Skip to main content

Ulasan Peristiwa Kehadiran Kristian Najran Di Madinah (Pengajaran Kedua dan Ketiga)

Saya telah mengulas pengajaran pertama Peristiwa Kehadiran Kristian Najran di Madinah di dalam tulisan saya sebelum ini yang bertajuk Ulasan Peristiwa Kehadiran Kristian Najran Di Madinah. Untuk kali ini saya akan cuba mengulas 2 lagi pengajaran yang boleh diambil dari peristiwa tersebut.

Di dalam petikan tersebut turut mengandungi sesuatu yang agak aneh bagi mereka yang tidak memahami sikap Islam dengan tepat. Rasulullah (SAW) tidak menegur perwakilan dari Najran atas sebab mereka berpakaian sutera dan emas tetapi menegur mereka dan menjawab salam mereka apabila mereka berpakaian rahib/paderi di dalam Masjid! Tidakkah pakaian rahib dan paderi itu lambang keagamaan dan aqidah yang sesat? Sedangkan sutera dan emas hanya kesalahan kecil dan tidak melibatkan persoalan aqeedah! Mengapa Rasulullah (SAW) mengambil berat persoalan ‘kecil’ dan tidak persoalan aqidah yang lebih besar?

Seperti yang disebut, hidayah adalah dari Allah dan seseorang itu akan berpegang kepada agama dan aqidahnya selagi tidak menerima hidayah dari Allah. Namun dalam keadaan beragama selain Islam sekalipun tindakan yang tidak bertepatan dengan ajaran agama sendiri adalah dilihat amat keji kerana menunjukkan sikap mempermainkan agama. Mempermainkan agama bermakna mempermainkan Tuhan.

Sikap mempermainkan agama tidak disukai dan ditolak Rasulullah (SAW). Rasulullah mengetahui mereka sebagai delegasi dari Najran yang terdiri dari ketua dan paderi mereka. Sikap berpakaian baju yang disulam dengan sutera dan cincin emas bercanggah dengan apa yang diajar agama Kristian itu sendiri. Cara hidup zuhud dan tidak mementingkan ‘perhiasan’ dunia merupakan ciri kehidupan Nabi Isa (AS) yang diketahui umum. Dan ianya juga amalan yang ditolak Islam, khususnya bagi kaum lelakinya.

Sikap yang ditunjukkan Rasulullah (SAW) dalam peristiwa ini adalah juga selari dengan ayat 46 Surah Al-Ankabut di mana Baginda diarah Allah supaya tidak berhujjah dengan golongan ahlul-Kitab kecuali dengan cara yang terbaik, KECUALI yang zalim di antara mereka. Sudah pasti golongan yang permainkan ajaran agama adalah mereka yang zalim.

Ramai dari ummat Islam hari ini mempunyai sikap yang sebegini. Mempermainkan hukum Allah dalam semua persoalan termasuk pemakaian sutera dan emas. Begitu juga terhadap syariatNya termasuk persoalan menutup aurat, perlaksanaan hudud dan sebagainya. Sikap mempermainkan agama menjadikan ummat Islam lemah dan berpecah. Inilah sebab mengapa ianya dibenci Rasulullah (SAW).

Pemakaian baju yang disulami sutera serta cincin emas juga menunjukkan ciri-ciri bangga diri yang cuba menzahirkan kehebatan dan kekayaan diri. Kononnya untuk mendatangkan perasaan kagum dan hormat dari mereka yang memandang. Sedangkan Rasulullah (SAW) ingin menunjukkan bahawa itu semua tiada nilai di sisinya. Yang lebih bernilai adalah keikhlasan terhadap agama dan Tuhan.

Berpakaian rahib/paderi pada esok hari membawa respon yang positif dari Rasulullah (SAW) kerana atas persoalan keagamaanlah ingin Rasulullah berbicara. Dan itulah yang terus disebut Baginda selepas sahaja menjawab salaam mereka!

