Skip to main content

Corat Coret November 2011

Sekali lagi saya hanya mampu membuat beberapa coretan berhubung isu-isu semasa kerana sibuk menghadiri sidang Parlimen pada hari biasa dan ke luar kawasan untuk berceramah pada hujung minggu. Kesibukan berceramah ini sedikit sebanyak adalah disebabkan banyaknya isu yang timbul sehingga setiap kawasan memohon penjelasan. Ini menyebabkan saya kurang masa untuk menulis. Oleh itu, penjelasan yang saya sampaikan melalui ceramah-ceramah tersebut saya sampaikan juga melalui blog secara ringkas pada hari ini agar dapat dikongsi bersama.

HIMPUN
Perhimpunan Sejuta Ummat telah diadakan pada 22 Oktober yang lalu dan sepertimana yang sedia maklum, PAS tidak menyertainya. Sebabnya adalah jelas kerana ketidak sesuaian pendekatan yang dibawa oleh program tersebut. Ianya pendekatan adu-domba yang jelas bertujuan untuk melagakan orang Islam dan yang bukan Islam.

Hakikatnya, sekiranya ada yang melakukan kesalahan, maka yang melakukannya sahaja perlu didakwa, bukan seluruh ummat Kristian dalam kes ini. Pada masa yang sama, sekiranya bukti tidak mencukupi untuk menyabit kesalahan, maka bagaimana kita boleh menjatuhkan hukum bahawa mereka bersalah?

Kaedah dakwah yang perlu dilaksanakan oleh ummat Islam adalah kaedah yang memperlihatkan kemampuan Islam untuk membina penyatuan atas dasar keadilan yang dijamin oleh Islam untuk semua. Bukan dengan berusaha menghasilkan perpecahan. Saya tertarik dengan tajuk “UMNO mengusahakan pecah belah dan PAS mengusahakan perpaduan” yang telah disebut oleh seorang penulis di blog apabila mengulas program ini.

PAS melihat program ini mempunyai agenda politik tertentu iaitu untuk memecah-belah sokongan terhadap kerajaan PR dengan menimbulkan isu Kristianisasi sebagai ancaman terbesar yang sedasg dihadapi oleh ummat Islam di Selangor. Ianya merupakan taktik 'pecah dan perintah' yang biasa digunakan oleh penjajah British pada zaman penjajah dahulu. Dengan melagakan ummat Islam dengan ummat bukan Islam, khususnya ummat Kristian, maka sokongan terhadap PR yang terdiri dari ummat Islam dan bukan Islam, akan berbelah bagi. Apabila bertelagah, mereka tidak akan dapat bersama dalam usaha menolak BN.

Melalui strategi ini, orang Islam diharap akan lari kembali kepada BN kerana persepsinya adalah Kristianisasi berjalan dengan lancar di bawah naungan PR di Selangor. Sebahagian orang Kristian pula akan kembali ke BN atas sebab semasa BN memerintah, mereka tidak diasak atau diserang seperti apa yang berlaku pada masa ini.

Dengan tidak terlibatnya PAS dalam program tersebut, maka ketegangan yang diharapkan tidak berjaya diwujudkan dan dengan itu, matlamat yang tersirat tidak kecapaian. Kesatuan rakyat, yang beragama Islam dan yang bukan Islam, dapat dikekalkan untuk sama-sama menolak BN pada PRU ke 13.

BAJET
Bajet telah dibentangkan oleh Perdana Menteri dan semua jelas bahawa ianya merupakan bajet defisit sebanyak RM46 Billion. Ianya merupakan bajet defisit yang ke 14 secara berturut turut dan beban hutang Negara sedang mengembung. Pada Ogos 2011 hutang Negara disebut sebagai RM 432 Billion. Pada hujung tahun ia mungkin meningkat kepada RM 453 Billion. Dengan bajet defisit yang dibentangkan, maka hutang Negara pasti akan mencecah RM 500 Billion pada hujung 2012. berdasarkan prestasi kerajaan sebegini, ada yang meramalkan bahawa pada tahun 2020, hutang Negara akan mencecah RM 1 Trillion!

