Skip to main content

Respon Kedua Kepada Imran dan Ilham

Saya minta maaf kerana lambat respon kepada kedua-dua pemuda yang menegur tulisan saya, iaitu Imran Al-Malizi dan Ilham Darwish. Kelewatan respon saya adalah disebabkan kesibukan dengan program ‘Jelajah Bantah TPPA’ yang berakhir pada 10 Oktober dan diikuti pula dengan ‘Seminar Perlaksanaan Syariat’ pada 12 dan sambutan Hari Raya Qurban pada 15 – 18 Oktober. Pada masa yang sama saya juga berpindah rumah bermula dari sebelum pada 15 Okt dan seperti biasa, pindah rumah ini sesuatu yang amat mencabar! Baru sekarang boleh dikiranya selesai.

Namun saya bertekad untuk menulis pada malam ini juga kerana kalau tidak saya akan kembali sibuk dengan perbahasan bajet dan PRK Sg. Limau! Oleh itu benarkan saya respon hanya pada isu baru yang ditimbulkan.

Muqaddimah: Salah-faham Terhadap Tulisan Asal Saya
Saudara Imran meletakkan kesalahan berlakunya silap faham terhadap apa yang saya tulis ke atas diri saya dengan memetik kata-kata saya “Mungkin ini disebabkan kelemahan pada cara saya menulis…”. Sebenarnya ayat yang diambilnya dari saya hanya sebahagian. Ayat penuhnya disambung dengan “…atau mungkin juga, disebabkan sikap beliau terhadap diri saya yang agak bias, sehingga mengaburi pemahaman beliau”.

Sebenarnya permulaan ayat tersebut mengamalkan sikap tawadhu’ kerana ada kemungkinan cara penulisan saya sesuatu yang tidak biasa bagi dirinya. Bahagian yang digugurkan Imran menyatakan satu lagi kemungkinan. Walaubagaimanapun, kemungkinan kedua ini adalah yang lebih wajar kerana ramai lagi yang membaca tulisan saya ini, dari rakan dan taulan, dan mereka tidak memahaminya seperti yang difahami Imran.

Tetapi untuk Imran terus mengatakan kesalahan itu adalah dari pihak saya dan mendakwa saya mengaku bersalah, adalah tidak tawadhu’ sama sekali dan ini tidak sepatutnya dilakukan beliau lebih-lebih lagi setelah menulis panjang lebar mengenai tawadhu’ dan tasamuh. Namun, memandangkan beliau seorang yang muda, saya maafkan.

Bagaimana Imran dan juga Ilham boleh silap faham sedangkan dalam tulisan asal saya jelas menyebut;
Jawatan ini datang dengan satu amanah tertentu. Hendak diberi kepada yang boleh melaksanakan tanggung-jawab dan amanah yang datang bersama dengan jawatan tersebut.

Maka saya harap, jangan dipilih seseorang atas sebab semata-mata kerana beliau ulama’ (ataupun bukan). Jangan juga menolak seseorang kerana semata-mata dia ulama’. Jangan menyokong seseorang kerana semata-mata dia bukan ulama’. Jangan juga menolak seseorang semata-mata kerana dia bukan ulama’!

Pilih seseorang kerana dia mampu memainkan peranan sebagai Timbalan Presiden secara yang terbaik!
Ianya amat jelas tetapi bagi sebahagian orang, mereka tidak mampu memahami sehingga digunakan ‘perkataan kunci’ seperti ‘beri pada yang ahli’ kerana itu dan itu sahaja yang biasa mereka dengar. Mereka tidak mampu merungkaikan maksud kata-kata kunci itu dan menyusun ayat dengan perkataan-perkataan sendiri yang membawa makna yang sama seperti ‘beri pada yang boleh melaksanakan tanggung-jawab dan amanah yang datang bersama dengan jawatan tersebut’.

Ini yang menyebabkan kadangakala ada yang mengandaikan bahawa mereka tidak faham sebenarnya dan hanya mampu menghafal, termasuklah menghafal ‘perkataan-perkataan kunci’.

Oleh itu saya tidak perlu melayani respon dari Imran yang saya lihat agak kebudak-budakan dan kali ini akan menumpukan kepada respon dari Ilham.

1. Qiyas
Qiyas adalah kaedah membantu ijtihad terhadap sesuatu persoalan yang tidak ada nas tetapi mempunyai kesamaan dengan yang mempunyai nas. Ijtihad pula merupakan amalan yang disandarkan kepada hadis masyhur Rasulullah (SAW) semasa Baginda melantik Muaz bin Jabbal sebagai Governor.

