Skip to main content

Pemilihan Timbalan Presiden PAS


Ada yang bertanya kepada saya, “siapa patut disokong untuk jawatan Timbalan Presiden?”

Saya jawab, “Lihat pada yang ada. Bagaimana prestasinya? Baik atau tidak baik? Memuaskan atau tidak memuaskan? Kalau baik kekalkan. Kalau tidak baik dan dirasakan ada yang boleh memberi prestasi yang lebih baik, maka tukarlah.”

Maka ditanya balik, “Bagaimana soal ulama’ atau tidak ulama’?” Saya jawab lagi, “jawatan ini bukan sebagai suatu ‘penghormatan’, iaitu yang dihormati sebagai ulama’ maka diberi jawatan tersebut. Jawatan ini datang dengan satu amanah tertentu. Hendak diberi kepada yang boleh melaksanakan tanggung-jawab dan amanah yang datang bersama dengan jawatan tersebut. Iaitu kepimpinan, ‘kepengurusan’, kebijaksanaan berpolitik, mampu membaca strategi lawan, keberanian, ketangkasan, keamanahan dan lain-lain yang perlu sebagai Timbalan Presiden.

Bukan kemampuan membuat hukum. Untuk buat hukum dan kawal perjalanan parti dari sudut dasarnya, sudah ada Majlis Syura Ulama’ dan Dewan Ulama’. Di situ keahliannya mesti ‘ulama’. Akan tetapi untuk Timbalan Presiden perlu dipilih orang yang boleh memenuhi ciri tersebut. Ciri ini mungkin ada pada ulama’, seperti Al-Marhum Ust Fadhil Mohd Noor, TGNA dan juga TGHH. Dan ia mungkin juga ada pada yang bukan ulama’. Yang penting yang dipilih mesti atas dasar siapa yang lebih mempunyai ciri ini di kalangan barisan calon yang diketengahkan.

Memilih Timbalan Presiden sesebuah parti politik adalah seperti memilih panglima perang yang akan memimpin tentera dalam medan perang. Khalid Al-Walid bukan yang paling alim ketika dilantik menjadi panglima. Bahkan semasa perang Mu’tah beliau baru sahaja memeluk Islam. Namun setelah Zaid, Jaafar dan Abdullah Ar-Rawahah gugur, Khalid yang dipilih untuk memimpin tentera Islam kerana kemahirannya memimpin walaupun ada yang lebih ‘alim fiid-dinn darinya. Begitu juga semasa kempen di bilaadil Syams. Khalid Al-Walid menjadi panglima utama sehingga digantikan dengan Abu Ubaidah Al-Jarrah atas arahan Umar kerana terlalu berjaya sehingga dianggap menjejas I’tiqad ummat Islam!

Dalam soal memilih Timbalan Presiden, kita memilih Panglima memimpin ‘perang’ di ‘medan perang’ politik.

Maka saya harap, jangan dipilih seseorang atas sebab semata-mata kerana beliau ulama’ ataupun bukan. Jangan juga menolak seseorang kerana semata-mata dia ulama’. Jangan menyokong seseorang kerana semata-mata dia bukan ulama’. Jangan juga menolak seseorang semata-mata kerana dia bukan ulama’!

Pilih seseorang kerana dia mampu memainkan peranan sebagai Timbalan Presiden secara yang terbaik! Memimpin parti mengharungi liku perjuangan politik melalui lembah fitnah dan tribulasinya, meredah paya penipuan dan kejahatan lawan serta menggalas cabaran ketinggian puncak kemenangan dan kejayaan. Orang yang tidak mudah dikelirukan dengan fitnah dan tribulasi, malahan mampu membacanya dan menangkisnya sebelum ianya melanda. Orang yang tidak mudah termakan kata memuji dan janji kosong malah mampu membaca kejahatan disebalik kata manis itu. Orang yang mempunyai wawasan kemenangan yang jelas dan kaedah realistik untuk mencapainya.

Pilihlah orang seperti Sallahuddin Al-Ayubbi atau Muhammad Al-Fatih, atau Nuruddin Az-Zanggi atau Saifuddin Qutus. Mereka bukan dari golongan Juhala’ walaupun bukan juga dari golongan ulama’ namun mereka merupakan pimpinan yang mendepani cabaran zaman mereka dan mengatasinya dengan bantuan seluruh alim ulama’ dan cendiakawan Islam serta dokongan ummat dan rakyat mereka.

Atau pilih orang seperti Ibn Taimiyyah dan anak muridnya Ibn Qayyim atau Shah Wali Allah Delhi. Mereka ulama’ mujtahidiin wa mujahidin, yang mampu memutuskan hukum tetapi pada masa yang sama mempunyai ketangkasan dan kepimpinan yang sukar ditandingi oleh mana-mana pihak. Dan kepimpinan mereka berserta dengan ketajaman bacaan politik mereka menyebabkan mereka dilihat sebagai ulama’ mujahid yang memberi inspirasi kepada ummat Islam sepanjang zaman.