Dengan meningkatnya hutang Negara, maka jumlah bayaran untuk servis pinjaman akan turut naik. Pada tahun 2010 ianya RM 20 Billion setahun. Mungkin pada 2011 ianya akan menjadi 24 Billion dan seterusnya ianya akan naik dengan naiknya hutang. Ini bererti bahawa jumlah baki bajet yang boleh digunakan akan semakin berkurangan kerana semakin banyak digunakan untuk servis hutang.

Ini menjadi semakin rumit apabila pendapatan Negara mungkin tidak mampu dinaikkan lagi dan berpotensi untuk menurun. Ini adalah kerana 40% pendapatan Negara adalah dari minyak dan gas. Kita semua memahami sumber pendapatan ini semakin berkurangan dan akan habis dalam masa beberapa tahun. Hingga hari ini, pihak kerajaan tidak mampu menghasilkan sumber pendapatan baru untuk menggantikan minyak dan gas. Akhirnya, sekiranya pendapatan berkurangan dan jumlah servis hutang semakin meningkat, sudah pasti ekonomi negara akan terjejas.

Bajet 2012 tidak mengambil indah kekhuatiran ini semua. Ia hanya mengambil kira hakikat bahawa pilihan raya semakin hampir. Maka persoalan-persoalan utama sesebuah bajet, seperti cara-cara menangani masalah inflasi, penghasilan sumber pendapatan baru, pengagihan kekayaan negara dan penghasilan pekerjaan untuk rakyat tidak ditangani dengan baik. Sebaliknya yang sekadar mampu difikirkan oleh pihak kerajaan adalah pemberian-pemberian berbentuk sekali sahaja (one-off) untuk menggula-gulakan rakyat.

Persoalan hutang yang semakin mengembung turut dipandang remeh dan sebagai sesuatu yang biasa. Walaupun tahap hutang sudah mencecah 53% dari KDNK. Akta pinjaman Negara menghadkan jumlah hutang Negara tidak boleh melebihi 55% dari KDNK dan sudah pasti Akta ini akan dipinda oleh BN pada masa akan datang kerana had ini akan dibolosi pada tahun 2012. Ini memberikan gambaran bahawa hutang Negara sudah tidak dapat dikawal atau 'out of control' sehingga terpaksa melanggar panduan yang telah ditetapkan dan dipersetujui pihak kerajaan sendiri.

Pokoknya, suasana ini amat membimbangkan. Pengurusan baru yang lebih profesional, telus dan lebih bertanggung-jawaban amat diperlukan. Keadaan pengurusan kekayaan negara amat berbeza apabila dibandingkan kaedah yang jauh lebih baik yang dilaksanakan di peringkat Negeri-negeri PR. Saya yakin, inilah corak pengurusan yang diperlukan di peringkat Nasional untuk mengelak kerosakan yang semakin meningkat.

LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA
Laporan Ketua Audit Negara telah diedarkan agak lewat tahun ini oleh pihak kerajaan. Ianya hanya diedarkan selepas selesai perbahasan bajet diperingkat dasar. Oleh itu Ahli Parlimen tidak boleh merujuk kepadanya semasa membahas bajet dan ini semestinya merupakan sesuatu kekurangan. Banyak fakta dan angka berhubung prestasi dan pencapaian kerajaan pada 2010 tidak dapat diketahui secara tepat oleh semua Ahli Parlimen. Oleh itu ianya tidak dapat dikemukakan semasa perbahasan.

Jelas dari laporan Ketua Audit Negara bahawa masalah pengurusan kewangan secara berkesan masih tidak dapat dilaksanakan oleh kerajaan BN. Persoalan penyelewengan, ketirisan dan pembaziran masih kekal dalam pentadbiran Persekutuan. Kesemua kes yang dikemukakan di dalam laporan Ketua Audit Negara sudah menjadi pengetahuan umum, termasuk persoalan pembelian 23 ekor kuda yang akhirnya tidak langsung disertakan dalam pertandingan. Begitu juga pembelian barangan yang akhirnya hanya disimpan dalam setor dan juga pembelian barangan dengan harga yang jauh lebih mahal dari harga sebenarnya telah menjadi sebahagian dari budaya kerajaan BN. Kebelakangan ini, isu Fidlot Nasional juga menjadi tajuk perbincangan hangat di semua peringkat masyarakat.

