Skip to main content

Persoalan ‘Ancaman Kristianisasi’ dan Gejala Murtad

Sejak kebelakangan ini, kedengaran isu ‘ancaman Kristianisasi’ ingin ditonjolkan oleh pihak yang berkepentingan sebagai sesuatu yang sedang melanda ummat Islam, khususnya Negeri Selangor. Walaupun ianya tidak disebut secara terang-terangan, tetapi semua memahami mesej yang cuba disampaikan oleh golongan ‘kontraktor upahan UMNO ini, iaitu di bawah PR, aqeedah ummat Islam terancam dan orang Kristian ‘bermaharajalela’!

Bagi saya ini adalah bukti tambahan yang mengukuhkan keyakinan saya bahawa BN dan khususnya UMNO ketandusan isu. Seperti dakwaan mereka bahawa DSAI menyokong pembunuhan rakyat Palestine demi menjamin keselamatan Israel, ‘ancaman Kristianisasi’ merupakan satu lagi ‘kisah dogeng’ untuk memukul PR. Sedangkan rakyat, khususnya yang di Selangor, dapat melihat sendiri realiti yang berbeza di persekitaran mereka. Masjid dan Surau semakin diimarahkan, bukan semakin sunyi. Para ustadz semakin disanjung dan dihormati, bukan semakin dipinggirkan. Sekolah-sekolah dan tadika Islam semakin dipenuhi murid dan bukan semakin lengang. Malahan, para pemimpin turut kelihatan semakin berakhlak, bukan semakin sombong dan angkuh, tenggelam dalam kemewahan.

Namun, bagi yang tidak mempercayai apa yang dilihat di persekitaran mereka sendiri, maka saya pamerkan bersama jawapan Menteri BN sendiri ke atas soalan yang dikemukakan oleh YB Parit Buntar berhubung statistik murtad di Negara Malaysia.




Jelas terbukti, jawapan yang diberikan oleh YB Menteri adalah:

“Tidak ada penganut agama Islam yang telah murtad berdasarkan tiada jenis permohonan untuk murtad di Mahkamah Syariah, kecuali… (sila baca yang seterusnya)”.

Ini bererti segala dakwaan bahawa ‘gejala murtad’ sedang melanda negara Malaysia, khususnya murtad dalam erti kata orang Islam yang keluar Islam demi memeluk agama Kristian, adalah satu dakwaan yang tidak berasas kepada mana-mana fakta atau perangkaan statistik yang boleh diyakini. Ianya hanya satu dakwaan yang sengaja dihebohkan oleh golongan yang berkepentingan dan tidak berakhlak demi masa depan politik mereka.

ANCAMAN MURTAD YANG SEBENAR
Walaupun begitu, saya tidak menafikan bahawa ummat Islam sememangnya diancam bahaya murtad. Tetapi ianya suatu bahaya yang dihasilkan kejahilan ummat Islam terhadap Islam itu sendiri dalam memahami perkara-perkara yang boleh membatalkan syahadah mereka. Dan di antara perkara yang termasuk di dalam perkara yang boleh membatalkan syahadah itu adalah penolakan hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah sebagai hukum-hukum yang zalim atau ketinggalan zaman.

Bahaya murtad yang terhasil dengan cara ini adalah lebih bahaya kerana seseorang individu terus menganggap dirinya seorang Muslim tetapi pada hakikatnya namanya telah digugurkan oleh Allah dari senarai orang yang beriman, Naudzubillahi min dzalik. Ini berlaku kerana dia tidak mengimani bahawa Islam dan segala yang terkandung di dalam ajarannya adalah dari Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

Ada juga yang menganggap dirinya Muslim walaupun dia tidak sembahyang atau puasa atau membayar zakat. Ini adalah kerana dia Melayu dan Melayu itu adalah Islam mengikut perlembagaan Malaysia. Golongan ini seolah-olah tidak sedar bahawa Perlembagaan Malaysia bukan merupakan rujukannya pada hari akhirat kelak! Kejahilannya ditambahi lagi oleh pihak UMNO yang ingin memperkukuhkan kedududkan politik mereka dengan menyamakan Islam dengan Melayu. Maka diistiharkan perjuangan untuk Melayu adalah perjuangan untuk Islam! Sedangkan untuk menjadi Melayu dan bersama ‘perjuangan Melayu’ tidak dijadikan solat, puasa dan sebagainya sebagai rukun-rukunnya. Apatah lagi mengimani kitab-kitab Allah dan Hari akhirat. Seorang Melayu tetap Melayu walaupun dia menolak perkara ini semua!

