Skip to main content

Usaha Merujuk YB Simpang Renggam Kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan

Setelah Ahli Parlimen Simpang Renggam membuat dakwaan bahawa Wikileaks telah mendedahkan simpanan wang beratus juta oleh Ketua Pembangkang di beberapa bank luar Negara termasuk di Israel, maka ahli Parlimen Pakatan Rakyat telah bertindak untuk merujuk beliau ke Jawatankuasa hak dan kebebasan selari dengan peraturan mesyuarat 36(12). Usul untuk itu telah dikemukakan oleh Ahli Parlimen Jelutong.

Maka pada Khamis 18 Julai, setelah YB Simpang Renggam terus enggan meminta maaf dan menarik balik kenyataan beliau, maka usul tersebut telah dibahas dan ia merupakan isu terakhir yang dibahas di Parlimen sesi ini. Peraturan mesyuarat 36(12) berbunyi;
“Mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan adalah disifatkan menghina Majlis dan ahli itu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi kesalahan itu.”
Speaker telah berkali-kali mengulangi bahawa untuk disabit kesalahan, ahli yang dituduh itu mesti mempenuhi 3 syarat seperti berikut:
1. Maklumat itu adalah salah.
2. Ahli berkenaan tahu ianya salah.
3. Walaupun tahu ianya salah, ahli tersebut terus menyatakannya kerana sememangnya berniat untuk mengelirukan dewan.

Apabila YB Jelutong membawa usul berkenaan, beliau mendedahkan beberapa fakta, termasuk hakikat bahawa tidak terdapat ‘maklumat’ tersebut di dalam Wikileaks dan salah satu Bank di mana kononya duit Ketua Pembangkang disimpan, yang disebut YB Simpang Renggam, iaitu National Bank of Israel, sebenarnya tidak wujud! Fakta tersebut adalah bukti bahawa YB Simpang Renggam sememangnya telah memenuhi ketiga-tiga syarat untuk layak dikenankan tindakan bawah 36(12).

Seterusnya Speaker telah meminta 3 pembahas dari PR dan 3 lagi dari BN untuk membahasnya. 3 wakil dari PR seperti yang telah dipersetujui pada hari sebelumnya adalah terdiri dari seorang dari DAP (YB Raub), PKR (YB Bukit Katil) dan PAS (YB Shah Alam).

Semasa saya berhujjah, saya hanya menumpu kepada 3 syarat untuk menyabit kesalahan seperti di atas. Saya telah menyebut;

1. YB Simpang Renggam mengatakan maklumat yang didedahkan beliau adalah dari Wikileaks. Dakwaan ini adalah tidak benar kerana ianya tiada dalam Wikileaks tetapi sebaliknya hanya boleh diperolehi dari blog yang tidak diketahui siapa pemiliknya (Anonymous). Maka maklumat bahawa ianya dari Wikileaks adalah tidak benar.

2. YB Simpang Renggam tahu bahawa dakwaan ianya dari Wikileaks adalah tidak benar kerana dia sendiri tahu bahawa dia telah memperolehinya dari blog ‘Anonymous’ ini dan bukan dari Wikileaks. Oleh itu YB Simpang Renggam penuh sedar dakwaannya bahawa ianya dari Wikileaks adalah tidak benar.

3. Sememangnya YB Simpang Renggam bertujuan untuk mengelirukan Dewan apabila beliau menyatakan maklumat tersebut adalah dari Wikileaks sedangkan dia membacanya dari blog ‘Anonymous’. YB Simpang Renggam tidak mahu menyatakan bahawa maklumat beliau adalah berdasarkan bacaan dari ‘blog Anonymous’ ini kerana beliau sedar dan faham bahawa sekiranya didedahkan kenyataan tersebut maka dakwaannya akan hilang kredibiliti. Untuk menambahkan kredibiliti dan keyakinan ahli Dewan maka disebut bahawa maklumat tersebut adalah dari Wikileaks. Tindakan beliau untuk menutup dan menyembunyikan fakta ini, bahawa ianya dari blog ‘Anonymous’, adalah bukti bahawa YB Simpang Renggam ingin dengan sengaja mengelirukan Dewan.

4. Hakikat bahawa YB Simpang Renggam sedar dakwaannya bahawa segala maklumat yang dibacanya adalah dari Wikileaks adalah tidak benar turut terbukti apabila beliau enggan mengulangi kata-kata yang sama di luar dewan.
Dalam perbahasan ini, wakil BN hanya bertindak untuk mengalih perbahasan kepada isu lain yang tidak ada kena-mengena dengan persoalan sebenar. Selain itu mereka mencelah perbahasan wakil-wakil PR dengan tujuan untuk mengalihkan perbahasan sehingga berlaku pertengkaran dan cabar-mencabar!