Saya tidak qiyaskan jawatan Panglima perang dengan Timbalan Presiden dan walaupun dikatakan ianya akhirnya difahami, namun ditimbulkan kembali oleh Ilham sebagai soalan. Lebih pelik ditanyakan pula “mengapa Khalid Al-Walid yang kontroversi itu menjadi pilihan?” Apakah kontroversi yang dimaksudkan, maaf saya tidak faham. Saya memberi contoh dari contoh yang masyhur, seorang yang baru masuk Islam, tidak begitu berilmu mengenai Islam, dipilih sebagai panglima perang kerana jawatan itu tidak memerlukan keilmuan keagamaan yang tinggi sebagai syarat utamanya. Maka diketengahkan kisah Khalid Al-Walid kerana hendak membuktikan bahawa dalam menentukan 'keahlian' untuk sesuatu jawatan tidak semestinya diutamakan tahap keilmuan keagamaan. Tengok kepada keperluan jawatan tersebut. Dan kes Khalid Al-Walid adalah contoh yang masyhur, diketahui ramai dan tidak kontroversi.

Ditanya kenapa tidak diberikan contoh yang lain. Rasa saya terpulang kepada sayalah contoh mana yang ingin saya berikan mengikut point yang ingin saya sampaikan.

Soal proses qiyas yang ditimbulkan; sebenarnya saya bukan hendak jatuhkan hukum atau membuatkan apa-apa qiyasan pada asalnya. Itu bukan cara atau pendekatan tulisan saya tetapi malangnya mungkin ini sahajalah cara yang dapat difahami pembaca-pembaca seperti Imran dan Ilham. Oleh itu, terpaksalah saya membawa hujjah saya ikut cara yang mereka mampu faham.

Kes asal: Asas pemilihan Khalid Al-Walid.

Kes furu': Asas pemilihan Timbalan Presiden.

Hukum: Wajib dipilih dari sudut keahlian. (Hukum semestinya Haram, Makruh, Harus, Sunnat ataupun Wajib bukan sekadar 'pilih dari sudut keahlian').

Illah: Keduanya jawatan penting membawa amanah ummat. Illahnya bukan “keduanya bukan ulama” tetapi “keduanya jawatan penting yang membawa amanah ummah”. Dan amanah hendak diserah kepada yang ahli.

Cukuplah dengan persoalan qiyas ini. Saya rasa ianya sudah cukup jelas.

Isu sebenar yang membezakan pendapat kita ialah persoalan apakah 'keahlian' yang diperlukan untuk seorang Timabalan Presiden. 'Keahlian' ini berpaksi kepada apa peranan Timbalan Presiden. Itu yang saya timbulkan dari awal. Seperti yang saya jelaskan, dengan bukti dari kertas mesyuarat PAS Pusat, bahawa peranan AJK PAS Pusat adalah tanfizi bukan tafwidhi. Dengan takrif AJK PAS Pusat sebagai jawatan tanfizi, bagi saya ia memuktamadkan perbahasan kita disini.

Apabila memilih seseorang untuk jawatan TP, dan apabila dihadapkan dengan dua pilihan, seorang yang lebih arif dari sudut siyaasi dan seorang lagi yang lebih arif dari sudut fiqh islami, bagi pandangan saya, yang lebih arif siyaasi perlu diutamakan. Lebih-lebih lagi apabila sudah ada MSU untuk membantunya dari sudut menentukan hukum.

Kalau orang yang kurang arif siyasi dipilih, walaupun ada penasihat yang arif siyasi, penasihat hanya penasihat. Sedangkan MSU bukan sekadar penasihat.

Namun Ilham berhak untuk terus berpegang kepada pandangannya.

2. Ijtihad
Saya tidak mahu respon apa-apa terhadap tulisan Ilham berhubung isu ini kerana tidak perlu pada ketika ini. Pokoknya sepertimana yang saya sebut, pimpinan tanfidzi memilih di antara pilihan-pilihan yang pada dasarnya harus, mengikut pertimbangan mana yang lebih maslahah dan kurang mafsadahnya. Dia tidak perlu membuat ijtihad fiqiyyah (saya gunakan fiqh dalam pengertian biasa).

3. Rasulullah
Saya tidak hadkan peranan Ulama kepada MSU sahaja. Ulama boleh menjadi ketua eksekutif sekiranya memenuhi keperluan utama untuk jawatan tersebut iaitu memiliki kepimpinan, kepakaran strategi dan sebagainya yang telah saya sebut tempoh hari. Ini adalah kerana keahlian untuk jawatan eksekutif ‘tanfidzi’ adalah sedemikian.

