Skip to main content

Di antara Pencalonan dan Calon

Saya, tahun ini, telah menerima 3 pencalonan untuk jawatan Pemeriksa kira-kira dan lebih sedikit pencalonan untuk AJK PAS Pusat. Saya tahu ada yang cukup berminat untuk saya menjadi pemeriksa kira-kira tetapi malangnya saya tak cukup ‘alim dalam bidang kira-kira ini. Saya rasa pencalonan untuk jawatan ini saya tolak dan saya serahkan kepada ulama’ kira-kira sahaja.

Dalam soal AJK PAS Pusat, saya merasa agak berbelah bagi. Di antara sebabnya, sekiranya dipilih akan bererti bahawa saya tidak akan lagi berpeluang untuk bersuara semasa dalam Muktamar. Saya melihat AJK PAS Pusat semua duduk diam di atas pentas sambil perwakilan mengemukakan hujjah. Saya pernah menjadi AJK PAS Pusat selama 6 tahun berturut-turut satu ketika dulu dan pengalaman bermuktamar semasa itu bagi saya adalah kurang memberangsangkan.

Namun, setelah berbincang dengan beberapa sahabat dan rakan taulan, mereka menasihati saya supaya bertanding. InsyaAllah akan dipertimbangkan dan akan saya lakukan istikharah sewajarnya.

Meskipun demikian, adalah menjadi harapan saya, sesiapa jua yang bersedia bertanding AJK PAS Pusat dan dipilih nanti, akan terus memastikan bahawa PAS akan kekal komited terhadap kerjasama bersama PR. Ini kerana, bagi saya PR merupakan sebuah entiti politik yang selaras dengan agenda politik baru di mana rakyat ingin menyaksikan tertubuhnya sebuah kerajaan yang bersih, berwibawa, adil dan amanah. Ini amat bersesuaian dengan agenda politik Islam yang dibawa oleh PAS. Pada masa yang sama, melalui kerajaan yang ditubuh oleh PR, mesej Islam akan disebarluaskan dan masyarakat, Muslim dan bukan Muslim, dididik dan didedahkan kepada asas-asas sistem hidup Islam yang menyeluruh.

Perjuangan Islam itu sendiri merupakan proses pendidikan untuk masyarakat serta rakyat dan perubahan dilaksanakan mengikut tahap kefahaman dan kesedaran yang berjaya dilakukan oleh sesebuah kerajaan. Proses perubahan Islam bukan melalui kaedah pemaksaan sesuatu agenda ke atas masyarakat. Proses pendidikan inilah unsur utama perubahan secara ‘tadarruj’ atau berperingkat-peringkat dan ianya lebih mirip kepada proses yang dipimpin oleh Rasulullah (SAW) sendiri.

Dalam masa yang sama, saf kepimpinan yang baru mesti menghalang apa-apa usaha yang cenderung kepada kerjasama dan penyatuan dengan UMNO/BN, atas apa alasan sekalipun. Bagi saya ini merupakan jenis usaha ’khianat’ yang akan memusnahkan integriti PAS di kaca mata rakyat.

Usaha untuk menonjolkan kemampuan kepimpinan PAS sehingga seluruh rakyat melihat PAS setanding dengan parti komponen PR yang lain seharusnya dipertingkatkan dengan lebih giat lagi. Sehinggakan pemimpin PAS mampu dilihat lebih berwibawa dalam soal memimpin rakyat berbilang kaum, lebih dari DAP dan PKR sendiri. Bilamana PAS akan dianggap bukan sekadar pemimpin ummat Islam tetapi seluruh rakyat!

Proses ke arah penyusunan gerak kerja Pilihan Raya juga wajar dimantapkan untuk menentukan prestasi yang lebih menyerlah semasa PRU ke 13 akan datang. Ini mampu dicapai sekiranya kita berjaya mengekalkan kerusi-kerusi yang telah sedia dimenangi semasa PRU ke-12 yang lalu, sambil memenangi kerusi-kerusi yang telah kita kalah kepada UMNO/BN. Dengan beralihnya kerusi-kerusi ini kepada PAS, maka UMNO/BN akan bertambah tidak releven di arena politik tanah air.