Akan tetapi mereka menolak dengan menyatakan : “Sebelum kamu, kami adalah orang-orang yang menyerah (Muslimin)”, maka berkata Rasulullah: “ada 3 perkara yang menyebabkan kamu bukan orang Islam (Muslimin): Penghambaan kamu kepada Salib, pemakanan kamu akan daging khinzir dan kepercayaan kamu bahawa Allah ada anak….”

Pengajaran ketiga ini adalah yang amat menarik bagi diri saya. Apabila dijemput memeluk Islam iaitu menyerah diri kepada Allah, mereka menjawab bahawa mereka sudah Islam (menyerah) sebelum datangnya Rasulullah! Rasulullah pula terus menjawab dengan menyebut 3 perkara utama yang menyababkan orang Kristian terkeluar dari Islam.

Ketiga-tiga perkara ini, mengikut ulama Islam, adalah hasil ajaran dan Gereja bukan ajaran yang terdapat dalam injil/Bible.

Yang pertama persoalan perhambaan mereka kepada salib. Yang dimaksudkan dengan ini ialah kefahaman pemansuhan dosa manusia melalui ‘matinya’ Nabi Isa setelah disalib. Maka salib itu simbol pemansuhan dosa sehingga ianya bagaikan disembah dan dianggap mempunyai kuasa. Sedangkan jika dilihat kepada apa yang terkandung di dalam Bible itu sendiri, konsep ini tidak sama sekali disebut secara jelas dan nyata sehingga ianya dijadikan rukun utama ajaran Kristian.

Kepercayaan ini telah ditolak Islam dengan menafikan kematian Nabi Isa (AS). Allah berfirman di dalam Al-Quran berhubung bagaimana Allah telah menyelamatkan Nabi Isa dengan menggantikannya dengan seseorang yang kelihatan serupa dengannya.
“Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: "Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah". Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang - salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). Dan Sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin.” (An-Nisaa’ 157)
Dengan penafian matinya Nabi Isa (AS) disalib maka konsep pemansuhan dosa manusia melalui kematian beliau adalah ditolak Islam dengan sejelas-jelasnya.

Yang kedua adalah tindakan menghalalkan yang telah jelas diharamkan di dalam Bible itu sendiri iaitu pemakanan daging khinzir. Hingga ke hari ini, ayat yang mengharamkan pemakanan daging khinzir tetap boleh didapati di dalam Bible yang sedia ada. Namun ianya tidak dihiraukan. Ini menzahirkan sikap menerima hukum manusia sebagai lebih penting dari hukum yang ditetapkan Tuhan dan memberi kepada sesama manusia (Gereja) hak untuk membatalkan dan mengubah perintah Allah.

Sikap sebegini menyebabkan berlakunya syirik seperti kisah perbahasan Adi Bin Hatim dan Rasulullah (SAW) yang pernah saya ceritakan dahulu di dalam persoalan perlantikan ‘Arbaaban’. Kisah ini berkisar atas perbahasan beliau dengan Rasulullah berhubung ayat 31 Surah At-Taubah:
“Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli ugama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.”
Adi bin Hatim membantah apabila mendengar Rasulullah (SAW) membaca ayat ini dengan mengatakan “kami tidak mengambil mereka sebagai Tuhan selain Allah”. Rasulullah (SAW) menjawab, “mereka menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal dan kamu patuh kepada mereka. Maka kamu menerima mereka sebagai Tuhan selain Allah.”

Penyerahan hak Allah ini kepada yang lain boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar dari Islam tanpa diketahuinya.

Yang ketiga adalah kerana mereka, iaitu orang Kristian, menganggap Allah ada anak. Ini juga adalah merupakan ajaran Gereja bukan ajaran yang terkandung dalam Bible. Namun ianya adalah sebahagian pegangan utama agama Kristian dan walaupun kita tidak setuju dan menganggapnya satu penghinaan terhadap Allah sendiri, ianya tetap merupakan ajaran Kristian yang kita tidak boleh halang mereka beri’tiqad dengannya.

