Skip to main content

Jawatan Kuasa Pilihan Parlimen: Pilihan Raya Bersih

Pembentangan laporan Jawatan kuasa pilihan Parlimen (PSC) berhubung Pilihan Raya yang bersih tempoh hari telah menyaksikan suasana yang kecoh dan kucar-kacir di dalam Dewan Rakyat.

LAPORAN MINORITI
Ini berlaku pada dasarnya oleh kerana pihak Jawatan kuasa telah dari awal lagi menolak permohonan wakil pembangkang yang menyertai Jawatan kuasa tersebut untuk memasukkan ‘laporan minoriti’ sebagai sebahagian dari laporan tersebut. Apabila persoalan ini telah ditolak oleh pihak Jawatan kuasa, maka apabila laporan ini dibawa ke pihak Dewan, maka permohonan yang sama telah sekali lagi dikemukakan, tetapi kali ini di peringkat dewan.

Apabila permohonan ini dikemukakan di peringkat dewan, maka Speaker, yang kelihatan bersedia untuk berhadapan dengan permohonan ini dengan membawa beberapa buku rujukan, telah menolak permohonan tersebut. Beliau membaca dari salah satu buku rujukannya, secara kuat, ayat yang bermaksud, “berhubung dengan laporan minoriti, maka tiada tempat baginya di dalam laporan mana-mana JK Parlimen…” Pada masa yang sama, tuan Speaker, sambil menggelar dirinya sebagai ‘speaker kampung’, menyebut ‘sanggup dimaklumkan sebaliknya sekiranya mana-mana ahli Parlimen dapat mengemukakan bukti bahawa ada wujudnya ‘precedent’ atau ‘amalan yang telah diguna-pakai’ di mana-mana Parlimen Komanwel yang membenarkan ‘minoriti report’.

ISU PRECEDENTS
Sebaik sahaja beliau menamatkan ayat tersebut, maka Ahli Parlimen Tumpat bangun dan membaca dari komputernya kes laporan minoriti yang telah diterima untuk dimuatkan dalam laporan utama di Parlimen Jamaica. Seterusnya, Ahli Parlimen Subang telah bangun menyatakan wujudnya kes laporan minoriti di Parlimen England. Seterusnya disambung pula oleh Ahli Parlimen Kuala Selangor yang mengisahkan adanya laporan minoriti di Parlimen New Zealand.

Berhadapan dengan maklumat ‘precedents’ yang bertalu sedemikian rupa, maka Speaker mengguna pula kuasa muktamadnya berdasarkan peraturan Parlimen untuk terus menolak laporan minoriti tersebut. Pada ketika itu, dewan menjadi riuh dan Speaker sukar mengawalnya. Dalam suasana sedemikian Speaker meminta YB Kinabatangan memulakan perbahasan walaupun dibantah oleh Ahli Parlimen PR. Apabila YB Kinabatangan akhirnya memulakan perbahasannya berhubung laporan PSC ini, maka waktu pun telah tepat jam satu tengah hari dan Speaker menamatkan sesi untuk dimulakan kembali selepas waktu rehat pada jam 2.30 tengah hari.

GOMBAK, SUBANG DAN K. SELANGOR DIHALAU KELUAR
Pada jam 2.30 tengah hari, dewan dimulakan kembali dengan Timbalan Speaker mempengerusikan sidang. Beliau meminta YB Kinabatangan meneruskan perbahasannya. Sambil membahas, YB Gombak meminta laluan dan YB Kinabatangan membenarkannya. Pada masa itu, YB Subang dan YB Kuala Selangor pun berdiri mengharapkan laluan diberi kepada mereka selepas YB Gombak.

Tiba-tiba dan tanpa apa-apa sebab atau amaran, Speaker terus masuk ke dewan dan menggantikan Timbalan Speaker. Setelah menggantikan Timbalan Speaker, secara segera Speaker mengarahkan supaya YB Gombak, YB Subang dan YB Kuala Selangor keluar dari dewan. Dewan menjadi bertambah riuh dengan Ahli Parlimen PR semuanya melaungkan “jangan keluar, jangan keluar” sebagai desakan kepada ketiga-tiga Ahli Parlimen PR supaya jangan ikut arahan Speaker yang diberinya dalam keadaan tergesa-gesa. Seterusnya laungan jangan keluar berubah menjadi “tinggalkan kerusi mu” yang ditujukan kepada Speaker yang kelihatan begitu tidak adil. Setelah terbukti tersilap dalam member hujjahnya berhubung "minority report”, sekarang ingin pula mengusir Ahli Parlimen PR walaupun mereka sedang berbahas dengan mengikut peraturan.

LAPORAN DILULUSKAN TANPA BAHAS!
Dalam suasana kelam kelibut sebegitu, Speaker terus memandang kepada Menteri dan meminta Menteri menggulung. Dalam ertikata lain, perbahasan ditamatkan!