Bahaya murtad yang sebegini, yang jauh lebih ramai terancam olehnya, hasil pengaruh UMNO, adalah apa yang ingin ditangani oleh PAS.

DATO DR. HASSAN ALI DAN ISU MURTAD
Ada yang bertanyakan saya sejauhmana DHA ikhlas dalam menangani isu murtad. Saya menjawab, keikhlasan adalah merupakan soal hati dan oleh itu sukar untuk diukur kerana ianya sesuatu yang ghaib. Namun, apa yang boleh saya nyatakan ialah begini: sejak beliau memegang jawatan sebagai Pesuruh Jaya PAS Negeri Selangor pada tahun 2003 sehingga 2011, termasuk tempoh beliau sebagai exco-agama dari 2008 hingga 2011, isu murtad telah dibahas dan dibincang begitu kerap dan hangat sekali sebanyak ‘yiiiilek’ ribu dan ‘yiiilek’ ratus ‘yiiilek’ kali banyaknya. Jelas ianya sejak dulu lagi menjadi tajuk kegemaranya yang tidak dibincang.

Kalau dilihat dari turutan kronologinya, ianya hanya mula dibincang selepas beliau tidak lagi dilantik Pesuruh Jaya PAS Negeri Selangor pada tahun 2011. Ia mula disebut oleh beliau hasil peristiwa tindakan penguatkuasa JAIS menceroboh masuk kawasan DUMC pada Ogos 2011. Pada ketika peristiwa pencerobohan itu berlaku, beliau sendiri mengakui beliau tidak dimaklumkan dan hanya mendapat maklumat mengenainya pada pagi esok ketika bersahur apabila YB Eli menghantar sms kepada beliau.
Apabila ditanya Pengarah JAIS sendiri pada jam 9 lebih pada pagi tersebut, Pengarah JAIS juga memaklumkan beliau juga tidak mengetahui mengapa ianya dilakukan; dan semua pihak terpaksa menunggu pasukan penguat-kuasa kembali untuk memberi penerangan mengenai tindakan tersebut.

Apabila semua keterangan telah diterima, termasuk dari pihak NGO dan Gereja yang terlibat, maka terbukti bahawa dakwaan pihak penguatkuasa JAIS bahawa adanya usaha memurtadkan orang Islam dalam majlis tersebut adalah dakwaan yang tidak mempunyai bukti yang kukuh. Maka keluarlah titah Baginda, “bukti tidak mencukupi untuk menyabit kesalahan…”. Titah berkenaan turut mengandungi kenyataan bahawa usaha memurtadkan memang dijalankan walaupun pada asalnya diakui bukti tidak mencukupi untuk mengesahkan dakwaan tersebut. Ini bagi saya merupakan sejenis amaran yang dikemukakan pihak Tuanku untuk menentukan tiada usaha oleh mana-mana golongan ke arah itu.

Walau apa pun, isu ini telah dimanfaatkan oleh DHA untuk memukul PAS supaya beliau dikeluarkan dari PAS dan atas isu ini beliau sedang mencari pengaruh untuk menjamin PAS kalah teruk dalam PRU ke 13. Sekiranya ini tercapai maka pada hari itu akan dikatakannya kepada PAS, “padan muka kerana tidak menghargai kehebatan diri saya!” Maka pada hari itu akan terbuktilah kehebatan dirinya dan dengan itu dia akan terus disanjung oleh UMNO dan diberikan jawatan yang bersesuaian dengan kehebatan dirinya. Mungkin inilah yang beliau hajatkan.

Sebenarnya, bukti yang dikemukakan di rumahnya tempoh hari tidak ada apa-apa. Kalau ingin dilihat dari sudut kekukuhan bukti, ianya tidak bernilai sama sekali. Siapa sahaja mampu membuat video yang sebegitu dan hakikat bahawa ianya tidak dibenarkan untuk disalin dan sebagainya amat meragukan. Sekiranya ianya adalah atas alasan ‘keselamatan’, lagi baik tidak dibuat Sidang Akhbar kalau begitu. Serahkan sahaja kepada pihak berwajib dan biar mereka siasat dan dakwa pihak yang bersalah. Jamil Khir di dalam Parlimen telah mengesahkan kes sebegini sudah boleh didakwa di Mahkamah Sivil, maka apa masalahnya?