Kalau dibaca kisah ini seterusnya, kita akan dapati Rasulullah (SAW) berhujjah untuk membuktikan kepalsuannya. Tetapi Rasulullah tidak pernah menghalang mereka dari menyebutnya kerana itulah kepercayaan mereka. Tidak juga diminta mereka supaya tidak menyebut lagi nama Allah.

Dan sememangnya dakwaan mempunyai anak adalah satu pembohongan terhadap Allah dan itulah di antara sebabnya agama Kristian terkeluar dari Islam! Ianya dakwaan yang telah disebut manusia kafir sebelum mereka seperti dijelaskan oleh Allah dalam ayat 30 Surah At-Taubah.
“Dan orang-orang Yahudi berkata: "Uzair ialah anak Allah" dan orang-orang Nasrani berkata: "Al-Masih ialah anak Allah". Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?”

Walaupun ianya sesuatu yang ditolak sekeras-kerasnya oleh Islam, namun Rasulullah (SAW) tidak menghalang mereka dari terus menyebutnya! Maka amatlah pelik apabila Rasulullah (SAW) sendiri tidak menghalang masyarakat Kristian dari menyebut dakwaan palsu mereka ini tetapi kita pula ingin menghalang mereka. Mungkin kita tidak memahami kaedah dakwah dan hak beragama yang telah dijamin Islam kepada bukan Islam dan hanya melihat dari sudut emosi. Atau kita terpengaruh dengan mereka yang ketandusan isu dan ingin menggunakannya sebagai isu untuk mengabur mata rakyat terhadap penyelewengan yang telah mereka lakukan.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Grand Marquis said…
Dah agak, akhirnya akan kembali kepada isu nama Allah. Itulah orang kata, YB tak faham waqi.

Umat Islam di Indonesia dah guna perkataan Allah. Adakah kita pergi ke Indonesia untuk suruh mereka jangan guna perkataan Allah? Kena faham, itu bukan territory kita dan takkan kita yang tak berkuasa nak pergi mengubah orang yang kita tak ada kuasa keatas mereka.

Di Malaysia waqi kita berbeza. Orang Kristian di semenanjung tak guna. Dan isu yang penting ialah menggunakan secara rasmi (yakni dalam penerbitan Herald). Apabila ia rasmi bermakna ia melibatkan isu perundangan. Selama ni orang Sabah dan Sarawak guna secara tak rasmi orang lain tak kisah pun. Tapi bila ia guna secara rasmi, maka ada implikasi terhadap konstitusi dan kedudukan Islam di Malaysia.

Sama juga dalam kes Murtad. Ramai orang Islam di Malaysia yang mungkin dah Murtad, tapi secara tak rasmi. Tapi bila ada kes seperti Lina Joy, ia akan menjadi isu berbeza.

Lupakah kita akan tuntutan IFC? Tuntutan ke-9
Orang-orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.

Bukankah isu perkataan Allah ini adalah salah satu dari tuntutan mereka? Dan kalau ia berjaya, maka yang lain pun akan turut sama kerana ia akan menganggu gugat kedudukan Islam sebagai agama persekutuan di Malaysia. Hasilnya ialah keadaan umat Islam akan menjadi kucar kacir.

Tindakan mereka yang membuat tuntutan ini bukan kerana mereka mahu sangat menggunakan nama Allah, mahupun mereka percaya bahawa dengan menggunakan perkataan Allah, orang Islam akan murtad. Tapi ia adalah provokasi mereka untuk tujuan lain yang lebih besar, iaitu merealisasikan 14 tuntutan IFC.

Fahamilah isu yang sebenar. Jangan kerana sikap gelojoh kita untuk menunjukkan kononnya diri kita ni "mesra" kafir sehingga kita gagal melihat ancaman dan muslihat mereka. Biarlah mereka nak tuntut, tapi kalau semua umat Islam bersatu dan tak layan, mereka tak akan dapat berbuat apa-apa. Cuma mereka naik tocang sebab ada orang-orang seperti YB yang menjadi tukang sorak mereka.