Ini jelas membuktikan bahawa pengurusan kewangan negara tetap merupakan masalah yang tidak lagi mampu di atasi sehingga negara mengalami kerugian beratus juta dan mungkin juga berbillion ringgit.

Pada masa yang sama, rekod menunjukkan prestasi kerajaan negeri di bawah PR adalah jauh lebih cemerlang. Ini seharusnya mampu menidakkan tanggapan bahawa hanya BN sahaja mampu memerintah.

ISU FIDLOT NASIONAL
Projek Fidlot Nasional merupakan bukti ketidak-telusan dan ketidak-cekapan pengurusan wang negara. Jawapan TPM dan mantan PM berhubung persoalan ini jelas ingin memeperbodohkan rakyat. Hakikatnya wang rakyat telah diselewengkan oleh suami dan keluarga Shahrizat setelah mendapat projek ini. Rakyat yang bijak berasa yakin bahawa Shahrizat berperanan dalam menentukan projek itu diberi kepada suaminya dan juga cara bagaimana wang itu diserahkan tanpa kawalan yang ketat sepertimana yang sepatutnya. Wang dikeluarkan dan projek tidak dilaksanakan dengan sepatutnya sehingga kondominium mewah bernilai RM 9 Juta dibeli serta perbelanjaan RM 800 Ribu dibelanjakan semasa bercuti bersama keluarga.

Begitu juga, usaha membela Shahrizat oleh Khairy menjadi bahan ketawa masyarakat umum. Kelihatan jelas bahawa amalan menggunakan wang yang diberikan untuk tujuan tertentu digunakan untuk tujuan yang lain adalah sesuatu yang lumrah dalam amalan BN. Maka tidak hairanlah mengapa begitu banyak projek gagal, terbengkalai dan memerlukan bajet tambahan disebabkan amalan yang menjadi kebiasaan ini.

Projek Fidlot ini merupakan projek yang bertujuan menjaga kepentingan negara dari sudut bekalan daging dan juga membantu memajukan usaha penternakan di kalangan penternak tempatan. Malangnya wang tersebut diselewengkan dan matlamat yang dinyatakan tidak kecapaian. Perkara sebegini sudah tidak lagi mengejutkan banyak pihak termasuk saya, kerana ia sudah menjadi sesuatu kebiasaan di bawah pentadbiran BN.

LAWATAN KE GAZA
Malam ini, 17 Nobember, saya bersama YB Kota Raja dan YB Rantau Panjang akan bertolak ke Kaherah. Selepas itu kami akan bertolak ke Gaza melalui pintu Raffah bersama 25 lagi Ahli Parlimen dari Eropah, Asia dan Afrika. Rombongan ini adalah merupakan rombongan anjuran sebuah NGO yang berpejabat di Brussels. Ia bertujuan untuk menjalinkan hubungan yang lebih kukuh di antara Ahli Parlimen Palestine, khususnya Gaza dan Ahli Parlimen dari negara lain. Ia juga bertujuan untuk menzahirkan sokongan dunia terhadap rakyat Palestine yang terus kekal hidup di bawah pemerintahan rejim Zionis Israel yang zalim.



insyaAllah kami akan berada di Gaza selama 3 hari 2 malam dan bakinya di Mesir. Pilihan Raya Mesir sedang berjalan sekarang dan hari mengundinya adalah pada 28 November yang akan datang. Walaupun kami tidak sempat untuk menyaksikan hari mengundi, namun saya yakin, suasana Pilihan Raya dapat disaksikan dan diikuti dengan lebih rapat lagi semasa kami di sana. Mungkin ada yang dapat kita pelajari dari ‘The Arab Spring”.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Sekolah Bahagia said…
Saudara YB Khalid.. satu kupasan yang menarik dan berilmiah. Saya bersetuju dengan pandangan YB.