Di samping itu, agenda lain yang harus dibawa pimpinan termasuklah persoalan meningkatkan pemahaman konsep ‘Kepimpinan Ulama’ di kalangan seluruh ahli PAS sehingga ianya tidak lagi menimbulkan kekeliruan. Melalui pemahaman yang tepat maka akan terjamin berterusannya konsep ini di dalam PAS.

Pada masa yang sama usaha meningkatkan tahap dan mutu Tarbiyyah dan latihan kepakaran semestinya diberikan tumpuan demi menyediakan ahli-ahli dan pemimpin PAS untuk peranan baru mereka sebagai pemerintah dan pentadbir. Tumpuan diberi bukan kepada apa yang dianggap sebagai kekurangan rakan-rakan kita yang lain di dalam PR tetapi kepada kekurangan kita sendiri dan usaha kita untuk mengatasinya.

Melalui ini semua, insyaAllah PAS akan tampil sebagai parti yang mampu memimpin PR di mana kepimpinan ini diperolehi bukan atas desakan, ugutan atau tuntutan ahli kita, tetapi di atas dasar kemampuan dan kelayakan pimpinan kita yang jelas terbukti. Kepimpinan bukanlah untuk dituntut atau didesak, tetapi sebaliknya diserahkan oleh rakyat kepada mereka yang jelas membuktikan kemampuan, keikhlasan dan kewibawaan.

Terima kasih kepada semua pihak yang telah mengemukakan pencalonan, namun samada akan turut bertanding atau pun tidak akan ku renungi dan fikirkan sejenak.

WaLlahu ‘Alam
KHALID SAMAD

Comments

HaHs said…
Assalamu Alaikum tuan!

Saya kagum dan hormati tuan sbg antara pemimpin PAS yg boleh dianggap berkaliber walaupun saya dan sebahagian pihak lain kadangkala agak berbeza pendapat dgn tuan berhubung sesuatu isu. Mungkin cara berfikir yg berbeza.

Walau bagaimanapun, saya berharap agar tuan dapat menyumbang sesuatu yg lebih bermakna didalam parti. Alangkah ruginya sekiranya PAS meminggirkan atau menolak pemimpin2 seperti tuan didalam membina PAS kearah yg lebih baik dan begitu juga sebaliknya.

Sumbangan bukan sekadar dari sudut pemikiran, malah dakwah serta usaha yg bersungguh utk PAS dan rakyat sesuai dgn kedudukan tuan sbg MP. Saya menyokong tuan berada di dlm JK Pusat sesuai dgn ilmu dan pengalaman tetapi kena berkorban idea, masa, tenaga dan sumber yg lebih lagi bagi berkhidmat utk satu negara.

Berkenaan isu ulama' vs profesional. Saya amat bersetuju dgn Timb Mursyidul am didlm wawancara bersama harakah serta Ketua Dewan Ulama. Bagi saya Nakhoda didlm PAS harus diberikan pada yg ahli iaitu pada yg arif ttg islam, prinsip dan halatuju jamaah serta dihormati iaitu golongan ulama'. Manakala timbalan, naib2 serta pegawai2 hatta pemimpin negeri dibolehkan dan diharuskan dikalangan profesional. Gabungan ulama' profesional sgt diperlukan. Tetapi meminjam kata2 saudara dan pemimpin iaitu kita serahkan sesuatu tugas pada yg ahli.

Maka, Presiden, mursyidul am dan dewan ulama' haruslah dikalangan ulama melainkan Profesional dan ulama' didlm kedua2 bidang atau profesional yg sgt dicontohi peribadinya serta keilmuan sehingga turut dihormati dikalangan ulama dibolehkan pada sesuatu masa. Kenyataan diatas sekadar panduan kita tetapi sekiranya dikalangan ahli pas sendiri menerima konsep profesional boleh memimpin tanpa apa2 kriteria lain maka terpulanglah. Akhirnya beban memilih terletak pada ahli dan perwakilan. Kenyataan mereka dan saya sekadar memberi petunjuk dan garis panduan.

Wallahu A'lam!!!