Naman said…
Salam Y.B,

YB bagi kenyataan “Maka amatlah pelik apabila Rasulullah (SAW) sendiri tidak menghalang masyarakat Kristian dari menyebut dakwaan palsu mereka ini tetapi kita pula ingin menghalang mereka.”

Itulah tak faham isu tapi nak jadi pemimpin umat Islam.

Pemimpin umat sepatutnya tahu dan faham apa kepentingan dan kebaikan kepada agama dan umatnya. Bukan semata-mata berpolitik sampai akidah dan kepentingan umat tergadai.

Isu disini kena faham;
Status quo semasa orang-orang Kristian di zaman Nabi S.A.W. Mereka ini menggunapakai kalimah Allah yang diwarisi sejak turun temurun dimana mereka merujuk kepada Pencipta alam semesta sebagai Allah. Mereka di zaman ini bukan gereja Catholic. Sedangkan orang-orang Kristian di Malaysia yang nak guna kalimah Allah dalam bible Melayu ni adalah gereja Catholic dan status quo mereka tak guna kalimah Allah secara rasminya.

Rasulullah SAW dihantar untuk membersihkan, mensucikan Allah itu dalam konteks nama, zat, sifat dan perbuatanNya. Itu jelas dalam Al-Quran dan Hadis2. Perbuatan

Rasulullah SAW tidak menegur itu tidak bermakna reda atau membenarkan. Sebab mereka memang dah menggunakan kalimah Allah dari Bible mereka yang berbahasa Arab. Bukannya Bible bahasa Inggeris yang diterjemah kepada Arab.

Tidak mengusik status quo tak bererti reda atau membenarkan. Itu juga tidak menunjukkan status quo itu tidak berubah kemudiannya.

Tetapi yang Y.B nak buat ialah mengubah status quo yang sememangnya sudah baik kepada keadaan yang lebih memudaratkan. Ini baru termasuk dalam kategori membenarkan sesuatu digunapakai. Sebab yang nak menggunapakai itu perlu memohon untuk diubah status quo.

Malaysia tidak membenarkan kalimah Allah dipergunakan dalam upacara syirik dan dalam mana-mana dokumen yang menyebabkan kalimah itu dikaitkan dengan kesyirikan atau apajua yang tidak layak bagi nama Allah, sifatNya dan perbuatan. Itu satu status quo yang sangat baik dan sangat menepati apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Persoalannya apa akibat bagi sesiapa yang mengubah status quo ini atas dasar berkasih sayang dengan orang-orang Kristian.

Masalah YB juga ialah Y.B cuba kaitkan Rasulullah SAW dalam membenarkan gereja Katolik di Malaysia menggunapakai kalimah Allah dalam upacara dan dokumen syirik. Dalil yang YB cuba tunjukkan tak jelas dan lebih mengikut fahaman YB terhadap sirah tersebut. Tiada bukti Rasulullah SAW membenarkan kerana orang-orang Kristian itu sememangnya telah menggunapakai kalimah Allah itu semenjak Nabi SAW belum lahir lagi.

Y.B juga sedikit pun tak bimbang akan risiko akidah yang dihadapi akibat membenarkan kalimah ini diguna dalam upacara dan dokumen berkaitan syirik. Risiko kepada akidah atau shahadah orang Islam yang membenarkannya dan risiko kepada umat Islam akibat penggunaan itu dibenarkan.

Sekarang ini pun ramai blogger Islam yang menyokong Y.B berhadapan dengan risiko ini. Mungkin berkat dari hasil usaha YB. Hairan ya. Boleh tenang hati dan senang sekali dengan keadaan macam ni.

Sekarang sudah jelas. Majlis Syura dah tak bagi. Kalau kalimah Allah disebut dengan lidah itu dalam percakapan seharian itu tak boleh disamakan dengan membenarkan penggunaan kalimah itu dalam upacara syirik dan dokumen berkaitan dengan syirik.

Wallahua’lam.


Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.