Skip to main content

Muktamar PAS ke-58: Bahagian 2

Bahagian Pertama memperihalkan analisa saya secara keseluruhan terhadap perjalanan dan pencapaian muktamar PAS ke 58. Bahagian kedua ini bertujuan untuk menangani beberapa isu khusus yang telah dibangkitkan para pembahas ucapan dasar. Isu ini tidak ditangani semasa muktamar oleh kerana perlu memberi tumpuan kepada isi kandungan ucapan dasar Presiden. Isu ini juga kebanyakannya adalah hasil dari ketidak-fahaman pembahas mengenai perkara yang dibangkitkan sendiri. Ia meliputi isu seperti berikut:

1. “TANGAN DAN LIDAH PANJANG”

Ini merupakan isu yang ditimbulkan oleh salah seorang perwakilan dan ianya ditujukan kepada pimpinan tertentu yang kononnya menimbulkan kegelisahan ‘ahli biasa’ kerana ‘terlalu rajin’ membuat kenyataan di dalam akhbar, malahan dikatakan pantang ditanya pemberita dan kerap menulis samada di blog atau pun media cetak. Kehendak pembahas ini adalah supaya semua pimpinan, kecuali beberapa orang, diam sahaja dan jangan memberi sebarang komen atau menulis apa-apa tulisan kerana ianya akan mengelirukan ahli di bawah. Malangnya beliau melihat persoalan ini dari sudut yang begitu sempit dan menganggap keadaan di semua tempat adalah sama seperti di kawasan beliau, mungkin, di mana ahli lebih senang dengan adanya pemimpin yang mendiamkan diri.

Saya beranggapan bahawa ahli PAS, termasuk ahli biasa, tidak lagi harus dianggap sebagai ahli yang ‘mudah dikelirukan’. PAS sudah mencapai usia 61 tahun dan matlamat serta kaedah perjuangannya sudah difahami dan diketahui umum. Oleh itu, sekiranya ada sebarang kenyataan yang bercanggah dengan matlamat dan kaedah ini, ianya perlu dianggap sebagai mainan media yang ingin memutar-belitkan kenyataan mana-mana pimpinan dan oleh itu dibaca dengan perasaan sinis dan berhati-hati. Sekiranya ada mana-mana pimpinan mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat dan ianya bukan putar-belit media, maka sudah pasti pimpinan atasan akan menegurnya dan memperbetulkannya.

Amat penting bagi ahli PAS untuk turut memahami bahawa undi yang memenangkan calon PAS di kebanyakan kerusi bukan datangnya dari ahli PAS semata-mata. Sebaliknya ianya datang dari golongan yang menyokong perjuangan PAS yang bukan ahli, golongan atas pagar dan kadang-kala dari ahli UMNO/BN yang bersetuju dengan sikap dan perwatakan calon berkenaan. Oleh yang demikian, maka amatlah penting untuk seseorang calon mendapat ‘exposure’ atau pendedahan kepada masyarakat umum melalui medium yang berbagai. Usaha untuk mendapatkan iexposure ini dan menjadi lebih ‘visible’ adalah sebahagian dari usaha untuk ‘menjaga penjuru masing-masing’ seperti yang diamanahkan kepada pimpinan berkenaan.

Suasana politik tidak seperti dulu dan tidak sama dari satu tempat ke satu tempat. Calon yang diam dan turun padang mungkin mampu menang di kerusi-kerusi tertentu. Tetapi di sebahagian besar kawasan-kawasan yang ditandingi calon PAS, rakyat ingin melihat seorang yang bukan sahaja turun padang tetapi juga aktif dalam menyuarakan sesuatu pandangan melalui ucapan, temu-ramah dan juga tulisan yang melibatkan isu semasa. Dalam erti-kata lain, “lain padang lain belalang” dan ahli PAS perlu mempunyai sikap yang terbuka serta menggalakkan interaksi dan engagement pimpinan serta calon atau wakil rakyat parti dalam soal ini.

PAS tidak sepatutnya mengongkong pimpinannya sendiri. Kalau ada yang silap, nyatakan mana kesilapannya tetapi jangan sehingga di anggap berucap dan menulis sebagai satu kesilapan.