Artikel YB, 'Secawan Kopi bersama YB Khalid Samad' juga adalah kupusan yang menarik juga. Semoga perjuangan YB ke arah pembentukan negara kebajikan Islam yang bertolenrasi dan dinamik akan berjaya.

Sesungguhnya Islam tidak disebarkan dan dikuatkuasakan dengan kekerasan serta paksaan. Islam ditegakkan dengan hujah dan perdebatan yang sihat.

Popular posts from this blog

Berakhirnya Drama RUU 355?

Drama perlaksanaan sistem perundangan Islam yang mengambil bentuk usul persendirian YB Marang berhubung Akta 355 kelihatan menghampiri adegan penamatnya. Pada peringkat kesudahannya UMNO/BN kelihatan sebagai pihak yang meraih keuntungan terbesar dengan pembangkang berada dalam keadaan berpecah dan tidak bersepakat. Keutuhan Pakatan Rakyat yang telah mewarnai pilihan raya ke 13 pada 2013 sudah jelas hilang. Yang sepatutnya mengambil tempatnya, iaitu Pakatan Harapan, masih dalam keadaan sedikit terumbang-ambing, khususnya berhubung hubungan dengan PAS.

Tindakan UMNO/BN untuk mensasarkan PAS melalui isu perundangan Islam adalah satu ‘master-stroke’ yang tidak boleh dinafikan mana-mana pihak. Melaluinya bukan sahaja PR berpecah, namun ketidak-tentuan sikap terhadap PAS menyebabkan apa-apa tindakbalas untuk menyelamatkan keadaan menjadi tidak padu dan kurang bersungguh-sungguh. Kebergantungan terhadap PAS oleh pihak tertentu menyebabkan mereka tidak sanggup memutuskan hubungan dengan PAS s…

Video Parlimen: Melayu, Songkok dan Biadab?

Banyak yang telah diperkatakan berkenaan respon saya terhadap Pasir Salak di Parlimen awal minggu ini. Saya sertakan disini video perbalahan tersebut.



Dia mencarut dan mempermainkan nama keluarga Seputeh dan apabila ditegur terus berdegil. Kemudian dia terus mengejek Batu Kawan yang turut menegurnya. Sikap degil Pasir Salak mempertahankan akhlak buruk diri sendiri terpaksa saya hadapi dengan kata-kata keras sebegitu dan malangnya dibela pula oleh Speaker.

Harap saksikan dan nilai sendiri videonya secara keseluruhan dan jangan dirujuk satu lagi versi yang telah disunting melalui Blog BNBBC. Sudahlah akhlak tidak seberapa, cuba menipu pula?



WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Penjelasan atas Fitnah yang Disebar Kononnya Ahli Parlimen Shah Alam, YBKS 'Sembah Ayam'

1. PAS untuk sekian kali sudah bertukar menjadi parti fitnah dan maki hamun. Tiada selain memunafikkan, mengkafirkan atau dituduhnya syirik kepada orang lain termasuklah dalam gambar saat akhir video CNY yang dibuat DAP.



2. Perlu faham bahawa mengikut bahasa Cina, perkataan Na (itu) Ji (Ayam) yang kebetulan bunyinya sama macam Najib.

3. Video tersebut adalah berkaitan Kisah Ayam itu (Na Ji) yang jahat dan selalu merugikan tuannya.

4. Tuannya serah ayam itu kepada YB Teresa kerana sudah tidak mampu lagi membela ayam itu. Tiba-tiba semasa menerima ayam itu, ia terlepas lari, mereka semua mengejarnya dan berjaya ditangkapnya semula.

5. YBKS telah memasukkan ayam itu (na ji) dalam sangkar (penjara) dan ucap Selamat Tahun Baharu Cina.

6. Photo terakhir itu menunjukkan mereka semua mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina pada Na Ji yang sudah berada dlm sangkar (penjara).


7. Tiada upacara atau scene sembahan di situ. Gong Xi Faa Chai yang disebut bukanlah penyembahan.

Seronokkah buat dan se…