Pilihlah, bukan atas dasar klasifikasi dan kelompok, tetapi atas dasar kesesuaian dan kemampuan seseorang itu untuk jawatan yang mencabar sebegini rupa, iaitu Timbalan Presiden Parti Islam SeMalaysia!”

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

ZaimaZ said…
Hari ni berlangsung Multaqa Ulama' SeMalaysia yg menghadirinya seakan-akan berada di medan kempen pemilihan yg kritikal. Hadir sehingga waktu zuhor dan saya berpendapat; 1: Majlis seumpama itu di adakan lebih kepada untuk menutup rasa terancamnya kelompok uilama' di dalam PAS dari asakan dan wibawa golongan yg dilebelkan profesional. 2: Ianya diadakan seakan-akan satu usaha untuk memastikan calon-calon berlatarbelakangkan ulama' menang. 3: Ianya juga diadakan sebagai satu usaha terancang geng Ganu untuk terus menguasai PAS dari seluruh peringkat organisasi parti. 4: Kualiti dan isi perbahasan menampakkan orang PAS ni masih tak reti-reti makna kepimpinan ulama' dan tak faham serta tak dapat mnembezakannya dengan ulama' yg memimpin. . Bilalah agaknya orang PAS ni nak cerdik. 5: Ianya juga menampakkan kegagalan golongan ulama' dalam PAS nak menonjolkan indah dan terbukanya Islam di dalam urusan kepimpinan parti dan negara. Wakil Ulama' N9 melontarkan idea mahukan Presiden , Timb. Presiden Naib-naib dan 50 % dari AJK PAS Pusat mestilah ulama'.Melampau dan nampak kebodohannya. Pinda jelah perlembagaan PAS agar menetapkan seluruh kepimpinan PAS dari peringkat Kawasan , negeri dan pusat mesti ulama'. 6: Menampakkan kecutnya geng Ulama' utk mengakui kelemahan jentera parti dan pencapaian yg merudum adalah bersumberkan kelemahan dalaman, semangat ahli-ahli yg kian luntur ekoran usaha Geng Ganu nak tubuhkan UG serta penentangan mereka kepada Tok Guru Nik Aziz yg komited menyerang umnoapco. . WaLlahu'aklam.

Popular posts from this blog

Surat Terbuka Untuk Penduduk Seksyen 23

2hb September 2009 M 13 Ramadan 1430 H السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Kehadapan penduduk Seksyen 23 yang dihormati, Semoga surat ini menemui tuan-tuan dalam keadaan sihat wal afiat serta keimanan yang teguh dan jitu berkat bulan Ramadhan ini. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan diri saya serta tuan-tuan akan Firman Allah, Surah Al Maaidah ayat 8 yang bermaksud; “Bertindak adil! Ianya lebih rapat dengan keTaqwaan.” Semoga dalam usaha kita membina keTaqwaan dalam bulan Ramadhan ini, kita mengingati hakikat bahawa ‘keTaqwaan’ yang diusahakan itu mempunyai hubungan rapat dengan keadilan. Keadilan ini pula perlu dilaksanakan terhadap semua, walaupun terhadap yang tidak disenangi. Ini ditegaskan di dalam ayat yang sama yang bermaksud, “dan jangan oleh kerana kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil…” Kalau terhadap kaum yang dibenci sekalipun dituntut keadilan, apatah lagi terhadap jiran sekampung dan warga sekota? Walaupun mereka tidak seba

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadan

Tapak Kuil Seksyen 23 Shah Alam

Baru-baru ini, banyak betul yang kita dengar berhubung isu tapak kuil yang dicadangkan di Seksyen 23, Shah Alam. Yang tahu, yang tak tahu dan yang buat-buat tahu, semuanya turut sama mengemukakan pandangan masing-masing. Di antaranya, pandangan Noh Omar yang menyatakan bagaimana kerajaan PR tidak peka terhadap sensitiviti umat Islam. Oleh itu, bagi mereka yang ingin tahu, izinkan saya menceritakan serba sedikit perkara sebenar berkenaan isu ini. Tapak Kuil yang dicadangkan adalah di kawasan Industri, lebih 200 meter dari kawasan perumahan. Sebuah Kuil yang sekarang ini berada di Seksyen 19 akan dipindahkan ke tapak baru yang dicadangkan ini. Di Seksyen 19, kuil berkenaan hanya berjarak 20 kaki dari kawasan perumahan! Buka pintu rumah, seberang jalan terdapat kuil. Sebenarnya, kuil Seksyen 19 telah berada di situ sejak zaman sebelum wujudnya Shah Alam lagi. Pada masa itu kawasan di mana kuil tersebut dibina dinamakan Ladang Sungai Renggam. Apabila PKNS ambil-alih, maka dijadikan kaw