Masalahnya ialah isu Kristianisasi ini hendak dipolitikkan dan walaupun status persoalan ini tiada apa-apa perbezaan sejak dulu lagi, ia ingin disensasikan oleh DHA untuk tujuan politik beliau. Maka biarlah beliau terjun dengan labu-labunya. Pada masa yang sama, PAS akan terus membenteras gejala murtad dalam ertikata sebenar melalui usaha meningkatkan kefahaman ummat Islam dan perasaan cintakan Islam di kalangan masyarakat, khususnya orang Islam.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

mahaza said…
Isu murtad ini amat banyak. Jika layari FB remaj-remaja ramai yang samada sedari atau tidak murtad akbat perbuatan ataupun perkataan. Murtad sebegini seharusnya kita lebih gusarkan kerana ianya tidak disedari oleh ibubapa dan masyarakat. Murtad = Kristianisasi? Hadith : Pasti kamu (umat kemudian) akan mengikut jejak langkah orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sehingga kalaulah mereka masuk ke dalam lubang biawak sekalipun kamu pasti akan mengikutinya.
Bukan masuk agama mereka... mana yang harus kita beri tumpuan?
Grand Marquis said…
Pertama, kata YB
penolakan hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah sebagai hukum-hukum yang zalim atau ketinggalan zaman.

Setahu saya, ada seorang yang sangat terkenal di Malaysia yang pergi ke BBC dan kata hukum homosek ni hukum yang lapuk. Siapa ye? Lepas tu anak perempuan dia turut kata benda yang sama. Jadi kenapa YB tak tujukan kenyataan ini pada kedua anak beranak ni?

Kedua, YB selalu mengemukakan isu DUMC untuk belasah DHA. Apa yang saya lihat YB asyik dok ulang ialah PENCEROBOHAN JAIS keatas DUMC. Tapi saya tidak pernah lagi tengok YB sebut tentang apa yang berlaku dalam DUMC. Video apa yang berlaku dalam DUMC sudah tersebar dan saya yakin ramai orang sudah nampak. Pertama kali dalam sejarah Malaysia kita dengar ceramah dari seorang melayu yang mempersenda-sendakan Al-Quran dan bunyi ceramahnya seolah-olah seperti "Mengapa saya keluar dari Islam". Ada YB dan mana-mana pembaca nak nafikan? Adakah YB rasa orang yang buat ucapan sebegitu murtad atau tidak?

Tapi saya lihat YB seperti cuba menengelamkan isu tersebut dan apa yang cuba di utamakan ialah JAIS menceroboh DUMC. Sama ada DHA tahu tak tahu, itu tidak penting, tapi hakikatnya ialah aktiviti dalam DUMC itu terbukti meragukan dan kenapa JAIS bertindak? Adakah JAIS mendapat ilham untuk serbu DUMC? Dah tentu tidak. Jadi sudah pasti JAIS bertindak berdasarkan laporan dari orang yang mempunyai maklumat. Di Malaysia ada beribu-ribu gereja, kenapa JAIS hanya serbu DUMC dan bukan gereja lain? Jadi tindakan YB asyik menghentam JAIS jelas adalah prejudis diri anda sendiri dan sikap YB yang mengutamakan orang Kafir, selain dari memperalatkan isu tersebut untuk menghentam UMNO, sedangkan isu itu tiada kena mengena dengan UMNO dan dalam JAIS sendiri ada ramai orang PAS.

Kalau YB kata Jais ceroboh gereja, kenapa YB tidak kata DUMC itu mencerobohi hak orang Islam di Malaysia yang mana orang bukan Islam tidak boleh mendakyahkan agamanya pada orang Islam? Kalau mereka tidak menghormati undang-undang di negara orang Islam, apakah kita perlu menghormati hak mereka?

Apa yang saya boleh simpulkan ialah sikap YB sangat double standard dalam hal ini dan YB memperalatkan isu DUMC untuk kepentingan peribadi YB supaya YB kelihatan seperti seorang wakil rakyat yang sangat liberal dari kaca mata orang bukan Islam, dan dalam masa yang sama menjadikan ia sebagai isu untuk menghentam UMNO dan DHA yang menjadi seteru politik anda.
Supar Yop said…
Saya setuju sangat2 dgn pendapat Grand Marquis di atas. Khalid Samad adalah lambang keceramukan dalam Pas sekarang yg dah hilang imej keislamanya lepas PRU12,.Khalid adalah umpama parasit yg akan menghancurkan PAS dari dalam dan sedang diredhokan oleh kepimpinan PAS yg sudah dipengaruhi elemen2 Anwarism

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.