4. KD
Bagaimana Ilham meletakkan kesalahan pada PKR tetapi pada masa yang sama mengakui tidak ‘berautoriti’ dalam soal ini? Sebenarnya kerusi yang bertindih hanya 6 dan KD bukan salah satu darinya. KD diakui kerusi PKR hanya isu yang timbul pada saat akhir ialah calon yang PKR letakkan. Namun Dato Mustapha Ali sebagai wakil PAS dalam perbincangan mengenai kerusi telah bersetuju untuk menerima Dr Nasir sebagai calon PKR bagi pihak PR sejak awal lagi. Oleh itu ianya tidak dianggap bertindih dan ia berbeza dengan 6 kerusi yang lain.

5. Perjanjian
Ilham adalah orang yang pertama yang pernah saya temui yang mengatakan bahawa Rasulullah tidak pegang pada janjinya! Sedangkan Rasulullah adalah bersifat dengan sifat Siddiq. Tidak bohong dan tidak khianat apatah lagi mungkir janji dan langgar perjanjian!
Perjanjian Hudaibiyyah menyatakan dengan jelas;


“5. Ala annahu man ata Muhammadan min Quraisy bi ghairi izni waliyihi raddahu alaihim…”

Saya rasa Ilham kenal Dhamir bagi Muzakkar dan Muannas. Bila disebut ‘waliyihi’ dan ‘raddahu’ adalah jelas bahawa perjanjian ini boleh ditafsirkan sebagai hanya melibatkan lelaki. Maka perjanjian untuk mengembalikan seseorang yang datang kepada Rasulullah dari Quraisy tanpa izin walinya yang perlu dikembalikan adalah untuk lelaki sahaja. Itu merupakan tafsiran yang boleh digunapakai berdasarkan laras bahasa dalam perjanjian tersebut.

Kita semua faham bahawa syarat ini berat sebelah dan dipaksa ke atas ummat Islam. Maka apabila ada ‘lompang’ atau ‘lacuna’ yang menimbulkan kesamaran, tidak salah bagi ummat Islam memberikan tafsiran yang menyebelahi kepentingan ummat Islam. Ia tidak merupakan pelanggaran dan oleh itu pihak Quraisy tidak dapat melakukan apa-apa atau mendakwa Rasulullah sebagi pembohong. Ini pun tafsiran kebanyakan ulama’ seerah seperti yang dijelaskan:-


Soal pengisytiharan batalnya perjanjian jelas berlaku. Bukan isytihar ingin masuk Mekah ya. Itulah sebab Abu Sufyan datang untuk “cuba memujuk Rasulullah untuk memperbaharui perjanjian” sepertimana Ilham sendiri tulis. Untuk apa Abu Sufyan datang kalau perjanjian tidak diketahui telah batal?

Sedangkan perjanjian diantara PAS dan PR tidak dibatalkan. Maka mengapa PAS bertanding di kerusi PKR? Soal tangan-tangan ghaib adalah andaian Ilham semata-mata. Perunding rasmi PAS adalah Dato Mustapha Ali. Dato Mustapha Ali bersetuju menerima Dr Nasir sebagai calon PKR bagi pihak PR kerana beliau merupakan ‘incumbent’ dan selama 5 tahun tidak pernah mana-mana pihak membuat aduan berhubung dirinya. Dan selama 5 tahun PAS Selangor tidak pernah menerima permohonan untuk PAS Subang bertanding di KD walaupun hingga saat terakhir. Lagipun ianya tindakan PKR untuk elak berlakunya 3 penjuru di Semenyih.

Kalau Dato Mustapha Ali tersilap dengan tidak menyampaikan hasrat Presiden dengan baik, maka ambil tindakan terhadap beliau, tapi jangan dilanggar apa yang telah dipersetujui. PAS adalah parti Islam yang perlu berpegang pada janji.

6. Tarbiah
Ilham bawa soal Wala’ dan thiqah. Siapa yang dipertikaikan wala’ dan thiqahnya? Betulkah mereka tidak wala’ dan tidak thiqah dengan pimpinan tertinggi PAS? Kalau benar, kenapa mereka dilantik oleh Presiden untuk menganggotai Lujnah Politik PAS Pusat? Lujnah ini membincangkan strategi dan taktik dan sudah pasti orang yang tidak wala’ serta thiqah kepada pimpinan PAS dan tidak kommitted kepada PAS tidak akan dipilih oleh Presiden!