Saya merasakan fakta sudah mencukupi untuk menyabitkan kesalahan YB Simpang Renggam supaya dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Namun akhirnya keputusan dibuat berdasarkan proses ‘belah-bagi’ dan bukan atas kekuatan hujjah. Oleh itu semestinya YB Simpang Renggam akan terlepas kerana wakil rakyat BN akan semua mengundi untuk menolak usul yang dibawa YB Jelutong! Begitu juga, sekiranya usul dibawa seorang ahli BN, terhadap seorang ahli PR, sudah hampir pasti usul itu akan diterima,walaupun buktinya tidak sekukuh mana, sepertimana dalam kes Permatang Pauh pada penggal lepas.

Dan itulah yang telah berlaku pada hari tersebut. 100 lebih ahli dari BN, dari 133, mengundi menolak usul YB Jelutong dan 60 lebih ahli dari PR, dari 89, mengundi untuk menerimanya.

Bagi saya, proses menentukan sabit atau sebaliknya sesuatu kesalahan tidak sepatutnya ditentukan melalui proses ‘belah-bagi’ atau undi kerana proses itu tidak menjamin keadilan. Ini hanya mampu menjamin kehendak majoriti menguasai samada benar atau sebaliknya. Inilah yang digelar ‘dictatorship of the majority’ atau ‘tyranny of the majority’ dalam perbahasan akademik yang dibaca oleh mahasiswa pengajian sains politik di kampus.

Samada itulah yang telah berlaku pada 18 Julai lepas di Dewan Rakyat adalah untuk masing-masing menilainya.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

umatnabi saw said…
Jadi adakah sistem yang negara kita gunakan ini terbaik? (demokerasi/ majoriti diutamakan).

Popular posts from this blog

Kerana Tidak Istiqamah Maka Akhirnya Terpinggir

Keputusan PRU14 sekarang telah diketahui umum. Pakatan Harapan (PH) berjaya mengambil alih Putrajaya dan negeri-negeri di seluruh Negara kecuali Perlis, Pahang dan Sarawak yang kekal bawah BN sambil Kelantan dan Terengganu jatuh pada PAS.

Walaupun akan ada yang berkata bahawa PAS telah berjaya dengan keputusan anatara yang paling cemerlang dalam sejarahnya, hakikatnya ianya sebenarnya boleh jauh lebih baik dari itu. Malangnya, sifat gopoh dan kurang yakin kepada pendekatan yang diikutinya sejak zaman reformasi telah menyebabkan PAS semakin terpinggir dari arus perdana politik negara. Ia kembali sebagai parti pantai timur dan kawasan kampung Melayu setelah beraksi cergas di pantai barat dan kawasan bandar pada tahun-tahun pasca reformasi. Cogan kata “PAS for all” kian tidak kedengaran dan PAS kembali sebagai parti bersifat eksklusif memperjuangkan agenda khas bagi masyarakat Muslim dan Melayu.

Dakwaan Kosong Hj Hadi: Antara Kebenaran dan Khayalan

Pada 14hb April Hj. Hadi membuat satu 'pendedahan' mengenai sebab sebenar AMANAH ditolak. Kononnya ianya adalah kerana pimpinan AMANAH semasa menjawat jawatan dalam PAS ingin meminda perlembagaan PAS sehingga dikurangkan kuasa Majlis Syura Ulama. Tuduhan tersebut merupakan satu pembohongan yang nyata yang dibuat dengan penuh kesedaran bahawa ianya satu pembohongan! Saya tidak tahu mengapa Hj Hadi kebelakangan ini kerap berbohong.

Sekiranya ianya dianggap bukan satu pembohongan oleh beliau dan beliau benar yakin akan kebenarannya maka ahli-ahli PAS haruslah berwaspada. Kerana ini bermakna bahawa beliau sudah mula mengalami satu keadaan yang tidak dapat membezakan di antara kebenaran dari khayalan. Situasi 'delusional' ini menyebabkan beliau sentiasa dalam keadaan cemas dan menganggap dirinya dan Islam dimusuhi oleh semua, kecuali oleh PAS dan UMNO.

Tuduhan ini sebenarnya bukanlah baharu maka yang dikatakan sebagai 'pendedahan' selepas 3 tahun ini adalah dakwaan …