2. TIDAK SABAR MEMBELA NURUL IZZAH ANWAR

Pembahas yang sama menimbulkan persoalan adanya pemimpin yang tidak sabar membela Nurul Izzah dalam kes ucapan beliau di sebuah gereja. Teguran ini sememangnya ditujukan kepada saya. Dalam soal ini saya merasakan ianya tanggung-jawab saya kerana Izzah difitnah dan dianiaya. Kalau dianggap pendirian tersebut tersilap, kemukakan hujjah tetapi untuk menyalahkan tindakan yang cepat adalah amat pelik dan mengelirukan. Tidakkah sepatutnya kita bergegas untuk membantu orang yang dianiaya secepat mungkin?

Dalam kes sebegini kadangkala adalah lebih baik pimpinan seperti saya bersuara dulu dan sekiranya didapati tersilap, maka ianya boleh diperbetulkan kemudian oleh pimpinan yang lebih kanan. Namun sekiranya ianya tepat maka ianya boleh diperjelaskan lagi dan ditambah lagi penjelasannya oleh pimpinan kanan selepas itu.

Saya melihat bahawa sememangnya UMNO ingin menimbulkan kegelisahan ummat Islam terhadap PKR yang ingin digambarkan mereka sabagai ‘liberal dalam soal agama’. Oleh itu mereka akan berusaha untuk mencari peluang untuk memutar-belitkan mana-mana kenyataan yang boleh diambil kesempatan oleh mereka tanpa menghiraukan samada tafsiran mereka adalah benar atau sebaliknya. Malahan, walaupun dibuatnya penjelasan dan penafian, UMNO akan menolaknya dan terus memutar-belitkan kenyataan tersebut demi keuntungan politik.

Apabila kita sudah memahami strategi politik UMNO, kita juga perlu memintasnya dengan segera. Lebih-lebih lagi dalam keadaan di mana kita sedia maklum serta yakin bahawa ianya fitnah dan memutar-belitkan fakta.


3. PERLAKSANAAN HUDUD DAN KENYATAAN YANG KONONNYA BERCANGGAH

Ada juga yang mempertikaikan sikap dan pendirian beberapa pimpinan terhadap persoalan perlaksanaan hudud. Diberikan gambaran seolah-olah ada yang menolaknya atas alasan-alasan yang sama seperti UMNO!

Semua yang menyertai PAS dan pendukung perjuangan Islam memahami bahawa perlaksanaan undang-undang Islam secara keseluruhannya adalah di antara matlamat perjuangan PAS. Tiada yang menolaknya. Lebih-lebih lagi di kalangan pimpinan. Hanya kaedah ianya dijelaskan kepada masyarakat setempat berbeza dan bersesuaian dengan perbezaan suasana satu masyarakat dengan satu yang lain.

Sebagai contoh, Tuan Guru Haji Abdul Hadi menyatakan bahawa PAS akan memperjuangkan perlaksanaan Islam melalui lunas-lunas demokrasi. Beliau juga menyebut bahawa hudud adalah agenda PAS dan bukan agenda PR.

Dalam mengupas kenyataan ini, ada yang menyebut bahawa “keadaan belum lagi sesuai untuk hudud dilaksanakan”. Ini membawa erti bahawa oleh kerana PAS belum lagi menerima sokongan yang mantap dan menyeluruh terhadap agenda yang dibawa PAS, iaitu perlaksanaan sistem Islam dan perundangannya, maka hudud belum lagi dapat dilaksanakan. Maka PAS perlu berkerja keras untuk meyakinkan masyarakat, khususnya masyarakat Islam terhadap keadilan dan kebaikan sistem perundangan Islam melalui lunas-lunas demokrasi. Ia tidak bermakna hudud itu tidak sesuai tetapi suasana yang sediada belum lagi sesuai. Ini adalah kerana sokongan dan kefahaman rakyat terhadap hudud dan perundangan Islam masih agak lemah dan perlu diperkukuhkan.