Atau Ilham ingat Presiden bodoh? Lantik orang yang tidak wala’ dan thiqah ke Lujnah yang sebegitu penting? Saya ulangi, anggota Lujnah Politik, selain Dewan Harian, dipilih oleh Presiden sendiri dan hanya diendorse oleh AJK PAS Pusat.

Ilham sebut soal pemahaman dari nas membezakan ‘kita’. Ilham pernah bincang ke dengan mereka? Sedangkan pimpinan tertinggi sekalipun tiada masalah berkerja dengan mereka dan tidak juga mendakwa mereka mempunyai ‘pemahaman’ yang berbeza.

Saya rasa, seperti kes KD, Ilham banyak bergantung kepada maklumat yang datang dari golongan yang beragenda. Selama ini, sudah pun berpuluh tahun saya bersama pimpinan PAS, tidak pernah ada dakwaan “tidak wala’, thiqah atau pemahaman yang berbeza” dari mereka terhadap saya.

7. Keterbukaan Melampau
Politik menjadi kiblat? Berat tuduhan Ilham. Seperti tuduhan UMNO terhadap PAS. Inilah masalah golongan muda, gopoh dalam membuat tuduhan. Siapa pula menjadikan politik sebagai kiblat? Siapa kata maslahah dan mafsadah dibaca hanya dari sudut politik? Maslahah dan mafsadah dibaca dari sudut kepentingan perjuangan Islam bukan kepentingan jawatan atau peribadi.

Maaf, saya rasa sekali lagi, tuduhan Ilham melulu dan tidak berasas.

Soal menegur betul ada seninya. Itulah sebab saya tidak pernah menuduh ‘menjadikan politik sebagai kiblat’, ‘ular daun’, ‘bongkah ais’, ‘mahu jatuhkan Presiden’ dan lain-lain tuduhan yang melulu. Saya amalkan dasar ‘khusnus dzan’ sebaik mungkin dan tidak gunakan bahasa yang kesat atau mencemuh mana-mana individu.

Kadangkala ianya bukan teguran pun tetapi sekadar pandangan yang ingin diutarakan. Seperti Resolusi Multaqa Ulama. Ianya pandangan yang dikemukakan secara terbuka untuk satu dunia mendengarnya bahawa PAS perlu kaji balik kedudukannya dalam PR. Kerana dilihat merugikan. Seperti pandangan saya terhadap PAS bertanding di KD. Merugikan. Langgar perjanjian.

8. Wacana
Ijtima’ Tarbawi DPPP telah diadakan di Pagoh. Ianya program DPPP. Semasa dibincang di Pusat, tidak diputuskan supaya semua wajib hadir ke program tersebut dan semua program lain perlu dibatalkan. Oleh itu banyak program turut berjalan pada hari yang sama. Kebanyakan dari program itu adalah program yang telah diputuskan terlebih dahulu. Ini termasuklah Mesyuarat Agung DMP Negeri Kelantan, Mesyuarat Agung Dewan Ulama Negeri Perak dan program lain di peringkat Kawasan dan cawangan.

Saya hadir sebagai ahli panel program di Ipoh dan saya tidak melihat ianya sebagai satu masalah. Ianya bukan program tertutup untuk kempen menaikkan atau menjatuhkan mana-mana pihak. Ataupun menuduh seseorang itu Syiah atau Liberal. Tetapi ianya wacana membincang secara terbuka hala-tuju politik Pas dari beberapa perspektif. Berhubung ahli panel yang lain, apa yang disebut oleh SUA hanya sebagai satu peringatan. Kalau benar mereka bersalah, pasti mereka dikenakan tindakan disiplin. Tetapi, sekurang-kurangnya mereka sanggup bertanggung-jawab terhadap apa yang mereka tulis dengan tidak menggunakan nama-nama samaran seperti ‘El-haraki’. Dengan mengguna nama samaran sudah jelas niat jahatnya. Sekapal dengan Papa Gomo?

Saya telah hadir program Liqa’ Fikri PAS Pusat walaupun terpaksa tangguh program saya di Australia yang telahpun ditempah tiket terlebih dahulu. Ramai juga yang tidak hadir tetapi tidak pula dijadikan isu. Sedangkan ianya program PAS Pusat dan DS Presiden bentangkan kedua-dua kertas-kerja pada Liqa’ berkenaan.