P/s : Diharap tuan dapat meningkatkan ukhwah, kerjasama dan menggembleng tenaga dikalangan pendokong dan pemimpin agar membangunkan kawasan shah alam dan negeri selangor ke tahap yg terbaik walaupun tidak lagi berada didlm kepimpinan tinggi negeri.
Ustaz Ali said…
Biasanya saudaralah yang berlagak pandai. Semuanya saudara tahu, lebih-lebih lagi tentang isu-isu agama – becakap mengalahkan Tok Guru. Tapi, takkanlah seorang jurutera mcm saudara buta matematik dan bengap sangat tentang kira-kira?? Kalau sebelum ini pemeriksa kira-kira PAS terdiri dari pelabagai latarbelakang malah yang tak graduate pun ada, takkan la saudara khalid ni terlebih bodoh dlm hal ini. Atau mungkin jawatan tersebut terlalu kecil buat saudara? Biasala orang dah jadi YB dan gila glamer. Mana padan. Lebih-lebih saudara dah jadi selebriti kerana suka sangat pukul ahli jamaah sendiri dalam media.

Sahabat mana yang saudara bincang yg menasiihat saudara betanding tu? Jangan-jangan sahabat dalam DAP dan PKR tak? Eloklah, dengarlah nasihat mereka tu. Kalau menang bolehlah saudara menjadi jurucakap mereka dalam jawatankuasa PAS. Tak payah istikharah pun tak apa. Saudara kan tak suka benda-benda mcm tu. Dahlah solat mcm ayam patuk nasi. Saya masih ingat waktu Nizar menang parlimen Bukit Gantang baru2 ni, ada kawan2 saudara kata “Tengok, tak payah istikharah Tok Guru pun kita boleh menang” (sebab Tok Guru Presiden lebih berkehendakkan Ust Idris utk bertanding pada asalnya)

Berkenaan dengan Pakatan Rakyat, tak usahlah nak memandai-mandai. Sebagai ahli PAS dan pimpinan kawasan, saya hanya menyerahkan isu tersebut kepada kebijaksanaan dan kealiman Majlis Syura untuk memutuskan samada perlu diteruskan atau tidak tahaluf tersebut. Kalau saudara kata PR nakkan k’jaan yg bersih, berwibawa, adil dan amanah, saya mungkin bersetuju – Cuma yng bermasalah ialah DAP (yg masih menentang penubuhan Negara Islam dan perlaksanaan undang2 Islam) dan PKR (yng majority ahli dan pimpnannnya korup malah sesetengahnya lebih teruk dari UMNO). Percayalah, kalau bukan kerana PAS berada dlm PR, Pakatan Rakyat sudah lama hancur.

Janganlah saudara bercakap takbur bila menyentuh soal UMNO/BN. Saudara kena ingat kita dulu pernah bermusuh dgn DAP dan kita juga pernah bermusuh dgn kebanyakan ahli PKR. Tapi sekarang kita boleh bekerjasama dgn mereka berkat kesabaran dan keterbukaan kita dlm berdakwah dan berpolitik. Apakah saudara nak mendahului Allah utk mengatakan mustahil bagi UMNO/BN juga utk menerima kita seperti mana DAP dan PKR menerima kita sekarang ini? Ingat saudara, dalam politik mcm2 boleh berlaku. Hari ini jadi kawan esok boleh jadi lawan. Apapun, sebagai ahli Pas dan pimpinan kawasan saya tetap menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada Majlis Syura dan Presiden untuk menentukan hala tuju Pas seterusnya. Apa jua keputusan mereka akan saya ikut dan patuh tanpa berbelah bagi dan tanpa melabelkan perkataan seperti “khianat” kepada jamah sendiri.

Saudara nampaknya memandang rendah terhadap kualiti pimpinan PAS sekarang ini. Inilah jadahnya bila saudara telah terpengaruh dgn badi Sdr Anwar Ibrahim dan saudara melihat kemampuan dan kewibawaan pimpinan melalui kacamata sdr Anwar dan PKR dan bukan dari kacamata agama. Sekiranya saudara sedar dan melihat kualiti kepimpinan melalui kitab Allah dan sunah nabi-Nya, maka barulah saudara akan dapat melihat bahawa majoriti pimpinan Pas sekaranglah yang lebih berkemampuan dan berwiabawa untuk memimpin umat manusia seluruhnya. Saya sedih jika itupun saudara tidak mampu melihatnya.