Begitu juga dengan kenyataan perlaksanaan hudud akan hanya dilakukan apabila “mendapat sokongan rakyat”. Ini sebenarnya adalah selari dengan apa yang disebut oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi berhubung dengan “lunas-lunas demokrasi”. Apabila PAS berjuang melalui lunas-lunas demokrasi, sudah tentu ia inginkan sokongan dan penerimaan dari masyarakat umum untuk apa yang ingin ia lakukan. PAS tidak berniat untuk mendapat sokongan dan kemenangan dengan menjanjikan yang lain tetapi selepas itu melaksanakan yang lain. Sudah pasti ia ingin mendapatkan sokongan untuk sistem perundangan Islam sebelum ianya dilaksanakan. Kenyataan sebegitu dikeluarkan untuk menangani ketakutan sebahagian masyarakat bahawa PAS akan memaksakan sistem perundangan Islam walaupun masyarakat masih belum lagi bersetuju dengannya.

Hakikat politik semasa, PAS belum lagi mendapat sokongan yang padu untuk agenda Islamnya. Itulah sebabnya mengapa perlunya kesepakatan dengan PR supaya pengadunan dan pengembelingan sokongan dari ketiga-tiga parti mampu menjatuhkan BN. Melalui pentadbiran PR yang akan terhasil, yang diyakini lebih adil, PAS akan berpeluang membawa agenda Islamnya dengan lebih berkesan kerana pada ketika itu PAS akan mendapat akses kepada media perdana seperti TV, Radio dan sebagainya. Dalam keadaan itu usaha penerangan dan penjelasan mengenai sistem Islam keseluruhannya dapat disampaikan dengan lebih berkesan sehingga memungkinkan mendapat sokongan seluruh masyarakat Islam.

Ini adalah juga sebab mengapa PAS memilih untuk bersama PR dan bukan UMNO/BN. UMNO/BN ingin mengekalkan kejahilan ummat terhadap sistem perundangan Islam dan kewajipan untuk melaksanakannya. Setiap usaha memperjelaskannya akan dikelirukan oleh UMNO seperti melalui dakwaannya "hudud PAS’ dan sebagainya.

Maka jelaslah bahawa kenyataan-kenyataan seperti di atas TIDAK bermaksudkan penolakan hudud atau lebih tepat lagi sistem perundangan Islam oleh mana-mana pimpinan PAS. Yang dimaksudkan ialah suasana belum lagi mengizinkannya dan ianya seuatu yang perlu terus diusahakan. Ini adalah sama seperti yang disebut DS Presiden berhubung kisah Umar Abdul Aziz (RA) ketika beliau diasak oleh anaknya untuk melaksanakan Islam secara keseluruhannya. Umar Abdul Aziz menjawab, “jangan gopoh wahai anakku. Sesungguhnya Allah menegur minuman arak dua kali di dalam Al-Quran dan mengharamkannya hanya pada kali ketiga. Saya khuatir, sekiranya saya laksanakan Islam keseluruhannya ke atas manusia, manusia menolaknya keseluruhannya dan ini akan merupakan fitnah yang lebih besar”.

4. HANYA ORANG TERTENTU YANG BOLEH BERCAKAP BERHUBUNG AGAMA

Dalam muktamar yang lepas masih ada yang beranggapan bahawa hanya yang berlatar-belakangkan pendididkan agama sahaja yang boleh bercakap mengenai agama. Bagi saya ini satu sikap yang amat malang sekali. Sedar ataupun tidak, ianya merupakan sikap sekular yang ingin mengotak-ngatikkan kehidupan kepada agama dan bukan agama serta mengkhususkan persoalan agama kepada ‘orang agama’ (rijal addiin). Hakikatnya Islam tidak begitu dan sememangnya setiap individu Muslim diwajibkan memperjelaskan sesuatu dari sudut agamanya. Sekiranya dia menyatakan yang benar, maka ianya diterima atas sebab kebenarannya, bukan atas sebab dia adalah ‘seorang ustaz’. Kalau ianya tidak benar maka ianya ditolak atas sebab ketidak-benarannya, bukan atas sebab dia ‘bukan seorang ustaz’.

