Skip to main content

Orang Muda Melayu: Di Antara DAP dan UMNO

Sebuah portal Internet 'The Rakyat Post' telah melaporkan pada 25 Mei bahawa saya kononnya telah berkata seperti berikut:

"Meanwhile, Khalid said PAS had no problems with young Malays joining DAP.”

“PAS is fine if Malay youths want to join DAP. The party wants to prove it is open to all races unlike MCA, which is just for the Chinese,” he said."

Portal ini juga yang melaporkan kata-kata saya berhubung Dyana berkenaan penutupan aurat secara tergantung dan terpilih yang seakan cuba diselewengkan. Dalam laporan yang sama, disebut juga bahawa saya anggap ianya tidak mengapa bagi orang muda Melayu masuk DAP. Saya pun tidak tahu dari mana mereka mendapat petikan ini, samada benar-benar dari kata-kata saya atau direka. Tetapi oleh kerana isu memasuki DAP ditimbulkan maka biarlah saya jawab secara terus-terang dan sejelas-jelasnya.

Sebaik-baiknya orang muda Melayu menyertai PAS. Itulah yang kita usahakan selama ini. Usaha menghilangkan imej PAS sebagai 'pelampau agama', 'parti pak lebai', 'parti kekampungan' dan sebagainya yang dilabel UMNO ke atasnya supaya dapat menarik golongan muda, Melayu dan bukan Melayu supaya menyertainya.


Namun sekiranya ada golongan Melayu muda merasakan diri mereka tidak bersedia lagi untuk menyertai PAS, atas apa jua sebab, dan ingin menjadi anggota pada parti lain maka sememangnya saya lebih suka mereka menyertai parti-parti PR dari menyertai UMNO. Atau dalam kata lainnya, Asal Bukan UMNO (ABU). Ya, walaupun menyertai DAP. Mengapa?

Pendirian saya mungkin dianggap pelik tetapi sebenarnya ianya amat lojik dan rasional bagi golongan yang berkemampuan befikir. DAP jauh lebih baik bagi orang muda Melayu berbanding UMNO atas 4 sebab utama.

1. Dalam soal agama Islam, DAP akan sentiasa merujuk pandangan pimpinan PAS. Mereka tidak menganggap PAS sesat sepertimana yang sering didakwa pimpinan UMNO. Mereka berpendirian mereka tidak pakar dalam bidang agama. Sikap mereka tidak seperti sikap UMNO yang sering mendabik dada mengakui merekalah yang memperjuangkan Islam walaupun tidak mengikut ajarannya. Oleh itu orang muda Melayu yang menyertai DAP akan mendapat gambaran yang lebih tepat berhubung Islam dan perjuangannya kerana DAP sentiasa merujuk pada PAS dalam soal-soal berhubung ajaran agama Islam. Yang tahu dia tak tahu adalah lebih baik dari yang tak tahu dia tak tahu. Yang tak tahu dia tak tahu, tidak akan bertanya dan terus bertindak seolah-olah kesalahan yang dilakukannya adalah kebenaran, serta kezaliman adalah keadilan.

Kalau orang muda Melayu yang kurang arif agama menyertai UMNO, mereka akan dirosakkan fahaman mereka mengenai Islam. Bantah kerajaan dianggap khawarij. Bantah harga naik dianggap Bughah dan dihalalkan darah. Mengikut fahaman sebahagian pimpinan UMNO, haram menentang kerajaan, walaupun dengan cara damai. Seolah-olah Demokrasi ini adalah untuk yang bukan Islam sahaja dan orang Islam perlu patuh serta taat walaupun kepada kerajaan yang zalim.

UMNO juga anggap Islam itu Melayu dan Melayu itu Islam. Maka soal keislaman seseorang akan kekal walaupun dia tidak mengamalkan Islam asalkan dia Melayu atau dilahirkan sebagai orang Islam. Walaupun tidak sembahyang, mempermainkan agama dan sebagainya. Soal kepatuhan pada ajaran Islam tidak diambil berat. Yang penting Melayu. Berjuang untuk Melayu bererti berjuang untuk Islam.