Harapan saya semoga saudra tidak meneruskan hasrat untuk bertanding AJK Pusat melainkan saudara telah berjaya keluar dari kepompong pemikiran Anwarisme yang boleh memecahbelahkan jamaah kita.
Sek 9 said…
Salam Ustaz Ali,

Wah2 mentang2 la YB Khalid tak tapis sgt komen2 yg diberi, bukan main lagi kau belasah ye. Macam itu kah nilai adab seorang ustaz? Bila orang2 mula komplen tentang sikap segelintir ulama dan ustaz tau marah, tapi diri sendiri yang buat hal. Kasi busuk nama sendiri. Punya la pjg YB tulis, sampai ke anwar kau pegi melalut.

Saya tau mmg ada kumpulan2 dlm PAS yg hendak menjatuhkan nama YB Khalid dgn mencalonkan beliau sebagai pemeriksa kira2. Kita pun boleh tau kawasan mana dan siapa. Bukannya susah sgt. Kalau benar niat ikhlas utk calonkan yg terbaik tak kesah la. Pelik sungguh la puak2 ni tak paham la. Cuba kita perhatikan, JIKA benar PAS terbahagi kpd 2 kumpulan. Geng yg mana yg asyik cuba bikin hal sesama jemaah? Yang mana yg asyik duk mau melebel? Yang mana yg asyik nak tuduh itu ini? Dari situ kita sudah boleh tau siapa ikhlas dan siapa yg kibas!!!
Anonymous said…
Ya setuju, cuba kita tgk apa yg jadi kepada husam musa. Tgk apa statement Nik Abduh dlm utusan tentang Pemuda? Geng2 muqabalah ni tahu mereka tidak mempunyai kewibawaan utk menjadi pempimpin, oleh itu cara lain nya ialah buruk2 kan pemimpin lain agar dia dilihat elok. Sama la modus operandi mereka dgn khalid samad. Tetapi mereka hanya boleh merangcang... Saya yakin pendokong2 PAS yg ikhlas macam husam, khalid, dll tak ambil peduli dgn sikap2 sebegini. Takbir!
zaydlekhair said…
ahaha, ustaz ali ke lebai ali ke tongkat ali?

Sangat berbau pekat nasionalisme umno... tengik busuknya terbau walau cuba ditutup dgn topeng saji bernama "ustaz ali".
Unknown said…
kebenaran tu drp Allah ..maka terserlah kebathilan drp tulisan yg menamakan (mengangkat) dirinya sbg Ustaz Ali... Kalau begini perangai & kefahaman setengah-2 ustaz & ulama & penyokong PAS, suka saya ingatkan, kamu semua adalah api dlm sekam...mungkin tak sedar diri yg diri sendiri adalah agen pemusnah PAS secara diam-diam & tercela pula akhlak. Keikhlasan mereka ini adalah wajib dipersoalkan oleh semua kita penyokong PAS. Memalukan! Menjijikkan!
Semasa org-2 PAS begini hanya mementing diri. Kalau menang nak rebut jawatan (atau sokong kawan dia shj untuk naik). Kononnya mereka shj punya jati diri, mrk shj dilihat sokong ulama (tak boleh ditegur), tinggi ilmu agama tapi kurang akhlak, kurang toleransi, suka memaksa org lain..jumud/rigid/dll. Ingat! kami rakyat/penyokong sentiasa memerhati gelagat kamu drp jenis "busuk hati' ni ... Jgn ingat jemaah Islam/PAS/dll hanya untuk jenis kamu yg kononnya berilmu agama, tapi haprak karektor lain sbg pemimpin yg disegani kawan mahupun lawan. Eloklah muhasabah dir & bertaubat!
Anonymous said…
selepas kejadian rakus segolongan ulama dan ustaz PAS ini saya dan ramai rakan ahli pas sudah menilai balik keahlian kami, mungkin masih menjadi ahli pas tapi tidak aktif lagi.kami amat khuathir dgn nasib pemuda pas pusat selepas abg sallehuddin ayub.kami "takut" dgn org org spt din tantawi, nik abduh, azman dan seangkatan dgn nya.pada ana depa ni tak tau politik, patut berdakwah dgn jemaah lain tapi buklan pas.pada ana dan ramai lagi kami guna medium politik utk berdakwah so kena pandai politik sebelum berdakwah.

sedih dgn golongan ini.suka menuduh dan marah kalau kena sedikit kritikan tapi bila mereka yg buat tak salah pulak.
HaHs said…
Aslmkm tuan!

Ustaz Ali?

Ustaz Ali mana ya buat fitnah dan cacian ni? Mcm takde adab.

Oh!!! Anta rupanya.