Saidina Umar Al-Khattab (RA) pernah ditegur seorang wanita biasa berhubung keinginan beliau menghadkan jumlah mahar perkahwinan. Umar tidak bertanya wanita tersebut lulus dari Universiti mana atau apa kelayakannya tetapi menilai hujjahnya dan menerimanya atas sebab ketepatannya. Itulah apa yang dimaksudkan Saidina Ali (KW) apabila beliau berpesan “lihat pada apa yang dikata, jangan kamu lihat pada siapa yang mengatakannya”.

Sikap ‘sekular’ begini turut ingin dikikis oleh DS Presiden melalui Ucapan Dasar yang disampaikannya apabila disebut penolakan terhadap “sistem Theokrasi ala Barat”. Dalam sistem Theokrasi ini, agama adalah urusan ‘rijal addiin’ atau golongan agama dan agama adalah ‘milik’ mereka sahaja. Apa yang dinyatakan oleh golongan ini sebagai tuntutan agama tidak boleh dipertikaikan sesiapa kerana tiada yang berhak mentafsirkan agama kecuali mereka dan golongan seperti mereka. Kafahaman sebegini ditolak Islam di mana sambil mengiktiraf kepakaran dan keilmuan para ulama’, Islam tidak menghalang, malahan menggalakkan manusia Muslim, mengeluarkan pandangan berasaskan kefahamannya untuk diiktiraf atau diperbetulkan berdasarkan hujjah. Sikap “awak tidak layak maka jangan cakap mengenai agama” adalah sikap yang hanya sesuai untuk UMNO. Ianya bertujuan menjauhkan masyarakat biasa dari melibatkan diri dan mengambil tahu ajaran agama kerana ianya bidang ‘rijal addiin’.

5. KEPIMPINAN ULAMA’

Persoalan kepimpinan Ulama’ telah lama diselesaikan oleh PAS. Kepimpinan Ulama’ telah diinstitusikan dalam PAS melalui pindaan Perlembagaan PAS pada tahun 1985. Melalui pindaan ini maka telah ditubuhkan ‘Majlis Syura Ulama’ yang terdiri dari 12 anggota yang ‘aalim dan ditugaskan untuk memantau perjalanan PAS demi menjamin ianya tidak tergelincir dari dasar Islamnya. Semenjak penubuhannya, Majlis Syura Ulama’ telah dirujuk setiap kali ditentukan sesuatu dasar untuk tindakan PAS, termasuk persoalan ‘Tahaluf Siyaasi’ yang sedia diamalkan dewasa ini.

Tugas menentukan apa hukum sesuatu adalah tugas Majlis Syura Ulama’. Tetapi keputusan eksekutif berhubung sesuatu pilihan akan diserahkan kepada Jawatan Kuasa PAS Pusat kerana mereka lebih arif dari sudut eksekutifnya. Sebagai contoh, hukum kerjasama politik dengan parti lain adalah pada dasarnya harus. Ianya adalah ‘harus’ samada berkerjasama dengan PR atau BN. Untuk memilih samada PAS perlu berkerjasama dengan PR atau BN akan dinilai pula dari sudut ‘maslahah’ dan ‘mafsadah’nya. Dalam membuat pilihan ini, mereka yang lebih arif dalam bidang politik dan strategi perlu membuat keputusan. Itulah sebabnya ianya diserahkan kepada AJK PAS Pusat untuk menilainya.

Ini adalah sama seperti kisah Rasulullah (SAW) dan Hubab dalam perang Badr. Hubab menilai dari sudut eksekutifnya, kedudukan manakah lebih ‘maslahah dan mafsadahnya’ dari sudut strategi perang. Pandangan Hubab diterima Rasulullah (SAW) walaupun sudah jelas tiada yang lebih ‘aalim dan wara’ dari Rasulullah sendiri. Ini adalah kerana dari sudut ‘eksekutifnya’ atau perlaksanaannya kepakaran dan keilmuan yang lebih khusus berhubung perlaksanaannya turut diambil kira.

Oleh yang demikian, kefahaman terhadap konsep ‘kepimpinan ulama’ mesti tepat dan betul. Jangan sehingga ianya membawa kepada suatu kefahaman yang mendekati konsep ‘Theokrasi’ yang ditolak Islam.

