Skip to main content

Bacaan Al-Quran sepanjang RamaDhan: Juz 3

Hari ini oleh kerana sudah sedikit ketinggalan dari sudut penulisan, saya sertakan beberapa ayat dari Juz ke 3 dan Juz ke 4. Ini hanya sebagai perkongsian bersama dan supaya kita semua memberi lebih tumpuan kepada apa yang dibaca sambil bertadarrus

“Tidak ada paksaan dalam ugama sesungguhnya telah jelas jalan yang benar dari jalan yang salah. Sesiapa yang kufur terhadap Taghut dan beriman kepada Allah sesungguhnya dia telah berpegang kepada tali yang teguh dan tidak akan putus. Dan Allah mendengar dan mengetahui.”

(Al-Baqarah 256)

Adalah jelas dari ayat ini bahawa Islam TIDAK disebarkan secara paksaan. Ianya merupakan persoalan keyakinan yang dihasilkan dari keterangan risalah. Tugas pendakwah adalah untuk menentukan risalah kebenaran Islam disampaikan secara jelas dari sudut perkataan dan amalan. Maka dengan itu akan terserlah kebenaran Islam.

Inti-pati risalah Islam adalah kebebasan manusia dari menyebah dan mentaati apa sahaja selain dari Allah. Dalam ayat ini ianya digambarkan sebagai persaingan kesetiaan manusia kepada Allah atau sebaliknya, Taghut. ‘Taghut’ datangnya dari kalimah ‘Tagha’ atau melampaui batas. ‘Taghut’ adalah sesiapa yang ingin meletakkan dirinya setanding dengan Allah dari sudut kepatuhan manusia.

Saya masih ingat lagi penerangan yang telah diberi oleh seorang Mufassir semasa saya masih belasan tahun di UK. Menurut beliau; “fasik adalah seseorang yang akui tunduk pada Allah tetapi sering melakukan pelanggaran terhadap perintah Allah. Kafir pula adalah seseorang yang tidak mahu tunduk kepada Allah sambil Taghut adalah seseorang yang bukan sekadar tidak mahu tunduk pada Allah, dia mahu manusia lain tunduk pada dirinya.”

“Syaitan menjanjikan kemiskinan kepadamu dan menyuruh mengerjakan perbuatan keji dan Allah menjanjikan ampunan dan kurniaNya kepada mu….”

(Al-Baqarah 268)

Kekejian dan kemiskinan ialah apa yang akan terhasil sekiranya Syaitan dituruti. Pengampunan dan kurniaan Allah dari kekayaanNya adalah untuk mereka yang yakin dengan janji Allah. Namun, ianya merupakan masalah keyakinan terhadap janji Allah tentang kejayaan di dunia dan di akhirat sekiranya perintahNya diikuti. Oleh itu, keyakinan sebegini, yang akan terhasil dengan bertambahnya ilmu, adalah cabaran buat pendakwah Islam dewasa ini.

“Katakan: Hai Ahlal Kitab, marilah kepada satu perkataan sama antara kami dan kamu; iaitu kita tidak menyembah selain Allah dan tidak menyekutukanNya dan apa-apa jua pun, dan tidak diambil oleh sebahagian dari kita sebahagian yang lain sebagai Tuhan selain Allah….”

(Al-Imran 64)

Ayat ini jelas menunjukkan kaedah dakwah yang diperintah Allah untuk digunapakai oleh Rasulullah (SAW) terhadap Ahlil Kitab. Kaedahnya merupakan kaedah pelawaan serta pujukkan dan mengutamakan persamaan yang wujud sambil menegaskan persoalan tidak mensyirikkan Allah. Masalah dengan Ahlul Kitab ialah mereka mensyirikkan Allah dan persoalan inilah yang ditimbulkan melalui ayat ini walaupun dengan pendekatan yang lembut dan diplomatik.

“Apakah mereka ingin mencari agama selain dari agama Allah, sedangkan apa yang ada di langit dan di bumi tunduk (Islam) kepadaNya samada secara sukarela atau terpaksa dan kepadaNya akan mereka dikembalikan.”

(Al-Imran 83)

Alam semesta tunduk (Islam) dan menyerah kepada Allah, mana mungkin manusia yang kerdil boleh lepas dari kekuasaan Allah? Seluruh cakerawala bergerak dan berpusing mengikut kehendakNya dan begitu juga segala tumbuh-tumbuhan, binatang, ulat serangga dan mikro-organisma yang lain. Semuanya bergerak dan hidup mengikut apa yang telah ditetapkan olehNya. Hanya manusia diberi kebebasan memilih dan bagi yang pilih untuk kufr sekali pun tetap tertakluk kepada takdirNya. Pada masa yang sama, batang tubuh dan kesemua organ dalaman seseorang yang kafir tetap tunduk kepada perintah Allah walaupun dirinya sendiri menolak kekuasaan Allah! Tidakkah perutnya lapar bila tidak makan? Sedangkan ianya perutnya sendiri, tidakkah boleh diperintahnya “wahai perutku, kau milik aku, aku perintahkan kamu supaya jangan lapar!”

Jika perut sendiri pun tunduk pada Allah dengan mengikuti SunnahNya, maka apakah alasan manusia untuk mencari agama yang selain dari agama Allah, iaitu Islam atau serah diri hanya kepadaNya?

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.