Ustaz Ali Umno Al Muzakarah wal Muqabalah wal bikin susah.

Pi la peluk Najib tu kuat2, mai sini buatpe? datang rumah org x bagi salam, main terjah maki hamun, bikin onar.
Nak citer hal tu masuk jela blog Umno. Takde adab punya orang.
Maruah letak mana?
Ahli dan pemimpin Pas dah faham dan kenal hati budi orang Umnolah kawan dari zaman merdeka sampai sekarang.
Anonymous said…
Prolog


Ketika menandakan kewajiban berdakwah dalam Islam, Allah SWT telah berfirman di dalam al-Qur’an,

“Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan janganlah kamu bercerai berai....” (Ali ‘Imran: 103)

dengan maksud lafaz maksud supaya umat Islam bersatu di atas Nama Allah dan pertelingkahan sesama sendiri menjadi punca utama kejatuhan Islam yang Allah tahu akan berlaku di kalangan ummat-Nya.



Pendahuluan


Artikel ini ditulis dengan nota kaki dan rujukan yang bertanggungjawab, dibentangkan untuk semua pendokong gerakan Islam, terutamanya pendokong Parti Islam Se Malaysia (PAS) dengan maksud supaya:

(i) Pendokong dan penggerak PAS dapat menyingkap kembali perjuangannya;

(ii) Pemuda PAS selaku barisan pelapis memahami sejarah PAS sehingga kini;


(iii) Gabungan Ulamak dan Profesional dimantapkan dalam konteks “Kepemimpinan Ulamak” yang didokong oleh PAS sejak tahun 1982 hingga kini; dan

(iv) Pimpinan PAS mengambil sikap tegas menyusun semula saff pelapis dan kepemimpinannya bagi menghadapi suasana politik baru Malaysia yang semakin mencabar.

www.micelup.blogspot.com
Anonymous said…
Sdr YB Khalid Samad,

Analisis YB cukup baik dan murni. PAS tiada lagi jalan pulang untuk kembali menjadi parti serpihan kepada UMNO. Ini adalah masa untuk PAS melonjak terus menjadi parti nasional dan antarabangsa.

Bukan orang PAS sahaja yang Islam dan menjadikan Islam sebagai matlamat kehidupan. Tapi Islam berada diseluruh dunia dan orang Islam yang menyerahkan diri untuk memperjuangkan Islam juga berada di seluruh dunia.

PAS telah menolak keganasan dan memilih jalan demokrasi dan keamanan untuk melaksanakan Islam di bumi ini.

Justeru PAS wajar memanfaatkan pengalaman perjuangan parti berorientasikan Islam di kawasan lain seperti Turki, Indonesia, Sudan, Pakistan dll. Tidak lupa juga yang paling utama ialah menekuni seerah perjuangan para nabi dan khususnya baginda Muhammad SAW.

Bumi Islam itu luas seluas bumi ini. Sempadan Malaysia hanya diwujudkan oleh bangsa penjajah Inggeris pada tahun 1957. Untuk itu, tidak perlu segan atau rasa bersalah untuk mengambil pengalaman dan iktibar sahabat se Islam di daerah lain di atas bumi ini.
Anonymous said…
Dalam membentangkan pertembungan golongan ulamak dengan profesional ini, kita mestilah tepat dan kritikal kerana bukan semua golongan profesional yang bergerak dalam PAS digolongkan sebagai anti ulamak. Golongan profesional yang mempersoalkan pimpinan ulamak ialah profesional yang melakukan perkara-perkara berikut:-

(i) Profesional yang duduk dalam barisan kepemimpinan PAS tetapi
mengkritik keputusan kepimpinan PAS dalam mesyuarat bukan dengan maksud membina tetapi merendahk-rendahkan kepimpinan dan membawa
perasaan tak puas hati itu ke luar mesyuarat;[14]

[14] Perkara ini dapat dibuktikan apabila YB Khalid Samad, seorang AJK Pusat menyampaikan taklimat tertutup di Shah Alam mengenai “Muzakarah PAS-UMNO”, mengkritik kepimpinan ulamak secara terbuka dan memutarbelitkan fakta. Malangnya pertemuan seperti ini telah dirancang secara halus dan tidak terbuka luas untuk semua ahli. Hanya ahli yang terpilih dibenarkan menghadiri pertemuan sebegini. Namun perencanaan Allah SWT terlalu agung sehinggakan maklumat sebegini dapat didedahkan juga akhirnya.
johan said…
Salam,

Saya cukup tertarik dengan tulisan tuan.Sekali-sekala jengoklah ke blogs yang semakin panas dengan isu semasa.Walaupun fahaman berbeza,tuan boleh mencetuskan idea yang bernas .