Menteri menggulung dan selepas hanya tidak sampai 2 minit, Menteri pun duduk dan Speaker meminta undian suara dibuat dengan mengatakan “siapa setuju katakan setuju” dan Ahli Parlimen BN kesemuanya pun berkata “setuju” yang berbunyi macam “Mooooo” dalam suasana kecoh dewan pada ketika itu dan laporan tersebut diluluskan. Speaker mengakhirkan sidang untuk disambung esoknya dan beliau di’boo’ oleh Ahli Parlimen PR.

ISU-ISU PENTING YANG DIABAIKAN LAPORAN PSC
Di antara isu-isu terpenting yang diabaikan ialah kebersihan daftar pemilih itu sendiri. Daftar pemilih semestinya bebas dari sebarang unsur penipuan dan pengundi yang tidak sah. Hakikatnya perbahasan di peringkat jawatan kuasa sendiri telah mendedahkan, dengan pengakuan dan persetujuan SPR, bahawa terdapat lebih kurang 42,000 penama, yang mempunyai Kad Pengenalan tetapi tidak terdapat di dalam rekod JPN! Sedangkan JPN adalah pihak yang mengeluarkan kad pengenalan, maka sekiranya tiada dalam rekod mereka, maka ini bererti ianya kad pengenalan palsu dan pemegang-pemegangnya sepatutnya ditahan untuk disoal siasat supaya sindiket kad pengenalan palsu boleh ditumpas! Ini soal keselamatan dan sekuriti Negara!

Anehnya, SPR hanya menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan nama-nama tersebut dan berpuas hati dengan keadaan sedemikian rupa.

Begitu juga dengan persoalan pemberian kad pengenalan dan status pengundi kepada orang asing. Ini, menurut YB Pokok Sena dilakukan oleh satu task force yang melibatkan SPR, JPN dan MKN! UMNO berusaha untuk mengekalkan kuasa dan menafikan hak rakyat menentukan pemimpin mereka dengan memberikan kewarganegaraan dan hak mengundi kepada rakyat asing! Ini bukan dilakukan untuk selamatkan Melayu tetapi untuk menyelamatkan UMNO semata-mata. Ini merupakan pengkhianatan tahap tertinggi di dalam sesebuah Negara. Persoalan ini turut tidak dibahas dan diabaikan oleh Laporan PSC.

Begitu juga dengan persoalan undi POS dan bagaimana pihak SPR telah menyatakan keinginan mereka untuk meletakkan petugas mereka dan pihak media sebagai pengundi POS di mana jumlahnya dikatakan seramai 240,000 orang! Ini juga usaha untuk menipu rakyat dan menafikan mereka hak untuk membersihkan kerajaan dari unsur korup BN!

Untuk meringkaskan cerita, Laporan PSC ini telah gagal mengembalikan kredibiliti kepada proses PRU yang ingin dijalankan tidak lama lagi. Akibat dari ini, BERSIH 3.0 akan dianjurkan pada 28 April di Dataran Merdeka Kuala Lumpur.

HUJJAH JOHOR BHARU
YB Johor Bharu ada mengatakan bahawa beliau telah lawan sebagai bebas pada tahun 1987 dan beliau menang. Itu menurut beliau lagi adalah bukti supaya pembangkang tidak perlu gusar, sebaliknya hanya perlu berusaha dan bertawakkal serta serahkan kepada pengundi.

Tetapi, semasa YB Johor Bharu bertanding semula, ianya Pilihan raya kecil disebabkan beliau meletakkan jawatan. Daftar pengundi pun tidak sempat diubah suai oleh Dr M. Lagipun beliau bertanding hanya seorang diri; kalau BN hilang kerusi pun, hanya satu kerusi. Dalam kes PRU, ianya dijalankan di seluruh Negara. Kalau BN kalah, yang terbang bukan hanya satu kerusi tetapi negeri dan Negara! Itulah sebabnya dengan masa, kuasa dan jentera yang ada pada BN, mereka sedang memanipulasi daftar pengundi untuk menipu rakyat dan merampas kerajaan melalui jalan yang tidak bermoral dan amat jelek sekali.

HUJJAH REMBAU
Sebagai penutup, hujjah YB Rembau adalah yang terbaik untuk mendedahkan sikap BN dalam persoalan ini. Beliau bagaikan berkata, “Daftar pemilih kotor? So what!” dengan menyandarkan hujjahnya pada dakwaan bahawa daftar pemilih negara-negara seperti US dan UK juga turut tidak bersih! Maknanya kalau kita nampak sesuatu yang tidak betul sekalipun dan sudah sah pengundi hantu sekalipun, biarkanlah sahaja kerana ianya perkara biasa, semua negara begitu.

Hahaha...!! saya pun tidak pasti apakah gelaran lepasan Oxford dewasa ini? Adakah ianya ‘Ox’ ataupun ‘Oxen’?? Sesuai sangatlah beliau membela Kak Ijat yang turut membawa gelaran yang sama.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.