Dalam konteks ini juga perlu difahami bahawa tiada mana-mana pimpinan dalam PAS yang menolak konsep kepimpinan ulama’ seperti yang dijelaskan di atas. Ianya termaktub di dalam perlembagaan dan semestinya diterima semua yang menjadi ahli PAS. Tetapi apa jua usaha untuk menokok-tambah dan menyelewengkan tafsiran konsep ini akan pasti ditentang sebahagian ahli. Termasuk dalam salah tafsir yang ingin diusahakan sebahagian ahli, tanpa disedari bahawa ianya akan dimanfaatkan oleh pihak lawan, ialah bahawa semua jawatan pimpinan perlu diisi hanya oleh golongan ustadz. Maka, mengikut salah tafsir ini, apabila AJK Pusat dianggotai oleh ramai yang bukan ustadz maka ianya bercanggah dengan konsep kepimpinan ulama’.

Salah faham dan tafsiran sebegini ingin dimanfaatkan oleh orang-orang seperti Hassan Ali apabila beliau menuduh bahawa PAS meminggirkan ulama’ kerana terdapat ramai bukan ustadz di dalam AJK PAS Pusat! Sedangkan yang meminggirkan ulama’ adalah dirinya sendiri kerana menolak apa yang diputuskan Majlis Syura Ulama (MSU) dan kepimpinan PAS yang dipantau MSU! Malangnya ada juga yang termakan dengan dakwaan Hassan Ali bahawa kononnya wujud ‘parasit’ dalam PAS.

Perwakilan PAS memilih AJK PAS Pusat atas dasar keahlian mereka dalam bidang eksekutif atau perlaksanaan. Mereka memilih anggota yang mempunyai berbagai kepakaran untuk meningkatkan kemampuan PAS untuk melaksana pendekatan yang memungkinkan kemenangan PAS dalam usaha dakwahnya dan Pilihan Raya. Ini merupakan apa yang diungkapkan oleh Al-Marhum Ustadz Fadhil Noor sebagai “gabungan profesional dan ulama” dan “memprofessionalkan ulama’ dan mengulama’kan profesional”. Gabungan sebegini apabila di bawah pemantauan MSU dan dipandu Al-Quran dan Sunnah akan menjamin kemenangan PAS pada masa yang akan datang.

Apa sahaja usaha untuk menyempitkan kefahaman konsep ‘kepimpinan ulama’ dengan menganggap bahawa tiada tempat untuk golongan profesional dalam kepimpinan PAS akan merugikan PAS dan membawanya kembali kepada zaman apabila PAS dianggap ‘Parti Pak Lebai’ semata-mata. Ianya akan merupakan satu pengkhianatan terhadap usaha kepimpinan lalu untuk memartabatkan PAS sebagai parti sokongan semasa yang menghargai keilmuan dan kepakaran setiap seseorang individu dan kemampuan kepimpinan yang ada pada diri mereka.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Grand Marquis said…
Saya lihat satu perbezaan antara orang kita dengan orang Arab ialah orang Arab mereka takut bercakap tentang isu agama. Ini kerana mereka takut memperkatakan sesuatu yang salah dalam agama. Ini bukan bererti mereka ni tidak mahu memperkatakan tentang Islam langsung. Tapi mereka tahu had mereka. Apa yang mereka boleh perkatakan dan apa yang mereka tak boleh perkatakan.

Tapi orang kita lain. Orang kita mahu supaya semua orang boleh cakap pasal agama. Dengan ilmu yang ada sikit-sikit mereka mahu berfatwa, mahu supaya orang terima pendapatnya. Baru masuk parti berlabel Islam dah melayakkannya untuk memperkatakan tentang agama. Dah boleh bicara tentang hukum, siapa kafir, siapa tak kafir, siapa pejuang dan siapa bukan.

Takutlah dengan Allah S.W.T. Akhir zaman, sebagaimana yang Nabi S.A.W. telah perkatakan. Akan wujud banyak orang-orang jahil yang akan memperkatakan urusan orang ramai.

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.