Friday, May 4, 2012

Kontroversi Semasa Majlis Pertabalan Agong

Ada yang masih cuba mengadu domba dengan mengada-adakan cerita kononnya Ahli Parlimen PR tidak menghormati Sultan-Sultan Melayu dan Agong semasa majlis pertabalan tempoh hari. Ingin saya ulangi di sini, bahawa saya berada di situ, tidak jauh dari YB Azmin dan YB Tian Chua, tetapi saya tidak dengar apa yang kononnya dikatakan sesama mereka atau apa yang kononnya dikatakan Azmin kepada saya sehingga menyebabkan saya tersenyum lebar. Bagi saya ianya cerita dongeng rekaan golongan yang kehabisan modal.

Pada masa yang sama, ada beberapa kenyataan yang membuat saya menganggap orang yang menuduh sebenarnya tidak hadir pada hari itu! Sekadar membuat tuduhan yang berniat jahat. Di antara kenyataan-kenyataan yang menimbulkan kesangsian saya adalah seperti berikut:

Pertama, beliau mengatakan bahawa beliau duduk di depan barisan ahli Parlimen Pembangkang. Hakikatnya tiada barisan untuk Ahli Parlimen pembangkang, sebaliknya kami duduk berselang-seli dengan Ahli Parlimen BN! Yang jelas YB Tian Chua duduk di hadapan barisan YB Azmin. YB Azmin pula duduk di sebelah YB Mohd Zin BN Sepang. Sepertimana juga YB Dr Siti Mariah yang duduk di belakang barisan YB Azmin. Di sebelah beliau adalah YB Tajuddin BN Pasir Salak. Dalam keadaan sebegitu tidak mungkin apa yang dituduh benar-benar berlaku lebih-lebih lagi apabila maklumat yang diberikan oleh si pelapor jelas tidak betul.

Kedua, dikatakan bahawa Azmin menyebut bahawa Sultan Kelantan berjalan terlalu pantas dan tidak terkejar TG Nik Aziz. Kononnya mendengar komen tersebut, saya tersenyum lebar. Pertama saya tidak dengar pun sesiapa mengeluarkan kata-kata sebegitu. Kedua, saya memang sentiasa senyum dan senyuman saya memang lebar! Ketiga, dan ini lebih penting, Sultan Kelantan tidak masuk diiringi Menteri Besarnya pada hari itu, maka tidak timbul persoalan TG Nik Aziz perlu mengejar Baginda Sultan!

Inilah yang menyebabkan saya merasa sangsi samada Doktor berkenaan benar-benar hadir atau hanya satu cerita yang direka. Walau apa pun, bagi saya, ini semua adalah bukti bahawa UMNO sudah ketandusan modal sehingga terpaksa mengada-adakan cerita dogeng.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

No comments: