Skip to main content

Dari Manek Urai ke London dan Jordan: Berhadapan Isu Teoh Beng Hock

Pada 10 Julai saya dan isteri telah bertolak ke UK untuk menziarah anak dan cucu yang kini sedang berada di sana setelah berkesempatan berkempen untuk beberapa hari di Manek Urai. Satu program dialog bersama rakyat Malaysia telah di susun oleh saudara Wan Saiful di London pada keesokkan harinya. Dari UK saya telah sempat ke Jordan pada 13 hingga hingga 15 Julai untuk menziarah anak lelaki saya yang berada di sana dan untuk bertemu dengan pelajar-pelajar Malaysia di bandar Irbid.

Sekembali ke UK pada 15 Julai saya mengambil peluang bertemu sahabat-sahabat di Manchester dan seterusnya ke Coventry sebelum pulang ke tanah air pada 17 Julai dari Stansted. Semasa dalam tempoh saya di UK itu juga saya telah berkesempatan bertemu beberapa orang sahabat lama bagi bertukar-tukar buah fikiran. Setiba di Malaysia, pada 18 Julai saya ke Pulau Pinang memenuhi janji untuk bersama sahabat-sahabat dalam program yang telah di atur untuk selama 2 hari. Saya kembali ke Shah Alam pada hari Isnin 20 Julai dan sempat untuk hadir majlis pengkebumian Teoh Beng Hock di Semenyih. Ianya dihadiri oleh semua kaum dan semua bangsa dan merupakan satu simbol keinginan rakyat untuk keadilan dan perpaduan sejati.

Sekembali ke tanah air pada malam 17 Julai tersebut, saya dikejutkan sms berhubung kematian Teoh Beng Hock selepas/semasa disoal siasat oleh SPRM. Segera saya teringat akan kes Kugan yang masih tidak selesai. Saya dimaklumkan beberapa program telah pun disusun berhubung isu ini tetapi oleh kerana terpaksa ke Pulau Pinang atas sebab janji lama dan program yang siap disusun, maka saya sendiri tidak dapat hadir program-program tersebut. Saya hanya mampu meminta TYDP PAS Kawasan Shah Alam serta Ketua Pemuda dan Ketua Muslimat untuk menentukan PAS Kawasan Shah Alam tidak ketinggalan dalam menghadiri program-program berkenaan.

Namun amat jelas, imej SPRM yang sekian lama dilihat sebagai alat UMNO/BN semakin tercemar dengan berlakunya kes ini. Selama ini, tindakan SPRM menyiasat hanya pemimpin PR menyebabkan SPRM dilihat rakyat sebagai ‘baruah BN’. Sekarang, SPRM akan dilihat rakyat sebagai alat yang sanggup ‘membunuh’ demi BN! Inilah kesudahan yang amat sesuai bagi SPRM kecuali sekiranya SPRM mampu membersihkan namanya melalui bukti yang kukuh dan meyakinkan. Malangnya kenyataan Dato Seri Ahmad Syed Hamdan, Pengerusi SPRM hanya memperlihatkan ketidak keprihatinan dan keangkuhan. “Tiada yang ingin kami sembunyikan” kata beliau sambil menegur parti-parti politik yang menyerang SPRM. Tiada keinsafan, tiada kesedihan dan tiada ucapan takziah untuk keluarga dan tunang mendiang Teoh yang mati semasa atau selepas sahaja ditahan SPRM.

Memandangkan kes kematian dalam tahanan (atau selepas) semakin menjadi-jadi, adalah dicadangkan supaya semua sesi soal siasat mulai saat ini, samada oleh SPRM atau Polis, dirakam saat demi saat, supaya pada masa-masa akan datang lebih mudah bagi pihak berkuasa membuktikan tiada kekerasan, tiada kekasaran dan tiada kezaliman yang telah berlaku. Sekiranya benar kata-kata Dato Seri Ahmad bahawa tiada yang ingin mereka sembunyikan, maka apa salahnya ini dilakukan?

Begitu juga dengan pihak polis. Kita ingin melihat wang cukai yang dibayar oleh rakyat kepada pihak kerajaan yang membiayai segala institusi pentadbiran termasuk SPRM dan Polis, tidak digunakan untuk menzalimi rakyat. Cukai ini tidak dibayar supaya BN boleh membiayai ‘samseng-samseng bertauliah’ untuk mengugut rakyat! Sekiranya kerajaan melalui institusinya melayani rakyat sebagai manusia yang berkehormatan diri dan mempunyai hak, mengapa tidak setiap sesi soal-siasat dirakam supaya boleh didedahkan kepada umum ataupun badan penyiasat yang bebas pada ketika dan keadaan yang ianya diperlukan?

Sekiranya ini dilakukan, pasti akan terjamin hak rakyat jelata dan penyalahgunaan institusi kerajaan demi kepentingan UMNO/BN akan dapat ditamatkan. Tiada lagi pengakuan secara paksa seperti yang berlaku demi BN dalam kes Anwar dahulu. Tiada lagi penderaan tahanan ISA seperti yang pernah didakwa berlaku oleh beberapa bekas tahanan. Tiada lagi kematian dalam tahanan atau selepas darinya seperti kes Kugan dan Teoh. Maka, tiada lagi penggunaan kekerasan oleh badan seperti SPRM dan Polis.

Sebaliknya, sekiranya semua berjalan seperti biasa, tanpa adanya satu kaedah yang boleh menjamin tidak akan berlaku penderaan terhadap tahanan atau ‘saksi’, maka ia bererti bahawa UMNO/BN restu dan redha dengan pengunaan kekerasan, kekasaran dan penyeksaan terhadap tahanan/saksi demi kepentingan mereka.

Walau sejauh manapun tempat-tempat yang telah saya rentasi di dalam tempoh beberapa minggu ini, namun tiada perkara yang dapat menyediakan diri ini bagi berhadapan dengan kebobrokan yang berlaku di negara sendiri. Masihkah ada lagi yang sanggup menyokong UMON/BN dan bersubahat dengan kekejaman mereka ini?

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Comments

Sek 3 shah alam said…
'membunuh' untuk BN....a bold word Khalid. Apa2 pun siasatan masih berjalan. Seperti kes Kugan juga....
nasir said…
banyak2 ayat .. ayat ni yang mahal . Biasa la kalau menulis mesti ada sindir2 sikit kan ...

Masihkah ada lagi yang sanggup menyokong UMON/BN dan bersubahat dengan kekejaman mereka ini?

WaLlahu 'Alam

Popular posts from this blog

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.

Surat Jemputan Kunjungan Hormat Ahli Parlimen Shah Alam Menghadap Baginda Sultan Selangor

Berkaitan: Khalid Samad dipanggil Menghadap Sultan (Sinar Harian) Khalid Samad Menghadap Sultan Selangor (Malaysiakini) Sultan Selangor minta Khalid Samad kemuka syor, elak polemik (The Malaysian Insider) -Pejabat YB Khalid Samad-