Sila layari

http://penpusaka.blogspot.com
Anonymous said…
asalamualaikum ustaz ali..

anta betul2 mencemarkan status ustaz. bercakap tak ada lansung loghat agama.. fakta entah kemana berhujah pula pakai emosi.. cuba sandarkan pada ayat Al Quran.. baru blh gambarkan anta sebagai pendokong agama.. ingat kata Tok Guru dalam Parlimen.. bla kita berhujah dan berhujah menggunakan emosi.. kita sudah kalah.. anda selaku pendokong masyarakat kena ambil iktibar dari apa yang Tok guru katakan. jangan bila hujah Tok guru mengena pada orng lain disokong, tapi bila terkena pada diri sendiri anta mengelak.. dan kalau anda hanya nak melakukan provokasi.. anda silap..

dalam soal bekawan dengan DAP, ketengahkan hujah anda mengapa kita perlu rasa gusar dengan sapa kita berkawan.. dalam Kitab Al quran dah menyatakan kita dilarang bersahabat dengan munafik... artinya Islam tetapi hanya pada nama. wajarla kita berkawan dengan kafir yang baik berbanding dengan orang islam yang Munafik..

perbandingan dengan Zaman Nabi adalah satu contoh yang bagus.. tapi menyamakan Nabi denga Tok guru saya tidak pasti hukumnya.. cuba kita sandarkan dengan zaman khalifah.. kan lebih baik.. kerana Nabi Muhammad s.a.w bersifat maksum... tidak wajarla kita buat perumpamaan antara seorang yang sempurna dengan seorang manusia biasa... anta bijak befikir dan pandai mengkritik YB khalid. why not anta gunakan anugerah Allah itu pada jalan yang lebih baik..

anda seorang ustaz.. anda membawa watak sebagai pendokong agama.. jadi bawalah watak yang sepatutnya seorang ustaz bawa..
Sebal said…
HOI yang ngaku utz ali..pppp lah...hang tulis macam bukan utz..tapi..talibb aje..

Hnag tau tak YB..Khalid..dah 30 tauhn aktif dlm PAS..macam-macm pOST dia dah pegang..sekejad ada..sekejap tak..ada..apa ada pada jwtan..yang penting sumbangan..ada kepatut..cadang YB jd pemeriksa Kira-kira...ni menunjukan ahli pas atau pas kaw yang cadang YB jd PKK...tu..tak tau menilai kualiti pemimpin..maybe..kaw uts ali..golongan katak bawah kitab...
sorry to saylah...gue...kata kasar sikit, saja mau cubit sebab gue sebal..dgn org yang ngaku pimpinan tapi masih berfikiran katak bawah kitab..
Anonymous said…
sokong pandangan Ustaz Ali 100%.
kepada YB Khalid, ko dengarla nasihat Ust Ali tu.
Aku takut kalu ko jadi AJk Pusat, habis rahsia parti ko bocorkan.
ko kan jenis yg tak tau simpan rahsia.
aku dah muak dengar ko perlekehkan pimpinan PAS dan buat majlis tertutup utk hentam kepimpinan ulama.
mcm ko sorang saja yg bagus.
Selongsong said…
Assalamualaikum Al-Fadhil YB Tuan Haji Khalid Samad,

Ana mohon maaf sekiranya tuan berasa kecil hati dengan komentar ana yang lepas. Ana bukan berniat untuk merendah-rendahkan al-Fadhil YB, jauh sekali menghina. Salah ana juga sekiranya dilihat seperti melobi. Bukan begitu niat ana.

Apa-apa pun, ana harap, al-Fadhil YB akan dapat terus berjuang menegakkan Islam, tak kiralah berjawatan atau tidak. Semoga cita-cita kita untuk melihat Islam didaulatkan di bumi bertuah Malaysia, akan tercapai jua suatu hari nanti. Amin.

wassalam

selongsong.pencucuh
penawarrindu said…
Kalau dah tak Faham sangat, dah berbuih-buih berhujjah, macam2 ayat dah hadith dah diberi.

