeri, Dato Ambiga, serta rakan-rakan lain.

Saya yakin bahawa melalui proses pengadilan ini saya akan dibersihkan dari segala tuduhan menghasut serta menghina institusi keSultanan Melayu dan oleh itu mengalu-alukannya.

PERISTIWA ‘PENDEKAR LUDAH’ SEMASA KELUAR MAHKAMAH

YB YM Raja Bahrin, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, tiba lewat sedikit ke mahkamah, iaitu selepas telah selesai sebutan kes. Oleh itu, saya telah bertemu dengan beliau di tempat pembayaran ikat jamin. Isteri saya, anak saya, seorang petugas pejabat dan YB Dr Hatta turut menunggu saya di situ juga. Selepas selesai urusan pembayaran ikat jamin, kami telah bersama-sama bergerak keluar dari bangunan mahkamah untuk menuju ke tempat parkir kereta. YB Dr Hatta telah keluar melalui pintu sebelah tepi oleh kerana keretanya berada di kawasan parkir lain. Sambil saya turun tangga pintu utama, seorang pemuda Melayu telah datang menemui saya dan bertanya, “adakah kamu YB Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam?”

Saya menjawab “Ya”, sambil menghulurkan tangan untuk bersalam dengannya. Tiba-tiba dia meludah ke muka saya! Saya bertindak balas secara spontan untuk menumbuknya tetapi dia telah berundur ke belakang dengan segara dan di luar jangkauan saya. YB YM Raja Bahrin, yang berada di kanan saya telah menahan saya dan berpesan supaya saya bersabar. Pada masa sama, saya melihat beberapa pemuda lain datang menuju ke arah saya. Mereka melaung-laungkan kata-kata kesat yang tidak sesuai dinyatakan di sini dan mengaku diri mereka sebagai pembela institusi kesultanan Melayu. Oleh kerana tidak mahu menimbulkan keadaan yang lebih tegang, kami telah terus berjalan ke arah kawasan parkir kereta tanpa bertindak balas terhadap tindakan liar kumpulan ‘Pendekar Ludah’ tersebut.

Kumpulan samseng berkenaan telah mengikuti kami sehingga ke kereta sambil terus melaungkan kata-kata kesat dan lucah. Kami masuk kereta dan bertolak dari situ tanpa sebarang peristiwa lain. Saya telah membuat laporan Polis pagi ini di IPK Shah Alam dan kes ini telah dirujuk kepada IPK Sentul untuk disiasat seterusnya.

Sebagai seorang pemimpin masyarakat, saya memahami, bahawa masyarakat terbahagi kepada beberapa peringkat kepandaian. Yang bijak mampu berhujjah dan yang kurang bijak pula hanya mampu ‘berludah’. Sebagai pemimpin, saya mesti bersedia menangani semua jenis manusia termasuk kumpulan ‘Pendekar Ludah’.

Saya ingin menjelaskan di sini bahawa yang bersama saya pada saat saya diserang geng ‘Pendekar Ludah’, ialah YB YM Raja Bahrin, iaitu kerabat di raja Terengganu dan juga Perak. Ibunya adalah anak kepada Almarhum Sultan Ismail, Sultan Terenggau yang menjadi YDP Agung yang ke-empat Malaysia. Datuk di sebelah ayahnya pula adalah Raja Bendahara (Raja Di-Hilir) Perak. Walaupun beliau kerabat di raja, namun beliau tetap hadir untuk menunjukkan sokongan beliau terhadap diri saya yang dianggap difitnah melalui tuduhan menghasut ini.

INSTITUSI KESULTANAN MELAYU LAMBANG PERADABAN DAN KETAMADUNAN

Bagi orang Melayu, institusi keSultanan Melayu merupakan lambang peradaban dan ketamadunan kawasan kepulauan Melayu. Institusi ini telah menjadi pemangkin kepada tersebarnya Islam dan dengan itu keadilan, kesopanan, budi pekerti yang halus dan akhlak yang mulia. Ianya BUKAN institusi lanun atau samseng seperti yang didakwa sebahagian masyarakat!

Oleh itu, tindakan geng ‘Pendekar Ludah’ walaupun dilakukan kononnya atas nama mempertahankan institusi keSultanan Melayu sebenarnya hanya mencemarnya! Perangai liar dan samseng serta bahasa kesat dan tidak berakhlak tiada kena mengena dengan institusi ini. Oleh itu YB YM Raja Bahrin sendiri amat sangat tersinggung dengan apa yang telah berlaku pada hari tersebut. “Bagaimana ingin membela institusi ini dengan perangai dan tindakan yang tidak beradab dan bertamaddun sebegitu rupa?” tanya beliau kepada saya semasa perbualan telefon selepas peristiwa itu.

Beliau sendiri telah terkena percikan ludahan geng ‘Pendekar Ludah’ sedangkan beliau sendiri kerabat di Raja! Inilah masalah golongan yang sanggup dipergunakan orang lain, atas dasar semangat tanpa ilmu. Akhirnya mencemarkan apa yang kononnya ingin diselamatkan.

Mungkin itulah sebabnya tiada gelaran ‘Pendekar Ludah’ sepanjang sejarah keSultanan Melayu. Ia hanya muncul pada zaman Melayu diterajui UMNO, PERKASA dan Jalur Tiga.

BERANI BUAT, BERANI TANGGUNG

Sekarang saya ingin tahu, samada geng ‘Pendekar Ludah’ ini adalah benar-benar berani atau jenis manusia ‘buang batu sorok tangan’. Laporan polis telah saya lakukan. Saya harap sekiranya geng ‘Pendekar Ludah’ ini benar-benar yakin bahawa tindakan mereka merupakan sesuatu yang wajar dibanggakan oleh masyarakat Malaysia, maka tidak perlu Polis membuang masa dan wang mencari mereka, serah diri sahaja kepada pihak Polis untuk dilakukan siasatan. Lagi pun, gambar pun sudah ada ditangan dan sebahagian sudah pun sudah mula dikenal pasti.

Walaubagaimanapun, kalau tidak berani mengenalkan diri kepada pihak Polis, maka satu dunia akan tahu, selain dari hanya mampu meludah dan tidak mampu berhujjah, geng ‘Pendekar Ludah’ juga merupakan geng pengecut.


WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Unknown said…
Ya Allah,selamatkanlah pejuang2 rakyat.amin
Unknown said…
Pejuang diludah ludahkan,
Pengkianat diagung agung kan..
Malaysia = :'(

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.