Kefahaman sebegini akan merosakkan orang muda Melayu. Kefahaman sebegini tidak ada pada DAP. Maka orang muda Melayu sekiranya menyertai DAP, kefahaman mereka terhadap Islam tidak akan dirosakkan oleh DAP. Sebaliknya, apabila mereka berpaut kepada PAS berhubung fahaman agama Islam, insyaAllah mereka akan lebih selamat.

2. Dalam DAP orang muda Melayu akan diselamatkan dari kefahaman perkauman. Walaupun tidak dinafikan sepertimana mungkin yang terdapat dalam parti lain, terdapat juga ahli DAP yang bersemangat perkauman, namun dasar DAP menolak perkauman. Lihat sahaja pada Teluk Intan. Pada 2008, calon DAP berbangsa India. Pada 2013 pula, calonnya berbangsa Cina. Dalam Pilihan Raya kecil pada 2014 pula, calonnya wanita Melayu! Maka semangat perkauman tidak boleh menebal dalam DAP. Seperti juga di dalam PAS.

Tetapi dalam UMNO, lagi banyak dilaungkan “hidup Melayu, hidup Melayu” maka lebih alimlah orangnya di kaca mata UMNO. Lagi samseng terhadap kaum lain, lagi tinggilah akhlaknya.

Bila diselamatkan dari fahaman perkauman maka semangat persaudaraan kemanusian akan subur. Orang muda Melayu akan belajar sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain, pentingnya keadilan untuk semua dan kewajipan membela sesiapa yang dizalimi walau apa bangsa dan agama sekalipun. Mereka akan faham bahawa untuk memajukan bangsa Melayu itu sendiri, ianya akan hanya tercapai apabila kefahaman perkauman yang sempit dibenteras dan bangsa lain tidak lagi dijadikan ‘punching bag’.

Berbeza pula dalam UMNO, orang muda Melayu akan diajar membenci kaum Cina dan India. Mereka akan ditanam dengan semangat ‘ketuanan Melayu’ dan berlagak sombong dan bongkak. Mereka akan diajar rasuah tidak salah asalkan yang dapat duit adalah pimpinan Melayu. Mati dalam tahanan atau semasa siasatan tidak mengapa, asalkan yang mati itu Cina atau India atau Mongolia. Mereka diajar bahawa musuh mereka adalah kaum lain, sedangkan yang merompak kekayaan Negara adalah pimpinan kaum mereka sendiri.

Sikap perkauman sebeginilah yang dikutuk Rasulullah (SAW) sebagai asabiyyah iaitu menolong kaum kamu dalam kezaliman.

3. Dalam DAP orang muda Melayu akan faham mengenai ketelusan, pertanggung-jawaban dan kecekapan dalam semua usaha. Mereka akan difahamkan berhubung ‘good governance’ dan akan berusaha meninggikan mutu perkhidmatan mereka kepada rakyat sambil belajar berdikari.

Dalam UMNO orang muda Melayu akan belajar budaya membodek, politik wang dan amalan kronisma. Kejayaan hanya dikira dari sudut wang ringgit dan oleh itu tiada nilai pada kuasa kalau tidak dimanfaatkan untuk mendapat tanah atau projek atau ‘komisyen’.

4. Dalam DAP orang muda Melayu akan belajar bersikap rendah diri dan tawadu’. Akhlak samseng dijauhi dan kemampuan berhujjah dan berkomunikasi dengan baik diutamakan. Nilai ilmu dihargai dan mereka akan berusaha mendapatkan maklumat dan kefahaman mengenai sesuatu persoalan semasa dengan tepat dan benar.

Jauh berbeza pula di dalam UMNO yang mana orang muda Melayu akan terus diperbodohkan. Hujjah-hujjah yang dikemukakan bersifat perkauman dan tindakan pula bercorak kesamsengan. Tidakkah malu orang UMNO melihat perangai dan akhlak anggota Pemuda mereka seperti samseng dalam peristiwa DUN Pulau Pinang dan Pejabat DAP di beberapa bandar?