Marilah kita belajar Politik LEMBU, ye PILITIK LEMBU. Politik Lembu BERLAGA

-Lembu yang sedang berlaga itu tidak terus menerus berlaga, sesekali lembu itu menarik nafas, sesekali menagmbil lajak, mengumpul tenaga.Bukan Macam kita mentang mentanglah berlawan terus saje berlawan.
INGAT Sirrah Nabawi:
Sebelum perjanjian udaibiyyah Orang Islam hanya berjumlah 1000 orang.Selepas perjanjain Udaibiyyah Umat Islam berjumlah 8000 orang . Ramai juga yang marahkah kepada perjanjian itu, hakikatnya Allah tetap memelihara sekiranya perjanjain tersebut di asaskan kepada Al-Quraan.
Seseungguhnya spessis dan keturunan yang menentang perjanjian udaibiyyah itu masih ada sehingga hari ini ,seterusnya sehingga hari akhirat, Percayalah.

Blog saya : http://penawarrinduku.blogspot.com
Anonymous said…
kepada saudara seislam...
kenapa apabila ada pandangan yang bertentangan dengan kehendak saudara...UMNO yang jadi sasaran...ingatlah betapa kerdilnya kita di dunia ini...jgn bila baru diuji oleh Allah SWT dengan sedikit kuasa kita lupa pada ahli2 yang lebih lama berjuang dlm parti ketika ramai yang mencemuh, memandang rendah pada parti ketika itu...siapa saudara semua yang mengutuk saudara yang mengur ketika PAS mula ditubuhkan di sek 19 pada tahun 1989...mungkin ada yang masih merangkak..tetapi sekarang dialah juara menunjukkan kehebatan....jgn lupa kuasa kadang-kadang akan menghancurkan kita...dengar nasihat, terima kalau boleh..kalau tak ambil sebagai iktibar dan panduan...jgn dikutuk pemberi pandangan dan nasihat...
Anonymous said…
Baik-baik membaca tulisan Ustaz Ali ni. Nampak macam agen UMNO menyamar jadi PAS untuk melaga-lagakan sesama kita.

Tengok gaya bahasa macam pernah terbaca tapi dimana dan siapa kena panggil balik memori.

Menyamar jangan tak menyamar.

Mustapha
Permatang Badak
Kuantan
Anonymous said…
Assalamualaikum..

Tuan bukan saya nak mengajar bab-bab agama dan urusan pentadbiran majlis agama negeri tetapi APAKAH FUNGSI PUSAT ZAKAT dan BAITULAML??

Bukankah umat ISLAM yg miskin ini adalah termasuk didalam ASNAF yang berhak? Apakah mereka ini tak layak menerima bantuan?

Seperti di Selangor ramai ibu tunggal dan fakir miskin yg tiada rumah tetapi banyak rumah (flat PKNS dan pemaju lain) yg terbiar tak terjual yang harga dah jatuh bawah RM10k..kenapa tak beli dan serahkan rumah itu kepada mereka-mereka ini?? Kenapa pula perlu bina BANGUNAN yg besar sebagai PEJABAT PUSAT ZAKAT dan BAITULMAL sampai berjuta-juta ringgit tetapi jika digunakan untuk membeli "raumah-rumah murah dan flat murah" saya rasa masalah menempatan ibu-ibu tunggal dan fakir miskin telah selesai..ini termasuk lah di SEMUA NEGERI DI MALAYSIA.. perkara-perkara remeh seperti jauh daripada punca rezeki bukan satu alasan utk membantu mereka..hendak seribu daya.
Namun semua yang HAK ini telah di POLITIK kan oleh semua pihak termasuk UMNO/BN dahulu.

Harap tuan dapat membuat kajian yg mendalam terhadap cadanagn saya ini.

Mintalah nasihat daripada semua ahli ULAMA' (jgn lama sangat) dan sediakan garis panduan utk dijadikan contoh kepada semua Pusat Zakat,dan kemudiannya dilaksanakannya..

Buat kempen ZAKAT utk mengalakkan UMAT ISLAM berzakat..