Saya fikir ini adalah kali terakhir saya akan menjawab tulisan Imran dan Ilham berhubung isu ini. Lepas ini saya saya ingin tumpukan pada bajet dan PRK Sg. Limau. Saya ucapkan terima kasih atas kesudian menegur dan harap perbincangan ini telah mendatangkan manfaat. Semoga Allah mengampunkan kesalahan dan kekurangan yang ada pada kita bersama dan tetapkan pendirian kita di jalanNya hingga akhir hayat insyaAllah.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

HAM said…
Ini pertama kali saya menjumpai seorang ahli pimpinan PAS yg sgt terbuka dan bersedia menjawab persoalan anak muda yg masih belajar dlm isu2 dan keputusan2 siasah sungguhpun ianya kadangkala dilihat tidak perlu hingga ke tahap itu. Syabas saya ucapkan kepada YB. Moga terus sukses.

Popular posts from this blog

Berakhirnya Drama RUU 355?

Drama perlaksanaan sistem perundangan Islam yang mengambil bentuk usul persendirian YB Marang berhubung Akta 355 kelihatan menghampiri adegan penamatnya. Pada peringkat kesudahannya UMNO/BN kelihatan sebagai pihak yang meraih keuntungan terbesar dengan pembangkang berada dalam keadaan berpecah dan tidak bersepakat. Keutuhan Pakatan Rakyat yang telah mewarnai pilihan raya ke 13 pada 2013 sudah jelas hilang. Yang sepatutnya mengambil tempatnya, iaitu Pakatan Harapan, masih dalam keadaan sedikit terumbang-ambing, khususnya berhubung hubungan dengan PAS.

Tindakan UMNO/BN untuk mensasarkan PAS melalui isu perundangan Islam adalah satu ‘master-stroke’ yang tidak boleh dinafikan mana-mana pihak. Melaluinya bukan sahaja PR berpecah, namun ketidak-tentuan sikap terhadap PAS menyebabkan apa-apa tindakbalas untuk menyelamatkan keadaan menjadi tidak padu dan kurang bersungguh-sungguh. Kebergantungan terhadap PAS oleh pihak tertentu menyebabkan mereka tidak sanggup memutuskan hubungan dengan PAS s…

Penjelasan atas Fitnah yang Disebar Kononnya Ahli Parlimen Shah Alam, YBKS 'Sembah Ayam'

1. PAS untuk sekian kali sudah bertukar menjadi parti fitnah dan maki hamun. Tiada selain memunafikkan, mengkafirkan atau dituduhnya syirik kepada orang lain termasuklah dalam gambar saat akhir video CNY yang dibuat DAP.



2. Perlu faham bahawa mengikut bahasa Cina, perkataan Na (itu) Ji (Ayam) yang kebetulan bunyinya sama macam Najib.

3. Video tersebut adalah berkaitan Kisah Ayam itu (Na Ji) yang jahat dan selalu merugikan tuannya.

4. Tuannya serah ayam itu kepada YB Teresa kerana sudah tidak mampu lagi membela ayam itu. Tiba-tiba semasa menerima ayam itu, ia terlepas lari, mereka semua mengejarnya dan berjaya ditangkapnya semula.

5. YBKS telah memasukkan ayam itu (na ji) dalam sangkar (penjara) dan ucap Selamat Tahun Baharu Cina.

6. Photo terakhir itu menunjukkan mereka semua mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina pada Na Ji yang sudah berada dlm sangkar (penjara).


7. Tiada upacara atau scene sembahan di situ. Gong Xi Faa Chai yang disebut bukanlah penyembahan.

Seronokkah buat dan se…

Keunggulan Kerjasama Pakatan Harapan Dengan Parti Pribumi Bersatu

Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 ini mungkin merupakan pilihan raya yang terpenting dalam sejarah Malaysia. Ianya merupakan pilihan raya untuk menyelamatkan Malaysia dari terus dirosakkan oleh kepimpinan rakus dan kleptokratik yang mendatangkan bencana kewangan dan sosial terhadap negara. Imej negara terus merudum dan dengan itu sukar mendapat pinjaman dari sumber yang biasa. Hutang 1 MDB, seperti kepada IPIC, tidak mampu dibayar melainkan dengan mendapatkan pinjaman lain. Korek lubang untuk menutup lubang.

Pada masa sama krisis kewangan turut dialami oleh semua syarikat dan badan kewangan kerajaan yang telah memberi pinjaman kepada atau melabur di dalam 1 MDB. Turut dimaklumkan bahawa ianya melibatkan juga KWSP, Tabung Haji dan badan-badan lain.

Apabila semakin terdesak, kerajaan sediada dijangka akan sanggup menerima apa jua syarat pinjaman dari sumber yang mampu walau atas apa syarat sekalipun. Di antaranya adalah pinjaman dari negara China yang kita semua sudah sedia maklum.

Ramai ya…