KESIMPULAN

Sebenarnya, kelebihan-kelebihan di atas akan diperolehi orang muda Melayu apabila mereka menyertai mana-mana parti dalam gabungan PR, tidak terhad sahaja kepada DAP. Begitu jugalah keadaannya dengan PKR, DAP dan begitu juga PAS. Sudah pasti ada kelemahan tetapi hala tuju yang ingin dibawa pimpinan parti teramat sangat jelas.

Kesemua kelebihan di atas turut juga boleh diperolehi dengan menyertai PAS. Namun ada kelebihannya iaitu kesemuanya dijadikan ibadah dan kepatuhan terhadap Allah AzzawaJalla. Dan dengan itu, bagi kesemuanya juga dipohon kejayaan dan balasan di dunia dan di akhirat.

Oleh itu, bagi saya yang terbaik adalah bagi orang muda Melayu bersama PAS. Supaya politik mereka menjadi ibadah dan segala usaha mereka dituju kearah mencari keredhaan Allah.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Nik Muhd said…
Salam YB

Alhamdulillah, saya berasa selesa dan menyokong DAP di Subang Jaya sejak 2004 lagi.

Popular posts from this blog

Berakhirnya Drama RUU 355?

Drama perlaksanaan sistem perundangan Islam yang mengambil bentuk usul persendirian YB Marang berhubung Akta 355 kelihatan menghampiri adegan penamatnya. Pada peringkat kesudahannya UMNO/BN kelihatan sebagai pihak yang meraih keuntungan terbesar dengan pembangkang berada dalam keadaan berpecah dan tidak bersepakat. Keutuhan Pakatan Rakyat yang telah mewarnai pilihan raya ke 13 pada 2013 sudah jelas hilang. Yang sepatutnya mengambil tempatnya, iaitu Pakatan Harapan, masih dalam keadaan sedikit terumbang-ambing, khususnya berhubung hubungan dengan PAS.

Tindakan UMNO/BN untuk mensasarkan PAS melalui isu perundangan Islam adalah satu ‘master-stroke’ yang tidak boleh dinafikan mana-mana pihak. Melaluinya bukan sahaja PR berpecah, namun ketidak-tentuan sikap terhadap PAS menyebabkan apa-apa tindakbalas untuk menyelamatkan keadaan menjadi tidak padu dan kurang bersungguh-sungguh. Kebergantungan terhadap PAS oleh pihak tertentu menyebabkan mereka tidak sanggup memutuskan hubungan dengan PAS s…

Kenyataan Media Amanah Mengenai RUU 355

Muqaddimah

Amanah menganggap mahkamah syariah sebagai institusi penting dalam usaha menzahirkan kebenaran dan keadilan Islam. Oleh itu imejnya sebagai institusi yang cekap dan berwibawa perlu sentiasa dijaga. Amanah bersetuju bahawa segala usaha ke arah memperkasakan mahkamah syariah, dari segi kecekapan perlaksanaan undang-undang Islam, perlu disokong dan dibantu.

Kenyataan Berhubung Usul Persendirian Marang: Cadangan Pindaan ke Atas Akta 355

MUQADDIMAH

1. AMANAH ingin menegaskan bahawa Mahkamah Syariah adalah institusi keadilan Islam dan oleh itu apa jua usaha ke arah menperkasakannya adalah disokong. Bidang kuasanya berhubung kesalahan jenayah syariah dijelaskan dalam Akta 355 sediada. Akta 355 ini perlu dijaga dengan baik dan apa jua usaha pembaik-pulihan serta pindaan terhadapnya perlu diperhalusi secara teliti supaya tidak menjejas kedudukan mahkamah syariah.

2. Akta 355 sediada telah digubal mengambil kira kedudukan dan peranan Mahkamah Syariah di dalam kerangka struktur kenegaraan Malaysia yang di dalamnya wujud Mahkamah Sivil dan juga Mahkamah Syariah. Sepertimana diketahui umum, bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah terhad kepada orang Islam dan kesalahan-kesalahan tertentu seperti terkandung dalam Senarai II Senarai Negeri Jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Selainnya adalah di bawah Mahkamah Sivil.

3. Apa jua pindaan yang ingin dibawa semestinya selari dengan kedudukan dan peranan ini supaya tidak berlaku…