Harap tuan sebarkan perkara ini kepada semua PEMIMPIN UMNO ISLAM,PEMIMPIN PAS ISLAM dan PEMIMPIN PKR ISLAM untuk memikirkan perkara ini tetapi BUKAN PEMIMPIN ISLAM YG MUNAFIK.

wassalam


p/s: saya masih tak dapat menerima hakikat apabila melihat BANGUNAN PUSAT ZAKAT BERDIRI MEGAH BERJUTA RINGGIT tetap ramai UMAT ISLAM FAKIR MISKIN,IBU TUNGGAL tidak mendapat pembelaan sewajarnya..

p/ss: jgn la bila masuk TV macam program BERSAMAMU baru nak muncul kena lah pro aktif..Itu AMANAH yg BERAT.. dan sepatutnya semua KAKITANGAN PUSAT ZAKAT dan BAITULAMAL berfikir BAGAIMANA HENDAK memberi kapak atau jala kepada MEREKA bukan TERUS MEMBERI KAYU dan IKAN.
Uwais said…
Assalamualaikum

Ikhwah yang dihormati sekelian..

Sebelum kita semua mengeji seseorang atau apa titlenya, pastikan apa yang ditulis itu benar asal darinya. Saya tidak tahu apakah pelawat yang memakai gelaran 'Ustaz Ali' itu benar2 ustaz atau 'jelmaan' dari seseorang yang berniat jahat kepada Islam, Pas atau Yb Khalid Samad sendiri..WalLahu A'lam.
Pesanan saya, berhati2lah untuk menulis, mengeji seseorang samada titlenya atau peribadinya. Jika benar ia sesorang ustaz, yang salah hanyanya 'Ali' bukan title USTAZ itu..
WUZARA said…
Reformation yang berlaku di Eropah pada abad ke 14 adalah disebabkan pertelingkahan antara golongan agama dengan golongan pemilik modal. Golongan pemilik modal merasakan golongan agama telah menguasai Negara dengan menjalankan pemerintahan teokrasi(pemerintahan keagamaan). Akibat dari permasalahan ini, mereka mengambil jalan tengah(moderate) dengan memisahkan agama dengan politik (sekularisme). Golongan agama tidak lagi dibenarkan mencampuri urusan politik tetapi diserahkan kepada golongan pemilik modal yang dianggap professional. Maka sebagai reaksi kepada penentangan system teokrasi yang yang diamalkan selama ini, mereka bahkan mencedok system demokrasi (kerajaan rakyat) yang diciptakan Plato sejak sebelum masehi. Sejak itu mereka keluar dari zaman gelap(dark ages) dan bermula kebangkitan di Eropah.

Sedangkan Islam pada zaman tersebut sedang berada di tingkat keilmuan dan ketamdunan yang sangat tinggi. Dalam Islam tidak timbul soal teokrasi atau demokrasi, tidak timbul persoalan pemimpin itu mesti golongan ulama’ atau professional. Ini adalah permasalahan agama kristian yang tidak ada kene mengena dengan agama Islam.
Islam adalah agama yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad saw, yang mengatur hubungan manusia dengan Allah swt, sesame manusia dan dirinya sendiri. Oleh itu tidak timbul persoalan teologi sebagaimana yang terjadi terhadap agama Kristian di Eropah. Apa yang terjadi, polisi pendidikan dan suasana keislaman telah melahirkan manusia-manusia yang faqih agama dan memahami persoalan politik dan teknologi. Itulah produk system Islam.

Berbeza dengan system kapitalisme hari ini, wujud 2 golongan yang saling berbeza, golongan agama dan golongan professional. Golongan agamanya kurang memahami politik dan teknologi sedangkan teknokratnya lemas dalam lautan sekularisme. Mana-mana gerakan Islam yang tidak serius dalam pentarbiahannya akan juga terperangkap dalam persoalan ini, kecuali gerakan Islam yang dapat memutuskan bahaya sekularisme dari pemikiran ahlinya. Saya bersetuju dengan pandangan Dr Asri dalam tulisan beliau pada Mingguan Malaysia yang lepas yang mana beliau menyatakan persoalannya bukan ulama’ atau professional, tetapi iltizam seseorang pemimpin untuk melaksanakan Islam.

Saya berpendirian, mana-mana usaha atau tindakan melebarkan jurang kapasiti ulama’ dan professional adalah satu rijal dalam agama yang mesti dihapuskan. Jika tidak kita sekadar membawa Islam kembali ke zaman gelap Eropah

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.